DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 2

ZAHIM menekan loceng bertalu-talu. Mulutnya
sudah mula merungut. Badannya sudah mula rasa sakit dan
lenguh-lenguh akibat ditumbuk dan dibelasah oleh dua orang
lelaki tadi.
“Hesy... Mana pulaklah Razif ni?” Zahim mula panas
hati.
Lima minit kemudian, baru pintu apartmen tingkat
12 itu dibuka.
“Hah, ada pun kau. Ingatkan kau keluar tadi. Dah
naik kematu tangan aku tekan loceng. Telefon pula tak
berangkat.” Zahim mula merungut sebaik sahaja wajah Razif
muncul di hadapannya.
Razif menggosok-gosok matanya bagi memastikan
apa yang dilihatnya adalah betul dan bukan mimpi.
“Kau, Im. Sorry, aku tidur kejap tadi. Malas pula nak
keluar. Tak sedar pun kau called.” Razif memberi jawapan
dalam keadaan mamai.
“Hmm...”
“Eh, apa kena dengan kau ni? Kau bertinju dengan
siapa ni sampai lebam-lebam?” Razif segera meneliti wajah
Zahim. Bulat matanya merenung wajah Zahim ketika itu.
“Kalau ya pun nak jadi wartawan untuk temu ramah
aku, bagilah aku masuk dulu.” Zahim mengetap bibir.
‘Orang tengah sakit, dia bukan main kepoh pulak.’
Zahim mengetap bibir.
Razif mula tersengih. Tidak sangka teruk juga
keadaan Zahim. Hampir dia tidak cam. Laju tangannya
membuka grill dan membiarkan Zahim membolos masuk.
Selepas mengunci semula grill dan menutup pintu, Razif
segera mendapatkan Zahim yang sudah berlabuh di sofa.
Berkerut-kerut muka Zahim menahan sakit di badan dan
mukanya.
“Sekali lagi aku nak tanya ni, apa kena dengan muka
kau tu. Kau bergaduh dengan samseng mana ni? Pipi kau tu,
aku tengok dah macam rupa perempuan pakai blusher dah.”
Razif cuba menyentuh pipi Zahim tapi dengan pantas Zahim
mengelak.
“Boleh tak kau jangan nak jadi mak nenek. Ini
sebabnya aku tak nak balik rumah orang tua aku. Diaorang
pun pasti bising macam kau ni. Auch, sakitnya!” ujar Zahim
sambil menyentuh lembut bibirnya yang bengkak.
“Aku cuma nak lahirkan rasa prihatin. Rasa simpati
seorang kawan. Kalaulah macam ni kau layan pertanyaan
aku, baik aku biarkan aje kau berkampung kat depan pintu
apartmen aku ni. Biar padan dengan muka kau yang dah
memang lebam tu. Menyesal pulak aku bukakan pintu tadi.”
Razif menarik muka masam. Dia mula berkecil hati. Yalah, dia
punyalah risau tengok keadaan Zahim tapi, dia pula dimarahi.
Siapa yang tak hangat!
“Sorrylah, bro. Aku tak sengaja nak kecilkan hati kau
tadi. Kau boleh tolong ambilkan aku minuman tak, hauslah.”
Zahim mengeluh perlahan.
Razif segera bangun dan menuju ke ruang dapur
untuk mengambil segelas air. Sebaik sahaja kakinya
melangkah ke ruang tamu semula, matanya terpaku melihat
Zahim yang sedang menyandarkan badannya di sofa sambil
memejamkan mata. Razif segera mengambil tempat duduk
berhadapan dengan Zahim.
“Im, aku dah bawakan air untuk kau. Minumlah.
Tadi kata haus.” Razif memandang wajah Zahim.
Zahim buka mata dan terus membetulkan
kedudukan agar lebih selesa. Air kosong segera dicapai dan
diteguk rakus.
“Im, cuba kau cerita kat aku apa sebenarnya yang
berlaku pada kau ni. Teruk sangat dah aku tengok keadaan
kau, lebam sana sini. Kau dah pergi klinik ke belum? Kalau
belum, aku temankan kau.” Kesian pula Razif melihat
keadaan Zahim.
