DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 21 August 2017

Mahkota Kertas - Bab 4

SHAD melilaukan mata ke sekitar kafe yang
terletak di antara dua fakulti, mencari seraut wajah. Tiada di
mana-mana. Dia tiada apa-apa maklumat yang jelas tentang
Maissa kecuali namanya. Itu pun cuma sepotong nama, bukan
nama penuh dan tanpa nama ayahnya. Dia tidak tahu gadis
itu belajar kursus apa, umur berapa, siapa rakan-rakannya.
Jadi, macam mana nak cari?
Tidak ramai pelajar yang ada di kampus hari Ahad
begitu, mungkin ada beberapa antara mereka yang perlu
menyiapkan tugasan di perpustakaan. Shad menegur salah
seorang gadis yang sedang melangkah mendapatkan pintu
kafe. Gadis itu nampak lebih kurang sebaya Maissa, jadi
mungkin dia tahu apa-apa tentang Maissa. Kalau pun gadis
itu tak kenal siapa Maissa, mungkin dia boleh tolong Shad
untuk bagi maklumat tentang sesiapa saja yang mungkin
kenal Maissa.
“Hai,” tegur Shad dengan senyuman manisnya. Nak
minta tolong muka kenalah manis.
Gadis itu menjongket kening ke arah Shad.
Langkahnya terhenti di depan pintu. “Hai...” Dia membalas
dengan senyuman manisnya juga. Teruja apabila ada lelaki
sekacak itu tiba-tiba menegur.
“Saya Shad.” Shad memperkenalkan diri.
“Milla,” balas gadis itu. Sempat hujung mata
memerhatikan lelaki itu dari atas hingga ke bawah. Baunya
wangi tak usah cakap, boleh tergugat jantung dibuatnya.
“Hmm... saya nak tanya sikit boleh?” Shad
memulakan, cuba memainkan charmnya di depan gadis itu.
Yakin dengan cara itu dia akan dapat jawapan dengan lebih
mudah.
“Tanya apa?” Milla berpeluk tubuh dengan gaya
manja.
Shad senyum dalam hati. “Awak kenal... Maissa?”
tanya Shad. “Saya tak pasti dia belajar kursus apa...”
“Maissa the ghostbuster?” teka Milla. Sepanjang dia
belajar di kampus itu, cuma ada seorang perempuan bernama
Maissa yang dia kenal.
Shad terdiam, keningnya terjongket tinggi. “Ghost...
ghostbuster?”
Milla mengeluh, bosan mendengar nama itu. Hilang
senyuman manis dan gaya manjanya tadi, digantikan dengan
riak wajah yang jengkel dan menyakitkan hati. “Don’t tell me
you’re on her ghost team.”
Shad tahan gelak. Jadi Maissa memang dikenali
dengan kisah-kisah hantunya? Patutlah gadis itu nampak
yakin aje beritahu yang dia sedang cari hantu semalam. “Tak,
saya cuma ada hal nak tanyakan dia. Ghost business.” Shad
mengawal riak wajahnya, walaupun sumpah dia rasa nak
gelak kuat-kuat.
Milla menepis rambut panjangnya ke belakang. “Dia
biasanya ada kat bawah tangga dia tu.”
“Bawah tangga?” Berapa banyak sifat pelik
perempuan tu ada sebenarnya? Makin membuatkan Shad rasa
nak kenal betul dengan Maissa.
“Bawah tangga fakulti akaun, paling hujung sebelah
kanan. Awak boleh cari dia kat situ,” jawab Milla. “Okeylah,
bye.” Dia terus keluar dari kafe tanpa mempedulikan Shad
lagi. Tak kiralah hensem tahap mana pun, kalau orang itu ada
kaitan dengan Maissa, dia memang langsung tidak berminat.
Shad memerhati langkah Milla dengan mata
terkelip-kelip. Tingkah gadis itu seolah-olah antara dia dan
Maissa, ada satu kisah yang terkumpul dan menjadi kudis.
Bad blood, kata orang putih.
Shad menuju ke arah tangga Fakulti Perakaunan
sebelah kanan, seperti yang diberitahu Milla. Sampai di
bawah, dia menjenguk ke bawah tangga. Jelas Maissa sedang
duduk di situ, bersila di atas bangku, laptop di atas ribanya.
Shad tersenyum kecil. Gadis itu didekati.
“Assalamualaikum,” ucap Shad sambil duduk di
sebelah Maissa.
