SUFI mengenakan blaus berwarna pink, palazzo
warna hitam dan dipadankan dengan shawl bercorak.
Setelah siap berdandan ala kadar, Sufi terus keluar ke ruang
tamu. Ketika itu Hannah sibuk melipat kain bajunya di atas
kusyen. Hanya hari minggu mereka akan bertungkus lumus
membersihkan rumah dan pakaian mereka.
“Anna, okey tak aku pakai macam ni?” Sufi menayang
tubuhnya di hadapan Hannah.
Hannah berhenti melipat kain. Matanya tepat
memandang ke arah Sufi. Diteliti penampilan Sufi dari atas
ke bawah. Diulang beberapa kali membuatkan Sufi resah.
“Okey tak ni? Yang kau tengok aku macam buat scan
tu apa hal?” gesa Sufi dengan rasa debar.
“Hmm... okey. Lagi satu, yang kau gelabah semacam
ni kenapa? Kau berlakon aje kan. Tak payahlah nak over
sangat.” Hannah tergelak kecil.
“Memanglah aku berlakon tapi takkanlah aku nak
berikan tanggapan yang tak elok. Lagipun Tan Sri Mokhtar
tu kan pemilik Zamrud Holdings merangkap majikan aku
jugak,” jelas Sufi.
“Nanti dari berlakon jadi kekasih, terus kau jadi
kekasih dia yang betul.” Hannah terus mengusik membuatkan
Sufi mencebik.
“Kau ingat aku ni playgirl ke yang nak punya ramai
kekasih? Aku terima tawaran ni pun sebab aku tak sampai
hati tengok muka seposen dia tu. Dari semalaman aku duk
karang ayat nak tolak tawaran tu tapi tiba-tiba tercakap
terima pulak.” Hannah tersenyum-senyum.
“Alah, dapat tawaran dari bos yang handsome, kacak
bergaya, siapa pun tak akan tolak. Cuba kau bayangkan yang
bagi tawaran tu adalah bos yang perut boroi, kepala botak,
pendek, gelap, kau nak terima?” Hannah memandang wajah
Sufi yang sudah berkerut.
“Memang taklah. Spesies bos yang kau sebut tu
mesti dah ada bini tiga empat orang. Nak cari nahas ke
atau silap-silap kena ganyang terus!” Sufi membuat aksi
geli-geleman bila membayangkan fizikal lelaki yang dikatakan
oleh Hannah tadi.
Hannah sudah gelak.
Perbualan mereka terhenti apabila telefon Sufi
berbunyi.
“Assalamualaikum, Encik Zahim.” Sufi terus bagi
salam.
“Waalaikumussalam. Saya dah tunggu awak kat
luar. Awak dah siap ke?” Suara Zahim kedengaran di talian.
“Erm... dah. Kejap lagi saya keluar.” Sufi menjenguk
ke tingkap. Memang betul kereta Audi TT milik Zahim
tersadai dekat depan pintu pagar rumahnya.
Sufi memandang Hannah seketika.
“Aku pergi dulu, ya.” Sufi mencapai beg tangannya.
“Good luck. Semoga masin mulut aku!” Hannah
tergelak-gelak.
Sufi segera menunjukkan penumbuk tanda tidak
suka dengan gurauan Hannah.
Semasa Sufi keluar dari rumah, Hannah mengintai
di tingkap sambil mengukir senyum. Dia melihat Zahim
keluar dari kereta sebaik sahaja Sufi keluar dari rumah.
Lelaki itu siap bukakan pintu untuk Sufi.
“Hmm... gentleman juga bos kau ya, Sufi. Memang
bertuah kau dapat bos yang muda, kacak dan bergaya macam
tu. Aku ni bilalah nak dapat lelaki yang kacak dan kaya macam
tu.” Hannah tergelak sendiri.
“TAK SANGKA cantik juga awak ni.” Zahim membuka mulut
sebaik sahaja meninggalkan perkarangan taman perumahan
itu.
“Oh, jadi selama ini saya nampak jelik ya pada
pandangan mata Encik Zahim? Bukankah selama ini saya
berpakaian macam ni?” Hati Sufi mula panas.
Zahim tergelak kecil sambil melirik ke arah Sufi
yang sudah masam mencuka.
“Saya dah faham sangat perangai awak, Sufi. Mudah
sangat tersentak.” Zahim menggeleng kepala.
“Saya punya hallah, tak ada kena-mengena dengan
Encik Zahim pun!” tempelak Sufi geram.