Razif sebenarnya rasa terkilan dan tidak puas hati
selagi tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada
Zahim. Tidak pernah dia lihat kawannya dalam keadaan
seteruk itu.
“Macam mana aku nak cerita, ya?” Zahim
teragak-agak hendak memulakan cerita. Dia menggaru-garu
kepala yang tidak gatal.
“Yang kau tiba-tiba garu kepala tu apa hal? Kepala
kau tu ada banyak kutu atau kelemumur?” Razif mendengus
kasar. Sengaja buat dia panasaran hendak tahu kebenaran.
“Hai, kawan. Boleh lagi kau buat lawak.” Zahim
tergelak kecil mendengar komen Razif.
“Aik, payahnya nak mulakan intro? Kau bukannya
nak masuk pertandingan bercerita pun. Tak payah nak buat
karangan panjang-panjang. Terus aje ke main point, senang,”
perli Razif yang tidak sabar melihat kerenah temannya. Saja
nak bagi dia resah.
“Kalau aku cepuk nanti, bertambah-tambah bengkak
kat muka kau!” Razif mengerling tajam ke arah Zahim.
“Erm... sebenarnya, tadi aku singgah dekat shopping
complex kejap. Bila aku nak masuk dalam kereta, tiba-tiba ada
dua orang lelaki datang serang aku. Pukul kepala aku dengan
kayu hoki. Tak sempat aku nak tanya dan buat apa-apa, terus
aku dibelasah.” Kening Razif sudah bertaut hairan.
“Takkanlah tiba-tiba ada orang datang belasah kau.”
Razif mula musykil.
“Mereka berdua tu diupah oleh seseorang untuk
pukul Zarul, tapi aku yang terkena.” Zahim pamer muka
selamba.
“Alamak, betul ke? Kesian kau kan. Selalu juga jadi
mangsa perbuatan si Zarul tu. Dia yang buat hal dengan
perempuan, kau yang kena.” Razif menggeleng kepala.
Kadang-kadang dia rasa simpati dengan Zahim. Zarul yang
buat hal, Zahim yang kena musibah.
“Nasib baik ada orang datang tolong aku. Aku
memang respect betul kat dia. Berani betul dia melawan dua
lelaki itu sampaikan kedua-duanya kalah. Dia punya gaya...
fuhh, buat aku terpegun gila.” Zahim mengukir senyum. Dia
masih terbayang lagi ketangkasan Sufi menangani kedua-dua
orang lelaki itu dengan tenang.
“Hai... lain macam saja pujian kau ni. Sejak kau kena
belasah, otak kau pun dah biul sama ke? Kau ni dah mula
songsang ke apa? Kau dah bikin bulu roma aku menegak.
Tengok ni!” Razif sudah menunjukkan lengannya yang sedikit
berbulu itu.
Zahim tergelak seketika sehingga dia mengaduh
kesakitan. Tangan kanannya segera menyentuh bibirnya yang
bengkak.
“Oi, kau ingat aku ni apa, hah? Aku ni jenis lelaki
tulen tahu. Tentu kau tak percayakan siapa yang datang
tolong aku tadi.” Zahim mendecit seketika. Geram betul bila
mendengar tuduhan kawannya itu.
“Siapa? Abang bomba atau jaga kat shopping complex
tu?” Razif mula tergelak-gelak membuatkan Zahim segera
melemparkan bantal kusyen ke mukanya. Lemparan yang
tepat dan padu membuatkan gelak Razif terhenti tiba-tiba.
“Main kasar nampak.” Razif memegang kemas
bantal kusyen yang dilemparkan oleh Zahim tadi. Kalau nak
diikutkan, mahu sahaja dia baling semula bantal kusyen itu
ke muka Zahim, tapi mengenangkan muka kawannya itu
bengkak, tidak sampai hatilah pula.
“Zif, kau tentu tak percayakan, orang yang datang
tolong aku tadi sebenarnya seorang perempuan. Cun, lawa...
sweet aje aku tengok muka dia.” Zahim bersuara membuatkan
mulut Razif terus melopong.
“Kau ni biar betul... Takkanlah perempuan yang
datang tolong kau?” Hampir terjojol biji mata Razif
mendengar kata-kata Zahim itu.
