DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 19 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 19

RANGE Rover yang dipandu Zahim mula
meninggalkan pekarangan banglo mewah milik Tan Sri
Mokhtar. Sebelum beredar tadi Puan Sri Yasmin memeluk erat
tubuh Sufi. Malah, wanita anggun itu telah mempelawanya
untuk datang lagi.
“Hai, tersenyum sorang-sorang ni apa hal? Kongsilah
dengan saya.” Zahim melirik pelik ke arah Sufi yang berada
di sebelahnya.
“Tak adalah, saya cuma terbayangkan macam mana
rupa Encik Zahim yang terjerit-jerit takutkan lintah. Kata
terror tangkap ikan kat sawah tapi takutkan lintah. Kelakar
pula saya dengar.” Sufi dah tergelak-gelak.
“Alah, itu masa kecik-kecik. Bila dah besar, mana
ada saya takutkan lintah lagi. Lintah yang takutkan saya tau!”
Zahim cuba membela diri.
“Ya ke? Macam tak percaya aje.” Sufi melirik ke arah
Zahim di sebelah. Nampaknya Zahim sedang menguntum
senyum.
“Encik Zahim!”
Zahim menoleh seketika.
“Apa dia?” Zahim segera menaikkan kening sebaik
sahaja berbalas pandang dengan Sufi.
“Saya rasa bersalah sangat sebab bersubahat menipu
keluarga Encik Zahim.” Sufi mengeluh perlahan.
“Menipu? Maksud awak?” Dahi Zahim berkerut.
“Maksud saya, kita ni hanya berlakon sebagai
pasangan kekasih sahaja. Bukannya betul-betul. Saya rasa
elok Encik Zahim berterus terang dengan mereka bagi
mengelakkan mereka rasa keliru. Encik Zahim hanya nak
mengelak diri dari dijodohkan dengan Cik Dania saja, kan?”
Kali ini Zahim pula yang mendengus perlahan.
“Apa kata kita jadikan lakonan ini satu realiti?”
Tiba-tiba Zahim mengeluarkan pendapat.
“Apa yang Encik Zahim cakap ni?” Sufi benar-benar
terkejut. Tidak menyangka yang Zahim boleh berkata begitu.
“Kalau boleh saya nak awak jadi kekasih saya.
Kekasih yang betul-betul, bukan kekasih olok-olok. Anggap
saja saya melamar awak. Awak setuju?” Zahim memandang
wajah Sufi.
Sufi mula menelan liur. Dia serba salah untuk
menjelaskan hal yang sebenar. Apa anggapan Zahim nanti
kalau Zahim tahu siapa dirinya yang sebenar.
“Saya minta maaf sebab saya tak boleh terima
lamaran tu.” Sufi mengetap bibir. Cuba menahan rasa
bersalah.
“Kenapa? Saya tak layak ke jadi kekasih awak?”
Zahim pamer rasa kecewa.
“Bukan Encik Zahim tak layak jadi kekasih saya tapi
saya yang tak layak jadi kekasih Encik Zahim.” Sufi tunduk
sambil bermain dengan jari-jemari.
“Kenapa awak tak layak?” Berkobar-kobar dada
Zahim menanti penjelasan dari Sufi.
Sufi diam.
“Please, tell me. Awak pun nampak penerimaan
keluarga saya pada awak. Mereka tak kisah siapa awak. Jadi
apa alasan awak tolak lamaran saya untuk jadi kekasih awak
tu!” Nada suara Zahim sedikit keras.
“Saya ada alasan sendiri untuk menolak, saya harap
Encik Zahim faham.”
“Macam mana saya nak faham kalau saya tak tahu
awak menolak saya atas alasan apa. Just tell me, I can
understand!” Zahim mengawal rasa kecewa.
“Encik Zahim betul-betul nak tahu kenapa saya
tak boleh terima Encik Zahim?” Sufi memandang lelaki di
sebelah.
Zahim menelan liur. Dalam diam dia cuba
mengumpul kekuatan agar apa yang dinyatakan oleh Sufi
nanti dapat diterima dengan hati yang tenang.

SELEPAS MENGHANTAR Sufi, Zahim terus memecut
keretanya laju meninggalkan taman perumahan yang disewa
oleh Sufi. Dia memberhentikan keretanya di sebuah tasik.
Tubuhnya disandarkan ke kusyen kereta. Dia perlu tenangkan
hati yang sedang lara buat seketika. Matanya dipejam rapat.
