DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 6

AYUNI duduk bersila di depan rak-rak yang
menempatkan buku-buku dan majalah-majalah di ruang
tamu. Matanya tertancap pada beberapa album yang tersusun
kemas di hadapannya. Terdetik dalam hati untuk melihat
foto-foto yang mengisi ruang di dalam album itu. Lalu dia
menarik sebuah album yang kelihatan agak kusam warna
kulitnya.
Tatkala membuka album itu, mata tertumpu pada
gambar zaman sekolahnya. Dulu, selama mengenali lelaki
bernama Danial Haikal, lelaki itu seorang pendiam dan
perahsia. Teringat detik pertama mereka bertemu dulu.
“Yuni! Fiqa!”
Serentak mereka berpaling ke arah suara itu. Yusri
menapak menghampiri mereka bersama seorang pemuda di
sampingnya.
“Hangpa nak ke mana?” tanya Yusri tersenyum ceria.
“Tak ke mana pun... saja jalan-jalan ambil angin
petang. Hang pulak nak pi mana?” jawab Ayuni dan
bertanyakan hala tuju Yusri pula.
“Aku bawa sepupu aku ni jalan keliling kampung.
Tahun depan dia masuk sekolah kita,” beritahu Yusri.
Ayuni mengamati pemuda itu yang hanya berlagak
selamba di sebelah Yusri. Satu per satu penilaian diberikan
terhadap pemuda itu. Rambutnya lurus tampak kemas
walaupun panjang hingga mencecah bahu. Mamat rockers
mana tersesat dalam kampungnya ini? Muka macam tidak
ada perasaan saja. Sombong ke apa?
Mata Ayuni terarah pada T-shirt hitam bergambar
bintang rockers dan rantai yang tersarung di leher pemuda
itu. Matanya melurut pula pada seluar jean yang terkoyak
di bahagian lutut. Kenapa pulak nak dikoyaknya seluar
tu? Berangan nak jadi bintang rock kut. Macam kumpulan
Search. Phiiwitttt!!! Teringat trademark penyanyi kumpulan
itu membuatkan bibir Ayuni melirik segaris senyuman.
Tanpa dia sedari, pemuda itu juga sedang
memerhatikannya. Mati senyumannya tatkala bertemu
pandang dengan pemuda itu. Dia terkedu. Renungan itu
seakan menusuk ke sanubarinya sehingga mengundang
debaran dalam dada.
“Yuni, Fiqa... kenalkan sepupu aku, Danial Haikal.
Panggil ja dia Nal,” beritahu Yusri memperkenalkan
sepupunya.
Serentak Ayuni dan Shafiqa menunduk sedikit tanda
perkenalan. Namun, Danial hanya membisu seribu bahasa.
“Kenapa tukar sekolah kat sini? Sebelum ni sekolah
kat mana?” ramah Shafiqa bertanya.
“Dia duk KL, pak ngah nak ke overseas... tak ada
sapa nak tengokkan dia, tu sebab pak ngah minta keluarga
aku tolong tengok-tengokkan dia,” jelas Yusri.
“Ooo... begitu...” balas Shafiqa sambil mengangguk
faham.
“Kalau macam tu, tahun depan kita ada kawan
barulah. Boleh Nal join kumpulan kita nanti,” cadang Shafiqa
ceria.
“Kalau kau nak tahu Nal, kami memang aktif dalam
aktiviti sekolah. Kalau hang berminat, bolehlah join kami,”
terang Yusri kepada Danial.
Danial hanya tersenyum nipis.
“Weh, jom kita duduk bawah pokok tu,” ajak Shafiqa
sambil kepala dihalakan ke arah sepohon pokok besar yang
merimbun daunnya di tepi sungai. Kelihatan beberapa orang
kanak-kanak sedang bermain di situ.
Sepakat mereka setuju dengan cadangan Shafiqa
itu. Ayuni yang berjalan di sebelah Yusri menoleh sekilas ke
arah pemuda itu yang diam sedari tadi sebelum mendekatkan
dirinya dengan Yusri.
