DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Google+ Followers

Tuesday, 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Prolog



HAJAH Hashimah menggeleng kepalanya
mengenangkan gelagat dan sikap anak perempuan
tunggalnya. Kelakuannya tidak seperti gadis-gadis lain yang
bersifat keperempuanan. Hendak dilentur pun sudah tidak
boleh buat apa, sudah keras macam buluh. Akhirnya terima
ajelah dengan hati yang terbuka. Pasti ada hikmahnya.
“Sufi, dahlah tu. Tak payah lagi nak bergayut atas
pokok rambutan tu. Turun!” Hajah Hashimah mengetap bibir.
Geram sungguh dengan perangai anak daranya. Memang
tidak makan saman.
“Alah, umi. Kejap lagilah. Sufi nak ambil buah yang
kat hujung sana tu. Dah masak ranum. Kecur air liur dah ni.”
“Nur Aisyah Sufiya binti Kamarul.”
“Uiks. Apa umi ni sampai sebut nama penuh pulak.
Macam orang nak akad nikah aje.” Anak gadisnya mula
ketawa mengekek.
“Sufi, umi tak kira, umi cakap turun, turun. Kalau
degil juga, umi jolok punggung kamu dengan galah buluh ni.
Kali ini umi tak main-main.”
Hajah Hashimah mula bengang dengan perangai
anak perempuannya itu. Dia tiada pilihan. Lengan baju
kurung Kedahnya disingsing sampai ke siku. Dia terus
mencapai galah dan membuat gaya seperti hendak menjolok
anaknya yang berada di atas pokok.
“Umi, apasal pulak nak jolok punggung Sufi!”
“Umi tak kira, kalau Sufi degil, umi memang jolok
betul-betul punggung kamu, biar berlubang. Kalau walid
nampak ni, jenuh dia membebel. Sedar sikit yang Sufi tu
perempuan,” bebel Hajah Hashimah.
“Yang umi bising ni apa hal? Nanti walid dengar.”
Sufi mengetap bibir.
“Umi bilang sampai tiga. Kalau degil juga, tahulah
apa umi nak buat nanti!” Hajah Hashimah betul-betul geram.
“Umi, janganlah jolok punggung Sufi. Kalau gian
sangat nak jolok, jolok ajelah buah rambutan. Kalau jatuh,
boleh makan. Kalau jolok punggung Sufi, bukannya dapat
apa pun.” Hajah Hashimah kemam bibir. Nak tergelak pun
ada.
‘Hmm... tahu takut. Kalau aku betul-betul jolok,
jatuh bedebuk agaknya. Hahaha...’ Hajah Hashimah
mengelamun seketika.
“Yalah... Sufi turun. Tapi umi alihkanlah galah tu,
nanti betul-betul terjolok punggung Sufi, kan naya!”
Hajah Hashimah segera mengalih galah dan
disandarkan di tepi dinding rumah. Bukannya betul-betul
pun dia nak jolok punggung anak daranya, saja nak ugut.
Kalau tidak buat macam itu, sampai ke petanglah dia duk
bergayut atas pokok rambutan itu sambil makan buah. Tidak
padan dengan perempuan, lasak mengalahkan lelaki.
Tiba-tiba terdengar satu bunyi.
Gedebuk!
“Aduh, sakitnya!”
“Ya Allah, anak aku!” Hajah Hashimah terus meluru
ke arah anak daranya yang sudah mengerang kesakitan akibat
terjatuh dari pokok rambutan. Nasib baiklah tidak tinggi
mana.
“Sakit, umi!”
“Padan dengan muka. Cakap umi tak nak dengar.
Sekarang rasalah.” Hajah Hashimah mendecit risau sambil
meneliti kaki anak gadis kesayangannya itu.
“Sakit, umi...”
“Umi tahu. Dah. Boleh bangun tak ni? Macam
terseliuh aje kaki tu.” Terpamer riak resah di muka Hajah
Hashimah melihat dahi anaknya berkerut-kerut.
“Jom, umi papah masuk dalam. Nanti umi call Mak
Piah datang tengok. Mana tahu terkehel ke patah ke kaki tu.
Silap urut nanti, lain pulak jadinya. Silap-silap boleh jadi
cacat!”
“Umi! Kenapa cakap macam tu? Sufi tengah sakit
ni.” Dalam sakit-sakit, sempat lagi bercekak pinggang. Geram
mendengar bebelan uminya. Takut pun ada. Hajah Hashimah
tergelak kecil.
“Alah, gertak sikit dah gabra. Tengok, air mata bukan
main laju lagi keluar. Kalau dah perempuan tu perempuan
juga. Tak payah nak buat perangai lelaki. Cukuplah umi
dah ada dua anak lelaki.” Gelak yang meniti di bibir Hajah
Hashimah membuatkan anak perempuannya menjeling
tajam. Bibirnya dikatup rapat.

No comments:

Post a Comment