DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 8

ZAHIM menyandarkan badannya di kerusi empuk
sambil melepaskan helaan. Nampak saja dia santai tapi
dalam hati sudah timbul pelbagai rentak. Dangdut, rock,
irama Malaysia, pop rock, zapin... semua ada. Sebenarnya
dia berdebar-debar menanti saat Sufi muncul di hadapannya
nanti selepas dikhabarkan keinginannya untuk berjumpa
dengan Sufi.
Bila PAnya bertanya, dia hanya memberi alasan
sekadar untuk mengenali staf baru. Berkerut dahi Kak Azah
bila mendengar jawapannya. Memang pelik. Mana ada dia
bersikap terlebih ramah sampaikan mengajak mana-mana
staf baru bertugas di Zamrud Holdings datang ke biliknya
untuk sesi beramah mesra. Lagipun, ingat senang ke seorang
staf nak jumpa dengan CEO kalau tiada perkara yang penting.
“Masuk.”
Zahim membuka mulut sebaik sahaja telinganya
menangkap bunyi ketukan di pintu biliknya.
Dup dap dup dap... hatinya kembali berdendang.
Sempat juga hatinya berbisik, ‘Apa kena dengan kau ni
Zahim? Tak pernah-pernah kau berdebar gila macam ni bila
nak mengadap muka perempuan, ini dah jadi macam hari ini
dalam sejarah. Pelik betul.’
Pintu dibuka dan wajah Sufi muncul di depannya.
Gadis itu nampak teragak-agak untuk masuk.
“Jemput masuk.” Zahim cuba mengawal suara dan
tindakannya.
Sufi terus mengatur langkah ke arah Zahim dengan
berhati-hati. Bimbang juga kalau tersadung kaki bila memijak
karpet yang tebal berinci itu. Dalam debar, hatinya teruja
melihat suasana bilik ini. Mewah, luas dan dan susun aturnya
menarik. Pujian ikhlas dari hatinya. Dia cuba mengawal
tingkah laku, kaki, tangan dan mata. ‘Janganlah aku buat
malu depan CEO ini.’ Doa Sufi dalam diam.
“Err... Encik Zahim nak jumpa saya?” Sufi bersuara
sebaik sahaja kakinya berhenti di hadapan Zahim. Jarak
mereka hanya dipisahkan oleh meja kerja Zahim yang begitu
eksklusif dan mahal.
Zahim mengangguk perlahan sambil matanya
memaku ke wajah Sufi. Memang betul kata Razif. Gadis ini
hanya berpenampilan biasa. Mekap pun ala kadar saja tapi
tetap nampak menarik. Natural beauty, kata Razif dan Zahim
memang mengakui komen sepupunya itu.
“Ehem...”
Sufi sengaja berdeham semata-mata mencuri
tumpuan lelaki itu.
‘Kalau nak jumpa aku pun, janganlah buat muka
macam jakun. Gaya macam orang tak pernah jumpa
perempuan, musykil aku!’ Komen Sufi perlahan bila
dilihatnya Zahim terus terpaku memandangnya.
“Sorry, jemput duduk.” Zahim turut membetulkan
kedudukannya.
“Terima kasih.” Sufi melabuhkan punggungnya ke
kerusi.
“Kak Azah beritahu saya tadi, Encik Zahim nak
jumpa saya. Saya ada buat apa-apa kesalahan ke sampaikan
saya kena mengadap muka Encik Zahim ni?” Sufi cuba
memberanikan diri memandang wajah Zahim. Teringat juga
kata-kata Marina tadi. Dia ada buat apa-apa kesalahan ke?
“Awak tak ada buat salah apa-apa pun, saya just nak
kenal awak. Saya nak pastikan apa yang saya fikirkan adalah
betul.” Sufi terpegun tapi lebih kepada rasa pelik dengan
kenyataan itu.
“Maksud Encik Zahim?”
