DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 15

ZAHIM mengetuk-ngetuk perlahan pen yang
berada di tangan. Serentak itu juga, otaknya ligat berfikir
macam mana nak selesaikan masalah yang dia sendiri
timbulkan.
‘Takkanlah aku kena ikut saranan Razif, upah atau
minta seseorang untuk dijadikan kekasih sementara. Tapi
siapa agaknya yang paling sesuai?’
Zahim pejam mata seketika.
“Ah, takkanlah si dia!” Otaknya mula bercelaru.
Tiba-tiba dia teringatkan perbualannya dengan Razif dua hari
yang lepas.
“Kau rasa kenapa si Sufi tu keluar tergesa-gesa bila
tengok muka kita?” tutur Razif sebaik sahaja mendapatkan
tempat duduk di restoran itu.
“Entah, dia segan dengan kita kut.” Zahim menjawab
sambil mengangkat bahu. Konon-kononnya buat-buat tak
kisah dengan perlakuan Sufi, sedangkan hatinya berdetak
hairan.
“Segan? Kau sedar tak jawapan yang kau berikan tu
cukup lawak.” Razif tergelak kecil.
Zahim mendengus perlahan.
“Habis tu? Jawapan apa yang kau rasa tak lawak?”
Zahim memandang wajah Razif yang masih lagi tergelak.
“Entah, aku tak tahu.” Razif pamer muka selamba.
“Kau rasa okey tak kalau aku bagi penumbuk ni kat
muka kau?” Zahim sudah menunjukkan penumbuknya.
“Okeylah sangat, kalau aku masuk hospital, aku
nak kau yang jaga aku. Kalau boleh 24 jam kau mesti ada
kat depan mata aku, nak?” Razif menaikkan keningnya
beberapa kali. Zahim terkedu seketika. Sabar sajalah. Kalau
tidak mengenangkan dia punya tahap kesabaran yang tinggi,
mungkin sudah lama agaknya si Razif ni betul-betul terlantar
kat atas katil hospital.
“Lupakan ajelah pasal si Sufi tu. Aku dah lapar ni,
jom kita order!” Zahim malas nak panjangkan cerita.
Tok! Tok! Tok! Lamunan Zahim terganggu.
“Masuk.”
Pintu dibuka dan Zahim segera membetulkan
kedudukannya agar nampak lebih kemas. Terdiam dia sesaat
ketika matanya terpandang wajah empunya diri yang sedang
melangkah ke arahnya.
“Sufi!”
“Erm... saya mengganggu ke?”
Terkedip-kedip mata Zahim memandang Sufi yang
sedang berdiri di hadapannya dengan muka serba salah.
“Encik Zahim okey tak ni?” Sufi mula rasa tidak
selesa.
Kelam-kabut Zahim membetulkan kedudukannya
sekali lagi.
“No... er... yup... I’m okay...” Zahim cuba mengukir
senyum.
“Sure? Encik Zahim tak apa-apa ni?” Wajah lelaki
kacak itu menjadi santapan Sufi seketika.
“Kenapa? Saya nampak tak okey ke?” Dahi Zahim
berkerut memandang wajah gadis di hadapannya.
“Memang nampak tak okey. Nampak macam rupa
orang yang tengah angau saja.” Dengan beraninya Sufi
memberi jawapan membuatkan Zahim terpegun dan akhirnya
ketawa.
“Nampak sangat ke yang saya ni tak okey?” Zahim
merenung wajah Sufi yang berada di hadapannya itu. Sengaja
mencari reaksi.
Sufi terus mengukir senyum.
“So, apa hal awak datang jumpa saya ni?” Zahim
agak hairan dengan kemunculan Sufi secara tiba-tiba.
“Erm... sebenarnya saya cuma nak bagi Encik Zahim
rasa sandwich ni.” Sufi mengetap bibir sambil meletakkan
bekas Tupperware di atas meja hadapan Zahim.
“Sandwich?”
