DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 21 August 2017

Mahkota Kertas - Bab 3

“26 years-old and still don’t know how to hit
on a girl,” bebel Shad sambil mengikut Amar dari belakang.
Sanggup pula tu masuk ke dalam semak sebab nak mengintai
seorang perempuan.
“Syhhh!” Amar meletakkan jari telunjuknya di atas
bibir, amaran supaya Shad diam.
Shad buat muka. “Kita nak buat apa kat sini
sebenarnya?” Suaranya direndahkan.
“Tu...” Amar menuding jari ke arah sebuah rumah
dua tingkat berwarna putih. “Itulah rumah Rafanda.”
“Rafanda?” Oh, jadi itulah nama perempuan yang
diminati Amar sangat. Apa ke bagusnya menghendap rumah
anak dara orang dalam semak macam ni? Kalau tertangkap
macam mana?
“Yup.”
“Habis tu kita buat apa dalam gelap macam ni?”
“Kau diam ajelah, tunggu aje.” Amar fokuskan mata
ke arah rumah itu. “Satu... dua... tiga...”
Shad kerutkan muka. Pipi ditepuk kuat apabila
terasa seekor nyamuk hinggap di situ.
“Empat... lima...”
Pintu rumah dibuka dan seorang gadis melangkah
keluar. Sebuah buku kemas dalam pegangannya. Dia berjalan
ke arah gazebo di tepi rumah dan duduk di situ. Lampu
dinyalakan lalu dia mula membaca sambil menyandar tenang.
“Comelkan dia?” Amar tersenyum sendiri, terasa
macam ada bunga api berdentum-dentum dalam dadanya.
Shad tergeleng-geleng sambil menahan gelak.
“Patutlah kau selalu hilang malam-malam kebelakangan
ni. Ini kerja kau rupanya? Kalau bapak perempuan tu tahu,
mahu tercabut hidung kau dikerjakannya.”
“Sebab tulah aku nak minta pertolongan kau,”
sangkal Amar.
“Tolong apa?”
“Tolong tegur dia.” Amar tersengih.
Jari telunjuk Shad terhala ke muka sendiri dengan
riak wajah tidak percaya.
Amar mengangguk-angguk laju.
“Apasal aku pulak? Kau yang nak mengurat dia.”
Shad tak puas hati. Memanglah tegur perempuan bukan satu
masalah besar untuknya, tapi nak tegur untuk orang lain itu
yang jadi masalah. Kalau perempuan tu tersuka kat dia, tak ke
naya jadinya? ‘Heh, sempat lagi perasan kau, Shad.’
“Alah pleaselah... Kau kan pandai ayat perempuan.
Bukan macam aku ni, depan perempuan aje terus bertukar
jadi kayu. Please... Please...” Amar menggosok-gosok
kedua-dua tapak tangannya, merayu.
Shad mengeluh berat. Ini yang lemah kalau orang
dah merayu ni.
“Kau ingat lagi tak dua bulan lepas masa kau keluar
dating sampai lewat malam, lepas tu kau takut kena marah
dengan umi, kau minta aku tolong coverkan untuk kau. Kau
cakap kau hutang aku satu. Sekarang nilah masanya untuk
balas balik,” tekan Amar bersungguh-sungguh.
Apa saja dia sanggup lakukan asalkan Shad setuju
tolong dia. Kalau dia perlu ungkit benda yang terjadi masa
mereka berdua berhingus lagi pun dia sanggup.
Shad merengus. Tiada jalan lain, terpaksalah dia
buat juga. “Aku nak kena buat apa?”
“Senang aje. Kau pergi dekat pagar rumah dia, lepas
tu kau tegur dia. Kau buat-buatlah tanya arah rumah ke apa.”
“Lepas tu?”