“Saya hanya nak berkenalan dengan awak. Sebagai
CEO, saya rasa saya berhak untuk kenal dan tahu siapa staf
saya, betulkan?” Zahim cuba bersikap tenang semata-mata
mahu menyembunyikan perasaan gugupnya bila berhadapan
dengan Sufi ketika itu.
Sufi memandang wajah lelaki yang nampak begitu
selesa bersandar di kerusi empuk di hadapannya. Ada
senyuman di bibirnya tapi lain macam aje senyuman itu.
Macam ada something. Ya Allah, minta dijauhkan benda yang
tidak elok itu.
“Err... betul.” Sufi teragak-agak nak menyokong.
“So, can you introduce yourself?” pinta Zahim. Saja
hendak ambil kesempatan untuk mengenali gadis itu.
Sufi berdeham seketika. Saja, nak ambil mood kata
orang. Nak betulkan vocal. Bimbang juga kalau pitching lari
nanti. Kan naya, buat malu empunya badan aje.
“Nama saya Nur Aisyah Sufiya binti Kamarul.
Berumur 26 tahun. Asal dari Kota Bharu, anak kedua dari tiga
beradik. Hmm... rasanya itu sudah cukup. Kalau Encik Zahim
nak tahu lebih details tentang diri saya, Encik Zahim boleh
rujuk biodata dan semua yang berkaitan dengan pihak HR.”
Zahim mengangguk perlahan. Sindiran Sufi yang meminta
dia merujuk biodata gadis itu pada pihak HR membuatkan
bibirnya mengorak senyum.
“Hmm... hebat juga awak ni sampaikan berani sound
seorang CEO merujuk pada HR untuk mengetahui tentang
biodatanya. Selama saya kerja di sini, tak ada seorang pun
yang berani berhadapan dengan saya macam yang awak
cakapkan.” Zahim mengukir senyum sinis.
“Termasuk Encik Razif ke?” Sufi memberanikan diri
membalas pandang membuatkan pandangan Zahim terus
terpaku ke wajahnya. Adakah dia telah memecah tradisi?
Kalau ya, memang dia seorang yang hebat. Bravo. Syabas,
Inspektor Sahab!
“Razif tak masuk dalam senarai.”
Zahim tergelak kecil.
“So, Encik Zahim dah kenal siapa saya secara
ringkasnya, kan?. Seterusnya, boleh saya keluar sekarang?”
Sufi siap bertentang mata lagi dengan Zahim.
“Awak tak boleh keluar dari bilik ni selagi awak tak
dapat kebenaran dari saya. I’m your big boss dan saya berkuasa
di sini.” Zahim sekadar mahu menguji gadis di hadapannya.
Zahim cuba menahan diri dari mengukir senyum.
Entah kenapa, wajah gadis di hadapannya begitu comel pada
pandangan matanya. Tidak pernah pula selama ini dia memuji
mana-mana perempuan dengan perkataan comel.
Mata Sufi mula mengecil serta bibirnya
bergerak-gerak... terkumat-kamit. Besar kecil besar kecil aje
nampak tubuh lelaki di hadapannya. Kalau dia kasi karate
atau tekwando, aci tak kat lelaki ni? Rasanya sudah lama tak
buat gerakan badan, kira senamanlah, ya.
“Kenapa bibir awak bergerak-gerak? Awak ada baca
apa-apa jampi ke untuk buat saya terpikat dengan awak?”
Zahim mengusik sambil tersenyum.
“Hah?” Mulut Sufi ternganga tiba-tiba.
Sufi memang tidak sangka itu yang keluar dari mulut
bosnya. Tiada maknanya dia nak jampi serapah. Dia hanya
geram. Punyalah berdebar dia tadi nak masuk mengadap
CEO, tapi hanya itu yang ditanya. Baik dia jumpa tahun
depan. Ingatkan apa yang penting sangat. Buang masa aje.
Tapi bukankah dia dikira beruntung sebab dipelawa datang?
Dapat bersemuka dengan CEO yang handsome! Kiranya
lelaki paling handsome yang dia jumpa setakat ini, kalau
buat perbandingan dengan Jazlan, memang Jazlan pun akan
kalah. Sila jealous ya, Cik Marina.