Zahim memandang bekas itu silih berganti dengan
muka Sufi.
“Ya, sandwich. Ada beberapa staf ofis yang minta saya
buatkan sandwich macam yang pernah saya buat sebelum
ni. Jadi saya tunaikan permintaan mereka dan saya nak bagi
semua orang rasa, termasuk Encik Zahim.” Sufi mengukir
senyum manis dalam debar.
“Semua orang dah rasa? Jadi, saya orang yang
terakhir awak bagi? Sepatutnya saya orang yang pertama.”
Muka dan suara Zahim yang agak serius itu membuatkan
wajah Sufi menunduk ke bawah.
“Maaflah, saya segan sebenarnya. Mana tahu
sandwich yang saya buat ni tak kena dengan selera Encik
Zahim,” jelas Sufi teragak-agak.
Zahim cuba menyembunyikan senyum. Seronok
pula dapat menyakat gadis di hadapannya. Kalau tidak, serius
saja mukanya bila mereka berhadapan.
“Duduk.” Sufi akur dengan arahan itu.
Zahim mengambil bekas Tupperware empat segi
tepat berwarna kuning itu lalu dibuka tudungnya. Zahim
menghidu seketika aroma bau sardin, kemudian dia
memandang wajah Sufi.
“Awak dah makan?” Wajah Sufi dipandang Zahim.
Sufi hanya mengangguk.
“Tak nak temankan saya makan? Banyak ni,” pelawa
Zahim sambil mengunjukkan bekas Tupperware di hadapan
Sufi.
“Saya dah makan, nanti Encik Zahim boleh kongsi
dengan Encik Razif.” Sufi memberi saranan.
“Hmm... tapi awak cakap tadi semua orang dah
dapat, kan?” Zahim kembali memandang wajah Sufi.
“Ya.” Sufi mengangguk kepala.
“Okey, saya akan rasa, kalau kena dengan selera saya,
nanti boleh awak buatkan untuk saya selalu.” Bibir Zahim
mengorak senyum membuatkan Sufi menelan liur. Terpegun
sebenarnya melihat senyuman Zahim itu.
Berhati-hati Zahim memasukkan sandwich ke dalam
mulut sambil diperhatikan oleh Sufi dengan penuh debaran.
“Hmm... memang sedap. Kena dengan selera saya.”
Zahim mengukir senyum.
Sufi turut ukir senyum. Lega kerana hasil buatan
tangan mendapat pengiktirafan dari Zahim merangkap big
bossnya.
“Oleh kerana sandwich ni kena dengan citarasa
saya, lain kali awak kena buatkan lagi ya untuk saya.” Zahim
mencapai sepotong lagi sandwich.
“Insya-Allah. Err... kalau macam tu, saya keluar
dulu, ya? Selamat menjamu selera.”
Sufi sudah berura-ura untuk keluar.
“Wait!” Zahim tiba-tiba menegah membuatkan Sufi
tengadah.
“Ya, Encik Zahim. Ada apa ya?” Berkerut dahi Sufi
memandang wajah Zahim yang sudah pun meletakkan
separuh dari sandwich yang baru diambilnya tadi.
“I need your help!” Zahim merenung wajah Sufi
yang mula tidak keruan.
“Encik Zahim perlukan pertolongan saya?” Mata
Sufi tepat memandang wajah Zahim yang nampak begitu
mengharap.
“Ya. Hanya awak yang boleh tolong saya selesaikan
masalah saya ni.” Dada Sufi mula berdebar.
“Maksud Encik Zahim?” Sufi menelan liur.
“Saya akan jelaskan semuanya pada awak nanti.”
Zahim menarik nafas seketika.
“Tapi...” Teragak-agak Sufi nak menerimanya.
Zahim terus menatap wajah Sufi.
“Tapi apa?” Zahim mula gelisah.
“Tapi kenapa mesti saya? Kan masih ramai lagi staf
kat sini terutamanya Kak Azah. Kenapa tak minta tolong
dengan mereka atau dengan Encik Razif saja.” Sufi mula rasa
tidak selesa.
