DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 3

“ASSALAMUALAIKUM.” Ayuni memberi salam
sambil meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Sunyi. ‘Takkan
tak balik lagi? Hari dah meninggi ni.’
“Assalamualaikum. Mak Nab... ooo... Mak Nab.”
“Waalaikumussalam.”
Pantas Ayuni berpaling ke belakang. Bibir melirik
senyum kala wajah Mak Cik Zainab menyapa pandangan.
“Lambat Mak Nab balik hari ni?” tanya Ayuni. Turut
melabuhkan punggung di sebelah Mak Cik Zainab di pangkin
kayu bawah rumah.
“Mak Nab kutip getah buku. Cik Jah cuti hari ni...
tu yang lambat sikit.” Peluh di dahi dilap dengan tuala kecil
yang sentiasa tersangkut di bahu.
“Mak Nab sihat?” tanya Ayuni. Wajah tua Mak Cik
Zainab menjadi tatapan Ayuni. Tangan Mak Cik Zainab
disentuh lembut dan dicium. Terasa urat-urat yang timbul
di belakang tangan tua itu. Tangan yang tidak henti-henti
mencari rezeki. Tangan yang menjaga si suami yang terlantar
sakit sehingga nafas terakhir. Mengenang nasib Mak Cik
Zainab, hatinya dipagut hiba. Walaupun tiada pertalian
persaudaraan dengan Mak Cik Zainab, tetapi kehidupan di
kampung, jiran sudah dianggap seperti saudara sendiri.
“Alhamdulillah... sihat cara orang tualah, Yuni.”
Sesekali Mak Cik Zainab terbatuk kecil.
“Bila balik?” tanya Mak Cik Zainab.
“Semalam, Mak Nab.”
“Ni mak ada bagi karipap untuk Mak Nab.”
“Terima kasih. Mak Yuni ni selalu sangat bagi Mak
Nab makan.”
Bekas plastik yang dihulur Ayuni bertukar tangan.
“Mak buat lebih. Lagipun Mak Nab pagi-pagi dah
pergi menoreh. Mesti belum makan lagi.”
“Mak Nab ni kena kopi pun dah cukup, Yuni.”
“Tak bolehlah macam tu, Mak Nab. Saya tengok
badan Mak Nab dah semakin susut la ni.”
“Badan orang tua, Yuni. Tera nilah. Bukan nak
gemuk-gemuk dah.”
“Mak Nab kerja kuat sangat.”
“Macam mana tak kerja kuat, Yuni. Hutang Mak
Nab dengan Tuan Darus tak habis-habis bayar lagi. Kalau
lambat bayar sikit, si Zakry tu dah terpacak depan pintu,”
beritahu Mak Cik Zainab. Lelah rasa dengan hutang yang
tidak nampak penghujungnya. Dia terpaksa berhutang untuk
membiayai kos perubatan arwah suaminya yang mengidap
penyakit Hepatitis.
Berkerut dahi Ayuni.
“Setahu Yuni, Mak Nab dah lama duk bayaq kat Tuan
Darus, takkan tak habis-habis lagi?”
“Mak Nab pun tak tahulah, Yuni. Bila Mak Nab
tanya... katanya Mak Nab kena bayar bunga sekali.”
Ayuni menggeleng tanda tidak puas hati.
“Melampau betul!” Mendidih rasa hati. Dengan
orang tua pun hendak ditindasnya.
“Dibah tak balik ke Mak Nab?” tanya Ayuni.
“Dibah dah lama tak balik. Hari tu dia ada telefon.
Katanya tak boleh nak balik sebab suaminya sibuk.”
“Dibah tak tolong Mak Nab bayar hutang Tuan
Darus?”
“Mak Nab tak nak susahkan Dibah. Dia pun tak kerja.
Hidup kat bandar tu banyak pakai duit. Biarlah Yuni, biar Mak
Nab ja yang tanggung semua hutang tu.”
“Tapi Mak Nab pun bukan sihat sangat.”
“Orang tua memang macam ni, Yuni. Kejap sihat,
kejap sakit. Biasa dah tu. Ni Mak Nab nak tanya Yuni sikit.”
“Tanya apa Mak Nab?”
“Yuni pernah pergi rumah Dibah?”
“Tak pernah, Mak Nab. Awat Mak Nab?”
“Mak Nab tak pernah sampai lagi rumah Dibah.
Teringin nak pergi rumah dia.”
Ayuni terdiam. Rasa pilu memalu hati. Kerinduan
seorang ibu terhadap anaknya jelas terpancar di wajah Mak
Cik Zainab. Kenapa sahabatnya itu tiba-tiba berubah? Dia
kenal Adibah sejak zaman sekolah. Mereka saling berhubung.
Tetapi sejak Adibah berkahwin, mereka seperti terputus
hubungan. Apa yang dia tahu, Adibah dengan suaminya
satu tempat kerja sebelum mereka berkahwin. Tetapi Adibah
terpaksa berhenti kerja apabila mengalami alahan yang
teruk ketika mengandung anak sulung. Kali terakhir mereka
berjumpa, semasa Adibah berpantang di kampung.
“Mak Nab rasa, Dibah ada masalah. Dah lama dia
tak balik. Telefon pun jarang sekali. Dulu dia tak macam ni.
Sebab tu Mak Nab nak pi rumah dia. Lagipun Mak Nab rindu
sangat kat cucu Mak Nab. Dah besaq agaknya Adam.”
Terdiam Ayuni mendengar luahan Mak Cik Zainab.
Jauh renungan mata tua itu membendung rasa rindu.
“Macam nilah Mak Nab, biar Yuni cari tempat tinggal
Dibah dulu. Bila dah tahu, senang Yuni nak bawa Mak Nab
ke sana. Lagipun Yuni bercadang nak bawa mak dengan adik
bercuti kat Shah Alam. Mak pun belum pernah sampai lagi
rumah sewa Yuni.”
“Elok sangatlah tu, Yuni. Boleh Mak Nab tumpang
sekali.”
“Mak Nab ada alamat Dibah?”
“Ada Dibah bagi hari tu. Nanti Mak Nab bagi Yuni.”
Ceria wajah Mak Cik Zainab mendengarnya. Tidak sabar
hendak bertemu dengan anak dan cucu yang sangat dirindu.

No comments:

Post a Comment