DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 21 August 2017

Mahkota Kertas - Bab 8

LAMPU kecil di tangan disuluh ke arah pintu lif.
Suasana sekeliling gelap-gelita. Dari selepas habis kelas tadi
dia menunggu masa untuk memulakan ‘operasi’. Kali ini,
walau apa pun dia tetap akan dapat jumpa apa yang dia ‘buru’
sejak sekian lama.
Belum sempat dia menekan punat di tepi pintu lif,
dia terdengar bunyi derap tapak kasut. Dalam keadaan sunyi
begitu, bunyi yang perlahan pun terasa kuat di telinga.
Maissa pantas menyembunyikan diri di tepi dinding.
Dadanya berdebar-debar, risau kalau-kalau tertangkap
dengan guard. Itu pun kalau betullah guard. Dibuatnya
ada ‘makhluk’ lain yang sedang mengintai, macam mana?
Memanglah dia nak cari ‘makhluk’ tu, tapi biarlah dia dalam
keadaan bersedia, bukan tiba-tiba macam ni.
Maissa mengira-ngira dalam hati. Dia cuba
memerhati dari sebalik dinding. Yang dia nampak cuma
bayang seseorang. Apabila yakin yang ‘makhluk’ itu kian
mendekat, dia pantas melompat dan menyuluh lampunya ke
depan.
Shad terjerit, terkejut dek kerana silau panahan
lampu suluh Maissa. “Hoi, apa ni?!”
Maissa menjatuhkan lampunya. Wajahnya jelas
menahan bengang. “Syhhh!”
Shad menggosok-gosok mata. ‘Buta’ sekejap
dibuatnya.
“Tak boleh ke bagi salam?” rungut Maissa geram.
Petang tadi Shad juga yang hantar pesanan ringkas
kepadanya bertanyakan apa aktivitinya malam ini dan dia
cuma menjawab dengan jujur. Tak sangka pula Shad akan
datang. Hesy, menyemak betul mamat ni!
“Manalah saya tahu awak menyorok kat dinding tu,”
balas Shad membela diri. Mulalah dia rasa menyesal sebab
datang juga ke situ malam itu. Baiklah balik rumah dan tidur.
Sudahlah malam semalam pun tak cukup tidur, ini sanggup
lagi buat kerja gila macam ni.
Maissa merengus sebelum terus berjalan ke arah
lif semula. Shad mengikut dari belakang. Maissa menekan
punat, menunggu pintu lif terbuka.
“Awak nak cari apa sebenarnya ni?” tanya Shad.
“Hantu lif,” jawab Maissa. Pintu terbuka, dia terus
masuk.
Shad mengikut gadis itu. “Hantu lif?”
“Awak tak tahu ke kisah legend lif fakulti ni?”
“Tak.”
Maissa berdeham, bersedia untuk bercerita. “Sejak
lima belas tahun lepas, lif ni dikatakan ada ‘penunggu’ pada
waktu malam, terutama sekali selepas pukul 12 malam. Sebab
itulah tak ada pelajar yang akan gunakan lif ni waktu malam,
walaupun ada kelas biasa atau kelas ganti. Diaorang semua
lagi rela guna tangga.”
“Kalau naik jugak jadi apa?”
“Lif ni akan berhenti di tingkat tiga dan pintunya
akan terbuka walaupun tak ada orang yang tekan butang
apa-apa. Dia akan berhenti kat situ beberapa minit dan...”
Maissa merendahkan suara. “Ramai pelajar yang dah terkena
cakap diaorang nampak... pocong.”
Shad tertelan liur. Untuk seseorang yang tak takut
hantu sangat, dengar cerita macam itu ketika berada dalam
lif dan di tempat kejadian, boleh kecut perut jugalah. Hari tu
dia cuma nampak satu jalur putih melintas, tapi cerita Maissa
kali ni lebih menyeramkan.
Maissa tersenyum kecil apabila perasan reaksi pada
wajah Shad. Tahu takut...
“Jadi sekarang ni awak nak pergi cari pocong itulah?”
teka Shad.
Maissa mengangguk penuh yakin.
Lif itu berhenti tiba-tiba. Lampu terpadam. Shad dan
Maissa saling berpandangan, terkejut.
“O... kay... Please tell me that this isn’t the pocong’s
doing,” kata Shad mula panik.
Maissa menekan-nekan butang di tepi pintu lif.
Semua butang ditekannya tapi tiada satu pun yang berfungsi.
Dia berdecit, menyumpah perlahan.
“May, apa yang berlaku sekarang ni?” Shad bertanya
risau, peluh mula basah di sekitar dahinya.
Maissa menyuluh lampunya ke sekitar lif. Tiada apa
yang boleh dijadikan alat untuk keluar dari situ.
Shad mara ke depan untuk menekan butang
kecemasan tapi Maissa pantas menahan. “Kenapa?”