“Boleh tak awak jangan banyak soal? Kalau saya
minta pertolongan awak, itu bermakna hanya awak yang
boleh tolong saya. Kalau saya boleh minta pertolongan dari
Razif, Kak Azah atau staf lain, buat apa saya minta tolong
dari awak.” Zahim terpaksa bertegas, risau kalau Sufi juga
bertegas menolak permintaannya.
Sufi mendengus perlahan. Dalam diam, dia
merungut juga. Nak minta tolong, tapi macam paksa. Mana
adil.
“Saya tak nak dengar sebarang alasan keluar dari
mulut awak. Kita jumpa kat restoran yang kita jumpa hari tu
lepas balik kerja. Mungkin dalam pukul 5.30 petang nanti.”
Zahim membetulkan kedudukannya.
“Baiklah, nanti kita jumpa kat sana.” Sufi terpaksa
akur. Risau pula kalau lelaki itu mengambil apa-apa tindakan
kalau dia menolak nanti. Sudahlah lelaki itu adalah ketuanya.
“Good.”
Dalam diam, Zahim mengucap syukur.
“Sekarang saya dah boleh keluar?” Sufi memandang
wajah Zahim.
“Ya, boleh. Silakan.” Zahim sudah mampu menarik
nafas tapi belum lega sepenuhnya.

SUFI TERAGAK-AGAK hendak masuk ke dalam restoran itu
sebaik sahaja keretanya diparkirkan di hadapan restoran yang
dimaksudkan oleh Zahim tadi. Akhirnya setelah difikirkan
ada baiknya urusan itu diselesaikan dengan secepat mungkin,
dia mencapai beg tangan dan segera keluar dari keretanya.
Langkah terus diatur dan matanya melilau mencari
wajah Zahim. Dia mengeluh perlahan kerana wajah lelaki
itu sudah mula dilihat. Malah lelaki itu turut memandang
ke arahnya membuatkan mata mereka saling berpandangan
beberapa detik.
“Selamat datang, cik. Sila masuk.” Seorang pelayan
lelaki tiba-tiba muncul di hadapan Sufi.
Sufi segera menghadiahkan senyuman.
“Cik ada buat tempahan atau tidak?” tegur pelayan
itu dengan sopan.
“Erm... kawan saya sedang menunggu di sana.”
Matanya memandang ke arah Zahim yang sudah pun berdiri
dari tempat duduknya.
“Oh. Kalau begitu, sila ikut saya, ya.” Pelayan itu
mendahului dan Sufi terus mengikut langkah pelayan itu
sehinggalah mereka berhenti di hadapan Zahim yang sudah
siap menghadiahkan senyum.
Pelayan tadi menarik kerusi dan mempersilakan
Sufi duduk serta memberikan menu untuk dipilih sebelum
beredar.
“Terima kasih sebab datang.” Zahim memulakan
bicara sebaik sahaja Sufi melabuhkan punggung di kerusi.
Sufi berpura-pura meneliti menu sedangkan otaknya
tidak berfikir ke situ. Kemudian menu tadi diletakkan semula
di atas meja.
“Sebagai pekerja, saya patut akur pada arahan bos,”
ujar Sufi dengan nada selamba membuatkan Zahim tersentak
seketika.
“Nur Aisyah Sufiya, awak dah salah faham maksud
saya.” Zahim cuba membetulkan tanggapan Sufi.
Sufi merenung seketika wajah Zahim dengan dahi
yang berkerut.
‘Apa ke halnya sampaikan sebut nama penuh ni?’
“Boleh Encik Zahim terangkan bahagian mana yang
saya dah salah faham?” Dengan tegasnya Sufi bersuara.
Zahim menarik nafas seketika. Beberapa helai
rambut yang jatuh ke dahi diraup perlahan sambil diperhati
oleh Sufi.
