DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 14

HANNAH memandang ke arah Sufi yang asyik
termenung sedari tadi. Makanan yang dipesan di hadapan
belum pun disentuh.
“Sufi, apa kena dengan kau ni? Asyik termenung saja
sejak tadi.” Hannah memandang pelik wajah Sufi.
“Aku teringatkan Risya, dah tiga hari dia kat
kampung. Aku rindukan dialah.” Sufi terus menyatakan
punca lamunannya tadi.
“Kan baru malam tadi kau call dia, cakap dengan
dia, masih rindu dan teringatkan dia lagi ke?” Hannah
menggeleng kepala.
“Macam mana aku boleh tak rindu dan tak
teringatkan dia. Dia satu-satunya buah hati aku dan dia
membesar di depan mata aku.” Sufi mengeluh perlahan.
“Macam mana kalau satu hari nanti Risya tak ada
depan mata kau. Apa yang akan kau buat?” Sufi terpaku
beberapa saat. Hampir semput nafasnya mendengar kata-kata
Hannah.
“Apa yang kau cakap ni? Kau jangan nak takutkan
aku. Nanti semalaman aku tak boleh tidur teringatkan
kata-kata kau!” Sufi tiba-tiba jadi resah dan kalut.
“Aku cuma bagi andaian saja agar kau lebih bersedia,”
jelas Hannah agar Sufi kembali tenang.
“Aku tak dapat nak bayangkan kalau Risya pergi dari
hidup aku. Aku tak sanggup nak hadapi kehilangan dia, tak
sanggup!” Suara Sufi kedengaran begitu lemah membuatkan
Hannah mengetap bibir.
“Aku minta maaf, okey. Aku tak akan cakap pasal
hal ni lagi. Percayalah. Selamanya, Risya akan jadi milik
kau. Takkan ada sesiapa yang berani pisahkan kau dengan
Risya kecuali kau yang berkehendak begitu.” Hannah cuba
menghilangkan rasa bersalahnya kerana membabitkan isu
itu.
Sufi tarik nafas seketika cuba tenangkan diri.
“Hmm... jadi, bila kau nak ambil Risya kat kampung?”
Hannah merenung wajah muram Sufi.
“Hujung minggu ni. Umi dan walid yang bertegas
nak jaga Risya. Katanya seminggu cuti sekolah, bolehlah
mereka jaga dan lepaskan rindu pada Risya.”
“Sufi, aku lupa nak tanya kau, bila majlis kahwin
Abang Adam?”
“Cuti sekolah panjang nanti.”
“Agak-agaknya antara kau dengan Abang Adam,
siapa yang kahwin dulu?” Hannah mengukir senyum.
“Kau rasa?” Sufi menaikkan keningnya beberapa kali
sambil mengukir senyum nakal.
“Kau pula rasa?” Hannah membalas balik. Sengaja
nak mengenakan Sufi.
Sufi menarik muka masam.
“Daripada kau rasa, baik aku rasa hidangan
depan mata aku ni, boleh juga kenyangkan perut.” Untuk
tidak memanjangkan cerita, Sufi segera mengubah tajuk
perbincangan mereka.
Akhirnya mereka sama-sama menikmati hidangan
yang ada di hadapan mereka yang hampir sejuk. Tapi
disebabkan perut mereka sudah kelaparan, hidangan yang
ada di hadapan mereka dihabiskan dengan penuh selera.
“Burp... dah kenyang,” tutur Hannah.
“Anna, kontrol cun sikit. Kau tu masih lagi anak
dara, jangan buat gaya tak senonoh. Kalau ada lelaki yang
cuba nak dekat dengan kau, terus angkat langkah seribu!”
Sufi berbisik perlahan.
Hannah tetap mengukir senyum.
“Assalamualaikum.”
Mereka sama-sama mengangkat kepala.
Sufi terus menelan liur sebaik sahaja matanya
memandang ke arah dua lelaki yang berada di hadapan mereka
sambil menayang senyuman yang cukup menarik. Hannah
pula, terus terlopong mulutnya dengan mata yang membulat.
Sufi yang menyedari tindakan Hannah yang macam jakun itu
segera menendang betis Hannah dari bawah meja.
“Aduh! Sakitlah.” Hannah mengaduh.
Enam pasang mata terus memandang ke arahnya.
Hannah segera mengangkat dua jarinya tanda ‘peace’.
Hampir terjojol biji mata Sufi melihat tindakan Hannah yang
lepas laku itu.
“Encik Zahim dan Encik Razif baru sampai ke?” Sufi
segera mengalih pandang.
“Ya, kami baru saja sampai. Ternampak you kat sini,
terus datang.” Razif terlebih dahulu bersuara sebelum sempat
Zahim membuka mulut.
