DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 13

ZAHIM bersantai di ruang rehat setelah selesai
makan malam. Televisyen yang dipasang di ruangan itu tidak
berjaya menarik perhatiannya kerana mata dan mindanya
difokuskan pada smartphone yang berada di tangannya.
Bukan apa, sibuk melayan kawan-kawan berWhatsApp dan
juga melayan Facebook. Sekadar hendak tahu perkembangan
kawan-kawan. Kalau nak berjumpa empat mata agak sukar
kerana kawan-kawan lamanya tinggal di merata tempat, ada
juga yang terima tawaran kerja di luar negara.
“Amboi Im, khusyuk betul mama tengok Im berbalas
mesej di telefon. Dengan Dania ke?” Puan Sri Yasmin tiba-tiba
menegur membuatkan Zahim tersentak.
Wajah Puan Sri Yasmin yang baru muncul bersama
Tan Sri Mokhtar di ruang rehat dipandang oleh Zahim.
“Mama, boleh tak kalau mama tak sebut atau babitkan
nama perempuan tu dengan Im?” Zahim memandang wajah
mamanya sambil menyembunyikan rasa hati. Memang dia
tidak senang bila dirinya dikaitkan dengan perempuan itu.
Tak ada chemistry langsung. Alergi betul dia dengan nama tu.
Puan Sri Yasmin memandang wajah suaminya
sebelum memandang wajah Zahim. Sedangkan pada
hakikatnya dia sedang menyembunyikan senyum. Seronok
sangat dapat melihat wajah resah anaknya. Bukan dia tidak
tahu yang Zahim memang tidak sukakan Dania tapi kalau dia
tidak babitkan nama Dania, pasti Zahim akan terus melupakan
hasrat yang sudah lama dia dan suaminya inginkan iaitu
mahu melihat anaknya hidup bahagia dan berumah tangga.
“Kenapa? Bukankah Im dan Dania baru saja jumpa
semalam? Mama ingatkan hubungan korang berdua dah
okey.” Mata Puan Sri Yasmin tepat merenung wajah Zahim.
“Im ada perkara yang nak ditanyakan pada mama
dan papa ni.”
Zahim berjeda. Tajam matanya memandang wajah
kedua orang tuanya.
“Apa dia, sayang?”
“Betul ke mama dan papa serius nak jodohkan
Im dengan Dania?” Zahim merenung wajah orang tuanya
menanti reaksi.
Puan Sri Yasmin berkalih, wajah suaminya
dipandang dengan harapan suaminya akan memberi jawapan
pada persoalan yang ditimbulkan oleh anak mereka. Puan
Sri Yasmin hampa bila suaminya mengambil tindakan
mendiamkan diri. Nampaknya dia yang perlu bersuara.
“Kalau mama dan papa serius mahu menjodohkan
Im dengan Dania, Im akan terima?” Soalan dibalas dengan
soalan.
Zahim mendengus perlahan.
“Kalau Im menolak?”
Zahim cuba bermain tarik tali. Nak tahu juga sejauh
mana penerimaan orang tuanya.
“Atas alasan apa Im cuba menolak cadangan itu?”
Tiba-tiba Tan Sri Mokhtar bersuara membuatkan
Zahim menelan liur. Pada hakikatnya, hati Zahim dilanda
resah. Takut sekiranya penolakannya itu menimbulkan
kemarahan orang tuanya.
“Sebab Im tak pernah sukakan Dania. Apa lagi untuk
mencintainya. She’s not my taste. Im minta maaf kalau
penolakan ini menimbulkan kemarahan mama dan papa.
Bukan niat Im nak mengecewakan hasrat mama dan papa
tapi...”
Zahim buntu untuk memberi alasan yang sewajarnya.
“Im menolak Dania sebab Im dah ada pilihan sendiri,
begitu?” Terpacul soalan itu dari mulut Puan Sri Yasmin
membuatkan Zahim tengadah. Tidak semena-mena dia
menggaru kepala yang tidak gatal.
“Kalau Im dah ada pilihan sendiri, kenalkanlah
dengan kami. Kami pun nak kenal gadis macam manakah
yang jadi pilihan Im. Yang dapat mencuri hati anak kami.”
Puan Sri Yasmin seakan mencabar Zahim.