Maissa mengangkat muka ke sisinya. Salam itu
dijawab perlahan. Mamat ni lagi. Apa pulak dia buat kat sini?
“Janganlah pandang saya macam tu. Saya bukan
hantulah...” gurau Shad. Sama seperti Maissa, dia ikut bersila.
“What do you think you’re doing?” tanya Maissa
serius. Lagak lelaki itu macam mereka sudah lama kenal
dan berkawan. Padahal dia langsung tak kenal mamat ini
siapa. Nama pun dia tak tahu dan tak ingin nak ambil tahu.
Penyibuk betul.
“Sitting,” jawab Shad dengan muka selamba.
Maissa menjeling. ‘Nak meloyar buruk pulak...’
Shad simpan senyum, mata melirik ke arah skrin
laptop Maissa. Satu artikel terpampang di skrin dengan tajuk
besar ‘HOW TO KILL A GHOST’.
“Saya ada hantu kalau awak nak bunuh,” kata Shad.
Maissa menoleh ke arahnya.
“Semalam, saya tengok dalam filem Insidious. Boleh
tahanlah,” cerita Shad, masih selamba.
Maissa rasa macam nak hempuk kepala mamat itu
dengan laptopnya. “Ingat kelakar ke?”
Shad ketawa akhirnya. “Kenapa awak ni serius
sangat eh? Cuba relaks-relaks aje, enjoy life macam saya ni.”
“Tak minat.” Maissa kembali fokus ke skrin.
Shad tersenyum-senyum. “Okey, kalau macam tu
apa yang awak minat?”
Maissa tidak menjawab. Soalan Shad dianggap
macam angin lalu saja. Pasangan bercinta yang sedang
berjalan melintasi mereka pula dianggap sebagai daun yang
terbang ditiup angin yang sama.
“Hantu?” teka Shad. “Do you want to hunt?”
Maissa berpaling semula ke arah Shad. “Kalau
awak nak buat lawak bodoh lagi sekali, sorry, saya lagi tak
berminat.”
“Tak, tak. Ini bukan lawak bodoh. Betul ni, kalau
awak nak buru hantu, saya nak ikut,” ujar Shad. Dia teringin
sangat nak tengok wajah serius itu dihiasi senyuman, mesti
lagi comel. Walaupun itu bermaksud dia perlu ikut Maissa
the ghostbuster pergi memburu hantu, macam yang selalu
ditonton dalam filem Inggeris.
Maissa menutup laptopnya. Memang dia pantang
kalau ada orang cuba mencabar apa yang ditegakkan dalam
hidupnya dan andai dengan menunjukkan kepada lelaki itu
sendiri bahawa dia tidak bergurau akan mengubah pandangan
lelaki itu, dia sanggup lakukan apa saja.
“Fine. Awak rasa benda ni bodoh, kan? Saya boleh
buktikan yang benda ni tak bodoh.”
“Fine.” Shad membalas tenang, bahu diangkat
sedikit. “Bila?”
“Malam ni, kat sini, pukul 12,” balas Maissa.
Shad tersenyum kecil. Maissa betul-betul serius.
“Okay, I’ll see you tonight,” jawabnya tanpa berfikir panjang.
Maissa menyimpan laptop ke dalam beg lalu terus
bingkas untuk beredar dari situ.
“Maissa!” panggil Shad sebelum gadis itu menjauh.
Maissa menoleh.
“Saya nak kena bawa apa-apa tak? EMF ke? Garam
ke? Pistol, senapang?”
Maissa menjeling tajam dan terus berjalan laju.
Shad tergelak sendiri. Kalau itu yang perlu dilakukan
untuk lebih mengenali gadis itu, dia sanggup. Cari hantu?
Apa ada hal.

HAMPIR TERLEPAS lampu suluh dari tangan dek kerana
terkejut dengan cuitan di bahu. Shad mengurut-urut
dadanya, nafas terasa semput. Kalaulah bukan sebab dia tak
berapa percaya dengan kewujudan hantu di kawasan fakulti
itu, memang dah lama dia lari lintang-pukang.
Maissa menahan gelak. Nasib baiklah keadaan di situ
gelap, jadi lelaki itu tidak nampak reaksi wajahnya. Hilang
terus macho Shad bila terkejut.
“Awak ni tak reti bagi salam ke? Saya tahulah kita ni
nak cari hantu, tapi janganlah perangai pun nak jadi macam
hantu,” bebel Shad, tangan masih mengurut-urut dada.
