DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 21 August 2017

Mahkota Kertas - Bab 1

LAGU nyanyian Good Charlotte kuat melantun
antara empat dinding di dalam bilik itu. Shad menari dengan
gaya yang dicipta sendiri sambil jari mencalit gel rambut dari
atas meja. Gel itu disapu pada rambutnya di depan cermin,
bibir bersiul-siul mengikut alunan lagu yang sama. Selesai
mengemaskan rambut dan juga baju yang dipakai, dia
menyumbat buku yang diperlukan ke dalam beg, mencapai
kunci kereta dan mematikan lagu dari pemain MP3nya lalu
terus keluar dari bilik.
Ruang tingkat atas rumah teres dua tingkat itu
kosong dan sunyi. Shad berhenti di depan sebuah bilik.
Pintu diketuk kuat mengikut alunan lagu yang didengar
tadi. Apabila tiada jawapan, dia terus memulas tombol. Amar
masih lena di atas katil dengan selimut membalut hampir
seluruh tubuh. Shad masuk ke dalam.
“Amar!” panggilnya sambil memukul-mukul lengan
adik ‘kembar’ angkatnya itu.
Amar bergerak-gerak tapi masih belum membuka
matanya. “Apa?” Masih mamai, suara pun serak.
“Weh, aku ada kelas pagi ni. Malam ni jadi ke tak plan
kau tu?” tanya Shad. Maklumlah, bergelar seorang pelajar
master separuh masa, pada hari minggu begitu sajalah dia
akan ke kelas, hari-hari lain sibuk dengan urusan kerja pula.
Amar mengangguk-angguk dengan mata yang masih
terpejam rapat. Masih tak mahu lepaskan mimpi indah yang
menemaninya sejak lepas subuh tadi. “Jadi, jadi.”
“Okey, tunggu aku balik. Jangan pergi sorang,”
pesan Shad.
Amar mengangkat tiga jarinya sebagai isyarat ‘okey’.
Shad mencapai sebiji bantal lalu menekup muka
Amar dengan selamba. Amar terjerit terkejut. Sebelum
sempat bantal itu terkena mukanya pula, Shad cepat-cepat
lari keluar bersama tawa panjangnya.
Dia turun ke bawah. Umi sedang menghidangkan
sarapan di atas meja.
“Good morning, umi!” tegur Shad ceria.
Robiah tersenyum ke arah anak terunanya yang
seorang itu. “Wangi bukan main, Shad. Berapa botol minyak
wangi pakai ni?”
Shad tersengih, menarik kerusi lalu duduk di depan
umi. “Mana ada, umi. Memang Shad selalu wangi apa?” Meliar
matanya memerhatikan hidangan di atas meja. Seringkas
mana pun makanan yang umi masak, dia tetap akan rasa
teruja dan tidak sabar-sabar untuk menikmati setiap satunya.
Baunya pun dah menyelerakan, belum lagi jamah.
“Yalah tu...” Robiah menjeling. Nasi Goreng Tomyam
disenduk untuk Shad. “Nah, makan ni. Nanti dalam kelas
lapar pulak.”
“Yes, ma’am,” balas Shad lalu menyuap nasi itu ke
mulut.
Robiah menuangkan secawan kopi kepada Shad.
Macam biasa, seperti hari-hari yang lain, Shad wajib ambil
juga sekurang-kurangnya secawan kopi. Bukan tidak pernah
dia menasihati Shad supaya kurangkan pengambilan kopi,
tapi kata Shad, tanpa kopi, otaknya tidak akan mampu
berfungsi dengan baik. Segala-galanya akan jadi lebih baik
dan ceria dengan kopi.
Bak kata Shad, “But first, coffee.”
“Amar tidur lagi?” tanya Robiah. Amar dan Shad
sebaya, jadi kerana itulah hubungan mereka rapat bagaikan
adik-beradik kembar, walau hakikatnya Shad bukanlah anak
yang lahir dari rahimnya. Dia mengambil Shad dari sebuah
rumah anak-anak yatim ketika anak itu berumur lima tahun.
Shad mengangguk. “Malam ni Shad dengan Amar
ada hal tau, umi.” Sempat lagi menjawab dengan mulut
penuh.
“Hal apa pulak ni? Ada-ada ajelah kamu berdua ni.”
Shad tersengih. Sebelah matanya dikenyitkan.
