DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 5

“YUNI!!!”
Ayuni berpaling. Sebuah motosikal semakin
menghampiri. Dia meneruskan kayuhan. Tidak peduli
si pemanggil yang mengejar. Tiba-tiba motosikal itu
menghalang laluannya memaksa Ayuni menghentikan
kayuhan secara mengejut.
“Apa hal ni?” Lelaki ini tidak pernah putus asa.
Sejak zaman sekolah sampai sekarang, jadi pengganggu
hidup orang. Zakry! Terkenal dengan gelaran pembuli, ketua
samseng sekolah dan ketua ponteng sekolah.
“Aku nak cakap sikit.”
“Nak cakap apa lagi Kry? Jangan kacau aku, boleh?”
Payah! Mamat ni memang tak ada kerja lain. Hanya tahu
mengacau anak dara orang. Mentang-mentang bapa orang
senang. Tak payah kerja, hanya tolong bapanya kutip hutang.
Bapa Zakry, Tuan Darus terkenal dengan gelaran Orang
Kaya Darus. Menawarkan perkhidmatan pinjaman kewangan
kepada penduduk kampung.
Pernah suatu masa dulu, Tuan Darus menawarkan
pinjaman kepada Puan Jamilah. Ketika itu, memang mereka
kesempitan wang. Tetapi ibunya menolak. Kata ibunya,
kalau sudah mula berhutang dengan Tuan Darus, sampai
cucu-cicit belum tentu akan habis bayar. Baginya Tuan Darus
mengambil kesempatan pada orang susah. Memberi hutang
dengan bunga yang berkali-kali ganda. Dengan kata lain,
Tuan Darus ini bolehlah digelar Ah Long Kampung.
“Hang nak apa sebenarnya Kry? Aku nak cepat ni,”
tanya Ayuni endah tidak endah saja.
“Aku nak tanya, apa kurangnya aku sampai hang
tolak pinangan aku?” tanya Zakry. Tegang raut wajahnya.
Ayuni menghela nafas. Semalam dia dikejutkan
dengan kedatangan orang tua Zakry, Tuan Darus dan Puan
Roziah. Kedatangan mereka mengundang seribu pertanyaan
dalam benak fikirannya. Dari celah pintu dapur, dia mencuri
dengar perbualan Tuan Darus dengan ibunya. Apabila Tuan
Darus bersuara menyampaikan hajat kedatangan mereka,
terasa hendak melompat dia ke ruang tamu. Janganlah
ibunya terima. Mujur ibunya sangat memahami, ditolak
dengan lembut.
“Anak-anak la ni tak berapa nak setuju orang tua
yang tentukan jodoh mereka. Lebih suka dengan pilihan
sendiri. Nak kenai hati budi dulu sebelum kahwin,” kata
Puan Jamilah memberi bunga-bunga alasan untuk menjawab
risikan orang tua Zakry.
“Ayuni dah ada pilihan sendiri ka, Milah?” tanya
Tuan Darus.
Senyap.
‘Apasal mak senyap pulak ni?’ Dada Ayuni mula
berdebar-debar.
“Dah ada kut, Tuan Darus.”
“Apa kot-kot pulak, Milah? Kamu sendiri pun tak
pasti si Ayuni dah ada teman lelaki ka dak lagi,” balas Tuan
Darus tidak berpuas hati.
“Macam nilah Tuan Darus... saya kalau jodoh
anak-anak, tak berapa suka nak memaksa. Takut apa-apa jadi
ke depan disalahkan kita balik. Biarlah diaorang tentukan
jodoh sendiri. Asalkan lelaki yang dia pilih elok perangainya,
boleh jadi pemimpin dalam rumah tangga ke jalan Allah, ada
pekerjaan yang halal... itu dah cukup bagi saya.”
Terdiam Tuan Darus dibuatnya.
‘Fuh! Cayalah mak!’
Sebaik orang tua Zakry balik, terus dipeluk cium
ibunya. Terima kasih sebab cukup memahami anaknya.