“Boleh tak awak jangan panggil saya Encik Zahim
bila kita berada kat luar?” Zahim mengambil peluang
memandang wajah Sufi.
“Kenapa? Memang betullah Encik Zahim ni bos saya.
Perkataan encik tu adalah sebagai tanda hormat seorang
pekerja kepada majikannya. Atau saya kena panggil dengan
panggilan big boss!”
Zahim mendengus perlahan.
“Saya tahu yang saya ni bos awak. Tapi itu hanya di
pejabat. Kalau kat luar, saya nak awak anggap saya ni kawan
awak. Tak perlulah panggil saya encik lagi, tak selesa saya
dibuatnya.” Zahim mendengus perlahan.
“Kalau Encik Zahim nak jadi kawan saya, benarkan
saya terus gunakan perkataan encik di depan. Kalau tak nak
saya guna, kita tak payah jumpa kat luar sebagai kawan!”
tegas Sufi sambil merenung tajam wajah Zahim.
“Susahnya nak fahamkan awak ni, degil. Memang
sesuai dengan awak, ya!” Zahim mengetap bibir. Geram
dengan sikap Sufi.
“Nak kawan ke tak ni? Tak nak kawan, sudah. Saya
tak kisah. Saya boleh balik sekarang,” Sufi terus mengangkat
punggung membuatkan Zahim jadi kalut tiba-tiba.
“Nak... nak... saya nak kawan dengan awak.” Memang
Zahim nampak kalut.
Bibir Sufi mengorak senyum. Lucu pula melihat
gelagat bosnya yang menjadi kalut tiba-tiba, dia hanya gertak
sikit sahaja. Huh! Tak kuat semangat betul. Memang patutlah
hari itu teruk dia kena belasah dengan dua ekor penyangak
itu.
“Habis tu, nak saya kekalkan tak panggilan encik kat
depan tu?” Sufi tetap merenung tajam wajah Zahim.
“Err... bolehlah. Janji awak nak kawan dengan saya.”
Lurus bendul pula nampak muka Zahim masa itu. Nampak
muka pasrah dan kecewa pun ada. Sufi cuba menyembunyikan
senyum. Saja nak tahu sejauh mana keikhlasan lelaki itu.
“Kalau Encik Zahim tak nak kawan dengan saya
pun, Encik Zahim tak rugi apa-apa. Ramai lagi gadis di luar
sana yang sudi. Kat pejabat kita pun berlambak-lambak anak
gadis yang sudi jadi kawan Encik Zahim. Kalau jadi kekasih,
rasa-rasanya memang mereka terlebih sudi. Saya berani cop
ibu jari.” Sufi mengukir senyum sinis.
Zahim menarik muka masam.
Sufi merenung wajah Zahim. Nampak comel pula
lelaki itu bila buat muka sebegitu.
“Saya tak nak cakap pasal mereka atau kawan dengan
mereka yang ada di luar sana tu. Saya hanya nak cakap pasal
awak. Saya hanya nak kawan dengan awak sahaja. Kalau awak
nak up hubungan kita ni lagilah saya suka. Kata pepatah, kecil
tapak tangan, Stadium Nasional Bukit Jalil saya tadahkan!”
Zahim mula mengukir senyum.
“Hmm... tak sangka Encik Zahim yang saya anggap
serius ni boleh tahan juga bila buat lawak, ya. Nampak sweet
aje.” Kali ini Sufi pula yang mengukir senyum.
“Itu hanya sebahagian kecil dari diri saya yang
awak tahu. Banyak lagi yang perlu awak tahu tentang diri
saya.” Sekali lagi bibir Zahim tersungging senyum. Malah
siap angkat kening lagi. Menyampah pula Sufi melihatnya.
Mengada-ada.
“Perlu ke?”
Sufi memandang sinis wajah Zahim. Zahim masih
tetap menayang senyum.