“Adalah...” Kopi dihirup sehingga habis. Dia bangun
menggalas begnya. Pinggan diangkat untuk dibawa ke dapur.
“Tinggal ajelah kat situ, nanti umi cucikan,” tahan
Robiah.
Shad tersenyum, segera tunduk menyalami tangan
umi lalu meminta diri.
“Bawak kereta elok-elok,” pesan Robiah, tidak
pernah jemu.
Shad melambai dari belakangnya. Dia masuk ke
kereta, mengundurkan kereta itu untuk keluar dari kawasan
rumah dan terus memecut untuk ke kampus.

SEMPAT LAGI Amar hantar pesanan ringkas kepadanya
mengingatkan apa yang telah mereka rancangkan malam ini.
Agaknya tadi mamai lagi kut masa dia tanya. Ini tiba-tiba siap
hantar mesej lagi. Kepala Shad tergeleng-geleng. Dia turun
dari kereta sesudah mematikan enjin. Pintu kereta ditutup.
Ketika mendongak, anak matanya menangkap
kelibat seorang gadis sedang berjalan melepasi pintu
pagar fakulti. Penampilan gadis itu ringkas dengan T-shirt
lengan panjang dan jean hitam bersama sling bag, tapi
seolah-olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Gadis
itu tertoleh-toleh ke belakang, seolah-olah memastikan tiada
sesiapa yang mengekorinya.
Shad memerhati penuh minat. Sepanjang dia belajar
di situ, tak pernah sekali pun dia nampak wajah gadis itu di
mana-mana. Pelajar juga ke? Tapi tengok dari gaya macam
penceroboh ada juga. Nak menceroboh apa matahari tegak
atas kepala macam ni?
Kelibat gadis itu hilang di sebalik dinding fakulti
yang membawa laluannya ke arah bilik-bilik pensyarah.
Shad pantas menggeleng-gelengkan kepala, membuang
bayang gadis itu dari fikirannya. Alarm kereta ditekan lalu dia
membawa langkah untuk ke kelas.
Kelas berjalan macam biasa. Doktor Razlan
menjelaskan apa yang patut secara ringkas, kemudian
diteruskan dengan perbincangan dan pembentangan
pendek. Namun bayang gadis yang Shad nampak awal pagi
tadi masih melekat kemas dalam kepala. Dia cuba untuk
tidak hiraukannya, tapi ternyata otaknya sendiri lebih cepat
menyimpan data tentang gadis itu berbanding apa yang
sedang dipelajari dalam kelas.
Tamat kelas, Shad mengikut Doktor Razlan ke
biliknya. Ada hal yang perlu ditanyakan berkenaan tesis yang
sedang ditulis. Rakan sekelasnya Rashid juga ikut sekali.
Sambil mendengar penerangan Doktor Razlan, ekor mata
Shad menangkap kelibat seorang gadis melintas di depan
bilik. ‘Eh, itu bukan ke gadis tadi?’
Disebabkan dia berdiri di depan pintu, Shad
memanjangkan leher untuk mengintai apa yang gadis itu
lakukan. Gadis itu berhenti di depan sebuah bilik pensyarah,
berlutut dan cuba mengintai melalui cermin kaca di tepi.
Memandangkan cermin itu ditutupi tirai, dia tidak dapat
melihat dengan jelas. Shad dapat melihat gerak bibir gadis
itu berdecit. Tersungging senyuman kecil di bibirnya.
Comel.
“Any more questions?” Doktor Razlan bertanya,
memanggil Shad untuk berpaling ke arahnya semula.
Rashid menggeleng sebelum menoleh ke arah Shad
pula. Shad ikut sama menggeleng. Matilah tak faham, lepas ni
terpaksa tanya Rashid semula. Itulah, ralit sangat perhatikan
anak dara orang.
“Thank you, sir,” ucap Rashid.
“Thank you, sir,” ulang Shad sambil menghulurkan
tangan untuk bersalam dengan Doktor Razlan lalu mereka
sama-sama keluar, kemudian menutup pintu.
“Kau okey ke tak? Distracted aje aku tengok,” tegur
Rashid dengan dahi berlapis. Tadi dalam kelas bukan main
semangat nak jumpa Doktor Razlan secara private, sekarang
lain pula reaksinya.
Shad menggaru-garu kepala sambil ketawa kecil.
“Aku? Distracted? Itu rutin harian aku, bro.” Bahu Rashid
ditepuk bersama isyarat ‘setakat distracted tu, no big deallah’.