“Berapa kali aku nak cakap, Kry? Aku memang tak
boleh nak terima. Tak boleh ka hang anggap kita tak ada
jodoh?” Ayuni cuba berlembut. Pesanan ibunya segar dalam
ingatan. Tolak dengan cara lembut. Jangan kasar bahasa.
Jangan biar dendam melekat dalam hati. Perangai manusia
kalau dikuasai marah macam-macam dia boleh buat. Kalau
dah syaitan beraja dalam hati, lebih daripada binatang dia
boleh bertindak.
Masalahnya sekarang, sikap tidak faham bahasa
mamat ini buat dia hilang sabar!
“Buat apa hang nak teruk-teruk kerja kat bandar tu?
Kahwin dengan aku. Hang akan hidup senang. Aku boleh bagi
apa saja yang hang nak.”
Ayuni menarik nafas panjang. Menggeleng beberapa
kali mendengar bicara Zakry.
“Hang ingat dengan duit boleh beli segalanya ka
Kry?”
“Belajar tinggi-tinggi, tapi bila keluar... menganggur
jugak,” sinis raut wajah Zakry.
Ceteknya pemikiran mamat ini. Tidak tahukah
dia mengejar ilmu itu satu ibadah? Satu pengorbanan
dan perjuangan. Dengan menuntut ilmu juga semakin
mendekatkan kita dengan Allah.
“Hang ingat menuntut ilmu ni semata-mata nak
kerja saja ka Zakry? Ilmu jugalah sebagai panduan hidup kita.
Mematangkan fikiran manusia supaya bertindak dengan lebih
bijak. Ilmu ni seperti air laut yang tak akan pernah kering.
Dunia pekerjaan juga satu ilmu. Dengan bekerja, kita dapat
pengalaman. Tapi ikut kerja apa yang kita buatlah. Kalau
kerja baik, baiklah pengalaman yang kita dapat. Tapi kalau
kerja yang selalu menyusahkan orang, bukan pengalaman
yang kita dapat, tapi dosa pula yang dapat.”
“Hang perli aku, Yuni?”
“Sapa perli hang, yang hang nak terasa sangat pasai
apa?”
“Hang jangan nak bagi tazkirah kat aku sangatlah.
Aku dengan bapak akulah yang banyak tolong orang dalam
kampung ni. Diaorang nak pinjam bank, tapi susah dapat
kelulusan. Sebab tu orang kampung datang cari kami.”
“Anak dengan bapak sama ja. Kalau betul nak tolong,
kenapa bunga yang dikenakan tak munasabah langsung?
Mengalahkan ceti haram. Hang ingat orang kampung banyak
duit sangat?”
“Itu masalah diaoranglah. Kalau dah sanggup
pinjam, kenalah sanggup bayar.”
“Hang kena ingat... kemewahan yang hang ada
bukan untuk dimegah. Kalau senang daripada kesusahan
orang lain, itu bukan rezeki yang berkat. Rezeki itu daripada
Allah. Bila-bila masa saja Allah boleh tarik balik. Tak payahlah
nak berbangga dengan kekayaan yang ada di dunia ni. Tak
boleh bawa masuk kubur pun nanti.”
“Hang ni dah lebih, Yuni.” Keras suara Zakry
mendengar bicara Ayuni.
“Aku cakap benda betul. Cuba hang tengok Mak
Nab. Walaupun sakit, dia pergi juga menoreh sebab nak bayar
hutang yang tak pernah habis tu. Hang tak kesian kat orang
tua tu?”
“Itu masalah Mak Nab. Sapa suruh dia berhutang
dengan bapak aku? Kalau dah berhutang, kenalah bayar.”
“Sampai bila nak habis hutang kalau asyik naikkan
bunganya saja? Eh, hang ni tak ada perasaan belas kasihan
langsung kat Mak Nab tu ka? Yang hangpa ingat, senang
hangpa saja.”