“Comellah awak buat gaya macam tu. Saya suka.”
Zahim mengenyit mata membuatkan mata Sufi
membulat. Mulut pun dah ternganga buat kali kedua. Nasib
baik tidak luas sangat tapi kalau ada lalat, selamatlah masuk
dalam mulut.
‘Tak sangka, miang juga bos aku ni. Ingatkan
orangnya jenis yang serius. Rupa-rupanya spesies ulat bulu
juga tapi apasal dia tidak tertarik pula dengan si Marina tu.
Encik Razif pun tidak tertarik juga dengan perempuan tu.
Musykil ni,’ detik Sufi dengan dahi yang berkerut.
“Sebenarnya, saya ada banyak perkara yang nak
diuruskan, begitu juga dengan Encik Zahim kan. Jadi, elok
saya keluar sekarang. Nanti bertangguh pulak kerja saya.
Lagipun, mana tahu ada sesiapa yang cari saya kat luar.” Sufi
sudah bersedia untuk keluar dari bilik itu.
“Apasal awak ni macam kalut aje. Awak macam tak
suka jumpa saya, kenapa?” Zahim merenung wajah Sufi.
Zahim jadi hairan mengenangkan sikap gadis di
hadapannya. Macam nak mengelak saja daripadanya. Kalau
gadis lain, mungkin sudah melompat kegembiraan bila dapat
bertemu dengannya. Ini lain macam saja.
‘Entah-entah memang betul hatinya dah berpunya.
Sebab tu nampak tak teruja jumpa dengan aku. Kalau betul,
aku dah tak ada peluang untuk mendekati dia lagi. Aduh...
sadisnya bila hati terpaut pada si dia yang dah berpunya!’ Hati
Zahim mula libang-libu.
“Bukan macam tu, erm... macam mana, ya. Susah
nak cakap. Sebenarnya saya segan nak berdepan dengan
Encik Zahim. Macam yang Encik Zahim cakap tadi, you're
the big boss. Jadi semua ni kena ikut prosedur dan protokol.”
Sufi menggaru-garu dahinya. Sudah, hanya itu yang mampu
Sufi fikirkan masa ini sebagai alasan untuk keluar dari bilik
itu.
Zahim mengukir senyum.
“Awak tak perlu segan dengan saya. Saya cuma lelaki
biasa. Kalau awak tak rasa segan bila berdepan dengan Razif,
jadi kenapa awak perlu rasa segan bila berdepan dengan saya?
Buat macam biasa ajelah. Just anggap saya ni macam kawan
awak.” Zahim cuba membuatkan Sufi rasa selesa berdepan
dengannya. Namun pada hakikatnya, dia mahu gadis itu terus
berada di hadapannya. Ada tarikan graviti yang terlalu kuat
membuatkan dia mahu terus menatap wajah itu.
“Tapi pointnya di sini tetap tak berubah. Encik
Zahim adalah bos besar saya. Encik Zahim adalah CEO
syarikat ni. Tetap ada batasannya,” dalih Sufi semata-mata
mahu mengelak untuk terus berada di bilik itu. Entah kenapa
dia rasa rimas tiba-tiba.
“Saya ada dengar khabar yang awak berminat untuk
mengisi borang sebagai calon isteri pilihan saya, betul ke?”
Tiba-tiba Zahim mengubah tajuk perbualan tapi matanya
tetap merenung wajah Sufi sambil mengukir senyum.
“Alamak!”
Sufi menelan liur. Rasanya muka dia sudah bertukar
hijau. Nasib baik tidak bertukar menjadi Incredible Hulk.
Nanti tak pasal-pasal terkoyak baju dan seluar yang dipakainya
sehingga menampakkan aurat. Kan naya tu. Pasti dia akan
menanggung rasa malu yang amat.
‘Hmm... Ini mesti kerja Kak Azah. Apasal dia buka
bab tu! Mana nak letak muka aku yang cun melecun ni.