“Yup. Memang betul. Gayanya agak brutal sikitlah
tapi masih lagi nampak cute.” Bibir Zahim tetap mengukir
senyum.
“Wow, menakjubkan! Mungkin dia tu keturunan
Wonder Woman kut!”
Razif nampak teruja. Namun, dia masih sukar
nak percaya bahawa kawannya itu dibantu oleh seorang
perempuan. Selama ini, dia jarang mendengar Zahim memuji
perempuan. Ini kes pelik.
“Jadi, serius ni... perempuan tu yang tolong kau
belasah dua lelaki tu?” Razif memandang tepat ke muka
Zahim mencari kebenaran.
Zahim mengangguk beberapa kali membuatkan
sekali lagi Razif menelan liur.
“Oh my God. Kau sempat berkenalan dengan dia
tak? Mana tahu dia tu jodoh kau tapi kau kena hati-hati sikit
takut nanti segala tulang-temulang kau patah liuk dikerjakan
dia.” Razif mula tergelak memikirkan kemungkinan yang
bakal dihadapi oleh Zahim.
“Dia jual mahal. Aku bagi kad pun, dia tak nak
terima. Tapi kan Zif, aku benar-benar harap sangat yang aku
akan dapat jumpa dia lagi lepas ni.” Bibir Zahim kembali
mengukir senyum.
“Hmm... harap-haraplah.” Razif tayang muka
selamba. Bagi sokongan ajelah, bukannya rugi pun.
“Kau ni, aku tengok dah teruk sangat. Nak aku
hantarkan kau ke klinik tak?” Razif kembali memandang
wajah Zahim.
“Kejap lagilah.” Zahim menyandarkan badan di sofa.
“Kau ni memang. Aku kenal sangat perangai kau,
takut nak jumpa doktor. Macam budak-budak walaupun
badan sado, otot berketul-ketul. Aku tukar baju kejap. Nak
tak nak, kau kena pergi klinik. Biar doktor bagi kau suntikan
sejarum dua kat punggung kau.” Razif memandang wajah
Zahim yang sudah terbeliak mata.
“Suntikan? Arghh... Tak mahu aku. Kau bukan tak
tahu, aku alergi betul benda tu.” Razif sudah tergelak-gelak
sambil menggeleng kepala.
“Kan betul kata aku. Kau ni penakut, mengalahkan
budak tadika.” Razif menarik nafas seketika sebelum berlalu.
“Zif, malam ni aku tumpang bermalam kat sini, ya?
Esok aku cuti. Nanti aku call papa tapi kau jangan lebih-lebih
pulak beritahu kat papa aku pasal hal ni. Nak-nak kalau tahu
dekat mama aku, meroyan dia nanti.” Zahim menanti reaksi.
“Aku tahulah.” Razif membalas dari dalam bilik.
Selepas itu, Razif siap bagi ugutan lagi. Kalau
Zahim tak nak pergi klinik, dia tidak kasi Zahim tidur di situ.
Terpaksalah Zahim akur dengan ugutan itu. Rugi pula bila
mengenangkan yang dia tiada rumah sendiri. Papa dan mama
yang tidak bagi dia tinggal sendiri dengan alasan tiada orang
yang akan menghuni banglo mewah itu.

HANNAH MENGGELENG kepala melihat bengkak-bengkak
yang terdapat di tangan dan lengan Sufi. Alhamdulillah, tak
adalah teruk sangat. Kalau tidak, memang dia akan paksa Sufi
pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
“Sufi, berapa kali aku nak kena ingatkan kau, kalau
nak tolong orang pun, biarlah berpada-pada. Jangan sampai
memudaratkan diri sendiri. Ini dah lebam-lebam tangan dan
lengan kau. Nasib baik muka tu bengkak sikit aje. Kalau tak,
hilang kejelitaan kau!” Hannah mula merungut.
“Alah, kau ni. Tolong orang yang memerlukan
bantuan tu dituntut, dapat juga pahala, takkanlah aku nak
tengok saja lelaki tu kena belasah. Aku ni kan manusia
yang prihatin kepada masyarakat.” Sufi masih lagi mampu
menayang senyum membuatkan Hannah mengeluh perlahan.