“Sengaja saya cakap macam tu untuk tarik perhatian
awak. Dalam garang-garang perangai awak ni, masih ada
kelembutan dan kecomelannya. Itu yang buatkan awak
istimewa di mata dan di hati saya.” Sufi terkedu mendengar
kata-kata Zahim tadi.
Demi mengelakkan rasa segan, Sufi mengalih
pandang ke luar tingkap.
“Saya minta maaf sebab awak tak dapat balik
kampung minggu ni.” Zahim mula pamer rasa serba salah.
“Tak apa. Saya dah janji dengan umi dan walid saya
untuk balik minggu depan.” Sufi mengingatkan janjinya
pada umi dan walid. Kata umi, dia tidak kisah tinggalkan
Risya lama-lama di kampung sebab Risya boleh teman dan
hiburkan mereka.
“Tentu seronokkan dapat balik kampung. Saya
pun dah banyak minggu tak balik kampung jumpa atuk
dan nenek. Datuk dan nenek sebelah mama saya pun orang
kampung juga.” Zahim mengukir senyum.
“Ya? Hmm... tak sangka Encik Zahim ni pun ada
kampung. Ingatkan orang macam Encik Zahim ni tak pernah
hirup udara kampung.” Sufi tergelak kecil.
“Hello, saya selalu balik kampung tau! Awak ingat
saya ni tak pandai panjat pokok, main layang-layang, atau
tangkap ikan kat sawah ke?” Zahim tayang senyum lagi.
Makin menarik pula senyumannya kali ini.
“Wow, menakjubkan! Tak dapat saya nak bayangkan
seorang CEO masuk dalam sawah untuk tangkap ikan atau
panjat pokok.” Sufi tergelak kecil.
“Saya terror tau panjat pokok. Pokok kelapa pun saya
boleh panjat. Saya dan Razif selalu lawan tangkap ikan keli
kat sawah masa kecik-kecik dulu. Tapi bila dah besar ni kami
dah jarang turun ke sawah. Bukan sebab geli atau apa tapi tak
berkesempatan.” Cerita Zahim dengan wajah ceria.
Perjalanan yang mengambil masa hampir 40
minit itu dihabiskan dengan berbual. Sempat juga mereka
berbincang beberapa perkara. Bimbang kalau disoal oleh
orang tua Zahim nanti.
“Okey, kita dah sampai kat rumah orang tua saya.
Awak dah bersedia untuk berlakon jadi teman wanita saya?”
Zahim melirik ke arah Sufi di sebelah yang tiba-tiba menjadi
kaku sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Zahim masuk
ke perkarangan banglo mewah. Siap ada jaga lagi di pintu
utama.
“I’m so nervous.” Akui Sufi menahan debar.
“Don’t worry, I’ll be your side.” Zahim melirik sekilas
ke arah Sufi sebelum membuka tali pinggang keledar. Dia
sempat menoleh ke arah Sufi yang nampak sedikit gemuruh.
“Ingat, bila kita dah masuk kat dalam rumah ni,
tolong buang perkataan encik di hadapan. Just called me Im,
okay!” pesan Zahim. Bimbang kalau Sufi tersasul.
“I’ll try my best!” Sufi menelan liur dan cuba
mengukir senyum.
Zahim keluar dari kereta dan cepat-cepat dia menuju
ke pintu sebelah. Membukakan pintu untuk Sufi.
“Terima kasih.” Sufi menahan rasa segan memikirkan
cara layanan Zahim padanya seperti mereka pasangan kekasih
yang sebenarnya.
“Take a breath and relax, okay!” Zahim berbisik di
telinga Sufi.
Sufi tersentak apabila tangannya tiba-tiba digenggam
oleh Zahim. Segera dia memberi jelingan kepada lelaki itu.
“Kalau ya pun berlakon, jangan ambil kesempatan.
Dah tak tahu beza halal haram ke?” rungut Sufi.
“Opss, sorry!” Zahim segera melepaskan tangan
kanannya dan mengangkat ke atas tanda rasa bersalah atas
tindakannya tadi.
“Jom, masuk.” Zahim mendahului langkah Sufi
masuk ke dalam banglo milik orang tuanya.
Hampir ternganga mulut Sufi sebaik sahaja kakinya
melangkah masuk ke ruang tamu banglo itu.
‘Mak aih, rumah ke istana ni?’ Detik Sufi dalam
hati. Memang cukup kagum dengan isi dalamnya. Semuanya
nampak begitu mewah dan eksklusif.
“Assalamualaikum.”
Zahim memberi salam agar penghuni banglo itu
menyedari kemunculannya.
“Waalaikumussalam. Im, dah sampai, ya.”
Tiba-tiba muncul seorang wanita sambil mengukir
senyum.