Takkanlah nak sorok bawah meja. Agaknya memang ramai
perempuan yang dah ambil borang agaknya ataupun ada yang
sudah siap hantar. Cuma tunggu untuk dipilih dan dinilai
sahaja.’ Sufi mula mengetap bibir.
“Eh, tak adalah Encik Zahim. Saya gurau aje tu.
Janganlah ambil serius pulak, ya.” Sufi menahan malu dan
segan. Tentu mukanya sudah bertukar warna lagi. Entah kali
ini sudah bertukar warna apa pula... merah, biru, kuning,
kelabu atau pink?
Apa lagi bila melihat bibir Zahim asyik mengukir
senyum.
‘Hai, dari tadi asyik senyum aje kerjanya! Tengah
praktis nak masuk test skrin untuk iklan ubat gigi gamaknya.’
Sufi menggaru kepala yang dilitupi tudung.
“Kalau saya ambil serius, apa awak nak buat?” Zahim
cuba menduga perasaan gadis itu.
“Tak buat apa-apa. Buat bodoh aje.” Sufi buat muka
selamba sedangkan pada hakikatnya hanya Allah sahaja yang
tahu.
Namun, kata-kata Sufi yang selamba itu membuatkan
Zahim melepas tawa.
“Hmm... tak sangka pandai juga awak buat lawak.”
Zahim mengukir senyum menampakkan barisan gigi yang
tersusun kemas.
Hati dan perasaan Sufi sudah mula goyah apabila
melihat senyuman dan mendengar tawa Zahim. Menarik
dan menggoda jiwa serta perasaannya, tetapi dia cuba
kontrol dengan hati yang berdebar-debar. Risau juga kalau
tingkahnya dapat dihidu oleh lelaki itu. Maklumlah, dia pun
manusia biasa.
Ada rasa tertawan bila asyik ditayangkan dengan
senyuman manis seperti orang tertelan gula berkilo-kilo dan
tawa syahdu yang mengusik kalbu. Apatah lagi oleh lelaki
yang handsome macam Zahim. Memang boleh tangkap
lentok sampai meleleh punyalah!
Dada Sufi mula berdebar gila. Dup dap dup dap...
‘Alahai, sekarang ni bukan setakat rasa tapi dah
memang tergoda saya dengan senyuman dan tawa awak tu,
Encik Zahim!’
Sufi mengetap bibir. Lama wajahnya terpaku
menatap wajah Zahim. Memang sejak semalam lagi dia akui
bahawa bosnya ini termasuk dalam kategori lelaki yang kacak.
Kira ada gaya maskulin. Kalau jadi cover majalah, mesti
ramai yang beli. Lepas itu tenung aje muka dia kat majalah tu
sampai nak tembus kertas.
“Kenapa awak asyik tenung saya macam tu? Malu
saya, lagipun saya ni masih lagi teruna suci tau.” Zahim
menyimpul senyum membuatkan air liur yang ditelan
Sufi ketika itu tersekat di kerongkong membuatkan Sufi
terbatuk-batuk.
“Awak okey tak? Macam teruk sangat batuk awak tu.”
Zahim sengaja mendera perasaan Sufi.
“Encik punya pasallah saya batuk macam ni.” Sufi
menahan perit di tengkuk.
“Awak yang buat hal, saya yang disalahkan!” Zahim
memandang wajah Sufi.
Sufi mula mengetap bibir.
“Awak tahu tak, tak elok anak dara tenung anak
teruna orang lama-lama. Takut tergoda nanti. Atau awak
sengaja nak bikin hati saya berdebar-debar? Silap-silap boleh
gugur tahu hati saya ni kalau asyik ditenung begitu, tapi kalau
awak sanggup sambut hati saya, saya rasa tak terkilan sebab
saya tahu hati saya akan ada pada orang yang sepatutnya layak
memiliki.” Zahim menyambung lagi.
Sekali lagi kata-kata Zahim membuatkan Sufi
terbatuk-batuk. Tekaknya semakin terasa perit. Rasa nak
cekik saja batang leher lelaki yang berada di hadapannya.