“Yus, sepupu hang tu bisu ka?” bisik Ayuni perlahan.
“Hesy, hang ni... mana ada. Dia tak ada cacat celanya,”
beritahu Yusri menyangkal keras sangkaan Ayuni.
Membuntang mata Ayuni. Ingin sahaja dia menekup
mulut sahabatnya itu. ‘Isy! Yus ni... kalau bercakap tu tak
boleh nak slow sikit.’
“Dah dia diam ja dari tadi. Bila Fiqa tanya, hang yang
tolong jawabkan.”
“Dia memang macam tu... tak banyak cakap.”
“Hang ni kalau bercakap boleh slow sikit dak? Dengar
kat sepupu hang tu terasa pulak dia nanti,” ujar Ayuni mula
kurang senang. Tajam jelingan dilemparkan kepada Yusri.
Yusri hanya mencebik. Ayuni mengerling ke arah
pemuda itu yang tidak memberi sebarang reaksi. Wajahnya
tetap serius seperti tadi.
Sejak dari itu, nama Danial Haikal sering meniti di
bibir pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya. Penampilan
Danial Haikal begitu berbeza sekali pada hari pertama
persekolahan bermula. Rambutnya telah dipotong dan disisir
rapi. Dia tampak segak dan kemas dalam pakaian seragam
sekolah.
Hari pertama, dia sudah menjadi tumpuan sang
gadis. Danial Haikal ditempatkan sekelas dengan Yusri dalam
aliran sains. Walaupun mereka berlainan kelas kerana Ayuni
dalam aliran sastera, tetapi dalam aktiviti-aktiviti sekolah,
mereka sering dalam satu kumpulan.
Mana mungkin Ayuni dapat melupakan insan
bernama Danial Haikal. Tingkah lakunya sentiasa menjentik
tanda tanya dalam benak fikiran. Sorotan matanya yang
bersahaja, sesekali tajam menusuk menggetar rasa. Namun,
sikap pendiamnya dan suka menyendiri menyebabkan dia
sukar didekati. Sukar menyingkap rahsia yang terselindung
di balik wajah itu.
Ayuni terus menatap gambar-gambar yang
kebanyakannya pada zaman persekolahan mereka dulu.
Segaris senyuman tidak lekang di bibirnya. Masih kuat
terlayar dalam memori pertama kali dia menegur jejaka
intipan gadis-gadis di sekolahnya semasa mereka ditugaskan
di perpustakaan bersama.
“Mama awak ikut papa awak ke overseas jugak?”
tanya Ayuni membuka bicara. Hari ini pertama kali mereka
ditugaskan bersama dan sejak setengah jam yang lalu, mereka
hanya membisu. Sedari tadi, Danial Haikal khusyuk dengan
buku yang baru diambilnya di rak perpustakaan itu.
Tanpa memanggungkan kepala, Danial menggeleng
tanpa kata.
“Habis tu, kenapa awak tak tinggal dengan mama
awak?” tanya Ayuni lagi.
Danial diam seketika.
“Mama saya dah tak ada,” sayu nada suara Danial
kedengaran.
Ayuni terkedu. Rasa hendak ketuk sahaja kepalanya
kerana menyibuk hal peribadi orang.
“Maaf... saya tak tahu,” lembut suara Ayuni
seolah-olah menyesali keterlanjurannya.
Danial hanya diam.
Ayuni memerhati keadaan perpustakaan yang
senyap sunyi. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang tekun
menelaah dan mencari maklumat dari buku rujukan. Ayuni
bermain-main dengan pen di tangan.
“Masa di sekolah lama, awak aktif dalam aktiviti
ko-kurikulum?” soal Ayuni lagi memecah keheningan antara
mereka.
Sekali lagi Danial menggeleng tanpa mengangkat
muka.
“Awak berminat tak nak join mana-mana persatuan?
Selalunya sekolah kita aktif dalam pertandingan antara
sekolah-sekolah. Kalau awak berminat, saya boleh uruskan.”