“Memang perlu dan cukup penting sebab suatu
hari nanti hubungan kita bukan hanya sekadar kawan tapi
mungkin juga sebagai teman serumah merangkap teman
sebilik.” Mata Sufi mula membulat. Bukan main terkejut lagi
mendengar ayat sempoi itu. Bikin dia hangat aje.
“Wow! Dahsyat tu. Memang saya tak pernah
membayangkan kemungkinan tu dengan Encik Zahim.
Tapi rasanya tak mungkin terjadi kut!” Sufi bersuara penuh
yakin. Saja nak menyembunyikan debaran hati yang mula
bertandang. Serius, hatinya cukup berdebar ketika ini.
Nampaknya lelaki di hadapannya mempunyai perancangan
yang begitu jauh. Dan yang lebih dahsyat, dia yang turut
dikaitkan sama. Ini dah parah!
“Kenapa? Kalau Allah menghendakinya tak mustahil
berlaku, kan? Kun fayakun!” Zahim nampak begitu yakin
dengan andaiannya membuatkan Sufi menelan liur.
“Tak naklah cakap pasal tu, kita cakap pasal lain!”
Sufi cuba mengelak dari terus bercakap pasal isu itu. Risau
juga kalau dia terleka sedangkan dia sekarang sudah pun
bertunang dan punya anak.
Zahim menyimpul senyum. Seronok pula melihat
wajah Sufi yang mula gelisah dan nampak tidak selesa bila
berbicara soal masa depannya.
“Okey, kita kembali pada tujuan asal kita berjumpa
kat sini.” Zahim mula berbicara serius.
Perbualan mereka terhenti apabila pelayan datang
mengambil pesanan. Perbualan mereka kembali bersambung
bila pelayan itu beredar.
“Betul. Saya pun nak tahu kenapa saya yang terpilih
untuk menyelesaikan masalah Encik Zahim. Saya rasa saya
tak mempunyai magis untuk menyelesaikan masalah sesiapa
terutamanya masalah yang dihadapi oleh Encik Zahim.” Sufi
menggaru-garu keningnya.
Zahim kembali mengukir senyum.
“Macam ni, saya nak bagi tawaran untuk awak jadi
pasangan saya untuk hujung minggu ini, bolehkan?” Zahim
menanti reaksi dari Sufi.
“Apa???”
Tanpa sedar Sufi sudah meninggikan suara
menyebabkan beberapa orang pengunjung di restoran
itu memandang ke arahnya. Sufi yang menyedari
keterlanjurannya segera berdeham. Air putih yang ada di
hadapannya dicapai dan diteguk rakus. Zahim tetap nampak
tenang dengan setiap tindak-tanduk Sufi. Nampak tidak
terkesan.
“Err... boleh tak kalau Encik Zahim ulang balik
kata-kata tadi?” pinta Sufi setelah dia dapat menenangkan
dirinya.
“Saya nak bagi tawaran untuk awak jadi kekasih
saya hujung minggu ini, bolehkan? Kita cuma berlakon
sekejap aje.” ulang Zahim satu per satu perkataan yang telah
diucapkannya tadi.
“Kenapa mesti saya? Apa yang Encik Zahim nampak
pada diri saya sehingga saya ditawarkan untuk berlakon
jadi kekasih Encik Zahim?” Sufi cuba mengawal suara dan
perasaannya. Nasib baiklah lelaki yang ada di depannya
sekarang adalah bosnya. Kalau lelaki biasa, sudah lama dia
kasi ‘hadiah’ yang cukup istimewa.
“Sebab saya rasa hanya awak yang paling layak untuk
berlakon sebagai kekasih saya. Itu sebabnya awak terpilih.”
Balas Zahim dengan tenang. Dia sanggup menerima apa jua
kata-kata daripada gadis di hadapannya asalkan masalah dia
dapat diselesaikan juga.
Sufi tergelak kecil.
“Kenapa awak gelak? Awak suka ya sebab awak
terpilih untuk jadi kekasih saya?” Zahim mengukir senyum
sambil menaikkan keningnya.
“Suka. ‘Sukaaa.... saa.. ngat’.” Sufi mengetap bibir
menahan geram.
