DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 11

PANTRI pagi ini agak riuh dan meriah dengan
suara gelak tawa beberapa orang staf. Apa lagi bila sesekali
berkumpul ramai-ramai sambil menikmati sarapan pagi.
Selalunya mereka hanya bersarapan di kafe tapi entah kenapa
timbul pula cadangan Kak Azah yang meminta mana-mana
staf yang berminat membawa bekal untuk dikongsikan
bersama. Aktiviti yang jarang-jarang berlaku di Zamrud
Holdings.
“Hmm... sedapnya sandwich, siapa yang buat ni?”
Adib bersuara selepas merasa sekeping sandwich.
Staf yang lain mula mengambil sandwich yang
dimakan oleh Adib tadi. Memang dilihat pada rupanya pun
agak menyelerakan.
“Sandwich tu Sufi yang buat. Sedapkan.” Kak Azah
segera melirik ke arah Sufi yang sedang membancuh Milo
panas.
“Oh, patutlah sedap.” Anuar mencelah sambil
menaikkan keningnya.
“Alah, sesiapa pun boleh buat. Simple aje tu, benda
mudah dan belanjanya pun murah.” Marina pula mencelah.
Sakit hatinya mendengar pujian Adib untuk Sufi.
“Walau pun simple dan murah, tapi selama ini tak
pernah pun kami rasa hasil buatan tangan kau. Cakap aje
gempak,” perli Hamdan disambut gelak oleh Adib.
“Sufi, awak guna sardin jenama apa ni? Memang
sedaplah rasanya.” Adib mencapai satu lagi sandwich.
Staf perempuan yang lain turut menikmati beberapa
jenis makanan. Ada yang bawa mi goreng, kuih-muih dan
juga puding.
“Err... Sufi pakai sardin jenama Marina. Sedapkan?”
balas Sufi sambil melirik ke arah Marina yang sedang
menikmati mi goreng buatan Kak Azah.
Marina sudah mula terbatuk-batuk.
Adib dan Hamdan terus melepas tawa sebaik sahaja
Sufi menyebut sardin jenama Marina. Yalah kan, dalam
banyak-banyak jenama sardin, jenama Marina juga yang
dipilih Sufi.
“Amboi, hebat kau Marina. Ada jenama sardin sendiri
ya... Kellaaas kau Marina.” Adib terus ketawa, memang
sengaja dia tiru iklan Ribena. Cuma namanya bukan Maria.
Marina terus menarik muka masam. Malah siap
melemparkan jelingan tajam buat Sufi. Sufi hanya buat muka
selamba sedangkan pada hakikatnya dia sedang menahan
tawa. Tidak tahan melihat muka cemberut Marina. Kebetulan
pula kawan rapat si Marina iaitu Saleha tidak datang kerana
cirit- birit. Jadi, dia tiada geng nak back-up. Itu yang dia mati
kutu.
“Hesy, korang ni kan memang sengaja nak malukan
aku!”
Marina mendecit geram menahan sakit hati.
“Alah, biarkan aje, tak payah nak peduli. Kebetulan
aje jenama sardin tu sama dengan nama Rina. Kira okeylah
tu, glamor sikit.” Kak Azah menyampuk cuba nak meredakan
suasana.
“Hai, meriah nampak. Makan tak ajak I pun!”
Tiba-tiba Razif muncul di muka pintu pantri sambil melempar
senyum.
“Encik Razif, joinlah kita orang,” ajak Kak Azah
mewakili mereka yang ada di situ.
Razif terus melangkah masuk ke dalam pantri.
“Hmm... nampak macam sedap aje.” Mata Razif terus
memaku pada hidangan yang ada di atas meja itu.
“Cubalah rasa. Encik Razif nak makan apa?” pelawa
Kak Azah sambil menghulurkan pinggan polistirena. Tanpa
berlengah, Razif mengambil tempat duduk dan segera
mencedok mi goreng.
“Sandwich ni kalau Encik Razif nak tahu adalah
hasil tangan Sufi dan yang lebih spesial lagi sardin yang Sufi
guna jenama Marina.” Adib mencelah.
“Opss, ya ke?” Bibir Razif mula mengorak senyum.
“Adib, kalau kau tak kenakan aku, tak boleh ke?”
Marina menahan geram yang amat apabila namanya menjadi
bahan gurauan.
“Rina, kau ni gurau sikit pun dah terasa ke?”
Adib mencapai Milo panas dan diteguknya perlahan.
“Sedaplah sandwich ni, nanti you bolehlah buat
selalu, ya?” Razif bersuara selepas menyuap sandwich ke
dalam mulutnya.