“Oh, kami dah selesai makan dan dah nak beredar.”
Sufi memandang wajah Hannah yang masih lagi ralit menatap
wajah kedua-dua lelaki tampan di hadapannya.
“Siapa ni? Tak nak kenalkan dengan aku ke?” tanya
Hannah.
“I, Razif dan yang ini Zahim. Kami berdua ni rakan
sekerja Sufi.” Razif segera memperkenalkan dirinya dan juga
Zahim. Zahim sekadar mengukir senyum tapi tumpuannya
lebih kepada Sufi yang nampak resah saat kemunculannya
dengan Razif tadi.
“Rakan sekerja...” Hannah memandang wajah Sufi.
Menanti jawapan yang lebih detail.
“Sebenarnya, mereka berdua ni bos aku. Encik
Zahim ni CEO tempat kerja aku dan Encik Razif ni pegawai
operasi.” Sufi memperkenalkan kedua-dua lelaki itu kepada
Hannah.
Hannah mengangguk beberapa kali sambil mengukir
senyum.
“Erm... maaf ya, kami dah nak beredar. Ada hal yang
perlu kami uruskan.” Sufi segera mencapai beg tangannya,
sudah bersedia untuk keluar dari restoran itu.
“Err... Sufi...” Hannah nampak serba salah.
“Kami pergi dulu, ya.” Sufi terus menarik tangan
Hannah. Kalut Hannah mengikut langkah Sufi yang
tergesa-gesa keluar dari restoran itu tanpa menghiraukan
pandangan kedua-dua lelaki itu.

“SUFI, APA kena dengan kau ni?” Hannah menoleh ke arah
Sufi sebaik sahaja mereka berada di dalam kereta.
“Kena apa? Aku tak ada kena apa-apa pun.” Sufi
mengangkat kedua bahunya beberapa kali tanda yang dia
tidak punya sebarang masalah.
Hannah mendengus perlahan sambil matanya tajam
merenung wajah Sufi yang begitu kemas memegang stereng
kereta.
“Jangan nak kelentong aku, okey. Kau ingat aku ni
sebaya dengan Risya ke? Setiap kata kau tu aku kena percaya.”
Hannah pamer muka serius.
“Jadi, selama ini kau menaruh syak pada kata-kata
aku? Aku ingatkan kita ni kawan sejati tapi baru aku sedar
yang aku ni...”
Sufi memejam mata. Wajahnya mula bertukar
keruh. Wajah Hannah tidak sudi dipandangnya.
“Sufi, kau jangan salah faham maksud kata-kata
aku tadi. Selama ini aku tak pernah ragu setiap kata-kata
kau,” pujuk Hannah dengan rasa bersalah kerana telah
mengecilkan hati Sufi.
“Habis tu, yang kau cakap tadi tu apa?” Sufi berpaling
merenung tajam wajah Hannah yang memang rasa serba
salah.
“Maksud aku, aku rasa ada sesuatu yang kau
sembunyikan dari aku pasal kedua-dua bos kau tu. Kau suka
pada salah seorang dari mereka, ya? Kau jatuh hati pada
CEO kau tu kan?” Hannah terus buat andaian berdasarkan
pengamatannya tadi.
Sufi tiba-tiba ketawa kecil. Dahi Hannah mula
berkerut.
“Anna, apa ke jauhnya andaian dan firasat kau tu.
Aku tak ada masalah dengan mereka berdua tu.”
“Habis tu, yang kau macam mengelak saja dengan
mereka tadi tu, kenapa? Tergesa-gesa tarik tangan aku ajak
keluar. Aku baru saja nak feeling, kau dah potong stim. Leceh
betullah!” Hannah merungut kecewa membuatkan Sufi
kembali ketawa. Kali ini makin kuat tapi tak adalah sampai
terbahak-bahak.
“Alah, lupakan saja hajat dan hasrat kau tu. Mereka
tak akan pilih orang kebanyakan macam kita ni sebagai
pasangan. Kita kena berpijak di bumi yang nyata!” Sufi
memandang wajah Hannah yang sudah mencuka.
“Memang selama ini aku berpijak di bumi yang
nyata. Kalau tak berpijak di bumi yang nyata, itu bermakna
orang tu bukan spesies manusia, mungkin makhluk halus,
jin, syaitan atau alien dari planet Marikh.” Wajah Hannah
kembali ceria. Siap angkat kening lagi.
“Lantak kaulah, aku tak nak masuk campur.” Sufi
sudah mula menukar gear dan menurun handbrake. Kereta
Myvi oren milik Sufi mula meninggalkan pekarangan
restoran tadi.
“Kau mesti masuk campur, tidak dapat tidak. Wajib.