“Awak nak guard tahu kita ada kat sini?”
“Saya lagi rela kena denda dengan pihak fakulti
daripada mati kelemasan dalam lif ni. Itu the best case
scenario tau? The worst case scenario, tiba-tiba hantu pocong
awak tu masuk dalam lif ni dan bunuh kita.”
“Awak pernah dengar cerita hantu pocong bunuh
orang ke? Atau ada baca kat mana-mana? Komik? Novel?”
“Sekarang bukan masa nak buat lawak okey.” Geram
pula Shad dibuatnya. Sepatah dia cakap, sepuluh patah Maissa
jawab balik. Kalau jawab biasa-biasa tak apa, ini macam
sengaja nak cabar kesabaran.
“Whatever! Sekarang fikir macam mana nak keluar
dari...” Belum sempat Shad sudahkan ayat, lif itu seolah-olah
dihempap sesuatu. Kedua-duanya hilang imbangan badan.
Nasib baik Shad sempat berpegang pada dinding. Cuma
tubuh Maissa yang berlaga dengan tubuhnya, membuatkan
dia hampir putus nafas untuk seketika.
Apabila sedar situasi ketika itu, Maissa pantas
menjarakkan tubuhnya daripada Shad. Lampu suluh yang
terlepas jatuh diambil semula. Tangannya terasa menggigil
tidak semena-mena.
Shad tarik nafas panjang. Bulu roma menegak,
jantung berdegup lebih laju daripada biasa. “Okey, May.
Tolonglah, tekan butang kecemasan tu sebelum keadaan jadi
lebih buruk.”
Lif itu bergerak semula menuju ke tingkat atas
sebelum sempat Maissa buat apa-apa.
“What?” Shad terpinga-pinga, tak faham apa yang
sedang berlaku. Pocong tengah bergurau ke apa ni?
Lif berhenti di aras tiga. Pintu terbuka luas. Maissa
dan Shad saling berpandangan. Shad dengan debaran di
dada, Maissa pula masih dengan muka selambanya. Selamba,
selamba jugak... satu badan pun dah berpeluh sebenarnya.
“May, kita kena turun sekarang,” kata Shad tanpa
pedulikan apa-apa lagi. Dia menekan butang untuk menutup
pintu lif itu tapi tidak berjaya. Pintu itu seolah-olah terbeku
dengan sendirinya. Shad mencuba lagi dan lagi, tetap gagal.
Maissa jongket bahu ke arah Shad dengan isyarat
mata ‘don’t blame me!’.
“Jom,” ajak Maissa dan terus keluar.
“Tunggu kejap!” Shad menarik lengan Maissa
membuatkan gadis itu berpaling.
“Apa lagi?” Maissa menjegilkan matanya. Buang
masa betullah berdebat dengan mamat ni.
Shad cuba untuk bersuara tapi kata-katanya tersekat
di kerongkong apabila dia terpandangkan sesuatu di luar lif,
sedang berdiri tegak merenung ke arahnya, seluruh badan
dibaluti kain putih dari atas sehingga bawah. Shad tertelan
liur. Peluh terasa mengalir menuruni badannya. Wajahnya
bertukar pucat lesi. Jantung seolah-olah sudah luruh ke
lantai lif.
Maissa mengerutkan dahi melihat reaksi Shad.
Macam nampak hantu.
Hantu? Spontan Maissa berpaling. Sama seperti
Shad, dia juga terpanar melihat ‘makhluk’ itu. Cuma bezanya,
Shad terkejut sampai nak terkencing, dia pula rasa teruja.
Akhirnya...
Sehinggalah ‘makhluk’ itu mula bergerak
menghampiri mereka.
Shad menekan butang untuk menutup pintu
beberapa kali. Masih tidak berfungsi. “May! Apa nak buat ni?”
Daripada teruja, Maissa sudah mula rasa jantungnya
hampir melompat keluar. Dia menekan-nekan semua butang
di tepi pintu lif itu, termasuklah butang kecemasan. ‘Makhluk’
itu semakin lama semakin mendekat, Shad sudah bersedia
untuk menjerit kuat, namun pintu akhirnya tertutup rapat.
“Fuh!” Shad tersandar pada dinding, tangan
mengesat peluh di dahi. Wajah yang pucat sudah mula dapat
warna. Jantung yang jatuh tadi sudah masuk semula ke
dalam badan dan kembali berfungsi dengan baik. Ini semua
memang kerja gila. Sumpah, malam ni dia tak akan dapat
tidur sampai pagi. Namun dia terkejut apabila terdengar tawa
Maissa. “Seriously?”
“What?” tanya Maissa dengan muka tak bersalah.
“How can you laugh?” Shad tak puas hati. Dia dah
hampir nak lari terjun bangunan, tapi boleh pula Maissa
gelak macam baru lepas tonton filem komedi.