“Sufi serius ke nak kawan dengan Im? Auntie dan
uncle tak kisah siapa pun pilihan Im dan anak auntie yang
lain. Asalkan mereka bahagia. Jangan ingat kami memilih
menantu berdasarkan darjat dan keturunan. Asalkan mereka
pasangan yang serasi, kami terima.” Puan Sri Yasmin
memandang wajah Zahim dengan wajah tenang.
“Habis tu yang mama dan papa beria-ia nak jodohkan
Im dengan Dania tu bukankah sebab harta dan pangkat?”
Zahim sedikit terkejut mendengar kata-kata mamanya.
Puan Sri Yasmin dan Tan Sri Mokhtar saling
berpandangan sebelum bibir mereka mengukir senyum.
“Kalau kami tak buat macam tu, sampai bila-bila
pun Im tetap bagi pelbagai alasan dan sekarang kami
gembira kerana Im dah pilih calon yang sesuai untuk Im dan
kami pun berkenan dengan pilihan Im.” Zahim mengukir
senyum. Dia benar-benar lega mendengar jawapan mamanya.
Rupa-rupanya selama ini dia sudah salah sangka. Buat penat
saja dia mencipta alasan sedangkan baru dia sedar bahawa
orang tuanya tidak pernah kisah siapa pun pilihan dia.
Tapi sayang, apa yang telah dinyatakan oleh Sufi
sebentar tadi telah menghancurkan semua impian dan
angan-angannya.
“Nur Aisyah Sufiya, kenapa awak yang jadi pilihan
saya dan kenapa awak juga tak mampu saya miliki?” Zahim
meraup mukanya beberapa kali. Matanya mula berkaca-kaca.
“Saya minta maaf sebab saya tak boleh terima Encik
Zahim walaupun saya gembira mendengar tawaran dan
lamaran itu.”
“Beritahu saya kenapa awak tak boleh terima saya?
Awak dah ada pilihan lain?” Zahim memandang wajah Sufi
yang mula bertukar keruh.
Sufi tunduk membisu.
“Reaksi awak membuktikan bahawa sangkaan saya
adalah betul.” Zahim mengukir senyum tawar.
“Ya.”
Zahim gelak kecil. Sengaja nak sembunyikan rasa
sebak yang mula bertandang di hati saat itu. Dia lelaki, mana
mungkin nak tunjukkan sikap yang lemah. Dia mesti kuat,
kuat dan terus kuat.
“Sebenarnya saya dah bertunang dua tahun yang
lepas.” Sufi mula berterus terang.
“Oh, jadi saya ni dah jadi pengacau tunang oranglah,
ya?” Zahim tetap buat-buat ketawa.
“Bukan salah Encik Zahim tapi saya yang salah.
Saya tak pernah berterus terang tentang status saya yang
sebenarnya. Saya minta maaf. Saya betul-betul minta maaf
kalau saya dah lukakan hati Encik Zahim.” Sufi masih tunduk.
Tak sanggup menatap wajah kecewa Zahim ketika itu.
Zahim memegang stereng dengan kuat. Nasib baik
mereka sudah sampai ke tempat yang dituju. Kini, mereka
sedang berbual dalam kereta di depan rumah sewa Sufi.
“Siapa lelaki bertuah tu?” Zahim cuba mengawal
nada suara.
“Tunang saya bernama Wan Jazlan bin Wan Mat.
Dia senior saya masa kami sama-sama belajar di sekolah
menengah dulu. Pada awalnya kami hanya kawan biasa.
Tak sangka yang dia menaruh hati pada saya. Kami mula
serius bercinta bila saya masuk universiti. Hubungan kami
dapat restu kedua orang tua. Kami bertunang sebelum dia
menyambung pelajarannya ke US di peringkat sarjana. Majlis
perkahwinan kami akan berlangsung bila dia dah tamat
pengajian dan kembali ke sini. Dan sekarang, saya sedang
menunggu kepulangannya bila-bila masa saja.”
Zahim mengeluh perlahan. Saat itu dia sudah
membayangkan gadis pujaannya sedang bersanding bersama
jejaka lain di atas singgahsana sambil disaksikan olehnya
dengan mata yang berkaca.
Zahim cepat-cepat menyapu air mata yang mula
mengalir di pipinya saat telefonnya berdering.
“Helo.”
“Helo! Im, kau kat mana ni?”
Suara Razif di hujung talian membuatkan Zahim
tersenyum sendirian. Sungguh, dia terlupa akan Razif.