Mengenangkan kawasan di situ gelap-gelita dan sunyi tanpa
satu bunyi pun, dadanya jadi kecut tidak semena-mena.
“Jangan bising boleh? Nanti hantu lari,” kata Maissa
lalu mula melangkah menjauhi Shad.
“Hantu lari? Hantu tu ada kaki ya?” Sengaja Shad
buat lawak bodoh sambil mengikut langkah Maissa.
Maissa meletakkan jarinya di atas bibir. “Diam, nanti
guard dengar.”
“First, kita ni dah buat kerja luar alam dengan cari
hantu. Kedua, kita dah melanggar peraturan sebab ada kat
fakulti selepas pukul 11 malam.”
“Rule adherer, huh?” Maissa menyuluh lampunya ke
muka Shad dengan wajah selamba, jelas-jelas memerli.
Shad tayang muka kayu. Matanya pula dikecilkan
menahan silau lampu Maissa. ‘Yes, rule breaker!’ Hatinya
menjawab geram.
“Let me tell you a secret about living a joyful life,”
kata Maissa dengan nada berbisik. “First, break the rules
when it’s needed.” Kemudian dia berpusing ke depan semula.
“Joyful, huh? I’ve never seen you smile even once.
That’s what you call joyful?” balas Shad selamba. Apabila
kena masanya, dia boleh jadi lelaki paling sweet yang Maissa
pernah kenal. Tapi kalau dah kerja Maissa asyik nak menyindir
dan memerli, dia pun boleh jadi sinis.
Maissa berhenti berjalan. Liurnya ditelan, cuba
menyabarkan hati. Lelaki itu tak kenal siapa dirinya yang
sebenar, tapi sudah memandai-mandai menilai sendiri.
Apa, kalau tak senyum, maksudnya tak gembira ke? Kalau
tak ketawa, maksudnya tak bahagia? Siapa yang tetapkan
undang-undang macam itu dalam hidup ini?
“So what’s the second rule?” tanya Shad, sedar
yang dia sudah menjentik sesuatu yang tidak sepatutnya dia
jentik. Sekarang kan dia dalam proses mengenali Maissa.
Karang belum sempat kenal betul, Maissa dah lari seribu batu
jauhnya.
Gadis itu bukannya tipikal gadis biasa, yang apabila
berkata; “pergilah, jangan datang lagi,”; sebenarnya membawa
maksud; “datanglah balik, pujuk aku semula.” Maissa ini
jenis yang apabila dia kata; “pergilah, jangan ganggu aku,”;
membawa maksud; “pergilah, jangan ganggu aku,” yang
sebenar-benarnya.
Maissa menjeling ke wajah lelaki itu. “Kill a ghost.”
Kemudian dia terus berjalan.
Shad tersenyum senget. Langkah Maissa dituruti.
Dari aras bawah, mereka memanjat tangga untuk ke aras
tiga menggunakan tangga paling hujung di sebelah kanan.
Lampu suluh masing-masing mengiringi langkah mereka.
Kalau Maissa guna lampu suluh supaya dia dapat lihat dengan
jelas dalam kegelapan itu, Shad pula guna lampu suluh
untuk pastikan tiada ‘benda’ lain yang mengikut mereka dari
belakang.
“Boleh saya tanya soalan?” Shad memecah sunyi
selepas beberapa minit tanpa suara antara mereka.
“Awak dah tanya pun tu,” jawab Maissa. Sampai di
aras tiga, lampu suluhnya dihalakan ke setiap penjuru.
Shad tersengih kecil. “Mana awak tahu kat sini ada
han... Miss H?” Walaupun dia masih skeptikal tentang subjek
‘hantu’, menyebut perkataan itu di mulut sendiri terasa
seram pula.
“Saya selalu dengar pelajar kat sini bercerita. Itu
belum kira ada yang nampak lagi.” Maissa mengeluarkan
kameranya dari beg.
“Kamera awak tu boleh tangkap Miss H eh?” tanya
Shad lagi. Panjang leher mengintai ke arah skrin kamera itu.
Maissa malas layan. Dia berjalan di tengah-tengah
laluan bilik-bilik kuliah dengan kamera terhala ke depan.
Butang kecil di atas kameranya ditekan beberapa kali sambil
menghalakan kamera itu secara rawak di sekitarnya. Shad
hanya mengikut di belakang dengan kerut di dahi, masih tak
yakin yang mereka akan jumpa hantu di situ.