Tersenyum ceria Ayuni memberi usul.
Danial Haikal mengangkat muka dan menoleh
memandang Ayuni.
“Awak!” kata Danial sambil kepala dihalakan ke satu
arah.
Ayuni turut menoleh ke arah itu. Dia terkedu apabila
melihat papan tanda “ZON SENYAP”. Merona wajahnya.
Perlahan dia menoleh memandang Danial yang sudah tunduk
menatap bukunya kembali. Muncung muka Ayuni apabila
menyedari lelaki itu menyindirnya.
‘Tak apa, kau kenakan aku, ya...’
Ayuni kembali menjalankan tugasnya. Buku-buku
yang dipulangkan oleh pelajar-pelajar diagihkan kepada dua
bahagian untuk diletakkan kembali ke rak buku. Kemudian
dia berdeham memanggil Danial yang sedang meletakkan
keratan akhbar di sebuah rak.
Danial menoleh. Ayuni hanya menunjukkan isyarat
tangan ke arah buku-buku yang tersusun di hadapannya.
Danial melangkah menghampiri. Ayuni menolak buku-buku
yang telah disusunnya tadi kepada Danial. Dengan isyarat
tangan, dia menunjuk ke arah rak-rak yang berada di bahagian
belakang bilik perpustakaan itu.
Danial meneliti buku-buku itu.
“Macam mana saya nak tahu buku ini diletakkan di
bahagian mana?” tanya Danial.
Ayuni membuka salah satu buku dan menunjukkan
beberapa catatan yang ada di belakang buku itu untuk rujukan
Danial. Namun, tingkah Ayuni itu menimbulkan kehairanan
dalam benak fikiran Danial.
“Sejak bila pula awak jadi bisu?” selamba Danial
bertanya.
Terjongket sebelah kening Ayuni. Kali ini kepalanya
ditala ke satu arah.
Danial turut menoleh ke arah itu. Dia terkedu. Papan
tanda yang ditunjukkan kepada Ayuni tadi kini ditujukan
kepada dirinya pula. Dia menggeleng dan segaris senyuman
menghiasi wajahnya.
Berkerut dahi Ayuni dengan tingkah Danial. ‘Apa
yang lucu sangat? Tadi dia jugak yang suruh aku jangan
bercakap.’
Namun, apabila Danial kembali berpaling
memandangnya, Ayuni terpanar. Senyuman cukup menawan
itu terlayar di ruang mata. Dia kaku seketika. Tanpa dipinta,
debaran dalam dada berdegup laju dari biasa. Tapi Ayuni cepat
tersedar. Dia mengalih pandangan. Tidak mahu tertangkap
oleh mata helang lelaki itu. Aura pesona Danial Haikal sudah
mula meresap dalam dirinya. Bikin malu sahaja nanti.
Peristiwa itu sekali lagi mengundang senyuman di
wajah Ayuni. Dia terus menatap gambar-gambar di dalam
album itu. Kali ini sekeping gambar yang mencatat memori
indah di antara dia dengan Danial menjadi tatapan matanya.
Dia menyentuh lembut gambar itu, seolah-olah menggamit
memori itu terlayar dalam ingatan.
Ketika itu, sekolah mereka mengadakan persembahan
teater untuk Hari Kebudayaan. Danial ditugaskan memegang
watak Hang Tuah, manakala Ayuni sebagai Tun Teja.
Sepanjang sesi latihan, bermacam-macam ragam dan detik
manis terpahat dalam ingatannya. Walaupun pada mulanya
agak sukar, tetapi Danial memberi kerjasama yang baik dan
segalanya berjalan lancar sehingga hari persembahan itu
diadakan.
“Danial! Yuni! Aku nak ambil gambar hangpa. Yuni,
hang duduk kat kerusi tu. Danial, hang berdiri sebelah Yuni,”
suara Yusri kedengaran agak tegas memberi arahan.
Ayuni sudah mempamerkan wajah cemberutnya.