Kau tahu apa hukumnya kalau sebut ‘wajib’?” Hannah
merenung wajah Sufi mencari reaksi.
“Wajib? Kalau buat dapat pahala, tak buat berdosa.
Jadi apa kena-mengena aku dalam hal ni?” Sufi berpaling
sekilas ke arah Hannah. Hilang sekejap tumpuannya pada
jalan raya.
“Haa... kau memang ada kena-mengena dalam hal
ni. Kau mesti promote aku kat mereka. Aku seganlah nak
promote diri sendiri. Lagipun aku baru aje jumpa ‘dia’.”
Hannah tayang sengih.
“Apa yang kau cakapkan ni? Aku tak faham.” Sufi
mula kebingungan.
“Hai, buat penat aje aku bagi klu, rupanya otak kau
ni tak berapa elok berfungsi!” Hannah menjeling geram.
Mata Sufi bulat mendengar kata-kata Hannah.
“Amboi, cantik ayat kau, kau jumpa kat mana ni?”
Sufi menahan sabar melayan kerenah Hannah.
Hannah sudah ketawa berdekah-dekah. Memang
seronok dapat mengenakan Sufi.
“Aku jumpa ayat tu kat restoran tadi,” balas
Hannah dengan muka selambanya membuatkan bibir Sufi
berkemut-kemut. Geram. Sangat menyakitkan hati.
“Sepatutnya aku yang kena tanya soalan yang kau
tanyakan kat aku tadi.” Sufi cuba mengawal perasaan.
“Soalan yang mana ni?” Dahi Hannah mula berkerut.
“Soalannya ialah apa kena dengan kau sebenarnya
ni? Cuba terus terang dengan aku.”
Hannah yang mula faham maksud kata-kata Sufi
hanya mengukir senyum.
“Aku nak berkenalan dengan bos kau. Kalau dia
sudi jadi kawan dan partner merangkap boyfriend aku,
aku tanggung makan kau selama seminggu, nak?” Hannah
membuat tawaran sambil menaikkan keningnya. Sementara
bibirnya mengorak senyum.
Sufi memandang sekilas wajah Hannah dengan dahi
berkerut.
“Kau tersalah makan ubat ke apa ni? Kau ingat Encik
Zahim tu nak pilih kau jadi kekasih dia? Nak jadi kawan pun,
belum tentu layak tau. Kau kena ukur di badan sendiri.” Sufi
mendengus perlahan.
“Aik, bila masa pula aku cakap aku nak jadi kekasih
Encik Zahim merangkap CEO kau tu. Aku pun sedar yang aku
memang tak layak untuk dia. Dia tu terlalu kacak untuk jadi
pasangan aku tau.” Hannah membetulkan tanggapan Sufi.
“Habis? Kau dah jatuh hati kat Encik Razif? Kau
jangan buat kerja gila, takkanlah kau serius?” Sufi mula
gelabah. Hampir tersasar pemanduannya dek terkejut tadi.
“Salah ke kalau aku sukakan dia?” Hannah kembali
tayang sengih comel.
“Tak salah, cuma...” Sufi mula rasa serba salah untuk
meneruskan kata.
“Kau fikir aku ni tak layak untuk bergandingan
dengan bos kau tu? Habis, kau fikir kau seorang saja yang
layak dengan salah seorang dari mereka berdua ke?” Hannah
mula berjauh hati.
Sufi mendiamkan diri. Begitu juga dengan Hannah.
Gadis itu mula bertukar wajah.
“Anna, aku tak ada niat pun nak buat kau terasa.
Okeylah, aku akan cuba kenalkan kau dengan Encik Razif
tu tapi kalau dia tak boleh terima kau, kau jangan kecil hati
pulak. Kan aku pernah cakap yang dia tu agak nakal sikit.
Spesies buaya mungkin, tapi aku tak pasti sangatlah perangai
dia yang sebenar. Aku hanya dengar cakap-cakap staf kat ofis
saja,” ujar Sufi sebelum menarik nafas.
“Kau tak perlu buat apa-apa untuk kenalkan dia
dengan aku.” Suara Hannah tiba-tiba berubah perlahan.
“Maksud kau?”
“Aku gurau sajalah, kau lupakan saja apa yang
aku cakap tadi. Anggap aku tak pernah cakap pasal hal ni.”
Hannah melirik senyum.
“Anna, kau merajuk ke? Aku minta maaf, okey?” Sufi
mula rasa serba salah kerana telah mengecilkan hati Hannah.
“Tak adalah. Serius ni, lupakan saja.”
Sufi mengeluh perlahan dan terus menumpukan
perhatian pada pemanduannya.

No comments:

Post a Comment