Namun langkahnya terhenti apabila perasan ada
satu kelibat putih melintas dengan laju di depan mereka.
Sepasang matanya membulat luas, air liur yang cuba ditelan
seakan-akan tersekat separuh jalan di kerongkong, tapak
kakinya bagaikan dipaku di lantai.
“Mai... Maissa...” Suaranya perlahan, berbisik.
Bibirnya pucat. Seluruh wajah dah rupa zombie ketagihan
otak. Jantung berdegup laju mengepam darah, tapi dia rasa
macam darah tu langsung tidak masuk dalam setiap salur
darahnya.
Maissa menoleh. Asalnya dia ingat Shad nak buat
lawak bodoh lagi, tapi apabila melihat wajah lelaki itu berubah
pucat dengan dahi yang basah dengan peluh, dia jadi hairan.
“Kenapa?”
“Awak... tak nampak ke... tadi?” Shad tertelan liur.
Mungkin keputusan untuk ikut Maissa ke situ merupakan
satu keputusan yang silap. Mulalah dia rasa macam nak
tampar mulut yang celopar sangat bergurau tadi. Kan dah
nampak betul. Walaupun dia masih tak pasti sama ada betul
atau tak itu hantu, dia tak boleh pandang remeh apa yang
baru melintasi ruangan matanya tadi.
“Nampak apa?” tanya Maissa sambil mendekati Shad.
Mata Shad masih terpaku ke depan, sekali pun tidak berkelip.
Maissa menggawang-gawangkan tangannya di depan mata
Shad. Dah bertukar jadi patung ke apa ni?
“Tadi... ada kelibat putih...”
Maissa menegakkan badan dan kepala memandang
Shad. “Awak nampak? Kenapa tak panggil saya awal-awal?”
“Awak gila ke apa? Nak sangat nampak hantu?” Shad
sudah mula menggelabah. Ketar kepala lutut dibuatnya.
Matanya dipejamkan, sebelah tangan mengurut dahi.
Maissa tahan senyum. Kamera dihalakan ke
belakang dan dengan pantas menekan punat kameranya.
Klik! Kemudian dia berpaling ke arah Shad semula. “Kalau
betul ada hantu, kita akan nampak.”
“Kita?” Shad mengesat peluh di dahi. “No way. Saya
nak balik.” Baru nampak kelibat putih sekali dia dah rasa
macam kena sampuk. Nak duduk lagi lama-lama kat situ
memang taklah.
Maissa tersenyum lucu melihat Shad yang kalut
melangkah ke arah tangga. Dia mengikut dari belakang. “Tadi
macam hebat sangat, rupanya penakut.”
Shad buat-buat tidak dengar. Biarlah Maissa nak kata
apa pun, dia lebih mementingkan keselamatan diri sendiri
dan juga gadis itu. Jadi lebih baik mereka pulang sebelum
terjadi perkara yang tidak sepatutnya. Sampai di aras paling
bawah, dia terus berjalan laju untuk ke tapak parkir.
Maissa mengikut dari belakang bersama senyuman
kecil di bibir. Mukanya mencemik, mengajuk cara lelaki itu
tadi. Kelakar betul mamat ni. Konon macho sangat. Nampak
hantu sekali, terus nak terkencing.
Sampai di kereta, Shad menoleh semula. Pucat pada
wajahnya sudah berkurang, tapi itu bukan gerenti yang dia
boleh tidur dengan tenang malam ni. “Awak tak nak balik ke?”
Maissa jongket bahu. “Nak tidur kat sini. Manalah
tahu ada hantu yang tiba-tiba decide nak join saya.”
“Haha, funny,” balas Shad sarkastik. Wajahnya
menegang.
Maissa ketawa akhirnya. Gelak terlepas tanpa dia
sedar, padahal itulah yang paling dia cuba untuk elak. Perkara
terakhir yang dia mahu berlaku; Shad menangkapnya secara
off guard. Tapi ternyata dia gagal belum pun sampai sejam
mereka habiskan masa bersama.
Shad terdiam. Kali pertama melihat wajah yang selalu
serius itu dihiasi senyuman. Mungkin itulah satu-satunya
perkara yang berikan Maissa kegembiraan; hantu.
Perasan renungan mata Shad, Maissa pantas
mengalihkan pandangan, berdeham untuk membuang sisa
tawanya. Hujung jemari kanannya menyelak rambut yang
menutup dahi.