“Insya-Allah. Tak ada masalah.” Bibir Sufi sudah
mengukir senyum.
“Eleh, nak bodek boslah tu.” Begitu sinis sekali suara
Marina membuatkan semua mata memandang ke arahnya.
“Apa? Betullah apa yang aku cakap. Baru aje masuk
sini dah nak tunjuk baiklah tu. Aku tak hairanlah.” Marina
melempar jelingan tajam ke arah Syah dan terus berlenggang
keluar dari pantri.
“Sufi, usah pedulikan dia. Dah memang perangainya
macam tu. Kami semua dah ‘masak’ dengan perangai dia,”
pujuk Kak Azah bila dilihatnya wajah Sufi mula keruh.
Mungkin rasa tidak selesa mendengar kata-kata Marina.
“Tak adalah. Sufi tak ambil hati pun.” Sufi menarik
nafas sebelum menghulur senyuman.
“Okey, terima kasih untuk semua. Lain kali I belanja
you all makan nanti, ya,” ujar Razif sambil mengangkat
punggungnya. Ada hal yang perlu diuruskan sebentar lagi.
“Beres. Kami ni Encik Razif, kalau bab makan
free memang tak pernah tolak.” Hamdan bersuara. Adib
mengangguk kepala tanda menyokong kata-kata Hamdan itu.
“Oh ya Sufi, kejap lagi you datang bilik I. Ada benda
yang I nak discuss dengan you.”
“Baik, Encik Razif.” Sufi melempar senyuman.
Sempat juga senyumannya dibalas dengan kenyitan mata
oleh Razif.
“Amboi, ada something yang Sufi sembunyikan dari
kami semua ke?” tegur Kak Azah yang turut melihat apa
yang dilakukan oleh Razif tadi. Bukan hanya Kak Azah yang
melihat, mereka yang berada di situ semuanya dapat melihat
dengan jelas.
“Tak ada apa-apalah, jangan buat apa-apa spekulasi,
ya. Nanti Sufi saman korang semua.” Sengaja Sufi
menjegilkan matanya tidak mahu hal itu bersambung lagi.
Kalau tidak, masak dia jadi bahan usikan mereka.
“Kalau ada apa-apa pun, kami tak kisah, lagi suka
ada.” Kak Wawa yang sedang meneguk minuman bersuara
membuatkan muka Sufi terasa hangat. Bagi mengelak dirinya
terus menjadi bahan usikan, Sufi segera meminta diri untuk
beredar dengan alasan ada perkara yang perlu dia uruskan.

SUFI MENGATUR langkah ke bilik Razif sebaik sahaja
mendapat panggilan telefon dari Cikgu Nur Ain sebentar
tadi. Setelah mendapat kebenaran untuk masuk, Sufi segera
memulas tombol pintu. Teragak-agak juga dia nak masuk
untuk menyampaikan hajat.
“Kenapa tercegak aje kat pintu, masuklah.” Lelaki
itu segera menghadiahkan senyuman.
Sufi menelan liur seketika sebelum kakinya
diayunkan ke depan untuk bersemuka dengan Razif.
“Kenapa ni? You ada apa-apa yang nak dikongsikan
dengan I ke?” Razif merenung wajah keresahan Sufi.
Sufi menarik nafas seketika.
“Have a sit,” pelawa Razif.
Sufi akur. Kerusi di hadapan Razif ditarik dan dia
segera melabuhkan punggung ke kerusi.
“You macam resah aje, you ada masalah ke? Kalau
you nak berkongsi dengan I, I sedia mendengar.” Razif cuba
memberi perhatian.
“Err... kalau tak keberatan, boleh tak kalau saya nak
cuti separuh hari.” Teragak-agak Sufi nak memandang wajah
Razif yang merangkap bosnya itu.
Razif terdiam seketika. Dia membetulkan
kedudukannya sebelum tumpuannya terus terpaku menatap
wajah Sufi.
“Kenapa? You memang ada masalah ke?” Wajah
resah Sufi tetap dipandang Razif.
Sufi menarik nafas seketika. Perlukah dia beritahu
tentang Risya sedangkan selama ini tiada orang yang tahu
bahawa dia sudah mempunyai seorang anak.
“Saya ada hal peribadi yang perlu diuruskan,” ujar
Sufi perlahan sambil tunduk.
“Hal peribadi? Boleh beritahu I? Mana tahu kalau
I boleh bantu.” Saja Razif nak menduga. Ingin tahu sejauh
mana jawapan yang akan diberikan oleh Sufi.
Sufi memejam mata seketika. Dia mula dilanda rasa
serba salah.
