DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Google+ Followers

Monday, 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 11

SEKILAS dia mengerling jam yang melekat
kemas di pergelangan tangan. Hari ini dia masuk agak lewat.
Awal-awal pagi lagi dia terpaksa meredah kesesakan lalu
lintas kerana ada perbincangan dengan pihak pembekal di
Damansara. Ayunan langkah dihala ke arah lif. Walaupun
menyedari ada beberapa pasang mata begitu galak mengerling
dan mencuri pandang ke arahnya, dia hanya beriak selamba.
Sudah biasa dengan keadaan itu. Sementara menunggu pintu
lif terbuka, jari-jemari ligat memeriksa e-mel yang diterima
melalui telefon bimbitnya.
Ting! Pintu lif terbuka luas.
Danial mengundur sedikit ke belakang memberi
ruang pada yang berada di dalam lif keluar terlebih dahulu.
Tiba-tiba pandangannya tertarik pada sesusuk tubuh yang
melangkah keluar dari perut lif. Matanya terus melekat lama
sehingga tidak sedar pintu lif telah tertutup.
Matanya melorot pada baju kurung hijau lembut
bercorak yang tersarung di tubuh gadis itu. Tampak sopan
dan ayu tingkahnya. Selendang kosong yang berwarna hijau
dililit kemas di kepala menyerlahkan kulitnya yang cerah.
Kaki Danial mula mengatur langkah mengikut
langkah gadis itu. Anak mata masih menilik nakal gadis yang
melangkah ke kawasan parkir di sebelah bangunan. Langkah
gadis itu terhenti di sebelah kereta Viva putih. Fail yang
dibawa bersama si gadis menarik perhatian. Pandangannya
difokuskan pada nombor plat kereta. Diamati dan disimpan
kemas dalam kotak ingatan.
Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar.
Beberapa saat jari-jemari bermain di skrin sebelum telefon
melekap di telinga.
“Assalamualaikum, Fik.”
“Waalaikumussalam, Nal. Kau kat mana?”
“Aku baru sampai ofis. Macam mana interviu tadi?”
tanya Danial. Mata tidak lepas daripada memandang gadis itu
yang telah masuk ke dalam kereta.
“Semuanya berjalan lancar,” beritahu Taufik.
“Okey. Bila dia mula kerja?” Memang dia sengaja
mahu gadis itu bekerja dengannya walaupun dia tahu gadis
itu membencinya.
“Isnin, minggu depan.”
“Good!”
Talian dimatikan. Danial bergerak ke arah tiang
apabila kereta Viva putih itu mula bergerak. Khuatir si gadis
menyedari kehadirannya di situ. Sebaik kereta itu hilang dari
pandangan, kakinya seakan melekap di situ. Keliru dan tidak
faham dengan gelodak jiwa yang sedang dirasakan saat ini.
Beberapa saat termenung, dia tersentak dengan
bunyi hon kereta. Jauh lamunannya sehingga tidak sedar masa
terus berlalu. Perlahan dia menggeleng dengan perangainya
sendiri. Huru-hara jiwanya hanya kerana Ayuni Aisya.

