“JANGAN lambat sangat pergi rumah Mak Long
Munah. Orang masjid mai lepas Isyak. Pergi awai sikit, tolong
apa yang patut. Anak dara kenalah ringan tulang, baru orang
tengok berkenan.”
Berdesing juga telinga Ayuni yang sedang berbaring
santai di sofa sambil menonton TV.
‘Aduhh... siren dah berbunyi. Masak kalau aku tak
pergi jugak ni. Malas sebenarnya.’ Teringatkan peristiwa
petang tadi, terus hilang keinginan Ayuni untuk pergi.
Khuatir bertembung dengan si dia lagi. Entah kenapa, dia
rasa tidak sedap hati pula.
“Ingat pesan mak, Yuni.”
“Yalah mak, nanti Yuni pergi dengan Fira.”
“Eh, mana Fira? Dari tadi mak tak nampak.”
“Katanya nak pergi bilik air. Entah apa yang
dibuatnya lama sangat.”
“Mak pergi dulu, Yuni.”
“Elok-elok jalan malam-malam ni mak. Mak ada
bawa lampu suluh dak?”
“Ada ni.” Puan Jamilah menunjukkan lampu suluh
di tangan.
Pandangan Ayuni jatuh pada kaki Puan Jamilah yang
sedang menyarung selipar. Entah kenapa, hati terasa sayu
tiba-tiba melihat raut wajah ibunya yang sudah dimamah
usia. Pemergian ayah menyambut panggilan Ilahi betul-betul
menguji mereka sekeluarga. Sejak itu ibunya menjadi ketua
keluarga. Ibunya tidak pernah merungut. Pernah dia bersuara
dengan ibunya hendak berhenti sekolah. Tetapi cadangannya
itu hanya menimbulkan kemarahan Puan Jamilah. Seminggu
ibunya merajuk. Pengorbanan Puan Jamilah sentiasa
menggamit perasaan sayu dalam hatinya.
Selepas berjaya mendapat segulung ijazah, dengan
berbekalkan semangat, dia memberanikan diri ke bandar
mencari pekerjaan. Alhamdulillah, rezeki menyebelahinya
apabila dia mendapat kerja di sebuah syarikat swasta.
Walaupun permulaan gaji tidak tinggi, tapi cukuplah untuk
menampung mereka sekeluarga.
Kiriman wang setiap bulan ke kampung tidak pernah
diabaikan. Ibunya pernah berura-ura ingin menjual kereta
peninggalan arwah ayah. Tetapi dia melarang keras. Itu saja
satu-satunya kenangan arwah ayah. Kereta itu langsung
tidak membebankan mereka, malah berguna untuknya
berulang-alik ke tempat kerja walaupun kadang-kadang
meragam juga. Maklumlah kereta sudah berusia. Mujur kereta
itu sudah langsai hutang dengan pihak bank. Kalau tidak,
mungkin cadangan ibunya terpaksa juga dipertimbangkan.
Namun, pada tahun lepas dia terpaksa melepaskan
kereta itu memandangkan kerap sangat meragam. Puan
Jamilah juga mencadangkan supaya dia membeli kereta
baharu bagi memudahkannya ke tempat kerja. Tidak berbaloi
dengan kos yang terpaksa ditanggung untuk membaiki kereta
lama itu.
“Mak pergi dulu.”
“Hati-hati mak,” pesan Ayuni lagi.
Setelah ibunya berlalu pergi, Ayuni merapatkan
pintu dan menguncinya, lalu duduk di sofa kembali. Tidak
lama kemudian, datang Afira bersama kerut di muka
sambil tangan menekan-nekan perut seperti menahan sakit
reaksinya.
“Kenapa ni dik?” soal Ayuni kepada Afira yang sudah
duduk di sebelahnya.
“Sakit perutlah kak. Dah tak larat ulang-alik masuk
bilik air.”
“Makan apa tadi?”
“Rasanya makan rojak kat tepi jalan. Teringin sangat.
Belasah sampai dua bungkus. Kalau ikutkan nak tambah lagi
sebungkus,” jawab Fira sambil tersengih-sengih.
Membuntang mata Ayuni mendengarnya. Kemudian
dia menggeleng perlahan.
“Mak aiii... kebulur ka apa? Itu bukan makan, itu
dah melantak namanya,” perli Ayuni.
Afira hanya tersengih.