“Kau ucap thank you, lepas tu minta nombor phone.
Senang aje, kan?”
“Kalau senang apasal kau tak buat sendiri aje?” bebel
Shad tak puas hati. Buat rancangan pandai, nak laksanakan
rancangan memang tak boleh harap.
“Please... please...” Amar merayu lagi. Dia tahu Shad
memang selalu kalah dengan rayuannya. ‘Bromance’ antara
mereka lebih penting daripada segala-galanya.
Shad berdecit. “Yalah, yalah. Kau hutang aku satu.”
“Aik?” Amar tak puas hati.
“Ah, aku tak kira.”
“Fine!” Amar mengalah.
“Tapi kalau aku kena cekup, aku heret kau sekali,”
ugut Shad.
“Tak ada hal, bro,” balas Amar bersama peluh di dahi.
Hati berdoa moga janganlah Shad tertangkap.
Shad melangkah keluar dari semak itu terus ke arah
pagar rumah Rafanda. Bukan tiada debar di dada, tapi dia
cuba berlagak tenang. Dia berhenti di depan pagar, mengintai
terus ke arah Rafanda. Ini kalau dia yang kena tangkap,
siaplah Amar. Dia berdeham sekali sebelum mengetuk pagar
kayu itu. Karang kalau bunyikan loceng, satu rumah pula
yang sedar.
“Assalamualaikum.”
Rafanda mengangkat muka dari bukunya. Dahinya
berkerut melihat seorang lelaki di luar pagar. Seliparnya
disarung lalu mendekati pagar. “Waalaikumussalam. Ya?”
Shad berdeham lagi. “Saya sebenarnya sesat ni. Nak
tanya arah jalan, boleh?”
Rafanda mengangguk tanpa syak. “Awak nak ke
mana?”
“Ke mana? Hmm...” Alamak, lupa pula nak tanya
kat Amar tadi. Amar pun satu, bagi arahan tak jelas. “Rumah
nombor... 143?” Belasah sajalah.
Faham maksud nombor itu, Rafanda hanya
tersenyum. 143 yang membawa maksud ‘I love you’?
“Maaflah, saya tak pernah nampak pulak rumah
nombor macam tu.”
“Not even 1433?” Shad mencuba lagi.
‘I love you too?’
Rafanda menahan gelak lalu menggeleng. “Nope.”
“What about... 012-2772720?” Selamba Shad
menyebut nombor telefon Amar. Wajahnya dikerutkan,
berlakon tetap berlakon.
Kali ini Rafanda memang betul-betul gelak.
Amar yang menghendap dari arah semak mula rasa
tidak senang duduk. Risau juga kalau-kalau Rafanda tersyok
kat Shad. Mulalah dia rasa menyesal.
“Hmm... Apa tadi ya? Tak dapat tangkap,” balas
Rafanda.
“012-2772720,” ulang Shad selamba.
Rafanda tersenyum-senyum. “Nanti kejap ya, saya
tanyakan dekat papa saya...”
“Eh, tak apa, tak apa.” Cepat-cepat Shad menahan.
Bala. “Saya pakai GPS aje nanti. Okey, bye. Assalamualaikum.”
Dia melambai kecil lalu terus meninggalkan pagar rumah itu.
Rafanda tergelak kecil, terhibur pula hatinya dengan
tingkah lelaki itu. 012-2772720. Nombor itu diulang semula
dalam hati sebelum kembali ke gazebonya.
Shad masuk semula ke dalam semak tempat Amar
menunggu.
“Amacam? Dapat tak?” tanya Amar tak sabar-sabar.
“Tak. Tapi aku bagi nombor kau kat dia,” balas Shad.
Mata Amar terbuntang luas. “Kau bagi apa?”
Shad tersengih. “Kau boleh ucap terima kasih kat
aku nanti. Dah, jom blah.”
Amar terkebil-kebil melihat Shad menjauh, terasa
macam dalam mimpi.