“Awak duduk hostel ke?” tanya Shad, mengubah
topik. Risau juga kalau-kalau apa yang ada di hati terus
terbias pada wajah.
Maissa menggeleng. ‘Topeng’ seriusnya ditampal
semula pada muka.
“Kalau awak nak balik, come, saya hantarkan,”
pelawa Shad. Tak sedap pula membiarkan Maissa balik sendiri
malam-malam begitu.
Maissa menggeleng lagi. Lepas apa yang berlaku
seminit yang lepas, dia tak rasa dia boleh duduk berdua dalam
kereta dengan Shad. Itu namanya satu ‘penyeksaan’.
“Tak apa, saya tahu jalan balik sendiri.” Maissa sudah
bersedia untuk melangkah pergi apabila Shad menghalang
laluannya.
“Dah lewat ni, awak tak takut ke?”
“Nak takut apa? Hantu? Jangan risau. Diaorang
semua kawan baik saya,” jawab Maissa selamba.
“Saya serius,” balas Shad, menekan suaranya.
Bergurau, bergurau juga. Tapi waktu-waktu macam ni tak
elok bergurau, apatah lagi selepas apa yang dia nampak
dengan matanya sendiri tadi. “Jom, saya hantarkan.” Shad
mencuba lagi.
Maissa diam. Selama 23 tahun dia hidup, dia sudah
terbiasa buat semua benda sendiri. Dia ada seorang ayah,
tapi dia tiada ayah yang menasihati anaknya, “Don’t talk
to strangers”, atau “Jangan pernah terima pelawaan lelaki
untuk naik kereta”. Jadi kalau pun dia terima pelawaan Shad,
dia tahu ayahnya tidak akan peduli.
Dua, tiga saat berdiri di situ, dia akhirnya mengalah
juga.
Perjalanan ke rumah Maissa hanya ditemani dengan
lagu-lagu dari radio. Cuma sesekali Shad bersuara apabila
perlu bertanyakan arah mana yang perlu dilalui. Maissa pula
hanya menjawab dengan isyarat tangan.
“Ni rumah awak?” Shad berhenti di depan sebuah
rumah banglo. Warnanya tak dapat dipastikan sebab keadaan
sekeliling yang gelap. Liar matanya memerhatikan apa-apa
saja yang boleh dijadikan tanda supaya kalau dia datang
lagi lain kali, dia boleh cari rumah yang sama tanpa sesat di
tempat lain. Dia nampak pokok-pokok bunga yang menghiasi
laman rumah di sebelah rumah Maissa. Itu pun sudah cukup.
“Yup.” Maissa menolak daun pintu.
“Muka tak happy aje balik rumah,” gumam Shad
perlahan. Dia perasan ada satu garis duka di sebalik ‘topeng’
serius yang dipakai gadis itu.
Maissa menjeling tajam. Sekali lagi Shad menilai
tanpa tahu hujung pangkal. “Kalau awak nak tahu, dalam
rumah saya ni pun ada hantu tau? Lagi scary daripada yang
kat kampus tu.”
Shad tergelak. Jawapan Maissa selalu selamba,
buatkan dia rasa tak kering gusi berbalas cakap dengan gadis
itu. “Hantu tu ada jantina tak?”
“Ada, perempuan. Perangai dia annoying, sama
macam awak. Awak ada kembar hantu yang terpisah ke masa
kecik-kecik dulu?” Muka Maissa masih selamba.
Makin kuat Shad gelak.
Sebelah kaki sudah mencecah jalan tar apabila
Maissa menoleh semula. “Nama awak apa?”
“Eh, hantu ada nama ya?” Shad masih tak puas
mengusik.
“Fine. I’ll just call you... vampire.”
“Probably the most handsome vampire you’ve ever
met,” balas Shad tenang.
Maissa keluar dan terus menutup pintu kereta.
Tanpa memandang ke arah Shad lagi, apatah lagi ucapkan
terima kasih, dia terus masuk ke dalam kawasan rumah.
Semakin dekat dengan pintu utama rumah, semakin
perlahan langkahnya. Kalaulah ada tempat lain yang boleh
dituju dan boleh untuk dia menumpang tidur malam itu, dia
sanggup pusing semula. Tapi dia tiada pilihan, terpaksa juga
melangkah masuk dengan hati yang berat.
Shad masih di situ, tersenyum tidak sudah-sudah.

No comments:

Post a Comment