“Memang aku tak nafikan bahawa tolong orang tu
dapat pahala tapi kau kena fikirkan juga risiko yang kau akan
hadapi. Jangan main terjah membabi buta saja. Kau kena
sedar yang kau tu perempuan. Kudrat kau tu terhad kalau
nak dibandingkan dengan kudrat lelaki.
Aku sayangkan kau macam saudara kandung aku dan
aku tak nak perkara buruk berlaku pada kau. Kau faham tak?
Lagi satu, kau kena juga fikirkan tentang anak kau, Risya.
Dia masih terlalu kecil dan perlukan kau untuk menjaganya.”
Hannah memberi nasihat dengan harapan Sufi akan faham
apa yang sedang ditanggung dan dirasainya setiap kali Sufi
buat keputusan begitu.
“Tapi Anna, perasaan aku ni meronta-ronta kalau
aku tengok sesuatu yang buruk berlaku depan mata. Tangan
ni terasa gatal aje nak belasah orang yang tak tahu nak
menghargai orang lain.”
Sufi mempertahankan prinsipnya. Memang dia
pantang kalau nampak sesuatu yang tidak elok. Bukan dia
nak tunjuk hebat atau nak tunjuk lagak tapi itu naluri dan
perasaan dia. Dia pun hairan, kenapa Hannah masih lagi tidak
faham apa yang dia rasa sedangkan hubungan persahabatan
mereka sudah lama terjalin sejak zaman kanak-kanak lagi.
“Jadi perempuan ni mesti ada sifat sopan santun,
lemah lembut, jangan main hentam kromo aje. Memang aku
tahu yang kau ni mahir ilmu silat dan tekwando. Kalau nak
tunjukkan kehandalan kau tu, biarlah dengan lawan yang
sepadan. Kau tahu tak, kalau mana-mana lelaki tengok kau
bertumbuk macam tu, mereka akan takut nak dekat dengan
kau. Takut kena belasah!” Hannah terus memberi nasihat.
“Terima kasih atas nasihat kau tu. Aku tahu kau
memang sayangkan aku dan aku pun sayangkan kau. Hanya
kau satu-satunya sahabat aku yang paling memahami dan
sentiasa ada di sisi aku ketika aku senang dan aku susah.”
Sufi benar-benar rasa bertuah punya kawan seperti Hannah.
Hannah terdiam seketika.
Sejak kecil lagi Sufi lebih bersifat kepada lelaki. Tegas
dan lebih sukakan kepada sesuatu yang lasak dan mencabar.
Itu sebab dia mengikuti abangnya berlatih silat walaupun
ditentang oleh orang tuanya.
Hendak kata dia brutal, memang pun. Hendak kata
dia kasar, erm... adalah sikit-sikit. Namun masih lagi terserlah
naluri kewanitaan dalam dirinya. Dia masih lagi menjaga
dirinya, menutup aurat, menjaga pergaulan, percakapan dan
yang paling penting, dia kaya dengan kasih sayang. Tengok
saja bagaimana dia menjaga dan merawat Risya. Penuh
dengan sifat keibuan sehinggakan Hannah rasa kagum
melihat bagaimana Sufi dapat mendidik Risya dengan baik
sekali tanpa kehadiran seorang lelaki yang bernama suami.

SUFI MEMANDANG telefon bimbit yang berdering di atas
katil. Dia segera mendapatkan telefon yang sedang berdering
dan menyentuh tanda gagang berwarna hijau.
“Assalamualaikum.” Sufi segera memberi salam.
“Waalaikumussalam.”
“Umi sihat?” Sufi melabuhkan punggung di atas
katil.
“Sihat, alhamdulillah. Cucu umi sihat?”
Sufi mengetap bibir seketika.
“Cucu kesayangan umi tu sihat aje. Apalah umi ni.
Ingatkan telefon ni sebab rindukan anak umi yang bernama
Nur Aisyah Sufiya tapi cucu umi yang bernama Risya pula
yang ditanya.” Sufi pura-pura berjauh hati membuatkan
uminya tertawa kecil.
“Alah, sayang umi ni dah merajuk, ya. Ingatkan
orang yang brutal macam Sufi ni tak tahu merajuk tapi dah
namanya perempuan tetap tarik muncung panjang jugak
kan?” Hajah Hashimah terus mengusik sambil tergelak kecil.