Zahim mula resah. Apakah jawapan yang sepatutnya
dia berikan? Menolak cadangan orang tuanya bererti dia
sudah ada pilihan sendiri tapi dia mana ada kekasih hati. Di
mana dia mahu mencari perempuan untuk dibawa bertemu
orang tuanya. Gawat... gawat.
Sekali lagi Puan Sri Yasmin dan Tan Sri Mokhtar
saling berpandangan.
“Im, Im dengar tak apa yang mama cakap ni?” Puan
Sri Yasmin kembali merenung wajah resah Zahim. Lagaknya
macam kucing kehilangan anak. Puan Sri Yasmin menahan
senyum. Dia bukannya tidak tahu apa yang sedang berlaku
pada anaknya tapi dia sengaja memprovoke anaknya itu.
“De... dengar. Im dengar mama.” Tergagap-gagap
Zahim bersuara.
“Habis tu, bila Im nak kenalkan gadis yang berjaya
mencuri hati Im tu dekat kami?” Puan Sri Yasmin terus
menggesa dengan wajah serius.
“Err...”
Zahim menggaru-garu kepalanya lagi.
“Dania beritahu mama yang Im nak kenalkan kekasih
Im pada dia minggu depan. Betul ke?” Puan Sri Yasmin terus
gasak bertanya sambil memandang wajah Zahim.
“Hah? Dania beritahu mama pasal tu?” Ternganga
mulut Zahim sewaktu dikhabarkan hal itu.
“Ya, katanya Im menolak cinta dia sebab Im dah
ada pilihan. Dan Im dah janji nak kenalkan gadis itu dengan
Dania minggu depan,” ujar Puan Sri Yasmin lagi.
“Erm... Ar...”
Sungguh, Zahim benar-benar perlukan bantuan
untuk melepaskan diri dari terus diasak oleh mamanya.
“Apa kata Im bawa gadis tu datang ke rumah kita.
Mama dan papa teringin juga nak kenal dan jumpa dengan
gadis pilihan Im tu. Kalau dia memenuhi ciri-ciri menantu
pilihan kami, kami akan terima.” Bibir Puan Sri Yasmin
sudah mengukir senyum.
Bulat mata Zahim memandang wajah mamanya.
Terasa liur di kerongkong begitu sukar untuk ditelan.
Memang dia menempa musibah. Apa yang patut dia lakukan?
Hanya satu saja nama yang ada dalam fikirannya. Nama itu
diharapkan dapat membantunya menyelesaikan masalah ini.

“ZIF, KAU mesti tolong aku. Aku betul-betul buntu ni.”
Zahim terus menerjah sebaik sahaja panggilan telefonnya
diangkat oleh penerima.
“Harap maaf, nama yang anda panggil tiada dalam
senarai pemanggil.”
Zahim tergamam dan tengadah.
“Aik, lain macam aje bunyi suara operator ni, biar
betul?” Zahim mula keliru.
“Erk!”
Tiba-tiba telinganya mendengar suara tawa di
hujung talian. Bukan main kuat lagi membuatkan Zahim
mengetap bibir.
“Woi, lahabau punya kawan. Kau kenakan aku, ya?”
Zahim segera melepaskan rasa marahnya.
“Bro, kalau ya pun, bagilah salam dulu. Semput aku
sebaik sahaja angkat panggilan kau ni tau! Dahlah aku tengah
sarat nak pergi ‘membuang khazanah’ ni,” ujar Razif bersama
sisa gelaknya.
Zahim yang segera faham maksud kata-kata Razif
mula tergelak kecil.
“Okey, sorry. Lepas kau selesai mengerjakan urusan
penting tu, kau call aku balik, ya. Serius ni, hanya kau yang
boleh tolong aku selesaikan masalah aku ni.” Memang Zahim
betul-betul perlukan bantuan dari Razif.
“Hmm... nantilah aku call kau balik lepas aku qada
hajat besar ya, ini projek juta-juta tau!” Razif tergelak-gelak.
“Pergilah kau, nanti tak pasal-pasal tercicir ikut kaki
seluar, kan naya tu!” usik Zahim sambil melepas tawa.
“Okey, roger and out!”
Talian diputuskan buat seketika.