Maissa jongket bahu, masih dengan muka tak
bersalah. Baginya, apa yang baru berlaku merupakan satu
pengalaman yang sangat berharga. Sudah lama dia menunggu
masa untuk melihat pocong sebutan ramai pelajar itu,
akhirnya impian menjadi kenyataan juga.
Lif bergerak turun. Maissa dan Shad menoleh ke tepi.
Huruf G menyala. Kemudian masing-masing berpandangan.
“Guard!” jerit Shad. Satu lagi ‘bala’!
Maissa pantas menekan butang nombor 1. Lif itu
berhenti mengejut, pintu terbuka. Maissa berlari keluar,
diekori Shad dengan laju dari belakang. Apabila membelok
untuk ke arah tangga, mereka terdengar pula derap tapak
kaki bersama bunyi kunci. Memang betul-betul ‘bala’!
“Ikut sini!” Maissa berlari ke arah sebuah bilik kuliah
yang tidak berkunci.
Shad tiada pilihan melainkan mengikut saja. Dia
masuk ke bilik itu. Maissa merapatkan pintu semula dalam
gerakan perlahan, tidak mahu ada pengawal yang perasan
bilik itu tidak berkunci. Kalau ada pengawal yang ‘tolong’
kuncikan, bermalam di situlah nampaknya mereka.
“Syhh...” Maissa memberi isyarat supaya Shad diam.
Dia duduk mencangkung di tepi pintu, Shad pula duduk di
sebelahnya.
Shad menarik nafas dalam-dalam. Seumur hidup,
inilah kerja paling gila yang dia pernah buat. Lagipun sejak
kenal Maissa, apa aje perkara normal yang dia buat?
Seorang pengawal berjalan melepasi pintu bilik kuliah
itu. Maissa memandang jam tangannya, mencongak-congak
sendiri dalam kepala.
“Macam mana kalau po... Miss P tu panggil
kawan-kawan dia dan cekup kita kat sini?” tanya Shad
dalam nada berbisik. Takut juga kalau sebut ‘pocong’ karang
tiba-tiba dia muncul depan mata, mana lagi nak lari?
“Right now I’m more concerned about the guards
outside,” balas Maissa.
Shad mengeluh. “Sampai bila nak duduk sini?”
Maissa mengangkat tangan, meminta supaya Shad
diam. Satu... dua... tiga...
“Jom,” ajak Maissa.
Shad turutkan saja.
Maissa mengintai dari pintu. Line clear. Kemudian
perlahan-lahan dia keluar sambil memberi isyarat kepada
Shad supaya mengikutnya. “Kita guna tangga,” arah Maissa,
masih berbisik.
Shad ikut saja tanpa suara. Kalau dia keluarkan
suara lagi, tentu mereka akan bergaduh lagi dan tentu
pengawal-pengawal yang meronda akan dengar. Mereka
menyusup keluar dari pagar belakang, terus ke arah kereta
Shad yang terparkir di situ.
“Tolonglah berhenti buat kerja-kerja gila ni. Kalau
jadi apa-apa tadi macam mana? Kalau pintu lif tu tak dapat
tutup sampailah Miss P tu masuk lif, awak nak buat apa?”
“Dia tak masuk, kan? Itu yang penting.” Maissa
tayang muka selamba. Rimas betul dengar mamat tu
membebel. “Pergilah balik sana. Penakut betul awak ni.”
Terjentik amarah Shad dengar baris ayat terakhir
itu. “I’m sorry, I was just trying to save both of our lives.”
“I don’t need saving!” Nada suara Maissa meninggi.
Renungan Shad dibalas berani. Wajahnya bukan saja serius,
tapi juga tegang. Tapi di sebalik ketegangan itu, ada satu jalur
perasaan terbias dari sepasang matanya, yang tidak dapat
diungkapkan dengan kata-kata.
“So what? You got a death wish?” Shad kekalkan
nada suara rendahnya.
“Don’t talk to me about death,” balas Maissa perlahan
lalu terus berpusing dan melangkah pergi.
Shad mengeluh berat. Dia tak faham apa masalah
Maissa. Dia cuba untuk faham, tapi Maissa terus-terusan
membina dinding yang tinggi dan konkrit antara mereka
sampaikan dia tak boleh tembus masuk langsung.
Satu yang dia pasti, Maissa memang ada menyimpan
satu kisah pahit yang pernah berlaku dalam hidupnya.
Renungan dalam sepasang matanya penuh duka. Mungkin
kisah pahit dan kedukaan itu juga yang menjadikan siapa diri
dia sekarang; memberontak, tapi sebenar-benarnya, broken
dan lost.

*KELUARAN OGOS 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN

No comments:

Post a Comment