“Kalau macam tu, tak payahlah kita pergi rumah
Mak Long Munah. Risau pulak kak nak tinggalkan Fira
sorang kat rumah.”
“Eh, mana boleh! Kak pergilah. Fira bukan sakit
teruk sangat pun.”
“Malas nak pergi.”
“Kak Yuni jangan cari pasal. Marah mak nanti. Kak
bukan tak tahu mak tu. Tak pasal-pasal Fira pula yang kena
nanti.”
“Okey jugak tu. Kak bagi alasan nak temankan Fira
kat rumah.”
“Fira bukan budak lagilah nak berteman. Tengok
orang arr...”
“Eleh, berani sangat kononnya tu.” Mencebek Ayuni
dengan tingkah Afira yang berlagak berani.
“Dah! Cepat siap, dah lambat ni,” arah Afira sambil
menarik tangan Ayuni. Sedikit mendesak.
Dengan lemah, Ayuni menggagahkan diri untuk
bangun. Afira hanya memandang langkah kakaknya masuk
ke bilik. Tiba-tiba rasa sakit perutnya datang lagi.
‘Alamak! Sakit balik. Tidur dalam bilik air jawabnya
aku malam ni.’ Afira bingkas bangun dan berlari anak menuju
ke bilik air. Makin lama semakin memulas rasa sakitnya.
BERSULUHKAN CAHAYA lampu suluh, Ayuni berjalan
perlahan meredah malam sambil bernyanyi dengan nada
perlahan, hanya dirinya sahaja yang mendengar. Dia
mendongak ke langit, malam ini bulan penuh menyinari
langit. Menghayati seketika keindahan alam ciptaan Ilahi.
Kemudian kembali mengalih pandang ke hadapan seraya
mengatur langkah meneruskan arah tujuan. Pada awalnya
dia ingin menunggang basikal, tetapi memandangkan lampu
basikal itu sudah tidak berfungsi, maka berjalan kaki saja
pilihan yang dia ada. Takkan hendak naik kereta? Bukan jauh
sangat pun.
“Haii...”
Hampir terlepas lampu suluh di tangan apabila
mendengar teguran secara tiba-tiba dari arah belakang.
Pantas Ayuni menoleh ke belakang, melihat gerangan
orangnya. Kelihatan dua susuk tubuh lelaki sedang tersengih
memandangnya mengundang perasaan takut dalam diri.
Namun, tidak sedikit pun ditonjolkan perasaan gementar
yang bertandang.
Tanpa menghiraukan mereka, Ayuni berpaling ingin
berlalu pergi. Ayunan langkahnya dipercepatkan. Degupan
jantung terasa begitu kencang tika ini. Perasaan cemas mula
menguasai diri apabila terasa langkahnya diekori. Dengan
keadaan gelap dan sunyi, menambahkan rasa takutnya. Terasa
perjalanan ke rumah Mak Long Munah jauh pula.
Makin laju langkahnya diatur. Namun, tiba-tiba
lengannya dicengkam dan ditarik kasar oleh seseorang
menyebabkan dia terdorong ke belakang. Ingin dia menjerit
meminta tolong, tetapi mulutnya telah dicekup kuat. Ayuni
meronta-ronta ingin melepaskan diri. Tapi apa sangat
kudratnya jika hendak dibandingkan dengan dua lelaki
itu. Dia diheret masuk ke dalam semak yang berhampiran.
Walaupun dia meronta dengan sekuat hati, tetapi tidak juga
berjaya. Malah, terasa tangan dan kakinya semakin kuat
dicengkam sehingga ke tulang rasa sakitnya.
Apabila lelaki itu melepaskan tekupan di mulutnya,
segera Ayuni mengambil kesempatan. Sehabis kuat dia
menjerit menyebabkan salah seorang lelaki tersebut
menampar pipinya. Ayuni mula bertindak meronta-ronta
dengan kudrat yang berbaki dalam diri.
“Lepaskan aku!!!” jerit Ayuni berang.
“Diam!!!” jerkah salah seorang daripada mereka.
Ayuni tersentak.
“Apa hangpa nak hah!!!”
“Mestilah kami nak cik adik manis ni. Kalau cik adik
bagi kerjasama pada kami, lagi cepat urusan kita selesai...”
jawab salah seorang daripada lelaki itu.