Sementara menunggu panggilan dari Razif, Zahim
merebahkan badannya di atas katil. Kalut juga otaknya
berfikir nak melepaskan diri dari terus disoal oleh orang
tuanya tadi. Dalam diam dia merungut dan marahkan Dania
kerana memberitahu hal itu kepada mamanya. Kalau si Dania
itu tidak beritahu mamanya, mesti hal ini takkan timbul
dalam masa yang terdekat ini. Bolehlah dia bernafas dengan
tenang. Nasib baik ada panggilan untuk papa, bolehlah dia
bagi alasan untuk beredar.
Dalam diam, otaknya berfikir dan berputar.
Bagaimanakah caranya untuk dia menyelesaikan masalah
yang dia sendiri timbulkan di hadapan Dania itu? Itulah, kata
pepatah ‘sebab pulut, santan binasa dan sebab mulut, badan
binasa’. Oleh kerana nak mengelak dari diasak oleh Dania,
terus dia tidak fikir panjang mengatakan yang dia sudah ada
pilihan sendiri malah siap nak tunjukkan lagi. Tapi, siapakah
yang akan jadi pasangannya merangkap cinta hatinya?
Tangan kanan diletakkan ke dahi. Memang dia benar-benar
buntu sekarang.
Mata Zahim hampir terlelap bila telinganya
menangkap bunyi telefon yang berada di sebelahnya.
Tangannya segera menggagau mencapai telefon bimbitnya
dan segera ditekap di telinga.
“Helo.”
“Assalamualaikum.” Suara Razif kedengaran
memberi salam.
“Waalaikumussalam, dah selesai ke qada hajat kau?”
Zahim segera bangun dari perbaringan dan duduk
bersila di atas katil.
“Dah, ni aku nak tanya, apa masalah kau sebenarnya?”
“Masalah biasa tapi dah jadi luar biasa dah sekarang
ni.” Zahim turun dari katilnya. Langkah diatur ke balkoni
untuk menghirup udara segar waktu malam.
Kedengaran Razif gelak di hujung talian.
“Masalah biasa apa yang dah bertukar jadi luar
biasa ni? Kau buat tali pusat aku rasa geli tahu tak!” Zahim
mengetap bibir mendengar kata-kata Razif.
‘Sabar sajalah. Kalau kau ada kat depan aku, dah
lama aku luku kepala kau biar jadi bengkak sebesar telur
angsa.’ Zahim mengurut dadanya.
“Masalah apa lagi kalau bukan soal jodoh. Bukan
kau tak tahu yang masalah tu dah jadi masalah utama dalam
hidup aku, kau tahu tak!” Zahim mengetap bibir.
“Tahu.” Selamba saja Razif bersuara.
Zahim mendengus lagi. Kali ini makin kuat
menandakan yang hatinya benar-benar gusar.
“Habis tu, apa yang menyebabkan ia bertukar jadi
luar biasa? Macam cerita Transformer aje ni.”
“Masalahnya sekarang, parents aku sama si Dania ni
dah buat aku gelisah, tahu tak?” Perasaan Zahim benar-benar
hangat.
“Tak tahu.” Razif mencelah.
Zahim mengetap bibir. Rasa nak penyek-penyek aje
kepala Razif ni.
“Nasib baik kau jauh, kalau kau ada depan mata aku,
lunyai kau aku kerjakan.” Zahim menahan geram.
Razif tetap melepas gelak. Tidak terkesan pun dengan
ugutan Zahim. Dia tahu Zahim hanya gertak sahaja, buatnya
tidak pernah.
“Sorry, bro. Sekarang ni, kita masuk bab serius,
okey?” Tiba-tiba Razif mengubah intonasi.
Zahim melepas keluhan. Matanya di hala ke halaman
rumah dari balkoni biliknya. Dia mendongak ke atas melihat
bulan waktu malam begitu indah. Terasa diri begitu tenang,
damai dan indah. Kalaulah hidupnya sentiasa begini, kan
bagus.
“Im, tiba-tiba kau diam aje ni. Kau tertidur ke?”
Suara Razif mematikan lamunan Zahim.
Zahim tersenyum sendiri.
‘Aduh! Sempat lagi aku mengelamun.’ Zahim
menggaru-garu kepalanya.
“Belum tidur lagi. Kan aku tengah cakap dengan kau
ni!”
“Hmm... cuba kau cerita kat aku, apa masalah yang
melanda kau ni sebenarnya?”