“Saya akan bayar berapa saja yang awak minta
asalkan awak setuju. Bukan lama pun, hanya untuk beberapa
jam aje di depan orang tua saya.” Zahim kembali bersikap
serius. Dan ternyata memang saat ini dia cukup terdesak.
“Kalau tidak mengenangkan yang kita ni berada di
tempat awam, memang lebam biji mata Encik Zahim saya
kerjakan. Encik Zahim ingat saya ni apa? Perempuan yang
boleh dibayar sesuka hati untuk setiap perkhidmatannya?”
Sufi mendengus kasar. Dia sudah mengepal kedua-dua
tangannya. Cuba mengawal tangannya agar tidak menyentuh
muka lelaki itu. Nanti tidak pasal-pasal lebam atau bengkak
dikerjakannya nanti.
“Sebenarnya saya... err... awak...” Zahim mula
panasaran.
“Nampaknya Encik Zahim masih lagi tak faham
maksud kata-kata saya tadi. Saya rasa cukup sampai di sini.
Saya nak balik. Permintaan Encik Zahim tadi seolah-olah
sudah menghina maruah saya.”
Sufi sudah mencapai beg tangannya dan bersedia
untuk beredar. Belum pun sempat Sufi melangkah pergi.
Tangannya sempat disambar oleh Zahim.
“My hand, please.” Tajam mata Sufi merenung muka
Zahim. Matanya sudah merah menahan marah.
“Opss, sorry. Please Sufi, tolong dengar penjelasan
saya dulu sebelum awak buat apa-apa keputusan dan penilaian
tentang permintaan saya. Jangan buat andaian sebelum awak
tahu perkara yang sebenarnya. Saya bukan seperti yang awak
sangkakan. Saya pilih awak kerana saya yakin hanya awak
yang boleh bantu saya. Please...” Wajah Sufi yang merah
menahan marah itu ditenung dengan muka kasihan.
Sufi mengeluh perlahan. Mengenangkan muka
seposen lelaki di hadapannya itu merayu, tidak sampai hati
pula dia nak menolak. Memang dia patut mendengar alasan
dan sebab sebenar kenapa dia dipilih.
“Okey. Saya bukannya jenis manusia yang zalim
dan tidak berperikemanusiaan. Saya akan dengar atas alasan
apa saya dipilih untuk membantu masalah Encik Zahim.”
Akhirnya Sufi akur dengan rayuan Zahim dan dia kembali
duduk di tempatnya tadi.
Zahim mengukir senyum.
Sufi cuba memalingkan wajahnya daripada
terus-terusan menatap wajah lelaki itu. Berdebar-debar beb.
Kalau tidak mengenangkan yang dia ini sudah bertunang
atau dia ini seorang yang bermaruah, pasti dia dengan senang
hati menerima usul dan permintaan itu. Bukan hanya untuk
beberapa jam, tapi untuk terus memiliki lelaki itu buat
selamanya.
“Terima kasih kerana bagi peluang untuk saya
jelaskan apa yang sebenarnya berlaku dan kenapa saya
perlukan pertolongan awak.” Zahim sudah mampu mengeluh
lega setelah menceritakan apa yang membelenggu dirinya
ketika ini.
“Saya harap Encik Zahim dapat bagi saya masa untuk
fikirkan tentang hal tu. Dan saya pun tak sangka bahawa
saya terpilih untuk dijadikan kekasih sementara sedangkan
masih ramai lagi yang lebih layak dari saya.” Sufi menyandar
badannya di kerusi sambil berpeluk tubuh.
Perbualan mereka kembali terganggu apabila
pelayan datang membawa pesanan mereka. Mata mereka
hanya tertumpu pada hidangan yang ada di atas meja yang
nampaknya begitu menyelerakan. Zahim sekali lagi mengukir
senyum melihat wajah Sufi yang sudah tidak kelihatan
tegang.

No comments:

Post a Comment