“Umi ni, tak suka tau!”
Sufi menarik muka masam. Biar pun uminya tidak
nampak tapi dia tetap mempamerkan mimik itu.
“Sufi, walaupun Sufi ada di depan mata umi, umi
tetap rasa rindu. Inikan pula bila anak kesayangan umi
ni tak ada di sisi. Rasa macam dah berbulan-bulan Sufi
berjauhan dari umi walaupun hakikatnya anak umi ni baru
saja tinggalkan umi seminggu. Walid juga rindukan Sufi
dan Risya. Tambahan pula, ini kali pertama kami berjauhan
dengan Risya. Sufi tahukan yang Risya tu membesar di depan
mata umi dan walid, sama macam Sufi juga.” Alah umi ni
dah buat scene sedih sayu pulak. Ini yang buatkan Sufi nak
menangis tiba-tiba ini.
“Sufi pun rindukan umi dan walid,” Sufi menahan
sebak.
“Hmm... umi tahu...”
Suasana sepi seketika.
“Bila Sufi mula kerja?”
“Isnin ni. Esok Sufi nak daftarkan Risya kat nursery.
Biar dia biasakan dirinya sehari dua dulu sebelum Sufi kerja.
Rasanya tak ada masalah sebab dia kan dah pernah pergi
nursery. Cuma kat sini mungkin suasananya agak berbeza
sikit. Harap-harap tak ada masalah yang akan timbul nanti.”
Sufi menarik nafas seketika.
“Kalau Risya tak selesa tinggal kat sana, biarkan aje
dia tinggal dengan umi. Umi boleh jaga dia.” Hajah Hashimah
menawarkan diri.
“Sufi tak nak susahkan umi. Selama ini, umi dan
walid dah banyak bantu Sufi. Kali ini biarlah Sufi belajar
untuk hidup berdikari.”
“Ya, umi tahu tapi selagi Sufi belum berkahwin, Sufi
masih lagi di bawah tanggungjawab umi dan walid,” ujar
Hajah Hashimah. Sufi mengeluh perlahan.
“Sufi tak nak terus bebankan umi dan walid.
Insya-Allah tak lama lagi Abang Lan akan balik dan kami akan
teruskan rancangan kami sebagaimana yang dibincangkan
sebelum ni.”
“Umi faham tapi bagaimana dengan Risya?” Hajah
Hashimah melahirkan rasa bimbang.
“Risya adalah sebahagian dari hidup Sufi. Abang Lan
juga tahu hal ni dan dia dapat terima dengan baik. Kalau dia
sayangkan Sufi, dia pasti akan terima Risya,” ujar Sufi dengan
tenang.
“Macam mana kalau sebaliknya? Hati orang ni sukar
nak dijangka. Dulu dan sekarang, pasti ada bezanya.” Hajah
Hashimah tetap lahir rasa gusar mengenangkan masa depan
anak perempuannya itu.
“Entahlah. Insya-Allah, semuanya akan berjalan
dengan baik. Umi doakanlah semoga anak umi ini berjaya
dan bahagia ya, umi.” Dalam hati, Sufi mengharapkan apa
yang dirancang dan diinginkan akan berjalan dengan baik
dan sempurna. Tak dapat hendak dibayangkan kalau berlaku
yang sebaliknya.
“Hmm... Umi sentiasa mendoakan yang terbaik
untuk semua anak umi. Kalau ada apa-apa, jangan lupa
hubungi umi. Ingat, jangan bertindak sesuka hati. Bukan umi
tak kenal anak umi ni.” Hajah Hashimah memberi pesanan
membuatkan Sufi tergelak kecil. Sebagai seorang pendidik,
dia telah mendidik Sufi dengan sebaik-baiknya. Besar
harapannya agar Sufi menjadi seorang anak yang berjaya di
dunia dan di akhirat.
“Alah, umi ni... jangan risaulah. Semuanya baik-baik
aje.” Serta-merta kejadian tadi terbayang di matanya.
Perbualan mereka diakhiri dengan ucapan salam dan
Sufi benar-benar rasa tenang sebaik sahaja dapat bercakap
dengan uminya.

No comments:

Post a Comment