“Sebenarnya, aku terlepas cakap kat Dania semalam
yang aku dah ada kekasih.” Zahim mendengus perlahan.
“Terlepas cakap? Maksud kau?”
“Aku jumpa si Dania tu semalam atas desakan mama
aku. Macam kau tak faham pula fiil perempuan meroyan tu.
Dah tak ada topik lain yang dia nak cakap, asyik nak desak aku
supaya terima dia sebagai kekasih. Untuk mengelak dari terus
didesak, aku beritahu dia yang aku dah ada pilihan sendiri
dan untuk lebih meyakinkan lagi aku cakaplah yang aku
akan kenalkan dia dengan ‘kekasih aku’ tu minggu depan.”
Zahim menyatakan masalah yang sedang membelenggunya
sekarang.
“Serius ke?” Razif terkejut.
“Aku hanya cakap main-main aje. Tapi si Dania tu
dah beritahu mama aku. Apa lagi mama aku pun gesa aku tadi
supaya tunjukkan kekasih aku tu. Dia minta aku bawa datang
rumah, kenal dengan diaorang. Mereka siap bagi statement,
kalau gadis yang aku bawa tu memenuhi ciri-ciri yang mereka
inginkan, mereka akan terima gadis tu,” luah Zahim lagi.
“Hmm... habis tu, apa yang kau nak lakukan
sekarang?”
“Itulah sebabnya aku nak minta pertolongan dan
cadangan dari kau. Walaupun aku tahu kebanyakan cadangan
dan idea kau memang tak boleh pakai, tapi aku tetap nak
minta kau bagi cadangan juga,” ujar Zahim.
“Dah kau kata cadangan aku tak boleh pakai, yang
kau mintak juga tu, apa hal? Buat penat aku aje perah otak
kalau kau tak nak pakai. Lebih baik kau fikir sendiri.” Razif
mula merajuk.
“Zif, tolonglah aku. Kau bagi aje apa-apa cadangan.
Kalau aku rasa sesuai, aku terima,” pujuk Zahim kebingungan.
“Amboi, cantik punya pujuk!” Razif memerli Zahim.
“Takkanlah aku nak terus terang yang aku tak ada
kekasih, pasti orang tua aku akan desak aku untuk terima si
Dania tu. Aku tak nak maruah aku jatuh kalau aku tak tunaikan
janji.” Zahim mula buntu mencari jalan penyelesaian.
“Itulah kau, cakap tak fikir dulu. Akhirnya aku juga
yang kau cari!” Razif kembali perli Zahim.
“Habis tu, kalau aku tak cari kau, nak cari siapa lagi.
Hanya kau yang paling rapat dengan aku. Takkanlah aku nak
tanya pendapat Zarul tu.” Zahim mengetap bibir.
“Senang cerita, kau upahlah mana-mana perempuan
supaya berlakon jadi kekasih kau hanya untuk beberapa jam.
Takkanlah kau tak ada kenalan langsung.” Razif memberi
cadangan.
“Hesy... kau ingat senang ke? Kan kita dah bincangkan
hal ni. Aku tak nak upah mana-mana perempuan yang tak
senonoh atau yang aku tak kenal. Takut timbul masalah
nanti. Aku tak nak hal upah perempuan tu jadi panjang, nanti
‘masak’ aku kena leter dengan mama aku.” Zahim khuatir
kalau hal itu diketahui oleh mamanya nanti.
“Habis tu, kan lebih baik kau berterus terang saja,
selesai masalah.”
“Nantilah aku fikirkan caranya untuk selesaikan hal
ni.” Akhirnya Zahim mengeluh perlahan.
“Im, kau tak boleh lari selamanya dari masalah ini.
Satu hari nanti kau pasti akan hadapinya.” Nasihat Razif
membuatkan Zahim terdiam.
“Aku tahu. Thanks, Zif. Maaf kalau aku dah ganggu
masa tidur kau. Nanti kita jumpa esok kat ofis.” Talian
diputuskan.
Zahim berkalih dan dia mengatur langkah ke katil.
Segera tubuhnya direbahkan atas katil empuk bersama satu
helaan. Saat matanya terpejam, tiba-tiba muncul satu wajah
di ruangan matanya.

No comments:

Post a Comment