‘Aik, siapa sebenarnya perempuan kat sini? Aku atau
dia? Sampaikan dia pula yang rasa malu! Siapa goda siapa
ni?’ Gerutu Sufi mengetap bibir menahan geram sambil
menggosok-gosok lembut lehernya. Rasa nak pengsan pun
ada bila mendengar kata-kata itu.
“Encik Zahim ni, tadi cakap saya yang pandai buat
lawak. Sekarang ni, Encik Zahim pula yang buat lawak.
Memang Encik Zahim sengaja nak kenakan saya. Dah perit
tekak saya ni batuk sebab terkejut dengan kata-kata Encik
Zahim tu.” Sufi memberanikan diri bersuara.
“Mana ada saya nak kenakan awak. Saya memang
serius tahu. Hati saya ni memang hanya untuk awak seorang
saja, takkan ada untuk perempuan lain.” Kata-kata Zahim
membuatkan duduk Sufi makin resah. Makin melalut pula
bicara bosnya ini. Jangan berjangkit kat aku sama sudah.
Nanti kena masuk wad sebab terkena jangkitan virus miang.
Kan naya tu.
Sufi benar-benar bengang menghadapi situasi yang
dia memang tidak jangka akan berlaku seperti sekarang.
‘What should I do? Anna, tolong aku...’
“Betul ni awak nak isi borang? Saya boleh bagi.”
Zahim tiba-tiba mengubah tajuk perbualan. Zahim macam
kalut mencari dan membelek beberapa buah fail yang ada di
atas mejanya.
“Hah, isi borang? Borang apa? Borang cuti atau
borang berhenti?” Sufi terpinga-pinga.
“Borang untuk jadi calon pilihan isteri sayalah.
Borang apa lagi.” Zahim tergelak-gelak. Seronok dapat
melihat wajah Sufi yang terpinga-pinga ketika itu. Comel.
Kalau boleh, rasa nak cubit-cubit aje pipi gadis itu. Mulut
comel yang sedang berceloteh itu rasa nak dikucup aje.
Geram sangat.
“Oh, ingatkan hal tu dah selesai, masih ada
sambungannya lagi. Bila nak habis bincang bab ni? Nak
tunggu sampai tahun depan ke?” Sufi menahan geram. Rasa
nak cucuk-cucuk aje biji mata bosnya itu. Tidak habis-habis
duk tenung muknya. Ingat dia ini patung kat supermarket ke.
Sesuka hati dia saja nak tenung muka orang.
“Borang tu terhad tau, bukan untuk diberikan
pada sembarangan orang.” Zahim sudah tersengih gatal.
Naik semput Sufi dibuatnya untuk menangani kerenah
Zahim yang memang tidak dijangka itu. Sufi sudah mula
rasa geli-geleman. Mesti bulu romanya sudah tegak berdiri
sekarang ini.
“Aduh, Encik Zahim ni dah buat saya pening kepala.
Kalau macam ni, saya rasa elok saya keluar. Lagi lama saya
dalam bilik ni, saya boleh jadi gila. Silap-silap saya jadi
penghuni kat Tanjung Rambutan nanti. Kesian umi dan walid
saya.”
Sufi sudah bangun dari kerusi dan bersedia untuk
melangkah keluar dari bilik itu.
“Nanti dulu.” Tegah Zahim sambil bangun dari
kerusi membuatkan langkah Sufi terhenti. Dia memandang
wajah lelaki itu dengan dahi yang berkerut.
‘Apa lagi yang belum selesai ni?’ Rungut Sufi cuba
mengawal perasaan. Dia kembali melangkah.
“Sudi tak awak jadi kawan saya?” Pertanyaan Zahim
membuatkan langkah Sufi terhenti dan terus statik.
Sufi segera menoleh. Melihat seketika wajah Zahim.
Kali ini wajahnya nampak begitu mengharap. Tak adalah
macam rupa mamat sengal macam tadi.
“Maaf. Saya tak berminat dan saya juga tak layak
untuk jadi kawan Encik Zahim.” Sufi segera memberi
keputusan.