Kalaulah temannya itu tahu gelodak di hatinya, apa nasihat
yang mungkin Razif akan berikan.
“Aku ada kat satu tempat.”
“Kat mana?”
“Adalah...”
Zahim masih mahu merahsiakan di mana dia berada.
Kalau boleh dia mahu bersendirian.
“Kau okey tak ni? Lain macam saja suara kau.”
Razif mula dapat merasakan Zahim menyembunyikan
sesuatu daripadanya.
“Aku okey. Kau jangan bimbang.”
“Aku dah lama kenal kau Im. Aku tahu kau tak okey
sekarang ni kan? Apa sebenarnya yang berlaku dekat kau ni?”
Razif sudah risau.
“Serius, aku okey. Kau tak perlu risau pasal aku. Aku
belum ada niat nak bunuh diri lagi.” Zahim cuba menceriakan
suara.
Razif mendengus perlahan.
“Aku tahu kau ni masih lagi ada iman. Kau tak akan
buat perkara terkutuk tu tapi aku tahu ada sesuatu yang kau
sembunyikan dari aku.” Razif mula dapat menghidu sesuatu.
“Buat masa sekarang, aku nak bersendirian. Sampai
masanya aku akan ceritakan pada kau,” ujar Zahim lagi.
“Okey, aku faham. Jaga diri. Kalau ada apa-apa, kau
call aku atau kau nak kita jumpa malam ni?” Razif cukup
prihatin.
“Tak perlu. Tapi kalau kalau kau nak datang rumah
aku, dipersilakan. Takkanlah aku nak halau pulak. Tapi aku
rasa lebih baik kita jumpa esok saja kat pejabat.” Sungguh,
dia mahu tenangkan fikiran dan belum bersedia untuk
bercerita lagi.
“Kalau macam tu, kita jumpa esok kat ofis. Take
care. Bye!” Razif mematikan talian.
Zahim tersenyum sendiri. Dia sebenarnya terharu
dengan sikap Razif. Sahabat yang juga sepupunya itu amat
baik dan prihatin orangnya.
Zahim memejam matanya. Kalau boleh dia mahu
lupakan seketika apa yang berlaku seketika tadi. Anggap
semuanya sebagai mimpi. Apabila dia buka mata, segalanya
akan menjadi normal dan seperti biasa.
“HAI, APA kena dengan kau ni? Badan lemah macam orang
tak makan sepuluh hari,” tegur Hannah sebaik sahaja Sufi
masuk ke dalam rumah.
Tanpa mempedulikan pertanyaan Hannah, Sufi
melabuhkan punggung ke sofa. Tudung yang dipakai dibuka
dan diletakkan ke atas meja.
“Kau dah makan?” Sufi memandang seketika wajah
Hannah yang tunak merenungnya.
“Dah, kenapa? Kau risau aku tak makan, ya. Amboi,
memang bagus punya member! Kalau bagus, kau ada bawa
balik apa-apa tak untuk aku?” Panjang leher Hannah mencari
sesuatu.
“Bawa balik apa, bawa diri sajalah.” Sufi menjeling
sekilas.
“Hmm... ini mesti ada yang tak beres ni. Muka
monyok semacam aje! Lakonan korang berdua terkantoi
atau bakal mentua yang belum jadi tak terima kau sebagai
menantunya?”
Hannah membuat rumusan berdasarkan wajah Sufi.
“Semua andaian kau tu tak betul. Tak ada satu pun
yang kena dengan apa yang berlaku.” Sufi mengeluh perlahan
sambil meletakkan kepalanya di sofa. Kakinya dilunjurkan
untuk membetulkan urat saraf.
“Habis tu, apa yang betul dan apa yang dah berlaku
pada kau kat rumah orang tua yang merangkap big boss kau
tu?” Hannah tak sabar nak tahu apa yang sebenarnya berlaku.
“Layanan orang tua Encik Zahim memang terbaik.
Aku pun tak sangka yang keluarga mereka tu baik, sopan
dan berbudi bahasa. Malah mereka setuju dengan pilihan
Encik Zahim. Maksud aku, memilih aku sebagai pasangan
hidupnya.” jelas Sufi sambil mengerling ke arah Hannah,
mencari reaksi.
“Pergh... statement masuk bakul angkat sendiri.”
Hannah mencebik sambil tergelak kecil.
“Dah statement betul, kau juga yang nak tahu apa
yang dah berlaku. Bila aku dah cerita, kau tak nak percaya.