Rashid ketawa. Dia kenal Shad sejak mereka
sama-sama belajar di kampus itu dalam ijazah sarjana muda
lagi. Setiap kali Shad ‘distracted’, tak lain tak bukan tentu
melibatkan hal orang perempuan. Walaupun Shad sentiasa
kekal dengan imej ‘lelaki baik’ atau ‘decent guy’, tapi dia
tetap terkenal dengan sifat yang suka berkawan dengan
mana-mana saja perempuan yang berjaya menangkap
pandangan matanya.
“Okeylah, aku blah dulu. Apa-apa nanti kau textlah,”
kata Rashid meminta diri. Dan seperti selalunya juga, dia tak
lokek membantu apabila melibatkan hal belajar.
“Okey.” Shad mengangkat ibu jarinya. Sebaik saja
kelibat Rashid menghilang, matanya liar mencari gadis tadi
semula. Masih di tempat yang sama, masih cuba mengintai
ke dalam bilik pensyarah itu. Shad memerhati sekeliling.
Kosong. Dia terus mendekat.
“Ehem.” Dia berdeham sekali.
Terkejut, gadis itu spontan bangun berdiri
menghadap Shad. Matanya membulat, reaksi mukanya
dikawal agar tidak terlalu jelas pucatnya, seolah-olah dia baru
saja ditangkap cuba memecah masuk ke dalam sebuah rumah
banglo yang besar.
Shad menahan senyumannya. “Awak buat apa kat
sini?”
“Tak... tak ada apa.” Gadis itu segera berpaling dan
melangkah pergi. Shad dapat lihat mata gadis itu melirik ke
arah pintu bilik pensyarah yang ‘dihendap’ tadi untuk kali
terakhir sebelum berjalan laju, seolah-olah cuba merakam
apa yang dia nampak supaya dapat dijadikan rujukan apabila
dia datang lagi lain kali.
Tak puas hati, Shad mengikut dari belakang. “Awak
student kat sini? Degree? Tapi buat apa hari minggu macam
ni kat kampus? Takkan ada kelas tambahan kut? Atau kelas
ganti?”
Gadis itu cuma buat tidak dengar dan terus berjalan
laju. Rambut separas bahu yang ditocang satu menjadi
tatapan mata Shad, tanpa suara walau sepatah pun dari bibir
halusnya.
Shad rasa tercabar. Biasanya kalau dia tegur orang
perempuan, belum pun dia cakap sepatah, orang perempuan
yang terlebih dahulu tanya dia macam-macam. Sekarang
terbalik pula. Apa, dia tak cukup hensem ke di mata gadis itu?
“Or should I report you to the Dean for peeping into
a lecturer’s room?”
Dan soalan itu berjaya membuatkan gadis itu
berhenti mendadak. Dia menoleh ke arah Shad dengan
renungan tajam.
Shad membalas dengan senyuman manis. “Care to
speak now?”
Gadis itu menegakkan kepalanya ke arah Shad.
Wajahnya masih serius, malah lebih serius berbanding tadi.
Dia cuma berharap supaya tiada sesiapa yang melalui kawasan
itu sehinggalah dia selesaikan ‘masalah’nya dengan lelaki
yang dia langsung tak pernah nampak seumur hidupnya itu.
“Apa yang saya buat tadi tak ada kena-mengena
dengan awak,” kata gadis itu tegas.
Shad jongket kening, sebelum tergelak kecil.
“Come on, apa yang awak buat kat situ tadi? Cuba nak curi
something?” Sengaja dia memprovoke. Bukan apa sangat
pun, dia cuma nak cari peluang untuk bercakap dengan
gadis itu. Kalau betul pun gadis itu cuba mencuri, dia tak
rasa dia akan laporkan kepada pihak berkuasa macam yang
dikatakannya tadi. Paling tidak pun dia cuma berpura-pura
yang dia tidak nampak apa-apa dan terus pulang ke rumah,
jalani kehidupan macam biasa.
Gadis itu berdecit, rimas dengan tuduhan tidak
semena-mena daripada orang yang dia tidak kenal. “Saya tak
cuba nak curi apa-apa pun.”
“Habis tu apa? Menghendap? Cuba nak tukar carry
mark? Lambat hantar assignment?”
“Awak ni siapa? Pensyarah kat sini ke?”
“Tak, cuma seorang pelajar.”