“Eh Yuni, yang hang beria-ia bela Mak Nab ni pasai
apa? Aku jumpa hang bukan sebab nak sembang pasai orang
tua tu. Hal kita belum selesai lagi.”
“Hal kita dah lama selesai. Aku harap, lepas ni jangan
ganggu aku lagi. Jangan ingat semua boleh dibeli dengan
duit. Hati manusia bukan untuk dijual beli. Lagipun nak
cari suami biarlah yang boleh memimpin isteri ke jalan yang
benar dan diredai Allah.”
Tajam renungan Zakry tepat ke wajah Ayuni.
Dadanya berombak mendengar sindiran sinis yang terbit dari
bibir gadis itu.
“Ayuni! Jangan suka cabar kesabaran aku!”
“Kalau dah tak boleh sabar dengan aku, lebih baik
jangan kacau aku lagi. Buat apa nak menghadap perempuan
yang tolak hang mentah-mentah?”
“Ayuni Aisya!!!” Jari-jemari bertaut kemas. Zakry
menahan marah yang mula membakar perasaan. Tanpa sedar,
lengan Ayuni disambar.
“Apa ni! Lepaskan tangan aku!” Ayuni cuba
meleraikan genggaman Zakry, namun gagal. Tangan itu
begitu kejap mencengkam lengannya.
“Lepaslah!!!” jerit Ayuni. Perasaan takut mula
menerjah diri. Tindakan kasar Zakry betul-betul buat dia
kecut perut. Sedaya upaya dia cuba melepaskan lengannya
yang mula terasa sakit akibat genggaman kuat tangan Zakry.
“Aku takkan lepaskan hang, Ayuni. Kenapa hang tak
tahu nak hargai perasaan aku? Kenapa susah sangat hang
nak terima aku? Kenapa cinta aku hang pandang macam
sampah???”
Piinnnn!!! Piinnnn!!!
Serentak mereka berpaling. Tidak dapat digambarkan
betapa leganya Ayuni apabila melihat motosikal Yusri semakin
menghampiri.
Sebaik memberhentikan motosikal, Yusri terus
mendekat. Raut wajah Ayuni yang seperti mahu menangis
dipandang seketika sebelum berpaling ke arah Zakry.
“Apa hang buat ni, Kry? Lepaskan Yuni!”
“Hang jangan masuk campur, Yus. Ni antara aku
dengan dia.”
“Tak boleh ka berbincang elok-elok? Yang hang
pegang ni, bukan mahram hang. Takkan hang tak tau haram
hukumnya? Tak malu ka kalau orang nampak hangpa macam
ni? Akan menimbulkan fitnah nanti.”
“Hei, Yus! Hang jangan nak jadi ustaz pulak kat sini.
Telinga aku dah sakit dengaq hang dengan Yuni asyik nak
bagi tazkirah kat aku. Ni antara aku dengan Yuni, tak ada
kena-mengena dengan hang. Jadi, lebih baik hang blah.”
“Lepaskan dia!” Tiba-tiba Danial mencelah. Keras
nada suaranya. Anak matanya tajam menikam wajah Zakry.
Seketika Zakry terpaku mengamati wajah yang
berani bersuara keras terhadapnya. Kemudian riak wajahnya
mula berubah. Dia kenal lelaki itu.
“Danial,” bisiknya perlahan. Dia berpaling mencari
wajah Ayuni.
“Hang tolak pinangan aku sebab dia, kan?” tuduh
Zakry.
“Jangan nak kaitkan dengan orang lain. Aku memang
tak nak kahwin dengan hang!”
Berkerut wajah Ayuni menahan sakit apabila
genggaman tangan Zakry semakin kuat mencengkam.
“Lepaslah, sakit...” suara Ayuni sudah berubah
merayu.
“Lepaskan Ayuni, Zakry!” Danial semakin mendekat.
Wajah Zakry ditatap tajam. Tidak mampu lagi membendung
perasaan yang mula menyirap melihat Ayuni dikasari Zakry.
Mata yang mula berlinang air mata dan wajah yang sesekali
berkerut menahan sakit mengundang rasa marah dalam diri.