Sufi memandang wajah Zahim agar memperkenalkan
wanita itu. Dari segi penampilannya, tidak mungkin itu
mama Zahim.
“Mak Leha, kenalkan ini Sufi. Err... maksud Im, Nur
Aisyah Sufiya. Kawan Im.” Zahim memperkenalkan Sufi pada
wanita itu. Dia begitu mesra memeluk bahu wanita itu di
hadapan Sufi.
“Oh... inilah ‘kawan’ Im tu ya? Cantik orangnya.”
Mak Leha melirik senyum ke arah Zahim. Zahim hanya
menayang senyum.
“Apa khabar, mak cik?” Sufi menyalami tangan Mak
Leha.
“Baik, alhamdulillah. Panggil aje Mak Leha.” Mak
Leha bersuara.
“Baik, Mak Leha.” Sufi membalas dengan sopan.
“Mak Leha ni pembantu rumah.”
“Kalau Sufi nak tahu, Mak Leha ni bukan sahaja
pembantu rumah, tapi pengasuh dan peneman Im.” Zahim
mencelah membuatkan Sufi terdiam. Tidak sangka yang
Zahim sudah mainkan peranannya.
Sufi hanya mengukir senyum.
“Jemput duduk ya, Mak Leha nak siapkan hidangan
kat ruang makan. Im pergi panggil Puan Sri dan Tan Sri,
beritahu mereka yang ‘kawan’ Im ni dah sampai. Sejak tadi
mereka tertunggu-tunggu,” ujar Mak Leha sebelum beredar.
“Apa kata Sufi bantu Mak Leha. Segan pula tak buat
apa-apa. Dahlah datang dengan tangan kosong aje!” Sufi cuba
menghilangkan gemuruh. Bimbang sekali tanggapan orang
tua Zahim padanya nanti.
“Eh, tak payahlah. Sufi kan tetamu, duduk ajelah.
Lagipun Susanti ada bantu Mak Leha kat dapur tu. Sebentar
lagi dah boleh makan tengah hari.” Mak Leha menolak
bantuan Sufi mengenangkan Sufi adalah tetamu istimewa
Zahim hari ini.
“Tak apa, Mak Leha.” Sufi tetap bertegas mahu
membantu.
“Bagus juga tu. Biarkan dia biasa dengan rumah
ni, nanti tak kekok lepas ni. Betul tak, Mak Leha?”
Zahim menyampuk sambil mengenyit mata ke arah Sufi
membuatkan Sufi terbatuk-batuk.
Zahim dan Mak Leha sudah mengukir senyum.
“Kalau macam tu, jomlah,” ajak Mak Leha.
Sufi mengikut langkah Mak Leha, sementara Zahim
terus menghilang. Mungkin mahu beritahu orang tuanya.
Mak Leha mengukir senyum apabila melihat Sufi
tidak kekok membantunya menghidang makanan di atas
meja. Dalam diam, dia mengucap syukur kerana Zahim
pandai memilih pasangan. Nasib baik sikapnya tidak sama
dengan Dania.
“Hmm... mana buah hati anak bujang mama ni?”
Hati Sufi mula gemuruh sebaik sahaja telinganya
mendengar suara itu.
“Ada kat ruang makan, beria dia nak tolong Mak Leha
menghidang.” Terdengar suara Zahim membalas pertanyaan
itu.
“Sufi!”
Sufi berpaling. Dia segera menghampiri Zahim
yang berada di sisi seorang wanita anggun. Memang hebat
penampilannya.
“Mama, kenalkan ini Nur Aisyah Sufiya.”
Sufi mengukir senyum dan menghulur tangan.
Hulurannya segera disambut oleh Puan Sri Yasmin dengan
senyuman.
“Apa khabar, Puan Sri?”
“Baik. Apa namanya tadi?” Puan Sri Yasmin
memandang wajah Sufi dari atas ke bawah.
“Nur Aisyah Sufiya, panggil aje Sufi, Puan Sri.” Sufi
memperkenalkan diri sambil mengukir senyum, sekali gus
menghilangkan debar di dada.
“Sufi? Cantik nama tu. Auntie suka.” Puan Sri
Yasmin memandang wajah Sufi mencari reaksi. Dalam hati
dia memuji penampilan Sufi, agak sopan dan sesuai dengan
anak lelakinya. Dia pun berkenan dengan pilihan anaknya ini.
“Hmm... tetamu dah sampai, ya?” Satu suara ceria
berkumandang di ruangan itu menyebabkan semua orang
menoleh.
“Hai, sweetie!” Zahim segera mendekati gadis yang
baru muncul. Lantas bahu gadis itu dipeluk Zahim.