Tetapi lain pula Danial, tetap berwajah selamba dan bersahaja.
“Weh! Yuni! Cepatlah!” desak Yusri.
Shafiqa yang ketika itu berada di sebelah Ayuni
menguntum senyum. Beberapa kali Yusri memberi isyarat
mata kepada Shafiqa supaya berbuat sesuatu. Dia tahu Ayuni
malu hendak bergambar bersama Danial.
“Pergilah Yuni...” perlahan nada Shafiqa bersuara.
“Tak mahulah aku.”
“Awat pulak?”
“Tak tau.” Itu sahaja jawapan yang mampu Ayuni
berikan. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak mahu
bergambar dengan Danial. Perasaan malu tiba-tiba terasa
menebal dalam diri.
“Atau hang ada hati kat dia?” usik Syafiqa.
Mencerlung mata Ayuni memandang Shafiqa.
“Mana ada... hang jangan nak memandai...”
“Habis tu... kalau tak ada, pasai apa hang nak malu
pulak? Buat macam biasa sudahlah, Yusri nak ambil gambar
hangpa berdua untuk laporan aktiviti sekolah,” jelas Shafiqa.
“Tadi kan dah ambik. Tak cukup lagi ka?” kata Ayuni
masih tidak mahu mengalah.
“Hang ni... kalau pasal mengelat, nombor satu. Tadi
kan ramai-ramai, gambar hangpa berdua mana ada lagi.”
“Yuni! Cepatlah!”
Serentak Ayuni dan Shafiqa beralih pandang ke arah
Yusri apabila mendengar suara sahabat mereka itu. Berkerut
dahi Ayuni sambil menggeleng perlahan kepada Yusri tanda
tidak mahu.
“Cepatlah Yuni... Danial dah ready tu,” Yusri terus
mendesak Ayuni.
Mendengar kata Yusri itu, pantas Ayuni beralih
pandang ke arah tengah pentas. Danial sudah sedia berdiri
di sebelah kerusi. Renungan Danial ditatap seketika sebelum
dia melarikan pandangannya ke arah Yusri. Entah mengapa,
renungan itu sering kali mengundang rasa debaran dalam
hati. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa payahnya dia
mengawal rasa debaran itu.
Dengan berat hati, Ayuni melangkah juga ke atas
pentas. Terasa malu pula apabila asyik didesak oleh Yusri dan
Shafiqa. Apa kata pelajar-pelajar lain pula nanti?
Setiap langkahnya diiringi debaran yang semakin
kuat memalu dada. Tidak sedikit dipandang wajah Danial.
Ketika dia melabuhkan punggung di kerusi itu, selendangnya
melurut jatuh dari bahu. Pantas tangan menyambar
selendang daripada jatuh ke lantai, dan kala itu juga Danial
turut mencapai selendangnya itu.
Bagaikan terkena kejutan elektrik tatkala tangan
mereka bersentuhan. Pantas, Ayuni menarik tangannya.
Dia hanya membiarkan Danial meletakkan selendang itu ke
bahunya. Bagaikan ada satu tarikan pada sepasang matanya
untuk menatap Danial yang terasa dekat dengannya. Lalu
perlahan-lahan dia beralih pandang pada wajah itu.
Dia terpanar. Pandangan mereka bertaut. Tidak
menduga Danial juga turut memandangnya. Apatah lagi
segaris senyuman yang terukir di wajah Danial menyerlahkan
lagi ketampanannya. Sukar dimengertikan gelora yang hadir
di jiwanya saat itu.
Sinaran lampu kilat dari kamera menyedarkan
mereka. Serentak mereka berkalih pandang ke arah
datangnya sinaran itu. Tersungging senyuman di bibir Yusri
dan Shafiqa. Tidak dikira lagi senyuman dan siulan nakal
daripada pelajar-pelajar lain yang turut menonton adegan itu.
Gambar itulah yang menjadi kenangan yang cukup
manis untuknya. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan
kini...

No comments:

Post a Comment