SENYUMAN MANIS menghiasi bibir masing-masing ketika
bersalaman dan saling berpelukan. Syazani juga terpaksa
memaniskan roman wajahnya, walau dia tahu antara mereka
semua tiada yang betul-betul gembira berjumpa dengannya.
Jantungnya tidak dapat bertenang, risau memikirkan seraut
wajah yang bakal ditatap dalam masa beberapa minit saja lagi.
Tidak semena-mena, muncul satu harapan supaya lelaki itu
tidak datang malam itu.
Namun harapan tidak menjadi kenyataan apabila
kelibat Hanif menyapa ruang matanya. Lelaki itu tersenyum
manis sambil menghulur salam kepada yang lain-lain. Saat
mata mereka bersatu, Syazani rasa macam nak luruh jantung.
Apatah lagi apabila Hanif semakin melebarkan senyuman.
Senyuman itu nampak ikhlas. Ternyata, ibu betul.
Hanif berjalan mendekati Syazani. Syazani cuba
mencari Izza, namun gadis itu sudah hilang entah ke mana,
bergelak ketawa dengan rakan-rakan perempuan yang lain.
“Hai,” tegur Hanif. Senyuman masih tidak lekang
dari bibirnya.
“Hai,” balas Syazani, cuba untuk tersenyum juga.
Tapak tangannya berpeluh, tapi jemari rasa sejuk.
“Saya ingat awak tak datang malam ni,” kata Hanif.
Renungannya lembut ke wajah Syazani.
“Saya pun ingat saya tak datang,” gurau Syazani
spontan. Kamus dalam kepalanya seolah-olah tidak berfungsi
secara tiba-tiba, sampaikan dia tidak tahu apa yang perlu
dikatakan.
Hanif ketawa kecil.
Syazani tersenyum nipis. Lelaki inilah yang dulu
pernah mencipta kisah dongeng dalam hidupnya, yang
kononnya suatu hari nanti mereka akan membina istana
bersama dan mewarnainya dengan cinta yang tidak akan
pudar sampai bila-bila. Tapi, itu sebelum dia tahu yang
Hanif cuma mempermainkannya. Hatinya terluka dan
luka yang disangka sudah sembuh itu seolah-olah terasa
semula kini. Namun senyuman dan tawa Hanif seakan-akan
memberi penawar. Mungkin sudah sampai masanya untuk
dia meletakkan semuanya di belakang dan cuba membina
hubungan persahabatan dengan lelaki itu, tanpa melibatkan
perasaan apa-apa lagi.
“Awak sihat? Saya dengar sekarang dah jadi vet yang
berjaya,” kata Hanif.
“Eh, tak adalah berjaya pun. Biasa-biasa aje,” balas
Syazani.
“Come on, don’t sell yourself short. Saya tahu awak
selalu buat kerja-kerja amal, jadi volunteer dekat zoo, selalu
sertai kempen-kempen untuk bagi kesedaran kepada orang
ramai tentang pentingnya haiwan kat dunia ni,” ujar Hanif.
Dia selalu membaca kisah-kisah sebegitu di surat khabar atau
majalah dan nama Doktor Nurul Syazani antara yang selalu
menjadi sebutan.
Syazani tersenyum segan. Tak sangka, Hanif ikuti
juga perkembangan hidupnya. Atau mungkin juga lelaki itu
suka membaca dan kebetulan bahan bacaan itu ada menyebut
tentang dirinya. “Awak pulak? Buat apa sekarang?”
“Adalah, berniaga sikit-sikit.”
“Now, who’s selling himself short?” balas Syazani.
Dia perasan anak mata Izza yang mencuri pandang ke
arahnya sambil mengangkat ibu jarinya. Dia cuma buat-buat
tidak nampak.
Hanif ketawa kecil. Terkena. “Awak dah makan?”
“Belum.”
“Kenapa tak makan lagi? Jom, kita makan sekali.”
“Err... Sebenarnya, saya tak makan daging,” jawab
Syazani. “I’m a vegetarian.”
“Oh, right.” Hanif terangguk-angguk faham. Syazani
yang dia kenal di sekolah dulu bukan seorang vegetarian.
Mungkin gadis itu sudah berubah sejak mendalami dunia
haiwan. “So, minum?”
Syazani mengangguk. “That’d be great.”
“Okey.” Hanif mempersilakan gadis itu untuk
berjalan dahulu di depannya.

No comments:

Post a Comment