Pipi Ayuni disentuh. Namun pantas dia menepis
kasar seraya mengesot ke belakang menjauhkan diri daripada
lelaki itu yang semakin mendekat. Walaupun dalam gelap, dia
perasan pandangan liar lelaki itu pada tubuhnya.
“Binatang!!! Aku sanggup mati dari gadaikan
maruah aku pada hangpa. Manusia tak guna! Setannnn!!!”
pekik Ayuni sekuat hati.
Kata-kata Ayuni hanya disambut tawa kuat oleh
mereka berdua. Sedikit pun tidak terkesan, malah semakin
galak melayan hawa nafsu yang semakin memuncak.
Ayuni meronta-ronta cuba melepaskan diri. Tiba-tiba
lelaki yang memegang tangan Ayuni di belakang telah
melucutkan tudungnya. Rambutnya yang panjang terurai
lepas. Lelaki yang berada di hadapan Ayuni pula makin
melebar sengihnya. Nafsu jantan membuak-buak melihat
keadaan Ayuni tika itu.
Kecut Ayuni melihatkan lelaki itu mula menyentuh
dan mengusap pipinya lembut. Dia menggeleng laju mengelak
daripada pipinya diusap lelaki itu lagi.
“Tolonglah lepaskan aku. Aku merayu pada hangpa.
Jangan buat aku macam ni...” rayu Ayuni merintih hiba. Air
mata mula mengalir di pipi. Keberaniannya bagai direntap
apabila melihat kedua-dua lelaki itu semakin berani bertindak
terhadapnya.
‘Ya Allah... tolonglah hamba-Mu yang lemah ini.
Janganlah apa-apa berlaku kepada diriku, ya Allah. Hanya
kepada-Mu aku berserah. Aku memohon perlindungan
daripada-Mu ya Allah. Mak... tolong Yuni,’ rintih hati Ayuni
sayu.
“Takkan kami nak lepaskan macam tu saja sebelum
merasa,” balas lelaki yang sedang memegang tangannya pula.
“Tolonglah lepaskan aku. Apa salah aku pada hangpa?
Aku merayu... tolonglah jangan apa-apakan aku...” rayu
Ayuni bersama esakan tangis yang semakin kuat menyesak
dada. Perasaan takut menyelubungi jiwa sehingga menggigil
seluruh tubuhnya.
“Hoi!!! Lepaskan dia!!!”
Terkejut kedua-dua lelaki itu apabila disergah.
Serentak mereka menoleh ke belakang.
Ayuni yang turut menoleh cuba memfokuskan
matanya mengecam gerangan lelaki itu. Berkali-kali dia
mengelipkan matanya yang berlinang dengan air mata. Sekali
lagi pandangannya difokuskan pada raut wajah lelaki itu.
Dalam samar kegelapan malam yang hanya disinari cahaya
bulan, akhirnya dia dapat mengenal pasti lelaki yang berdiri
tidak jauh daripada mereka saat ini. Perlahan, raut wajah
Ayuni berubah riak. Saat itu tiak terkira rasa kesyukurannya
kepada Tuhan.
“Danial!!! Tolong Yuni!!!” jerit Ayuni.
Terkejut Danial. Walaupun wajah perempuan itu
tidak jelas pada pandangannya, tetapi dia kenal dengan suara
itu. Ayuni! Tiba-tiba perasaan geram dan marah memuncak
dalam diri melihatkan Ayuni diperlakukan begitu.
“Hei, hang jangan masuk campur urusan kami.
Baik hang blah dari sini.” Keras amaran daripada lelaki yang
berada di hadapan Ayuni.
“Aku cakap lepaskan dia!!!” pekik Danial. Tangannya
sudah mengepal penumbuk menahan marah.
“Hang ni sapa nak membela dia? Baik hang pergi
dari sini. Kalau tidak, teruk hang kami kerjakan.”
“Korang ingat aku takut? Kalau berani, cubalah!
Jangan berani pada kaum yang lemah saja,” cabar Danial,
tidak sedikit pun gentar dengan ugutan lelaki itu.
“Kurang ajar!” Salah seorang daripada lelaki itu
menerpa ke arah Danial.
Cubaan lelaki itu melepaskan tumbukan ke muka
Danial telah tersasar menyebabkan dia terdorong ke depan.