Mata Sufi membulat dengan tindakan Zahim.
“So, inilah sweetheart Abang Im, ya?”
Sara mendekati Sufi.
“My lovely sister, Sara Elina. Dia baru balik bercuti
dari UK.” Zahim memperkenalkan adiknya.
Sara menghulur tangan dan memeluk erat tubuh
Sufi membuatkan Sufi tergamam. Tidak sangka adik Zahim
begitu mesra orangnya.
“Tak nak kenalkan nama bakal kakak ipar Sara ke?”
Sara melirik ke arah Zahim.
“Namanya Cik Nur Aisyah Sufiya. Sara boleh panggil
dia Kak Sufi.” Zahim melirik ke arah Sufi sambil melempar
senyuman manis.
“Kak Sufi, Sara nak ucapkan selamat datang ke
dalam keluarga Tan Sri Mokhtar.” Sara terus memeluk lengan
Sufi membuatkan semua orang tersenyum.
“Ehem... keluarga Tan Sri Mokhtar belum cukup
sempurna tanpa papa.” Tiba-tiba Tan Sri Mokhtar muncul
menyebabkan semua orang memberi ruang untuk tokoh
korporat itu.
Sufi diperkenalkan dengan lelaki itu. Inilah kali
pertama Sufi bertemu mata dengan tokoh terkenal itu.
Selama dia bekerja di dalam bangunan Zamrud Holdings,
hanya nama Tan Sri Mokhtar sahaja yang dia dengar.
“Tan Sri, Puan Sri, Im, Sufi, Sara... silakan.” Mak
Leha mempelawa mereka menikmati hidangan makan tengah
hari.
Sufi dan Zahim saling berpandangan. Kebetulan
mereka duduk berhadapan membuatkan Sufi semakin segan.
Zahim sempat menaikkan keningnya sambil mengawal
senyum. Sufi mengetap bibir. Dia mula rasa resah. Bimbang
akan ditanya dengan pelbagai soalan nanti.
Belum pun sempat mereka menikmati hidangan,
muncul satu suara.
“Hello, everybody.”
Tiba-tiba muncul satu wajah di ruangan itu
membuatkan semua orang saling berpandangan. Mereka
hampir lupa bahawa Dania juga akan hadir di situ. Kalau
bukan kerana mulut Dania, pertemuan hari ini takkan
berlaku.
Mata Sufi hampir terjojol melihat penampilan gadis
yang baru muncul di ruang makan itu. ‘Siapa pulak gadis ni?
Adik beradik Encik Zahim ke? Tapi lain macam aje ni.’
“Dania, come and join us!” Puan Sri Yasmin segera
mempelawa gadis itu.
“Hai, sayang!” Dania mendekati Zahim yang sudah
pun mencuka.
“Hei, Sara bila balik? Kak Nia tak tahu pun.” Dania
menegur Sara yang nampak jelas tidak menyenangi kehadiran
gadis itu.
“Dah dua hari Kak Nia. Kak Nia dari mana ni?”
Sedikit pun Sara tidak memandang wajah Dania.
“Dari rumah Kak Nialah.” Dania mengukir senyum.
Sedikit pun Dania tidak memandang wajah Sufi,
seolah-olah Sufi tak wujud di situ. Tapi bagi Sufi, itu lebih
baik. Namun dalam diam Sufi dapat mengagak bahawa gadis
itulah yang cuba dielak oleh Zahim. Memang patutlah gadis
seperti itu dijauhi. Penampilan dan perangainya, memang
out! Sudahlah pakaiannya menampakkan paha, mekap pula
tebal berinci-inci.
“Mama, mama jemput Kak Nia datang sini ke untuk
makan tengah hari?” Sara memandang wajah mamanya.
Nampak sangat yang dia tidak sukakan kehadiran Dania.
“Ya, Kak Nia ni kan dah selalu datang rumah kita.”
Puan Sri Yasmin menjawab sambil mengukir senyum ke
arah Dania yang sudah mengambil tempat duduk di sebelah
Zahim. Malah, gadis itu sengaja mendekatkan diri kepada
Zahim.
Zahim pula nampak resah dan gelisah membuatkan
Sufi hampir melepas tawa. Lucu pula melihat wajah resah
Zahim. Segan mengalahkan perempuan.
“Hmm... auntie, tak nak kenalkan tetamu auntie
kat Nia ke?” Dania bersuara sinis. Dia terus merenung
tajam wajah Sufi. Buat-buat ramah, tapi sebenarnya dia tak
hairanlah!