“Just kidding.”
Tiba-tiba Razif melepas tawa membuatkan mata Sufi
terus terpaku menatap wajah lelaki itu. Terselit rasa hairan
mendengar tawa itu. Apa yang lucunya sampaikan lelaki itu
boleh melepas tawa begitu.
“Sorry.”
Razif segera memohon maaf. Dia tahu Sufi pasti rasa
tidak selesa mendengar tawanya tadi.
“Serius. Saya memang ada hal yang perlu diuruskan
hari ni. Kalau hal ni tak penting, saya tak akan minta cuti.”
Sufi menahan rasa hati.
Razif terdiam seketika. Kepalanya diangguk beberapa
kali.
“Okey, you boleh ambil cuti separuh hari ni untuk
selesaikan masalah you tu. I ni bukannya kejam sangat
sampai tak benarkan staf I nak cuti. Semua orang pastinya
ada masalah, cuma pandai-pandailah kita selesaikannya.”
Bibir Sufi mengorak sedikit senyum.
“Tapi kalau you perlukan apa-apa bantuan, you boleh
beritahu I. I sedia membantu,” sambung Razif dengan wajah
tenang.
“Terima kasih Encik Razif. Saya keluar dulu.” Sufi
terus bangkit dari kerusi untuk beredar.
Razif mengangguk perlahan.
“Oh ya, pasal kertas kerja yang Encik Razif minta
saya buatkan tu, saya dah hampir nak siap. Insya-Allah, pagi
esok saya akan berikan pada Encik Razif.”
“Hmm... good. I harap kita akan berjaya uruskan
projek tu tak lama lagi. Lagipun, Tan Sri amat menitik
beratkan pasal projek tu. Minggu depan, I kena bentangkannya
dalam mesyuarat dengan Ahli Lembaga Pengarah.”
“Insya-Allah, harap semuanya akan berjalan dengan
baik dan berjaya.” Doa Sufi yang turut merasa debarannya.
“Insya-Allah. Dalam hal ni, you sebenarnya yang
banyak bagi sumbangan dan idea. Nanti lepas ni I akan belanja
you. You yang kena tentukan bila dan di mana, boleh?” Razif
melempar senyuman.
“Tak perlulah. Itukan memang kerja saya. Saya kena
berikan prestasi dan komitmen yang terbaik agar setimpal
dengan apa yang saya dapat.” Sufi tidak menimbulkan
sebarang spekulasi tentang hubungan dia dan Razif. Bukan
dia tidak tahu perangai, sikap dan mulut Marina dan Saleha,
ada-ada saja yang dia lakukan menjadi kritikan kedua-dua
gadis itu. Dia pun hairan, apa yang didengkikan sangat
mereka berdua itu dengannya.

SUFI MEMBUKA mata sebaik sahaja mendengar telefonnya
berdendang di dalam beg tangan yang diletak di sebelah
tempat tidurnya tadi. Dia bangun dan segera menyelongkar
beg tangannya dan mengeluarkan telefon yang masih lagi
berbunyi. Nama Kak Azah tertera di skrin telefonnya.
“Assalamualaikum, Kak Azah.”
“Waalaikumussalam. Sufi kat mana ni?” Suara Kak
Azah menusuk ke telinganya.
“Sufi ada kat rumah, kenapa kak?” Sufi membetulkan
kedudukannya. Matanya tetap merenung wajah Risya yang
nampak begitu lena tidur.
“Kat rumah?”
“Haah. Sufi ambil cuti half day hari ni. Sufi dah
minta kebenaran dari Encik Razif tadi. Ada masalah kat ofis
ke?” Sufi hairan mendengar suara Kak Azah yang bunyi agak
cemas.
“Oh... ya ke. Pasal apa tiba-tiba Sufi ambil cuti ni?”
Kak Azah bersikap prihatin.
“Erm... Sufi tak sihat. Rasa macam nak demam,
badan pun lemau aje tadi.” Sufi mencari alasan yang sesuai.
“Ya ke... Ingatkan pasal apa tadi.” Kedengaran suara
Kak Azah mengeluh lega.
“Kenapa kak? Ada hal serius ke sampaikan akak call
ni?” Sufi berkerut dahi.
“Tak adalah. Cuma tadi si Rina, macam biasalah
mulut murai dia tu, heboh bercerita yang Sufi ni bergaduh
besar dengan Encik Razif sampaikan tergesa-gesa keluar ofis.
Itu yang akak call nak minta penjelasan. Kut-kut ceritanya
tu betul tapi kalau dah itu yang Sufi cakap, lega akak,” ujar
Kak Azah.