“Kalau aku tak nak lepas?” cabar Zakry. Melawan
pandangan tajam Danial.
“Kau jangan cabar aku, Zakry.” Nafas dalam ditarik.
Cuba menahan rasa yang semakin membara. Tangannya
sudah dikepal kejap.
“Nal! Kry! Jangan hangpa nak bergaduh pulak kat
sini. Kry, sudahlah tu. Lepaskan Yuni. Kalau orang kampung
nampak, kecoh pulak nanti.” Yusri mula campur tangan
apabila keadaan semakin tegang. Dia tidak mahu berlaku
pergaduhan pula di sini nanti. Bukan dia tidak kenal dengan
sikap Zakry yang pantang dicabar. Silap percaturan, boleh
bertumbuk kalau tidak dileraikan.
Mendengar kata Yusri, tangan Zakry mula longgar.
Sudah banyak kali Tuan Darus memberi peringatan supaya
jangan cari pasal lagi dengan budak muda kampung.
Nama bapanya sudah tercemar gara-gara dia yang suka
mencari gaduh dengan budak muda kampung yang tidak
menyokongnya.
“Baik! Kali ini aku lepaskan. Tapi jangan ingat
aku dah lupa apa yang berlaku hari ni. Yuni, antara kita
belum selesai,” kata amaran meluncur dari bibir Zakry.
Renungannya tajam memanah wajah Ayuni. Pantas Ayuni
berpaling melarikan pandangan daripada bertentang mata
dengan Zakry. Pandangan lelaki itu begitu menakutkan.
“Hang ni Yuni, dah tahu perangai Kry macam tu,
lagi nak cari pasal.”
“Aku bukan cari pasal pun dengan dia. Dia yang
tiba-tiba halang jalan aku.”
“Kenapa dia marah sangat kat hang?”
“Sebab aku kata dia makan duit orang kampung.”
“Beraninya hang.” Bulat mata Yusri. Tidak sangka
Ayuni berani berkata begitu kepada Zakry a.k.a. samseng
kampung.
“Aku dah tak peduli, Yus. Aku kesian kat Mak Nab,
sakit-sakit pun menoreh kat hujung kampung tu. Mak Nab
beritahu, hutang dia dengan Tuan Darus tak habis lagi bayar.
Macam mana nak habis, kalau sesuka hati naikkan bunga?”
beritahu Ayuni meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Hang kena hati-hati sikit dengan Zakry, Yuni.
Bukan hang tak tau perangai dia tu. Kalau dia nak sesuatu,
mesti dia akan dapatkan walau dengan apa cara sekalipun.”
“Tak apalah, Yus. Aku dah lambat ni. Nanti bising
pulak mak aku. Terima kasih tolong aku tadi.”
“Bukan aku, tapi Nal.”
Perlahan pandangan Ayuni beralih kepada Danial
yang berdiri tidak jauh dari sisinya. Lidahnya kelu. Setiap
kali bertentang mata dengan lelaki itu, pasti debaran di
dada berdetak laju. Sepasang mata itu tidak lepas daripada
wajahnya. Entah mengapa, dia mati bicara.
‘Terima kasih,’ ungkapan itu hanya mampu bergema
dalam hati.
Ayuni melarikan pandangan. Memandang Danial
seketika tadi membuatkan dia tertanya-tanya. Renungan itu
tidak pernah berubah. Tetap sama seperti dulu. Menatapnya
dengan rasa cinta yang membuai perasaan. Adakah lelaki ini
Danial Haikal yang sama seperti dulu? Tidak! Dia tidak mahu
membiarkan dirinya terus dibuai dengan perasaan sendiri.
Semua itu akan mengundang kembali harapan yang telah
terkubur.
“Aku pergi dulu, Yus.”
Ayuni meminta diri. Tidak sanggup lagi berlama
di situ. Menanggapi lelaki itu seumpama mengundang luka
lama. Sakitnya masih bersisa.

No comments:

Post a Comment