Gadis itu memandang Shad dari atas ke bawah,
seolah-olah mencari bukti tertulis yang lelaki itu merupakan
pelajar di situ.
“Your super senior,” tekan Shad. Itu pun kalau gadis
itu juga belajar di fakulti yang sama dengannya. Kalau tak
sama, gadis itu tak mungkin ada di fakultinya. Atau mungkin
juga, ada urusan lain yang mahu diselesaikannya. Skandal
dengan pensyarah?
Gadis itu julingkan mata ke atas. Malas melayan, dia
berpaling semula dan melangkah laju.
Shad mengikut lagi. “Nama awak apa?”
“Tak penting untuk awak tahu.”
“Nama aje kut, bukannya minta alamat rumah ke,
nombor plat kereta ke, nombor tiang api rumah ke...”
“Tak kelakar.”
“Eh, saya tak ada buat kelakar pun.”
Gadis itu berhenti lagi dan berpaling merenung
ke arah Shad. Geram dengan tingkah selamba lelaki itu.
Biasanya kalau dia beri jelingan tajam kepada lelaki, memang
lelaki itu tidak akan berani dekat dengannya lagi. Mungkin
yang ini spesies lain. Spesies yang orang tak pernah jumpa.
Mata Shad jatuh ke arah kad pelajar yang tergantung
pada beg gadis itu. “Kan... Maissa?”
Maissa pantas mencabut kad pelajarnya dari beg lalu
menyumbat terus ke dalam beg yang sama. “Look, awak tak
kenal saya, saya tak kenal awak. So please, just go away.”
Shad berpeluk tubuh dengan muka selamba. “Kalau
saya tak nak?”
Maissa mengetap bibir. “Fine. Cuma... tolong, jangan
beritahu sesiapa...”
“Pasal apa?” potong Shad walaupun dia tahu apa
yang Maissa maksudkan.
“Apa yang awak nampak tadi tu, tak sama dengan apa
yang awak fikirkan.”
“Okey, kalau macam tu cuba awak beritahu elok-elok
apa yang awak buat sebenarnya tadi,” pinta Shad masih tidak
mahu mengalah. Kalau ikutkan, dia boleh saja angkat kaki
dan mereka tidak perlu berjumpa lagi. Andai terserempak
di mana-mana, masing-masing boleh buat-buat tidak kenal.
Tapi dia masih belum puas bercakap dengan gadis itu, walau
hakikatnya perbualan itu lebih kepada pertengkaran yang
tiada hujung pangkal.
Maissa berdecit lagi, mula geram dengan mamat
poyo ini. “I was trying to find a ghost.”
Sebaris ayat itu buatkan Shad ketawa berdekah-dekah.
Maissa mengetap bibir, buku limanya dikepal. Ini yang
malasnya nak bercerita dengan orang, apatah lagi orang yang
dia langsung tak kenal. Asyik kena gelak aje.
Malas menunggu lagi, Maissa segera berpusing
untuk pergi. Cepat-cepat Shad menahan dengan berdiri di
depan gadis itu.
“Okey, sorry.” Kedua-dua tangannya diangkat tinggi.
Sisa tawanya masih ada. “Awak bergurau, kan?”
“Apa yang buatkan awak fikir yang saya bergurau?”
tanya Maissa.
“Okey. Pertama, tak ada orang cari hantu waktu
siang, apatah lagi waktu tengah hari macam ni. Kedua, hantu
dalam bilik pensyarah? Seriously?”
“I heard stories. Dah ramai pelajar kat sini yang
ternampak hantu tu.” Maissa mempertahankan dirinya.
“Hantu apa? Pocong? Toyol? Puntianak?”
“Saya tak payah cari puntianak, sebab makhluk tu
dah ada kat depan mata saya sekarang,” balas Maissa berani.
Shad terdiam, namun bibir masih mengukir
senyuman. Ouch.
Maissa menjeling. “Tepilah!” Lengan Shad dilanggar
dengan bahunya lalu melangkah laju menjauhi lelaki itu.
Dia berhenti di depan lif, menekan butang, sempat menoleh
sekilas ke arah Shad sebelum melangkah masuk ke dalam lif
itu. Renungannya penuh amaran ‘jangan cuba-cuba dekat
dengan aku lagi’, kemudian pintu lif terkatup rapat.
Shad hanya membiarkan kali ini, berjanji untuk
mencari gadis itu lagi lain kali. Hari ini tak dapat, esok lusa
ada lagi.

No comments:

Post a Comment