“Hesy... Si Rina tu memang nak kena ganyang betul.
Suka sangat buat cerita tak betul. Entah apa yang dia dengki
sangat dengan Sufi pun, Sufi tak tahu!” Sufi mengeluh kesal
mengenangkan sikap Marina.
“Akak sendiri pun tak faham dengan perangai dia tu
tapi akak rasa, dia cemburukan Sufi sebab dia rasa tercabar
dengan kehadiran Sufi. Alah, Sufi buat tak peduli sajalah
dengan dia tu. Jangan ambil hati dan tak payahlah nak layan
dia sangat.”
“Sufi bukan apa kak, si Rina tu suka sangat cari pasal
dengan Sufi. Angin juga Sufi dibuatnya mengenangkan sikap
dia tu. Sufi ni pun kadang-kadang bukannya elok sangat
perangai, kalau datang kepala angin, tahulah macam mana
Sufi kerjakan dia nanti!”
Sufi mengetap bibir.
Kak Azah mula ketawa.
“Yang itu akak tahu. Buktinya Encik Razif tu sampai
lebam biji matanya dikerjakan Sufi, bukan!” Kak Azah
tergelak kecil bila mengingatkan kejadian itu.
“Tahu takpe.” Sufi turut tergelak sama.
“Okeylah. Akak nak buat kerja ni. Akak doakan Sufi
cepat sembuh, ya.” Kak Azah menitip doa sebelum mematikan
talian.
“Terima kasih, Kak Azah.”
Sufi mendengus perlahan sebelum melirik ke arah
jam tangannya. Sudah hampir pukul 3 petang. Dia bergegas
ke bilik air untuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat
zohor. Nasib baik Kak Azah menghubunginya tadi. Kalau
tidak, pasti dia terbabas untuk mengerjakan solat.
Selepas solat zohor, Sufi menyediakan makan tengah
hari secara ringkas. Perutnya sudah mula berkeroncong.
Sebelum keluar dari bilik tadi, Sufi sempat menyentuh
dahi Risya. Panas sudah berkurangan. Sufi mengeluh lega.
Bersyukur sangat yang demam Risya tidak melarat.
“Mama... mama...” Panggilan Risya membuatkan
tumpuan Sufi pada rancangan yang disiarkan di TV terganggu.
Bergegas dia masuk ke dalam bilik untuk melihat keadaan
Risya.
“Sayang mama dah bangun, ya?” Sufi segera
mendapatkan Risya.
“Risya lapar, ya? Nanti mama buatkan susu untuk
Risya,” pujuk Sufi selepas mengucup dahi Risya.
Risya diam.
“Risya nak susu ke?” Sufi memandang wajah pucat
Risya.
Risya mengangguk perlahan.
“Risya duduk diam-diam kat sini ya, mama pergi
buatkan susu kejap.”
Sufi bergegas keluar menuju ke dapur untuk
membancuh susu untuk Risya. Beberapa minit kemudian,
dia kembali mendapatkan Risya dan menyerahkan botol susu.
Dia menemani Risya sehingga anaknya tidur semula.

HANNAH MEMANDANG wajah Sufi yang sedang mengusap
lembut kepala Risya yang sedang tidur di ribanya. Wajah Sufi
dan Hannah menjadi sayu bila melihat keadaan Risya yang
masih nampak lemah itu.
“Kesian aku tengok keadaan Risya.” Mata Hannah
masih lagi menatap wajah Risya.
“Hmm... aku pun tak sampai hati nak tinggalkan
Risya kat nursery esok, takut demamnya datang balik.” Sufi
mengusap lembut kepala Risya.
“Insya-Allah, Risya tak apa-apa.” Hannah cuba
menenangkan perasaan risau Sufi.
“Aku rasa aku nak minta cutilah esok.” Sufi
melahirkan rasa gusar.
“Tapikan kau kata kau nak serahkan kertas kerja
yang kau buat tu esok kat bos kau. Nanti apa pula kata dia.”
Hannah memandang wajah Sufi.
“Oh ya, aku lupalah pulak. Nasib baik kau tolong
ingatkan.” Sufi mula rasa bersalah.
Hannah terdiam seketika.
“Kalau keadaan Risya tu masih lagi tak elok,
kau minta aje cuti. Nanti kau calllah bos kau tu.” Hannah
memberi saranan.
“Tapi aku tak sedap hati pula kalau tak pergi kerja.
Aku tak nak dikatakan sebagai pekerja yang tidak berdisiplin
dan mungkir janji, tambahan pula aku ni pekerja baru. Kau
pun tahukan si Rina tu, tunggu masa saja nak cari silap aku,”
keluh Sufi perlahan. Dia mula bingung. Mana yang perlu dia
utamakan, Risya atau kerjanya!