Ini memberi kesempatan untuk Danial menendang belakang
lelaki itu. Tertiarap lelaki itu mencium bumi. Dengan
perasaan geram, pantas lelaki itu bangkit dan meluru ke arah
Danial lagi. Namun tindakan pantas Danial menendang ke
arah perut lelaki itu telah menyebabkan lelaki itu terduduk
sambil mengerang kesakitan. Danial yang mempunyai ilmu
persilatan yang dipelajari semasa tinggal bersama pak long
dulu dipraktikkannya sebaik mungkin.
Melihat rakannya telah tumpas dengan mudah di
tangan Danial, teragak-agak seorang lagi lelaki tersebut
bangun, cuba menyerang Danial.
Ayuni tidak sanggup lagi melihat pergaduhan
di depan matanya. Dia mengesot ke belakang. Badannya
menggigil ketakutan bersama esak tangis yang semakin lama
semakin kuat. Air mata bagaikan hujan mengalir di pipi.
Kedua-dua lututnya dirapatkan ke dada dan dipeluk kejap
sambil menunduk menyembunyikan muka. Apa yang berlaku
di sekelilingnya tidak diambil peduli lagi. Dia mahu menangis
semahunya.
Sementara itu, dua lelaki tersebut masih tidak putus
asa menyerang Danial. Setiap serangan dengan mudah dapat
dipatahkan. Akhirnya dua lelaki tersebut berundur membawa
kesan penangan serangan balas Danial Haikal.
Sebaik kedua-dua lelaki itu melarikan diri, tangisan
Ayuni terus menarik perhatian Danial. Melihat Ayuni
begitu, hatinya terasa tertusuk. Ketika dia hendak bergerak
menghampiri, matanya terpandang tudung Ayuni tidak jauh
dari tempat dia berdiri. Cepat-cepat dia mengambil tudung
itu dan melangkah ke arah Ayuni.
Ayuni yang terus larut dalam rasa ketakutan
diperhatikan dengan rasa simpati. Tudung yang diambil tadi
diletakkan ke atas kepala gadis itu.
Terasa sentuhan di kepalanya, Ayuni terkejut. Pantas
dia mengesot ke belakang. Perasaan takut yang semakin reda
kembali memuncak dalam diri.
“Tolong jangan apa-apakan aku...” rayu Ayuni
tanpa memandang susuk tubuh yang juga bergerak
menghampirinya.
“Jangan!!! Jangan sentuh aku!!” jerit Ayuni sambil
tangan tergawang-gawang menepis tangan yang cuba
menyentuhnya.
“Ayuni!!! Pandang sini, awak dah selamat sekarang.”
“Tidak!!! Tipu!!! Tipu!!! Pergi!!! Jangan dekat dengan
aku!” Makin laju dia mengesot ke belakang sehingga terhenti
pada batang pokok kayu yang besar. Ayuni ingin bangun, cuba
untuk lari dari situ, tetapi ditahan. Dia meronta-ronta untuk
dilepaskan. Dia cuba pula merangkak, namun cengkaman
pada pinggangnya menyebabkan dia terduduk kembali.
“Ayuni!!! Dengar sini! Pandang saya!”
“Tidak! Tidak! Awak tipu!”
“Ayuni! Saya Danial! Awak dengar tak!!!” pekik
Danial. Kedua-dua bahu Ayuni digenggam lantas digoncang
beberapa kali untuk menyedarkan gadis itu.
Terdiam Ayuni. Terkaku dia di situ. Tanpa riak, dia
memandang susuk tubuh yang berada di depannya di balik
helaian rambut yang hampir menutupi muka. Ayuni terus
terkaku apabila rambutnya dirapikan ke belakang telinga. Dia
hanya diam memerhati lelaki itu meletakkan tudung ke atas
kepalanya.
Hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya saat ini.
Tidak dapat dibayangkan apa yang bakal terjadi jika lelaki ini
tidak datang menyelamatkannya. Melihat raut wajah Danial,
air mata kembali berlinang di kelopak mata. Spontan dia
memeluk Danial erat.
Tergamam Danial dengan tindakan Ayuni yang tidak
diduga. Hebat degupan jantungnya berdetak. Melihat Ayuni
teresak-esak menangis di dadanya menjentik satu perasaan
di lubuk hatinya yang dalam. Perlahan tangannya dibawa ke
belakang kepala Ayuni dan diusap perlahan menenangkan
gadis itu.
No comments:
Post a Comment