WAJAH DANIAL yang muram tanpa suara itu mengundang
tanda tanya dalam hati Yusri. Sejak tadi, Danial banyak
termenung. Bila ditanya, sepatah-sepatah sahaja yang
dijawab. Bukan main berjela soalan yang ditanya, hanya
sepatah yang dijawabnya. Menghabiskan air liur dia saja. Teh
tarik di depannya pun tidak luak.
Danial seperti hanyut dalam dunianya sendiri.
Entah apa yang bermain dalam fikiran sepupunya itu. Tadi,
dia sengaja menghubungi Danial untuk makan tengah hari
bersama. Kebetulan dia ada meeting di Shah Alam.
“Hang fikir apa, Nal?” tegur Yusri.
Teguran Yusri mengembalikan Danial daripada
lamunan yang jauh. Dia membetulkan duduknya.
“Tak ada apa-apa.”
“Takkan tak ada apa-apa? Aku kenal sangat hang,
Danial. Kalau ada masalah, hang mesti jadi pendiam. Cuba
citer kat aku, apa masalah hang?”
Danial menghela nafas panjang.
“Aku ambil Ayuni kerja dengan aku,” beritahu
Danial.
Yusri yang sedang menghirup air teh terus tersedak.
“Hah! Hang biar betul?” tanya Yusri tidak percaya.
Berkerut wajahnya apabila tekak masih terasa perit.
“Tak payah nak buat muka terkejut sangatlah.”
“Mahu aku tak terkejut? Tiba-tiba ja hang ambil
Ayuni kerja dengan hang. Tak beritahu aku pun.”
“Aku beritahu hanglah ni. Aku ambil dia jadi PA
aku.”
“PA??? Boleh ka hangpa kerja sekali? Karang
hari-hari bergaduh pulak,” kata Yusri tersengih panjang.
“Hang perli aku ka Yus?”
“Mana ada aku perli. Memang kenyataan pun. Tak
ingat masa hangpa terjumpa balik hari tu? Asal jumpa ja
gaduh.”
“Dengan cara ni ja aku boleh dekati dia, Yus. Aku
betul-betul tak sangka resume Ayuni atas meja aku hari tu.
Sejak tu, aku asyik teringat-ingatkan dia. Sebab tu aku ajak
hang balik kampung. Dan aku tak sangka boleh terjumpa
pulak dengan dia.”
“La ni hang nak buat apa?”
Danial mengeluh panjang.
“Aku belum tahu lagi.”
“Nal... apa masalah hangpa sebenarnya? Hang tak
pernah nak beritahu aku. Aku tau hang lebih suka pendam
masalah hang sendiri. Tapi sampai bila? Aku tahu hang
sukakan Yuni dari dulu lagi. Dan perasaan hang tak pernah
berubah.”
“Salah faham,” beritahu Danial.
Dahi Yusri berkerut.
“Salah faham?”
“Aku ingatkan Ayuni dengan Ashraf ada apa-apa.”
“Macam mana hang boleh sangka diaorang ada
apa-apa?”
“Kry yang beritahu aku. Kebetulan aku nampak
Ashraf dengan Yuni kat pekan. Diaorang nampak rapat dan
mesra. Aku cemburu bila tengok cara Ashraf layan Yuni.
Mungkin betul Ashraf sukakan Yuni.”
“Hang yakin Yuni pun sukakan Ashraf?” tanya Yusri
membuatkan Danial terus terdiam.
“Percaya sangat dengan cakap Kry tu. Takkan hang
tak tau perangai Kry? Dia dah lama suka kat Yuni. Yuni ja
buat tak layan. Lagipun Ashraf pun dah kahwin.”
“Aku tahu...”
“Macam mana hang tau Ashraf dah kahwin? Rasanya
aku tak pernah beritahu hang.”
“Kat kampung hari tu... aku ada berselisih dengan
Ashraf. Dia kenalkan isteri dia kat aku. Baru lagi kahwin.”
“Lain kali jangan ikut sangat perasaan. Siasat dulu.
Ini tidak, hang terus ingat Ashraf tu ada apa-apa dengan
Ayuni. Padahal diaorang tak ada apa-apa pun.”
“Lagi satu... aku dah cakap sesuatu yang melukakan
hati dia. Waktu aku cakap tu, hati aku tengah sakit. Sakit hati
kerana perasaan cemburu.”
“Hang cakap apa?”
“Masa tu Fakrul tanya pasal hubungan aku dengan
Yuni. Kebetulan Ayuni datang hantar kuih kat rumah pak
long. Tapi aku buat-buat tak nampak. Aku cakap, pilihan
aku bukan macam Yuni. Aku anggap perempuan kampung
ni kolot. Aku berkawan dengan dia hanya nak mengisi rasa
kekosongan hati aku.”
“Hang cakap macam tu??? Kalau aku ada masa tu,
memang makan penampar aku dah.”
“Aku mengaku, salah aku. Tapi aku tak maksud pun
nak cakap macam tu. Aku tengah sakit hati.”
“La ni, perempuan kampung kolot tu yang hang
terkejar-kejar. Cakap ikut sedap mulut, dah makan diri
sendiri.”
“Aku tak tahu Yuni boleh maafkan aku ataupun tak.
Aku tahu dia benar-benar tergores dengan kata-kata aku.
Hang rasa, kalau aku berterus terang, dia akan maafkan aku
tak?”
“Hang ingat semudah itu dia nak maafkan hang?
Aku dah lama kenal dengan Yuni. Keras hati dia boleh tahan
juga sama naik dengan perangai cemburu hang tu.”
Danial mengerling geram.
“Hang jangan menambah pening aku, Yus. Bagilah
cadangan sikit macam mana nak dekati Ayuni balik.”
“Padan dengan muka hang. Cemburu tak kena
tempat. Bercakap tak fikir panjang,” leter Yusri.
Rambut dilurut sehingga ke belakang. Bertubi-tubi
hari ini dia kena dengan Yusri. Sepupu dia ni, bukan hendak
menenangkan hati. Menyakitkan hatinya lagi adalah.
“Aku mengaku, salah aku. Terburu-buru buat
keputusan. Tapi masa tu tengah serabut dengan masalah papa
aku. Tak boleh nak fikir apa. Aku ingatkan dia betul-betul
sukakan si Ashraf tu.”
Sudahnya Danial tersandar di kerusi. Kalah berdebat
dengan sepupunya ini.
“Macam nilah. Hang berkawan dulu dengan dia.
Soal hati dan perasaan, tak boleh nak gopoh-gopoh. Kena
slow and steady,” kata Yusri memberi cadangan. Keningnya
dijongket-jongket sambil tersengih-sengih kepada Danial.
Raut wajah Yusri ditatap seketika. Betul juga apa
yang dikatakan oleh Yusri. Dia rapat dengan Ayuni bermula
dari sebuah persahabatan. Walaupun masing-masing tidak
pernah meluahkan perasaan yang dirasai ketika itu, tetapi
pandangan mata hati mereka merasakan sesuatu yang sukar
diungkapkan dengan kata-kata. Hanya dia dan Ayuni saja
yang memahaminya.
“Aku cuba dan akan terus mencuba sehingga Yuni
terima aku kembali.”
“Macam itulah.” Yusri menepuk-nepuk bahu Danial.
Danial hanya mampu tersenyum nipis. Gelodak
hatinya saat ini hanya Tuhan saja yang tahu.

No comments:

Post a Comment