“Usah pedulikan perempuan tak betul tu. Macam
nilah, kalau kau dah serba salah nak cuti esok, kau tinggalkan
aje Risya kat nursery. Insya-Allah, Risya akan sembuh kalau
makan ubat mengikut waktu yang ditetapkan. Kalau ada
apa-apa yang teruk berlaku pada Risya, Cikgu Ain pasti akan
hubungi kau.” Hannah cuba menenangkan perasaan Sufi.
“Terima kasih Anna kerana menenangkan aku. Umi
dan walid ada hubungi aku tadi bertanyakan pasal Risya,
mereka tu dah rindu sangat dengan Risya. Aku ingat, hujung
minggu ni aku nak balik kampung. Kau nak ikut?” Sufi tahu
orang tuanya sudah begitu rindukan Risya.
“Okey juga. Aku pun dah lama tak balik jenguk mak
aku. Mak aku pun dah bising bila aku call dia. Hujung bulan
ni, adik aku Balqis nak bertunang!” Hannah turut rasa teruja
nak balik kampung.
“Hmm... nampaknya ada yang akan dapat cincin
percuma nanti.” Sufi mengusik sambil menguntum senyum.
“Cincin percuma? Maksud kau, ada contest cabutan
bertuah ke?” Dahi Hannah mula berkerut.
“Yalah. Si Balqis dah langkah bendul, kenalah bayar
pampasan cincin sebentuk.” Sufi cuba memberi penjelasan.
Hannah tergelak kecil. Tidak pernah pun dia terfikir
sebagaimana yang dinyatakan oleh Sufi itu.
“Aku tak kisah pasal langkah bendul ni semua.
Itu cuma adat. Kalau ikut tak apa, tak ikut pun bukan satu
kesalahan atau dosa. Dah si Balqis tu dapat jodoh awal, itu
kira rezeki dia. Jadi aku tumpang gembira dan bersyukur.”
Hannah pamer muka tenang.
“Aku minta maaf kalau kau terasa.”
Sufi memandang wajah Hannah.
“Tak ada hallah. Kan aku selalu cakap yang jodoh aku
belum sampai, nak buat macam mana. Takkanlah nak buat
iklan dalam surat khabar untuk dapatkan jodoh.”
Hannah mengukir senyum.
“Aku doakan kau akan dapat jodoh yang terbaik sebab
aku tahu kau juga seorang perempuan yang baik. Perempuan
yang baik hanya sesuai untuk lelaki yang baik sahaja.” Sufi
menyokong.
“Amin... Terima kasih sebab doakan untuk aku.
Tapikan Sufi, kau yakin ke yang Abang Wan Jazlan bin Wan
Mat tu adalah jodoh yang terbaik untuk kau?” Tiba-tiba
Hannah menimbulkan isu hubungan antara Sufi dan Jazlan.
“Aku harapkan begitu walaupun ada ketikanya aku
tak yakin bahawa Abang Lan adalah jodoh aku.”
Sufi mengeluh perlahan.
“Maksud kau?”
“Hubungan dan komunikasi antara kami tak berjalan
dengan baik sejak kebelakangan ini. Dia banyak menyepi.
Takkanlah dia tak ada masa langsung untuk bertanya khabar
pasal aku? Kau pun tahukan sekarang ni zaman serba canggih.
Kita boleh berinteraksi dengan pelbagai cara tapi dia lebih
suka mendiamkan diri. Sebab itu kadang-kadang aku terfikir
bahawa dia ada perempuan lain.” Hati Sufi mula rasa sebak.
“Itulah kata orang, tempoh dan masa bertunang
adalah yang paling mencabar. Kau sabar, ya. Tak lama lagi
pengajiannya akan tamat dan dia akan balik ke sini. Kalau
dia jodoh kau, kau pasti akan hidup bersama tak kira apa jua
badai yang mendatang.” Pujukan Hannah membuatkan Sufi
mengukir senyum.
Ya, selama 2 tahun Jazlan melanjutkan pengajian
peringkat Masternya di UK, selama itulah juga Sufi dan
Jazlan akan mengikat tali pertunangan. Majlis perkahwinan
akan dilangsungkan apabila Jazlan berjaya menamatkan
pengajiannya dan pulang ke tanah air. Dan kerana janji yang
termeterai itu membuatkan Sufi begitu setia menunggu
kepulangan lelaki itu demi membina mahligai bahagia.

No comments:

Post a Comment