Kalau macam tu, baik tak payah cerita. Masuk bilik, tidur lagi
baik.” Sufi bangun dan berpura-pura merajuk.
“Eh... eh... nanti dulu. Kenapa kau tiba-tiba nak
bangun ni? Cerita belum habis. Ingat kisah kau ni macam
drama bersiri ke nak kena tunggu sambungannya esok.
Dah-dah tak payah nak buat muka seposen. Cepat, kau cerita
kat aku dari awal sampai akhir. Kalau tak, aku tetap akan
tanya kau sampai kau cerita.” Hannah cuba menahan Sufi
bangun.
Sufi menahan senyum. Tahu sangat sikap Hannah.
“Okey, kau dengar dulu apa yang aku nak cerita, bila
dah habis, baru kau boleh komen.” Sufi memberi syarat.
“No problem. Aku tak buka mulut. Kau tengok ni,
aku dah zip mulut aku!” Hannah membuat isyarat tangan
yang sedang menzipkan mulutnya.
Sufi tergelak kecil melihat gelagat Hannah. Hilang
sikit rasa bersalahnya tadi.
“Baiklah, aku akan cerita.” Sufi membetulkan
kedudukannya dengan bersila di atas sofa. Hannah juga
bersedia untuk mendengar sambil menongkat dagu.
“Aku dah beritahu hal sebenar pada Encik Zahim.”
Sufi merenung wajah Hannah.
“Beritahu pasal apa?” Mata Hannah sudah bulat.
“Aku dah beritahu dia pasal pertunangan aku dengan
Abang Lan. Aku tak nak menipu dia dan aku juga minta dia
jelaskan hal sebenarnya pada orang tua dia yang aku dengan
dia sebenarnya tak ada sebarang hubungan. Kami hanya
berlakon tapi...” Sufi terdiam. Kemudian mengeluh panjang.
“Tapi apa?” Mata Hannah membulat kembali.
“Aku jadi tak sampai hati pula nak tengok muka dia.
Nampak kecewa sangat. Dah hilang gaya macho dia. Yang aku
nampak ketika itu muka orang frust, kecewa.” Sufi mengeluh
perlahan.
Hannah diam, begitu juga Sufi.
“Kau rasa apa yang patut aku buat?” Sufi mula minta
pendapat Hannah.
“Kau buat tak tahu sajalah. Dah itu kenyataannya,
terpaksalah dia terima kecuali...” Hannah memandang wajah
Sufi.
“Kecuali apa?” Sufi mula tak sabar.
“Kecuali kau putus tunang dengan Abang Lan
dan akhirnya kau terima bos kau tu, habis cerita.” Hannah
membuat rumusan membuatkan Sufi segera membaling
bantal hiasan ke muka Hannah.
“Alah, kau jangan nak nafikan hakikat yang
sebenarnya jauh di sudut hati kau, kau pun ada hati kat bos
kau tu kan. Cuma kau tak boleh terima dia sebab kau terikat
dengan janji kau pada Abang Lan kau tu kan?”
Hannah tergelak-gelak.
“Mana ada, pandai-pandai aje kau buat spekulasi.
Nanti aku saman, baru tahu!” Sufi melirik tajam. Geram
dengan andaian Hannah.
“Kau boleh bohong aku tapi kau tak boleh bohongi
hati kau sendiri. Sekarang kau kena tepuk dada dan tanya
selera,” komen Hannah.
“Selera? Kau ingat benda ni boleh makan ke? Ini soal
hati, soal perasaan bukannya soal makanan. Faham?” Sufi
merengus geram.
“Kau faham maksud aku atau kau pura-pura buat tak
faham? Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.
Bos kau tu banyak punya handsome, kaya, bergaya... kau
ingat senang ke nak dapat lelaki macam tu. Aku rasa dia tu
berganda-ganda baik dan kacak dari Abang Lan kau tu. Jangan
butakan hati kau, babe!” ujar Hannah sebelum berlalu.
Sufi menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Memang
betul kata Hannah. Dia keliru sebenarnya. Siapa sebenarnya
yang perlu dia pilih? Takkanlah nak miliki kedua-duanya,
nanti orang kata dia tamak dan tak sedar diri pula. ‘Argh!
Pening, pening! Umi, tolong Sufi... Apa yang patut Sufi buat
sekarang ni?’


*KELUARAN JULAI 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN

No comments:

Post a Comment