“Oh. Kenalkan ini Sufi, kawan yang Im nak kenalkan
pada kita semua dan Sufi, ini Dania, anak kawan auntie.”
Puan Sri Yasmin bersuara.
Sufi cuba mengukir senyum sebagai salam
perkenalan. Tapi Dania nampaknya tidak pedulikan senyuman
Sufi. Gadis itu lebih selesa memandang wajah Zahim.
“Erm... sejak bila you couple dengan gadis kat depan
I ni? I tengok dia macam gadis biasa saja. Tak ada apa-apa
istimewa pun.” Dania melirik ke arah Zahim yang sedang
duduk di sisinya selepas memandang sinis wajah Sufi.
“Kami baru saja couple, adalah lebih kurang dua
bulan.” Zahim membuka mulut.
Dania mencebik.
“Oh... masih baru lagi.” Dania tetap memandang
sinis wajah Sufi.
“Baru dan lama tak menjamin sesebuah hubungan.
Mungkin bagi you, gadis di hadapan I sekarang nampak biasa
saja tapi bagi I, Sufi adalah gadis yang istimewa yang bisa buat
hati I tertawan. Satu-satunya gadis yang boleh buat I jatuh
cinta.”
Sufi benar-benar tersentak mendengar kata-kata
Zahim. Dadanya berdebar tiba-tiba. Zahim yang merenung
dengan senyuman yang terukir di bibir membuatkan Sufi
mula menundukkan kepalanya. Tiba-tiba dia rasa malu.
“Im betul-betul serius ke nak jadikan Sufi ni
isteri?” Pertanyaan Tan Sri Mokhtar membuatkan Sufi
terbatuk-batuk. Nasib baik Sara segera menghulurkan gelas
berisi air kosong.
“Serius, papa. Kan papa dan mama mahukan Im
berumah tangga, ada komitmen, ada tanggungjawab. So, tak
salah kan kalau Sufi ni jadi pilihan Im?” Sufi makin resah.
“Im dah kenal dengan keluarga Sufi?” Puan Sri
Yasmin pula mencelah perbualan mereka.
“Belum, mama. Lagipun kami kan baru saja kenal.
Bila kami dah ready nanti, Im nak mama dan papa masuk
meminang. Boleh, kan? Tambahan pula keluarga Sufi ni orang
Kota Bharu, tak jauh pun dengan kampung atuk dan nenek.”
Zahim menyatakannya dengan penuh yakin membuatkan
Sufi diam tidak terkata. Sufi pun tidak sangka yang atuk dan
nenek Zahim tinggal di Kelantan.
“Ya ke?”
Puan Sri Yasmin mula nampak teruja.
“Sufi pun baru tahu yang atuk dan nenek Encik...
Err... atuk dan nenek Im orang Kelantan. Sufi ingatkan Im
tak ada kampung.”
Sufi menarik nafas seketika. Nasib baik tidak tersasul.
“Kami memang selalu balik kampung kalau ada
cuti, seronok dapat bercuti kat kampung. Jumpa atuk,
jumpa nenek, mandi lumpur, tangkap ikan dan panjat pokok.
Memang best sangat. Betul tak Abang Im?” Sara menyampuk
dengan wajah ceria.
“Betul.” Tanpa berlengah, Zahim terus menyokong.
“Kak Sufi tahu tak yang Abang Im ni takut sangat
pada lintah, menjerit dan meraung-raung macam perempuan.
Kelakar betul.” Sara bercerita membuatkan kedua orang tua
Zahim tergelak-gelak termasuk Sufi. Sufi siap menaikkan
keningnya lagi sambil memandang wajah Zahim yang sudah
bertukar merah.
“Apa hal Sara ni, sengaja bocorkan rahsia Abang Im
dekat Kak Sufi.” Zahim menahan geram .
“Helo, bila kita nak makan ni, auntie? Nia dah lapar
sangat ni.” Dania mula merengek apabila merasakan mereka
semua sudah tidak mempedulikannya lagi.
“Yalah, asyik berborak saja kita. Sufi, jemput makan,
jangan segan, ya,” pelawa Puan Sri Yasmin.
Mereka terus menikmati hidangan dengan penuh
selera.
Hampir sejam lebih Sufi berada di banglo milik
keluarga Zahim. Ternyata layanan keluarga Zahim baik
sekali. Tidak seperti yang Sufi bayangkan sebelum ini. Selepas
makan, Dania terus minta diri untuk pulang, katanya ada hal.
Tapi Sufi tahu yang gadis itu tidak betah untuk terus berada
di situ bila dirinya tidak menjadi tumpuan.
No comments:
Post a Comment