“Awak tak perlu jawab sekarang, saya bagi awak
masa untuk fikirkan.” Zahim cuba mengukir senyum tapi
senyumannya nampak hambar. Macam kecewa sangat bila
permintaannya segera ditolak oleh Sufi.
“Tak perlulah nak fikirkan lagi. Keputusan saya tetap
muktamad. Sebarang surat-menyurat tidak akan dilayan
selepas ini dan Encik Zahim juga tak perlu nak guna talian
hayat.” Sekali lagi Sufi memberi keputusan penuh yakin.
Zahim mendengus perlahan. Wajahnya muram
tiba-tiba. Secara tidak langsung dia terasa hati dengan
penolakan itu. Terasa dirinya seperti tidak dihargai.
“Awak memang macam ni, ya? Sombong dan cepat
sangat membuat andaian tanpa mahu berfikir terlebih
dahulu.” Zahim mengeluh kesal dengan sikap Sufi.
“Maksud Encik Zahim?” Dahi Sufi kembali berkerut.
Malah dia amat terkejut dengan kata-kata lelaki itu yang
menganggap dirinya seorang yang sombong.
“Betul awak tak kenal saya, tak pernah jumpa saya?”
Zahim kembali bersikap serius. Berbeza sekali dengan cara
dan perwatakannya seketika tadi.
“Ya, saya tak pernah kenal siapa Encik Zahim dan
saya rasa saya kita tak pernah jumpa sebelum saya bekerja di
sini.” Sufi cukup yakin.
“Betul ke kita tak pernah jumpa sebelum ni? Awak
betul-betul yakin ke?” Zahim tetap merenung wajah Sufi.
“Ya Allah, betullah. Tak ada sebab dan tak ada
gunanya saya nak berbohong.” Sufi menahan geram.
Zahim mula melangkah dan langkahnya terhenti
betul-betul di hadapan Sufi. Wajah Sufi yang mula resah itu
ditenungnya seketika.
“Awak lupa yang awak pernah menyelamatkan
seorang lelaki dari dibelasah oleh dua orang lelaki di sebuah
shopping complex.”
Sufi terdiam. Cuba mengingati apa yang dinyatakan
oleh Zahim itu. Zahim nampaknya masih sabar menunggu.
“Nanti...”
Wajah Zahim diteliti dengan penuh minat sambil
otaknya ligat cuba mencari sesuatu yang ada kaitan dengan
penjelasan Zahim tadi.
“Jadi, lelaki yang saya tolong hari tu adalah...” Sufi
mula nampak gambaran.
“Yup. It’s me. Seperti hari itu juga, awak tetap
menolak saya untuk mengenal siapa awak. Itu sebabnya
saya menganggapkan yang awak ni seorang yang sombong.”
Zahim menarik nafas. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke
dalam poket seluar. Wajahnya tertunduk seketika.
“Ya Allah, memang serius saya lupa pasal tu!” Sufi
menarik nafas resah.
“Apa yang awak ingat, hmm?” Kali ini wajah Sufi pula
menjadi perhatian Zahim dengan penuh minat. Senyuman
yang cukup menggoda terukir di bibir Zahim membuat Sufi
menelan liur. Benar-benar rasa tidak selesa dengan situasi
sekarang.
“Maaf, saya keluar dulu.” Sufi tergesa-gesa hendak
keluar tanpa memberi peluang untuk Zahim berbicara lagi.
“Permintaan saya masih terbuka dan saya akan tetap
menunggu sehingga awak sudi menjadi kawan saya.” Zahim
masih tidak mahu berputus asa.
Sufi tetap mengatur langkah. Tidak menghiraukan
kata-kata itu. Dia hanya mahu keluar dari bilik itu.
“Tak apa, kita masih ada masa.”
Tiba-tiba bibir Zahim mengorak senyum lebar kerana
dia yakin yang dia sudah temui apa yang dicari selama ini.
Dia tidak akan membiarkan gadis itu pergi dari pandangan
matanya selepas ini.

No comments:

Post a Comment