“REMUK jiwa...” Ayuni letak kepala atas meja
sambil menghadap muka Shafiqa yang duduk di sebelah.
Menggeleng Shafiqa melihat keadaan sahabatnya yang tengah
frust menonggeng.
“Huhuhu... bila nak dapat kerja ni?” Sudah sebulan
dia menganggur sejak syarikat yang dia bekerja sebelum ini
gulung tikar.
“Nanti dapatlah kerja tu. Belum ada rezeki lagi.”
Dipujuk sahabat yang sedang patah hati sejak menjawat
status penganggur.
“Nanti tu bila? Hari-hari duk tanam anggur, tapi
tak berbuah-buah. Asyik makan, tidur. Dah banyak tempat
aku apply, tapi tak panggil-panggil pun. Yang panggil
datang interviu pun lepas tu terus senyap. Nak kata aku
minta gaji tinggi, rasanya tak tinggi mana. Macam mana ni
Fiqa? Sewa rumah, kereta, nak kena bayar. Belanja kat sini
tahu-tahu sajalah. Tinggi! Keluar rumah ja semuanya duit.
Nak membuang pun kena duit. Sugar daddy pun tak ada nak
support,” rungut Ayuni.
“Mulalah nak merapu meraban hang ni. Aku kan
ada.” Shafiqa menunjal kepala Ayuni.
“Aku tak nak menyusahkan hang, Fiqa. Hang dah
banyak tolong aku. Bulan lepas pun hang dah bagi pinjam
duit. Lagipun tahun depan hang nak kahwin. Kena simpan
duit. Belanja kahwin la ni bukannya sikit. Hang tak payah
risaukan akulah.”
“Ala... setakat nak pinjam untuk bayar sewa rumah
ni, boleh lagi. Tapi Viva hang kat luar tu tak lepaslah.”
“Tu yang aku susah hati ni.” Ayuni tongkat dagu.
Kusut dibuatnya.
“Aku ingat nak kerja part-timelah,” cadang Ayuni.
Sampai bila dia hendak begini? Umpama menunggu durian
tidak luruh-luruh.
“Kerja part-time apa?”
“Kerjalah kat McD atau KFC. Asal lepas aku nak bayar
duit sewa rumah dengan kereta. Tapi tunggu sampai hujung
bulan ni, sebab minggu depan aku nak balik kampung. Rindu
dah kat mak aku.”
“Mak hang tau hang tak kerja?”
Ayuni menggeleng lemah.
“Aku tak nak mak aku susah hati.” Cukuplah
pengorbanan ibunya membesarkan dia dan adiknya selama
ini. Sekarang biarlah tanggungjawab itu digalasnya pula.
Selepas kematian ayah, ibunya bekerja keras mencari rezeki.
Seawal pagi lagi ibunya sudah bangun untuk menyediakan
nasi lemak. Alhamdulillah, nasi lemak ibunya disukai ramai.
Boleh juga menampung perbelanjaan sekolah mereka
adik-beradik. Ibunya juga mengambil upah menjahit.
Sekarang dia tidak benarkan ibunya membuat
kerja-kerja berat lagi. Ibunya pun bukan sihat sangat hendak
buat kerja seperti dulu. Biarlah dia yang berusaha pula.
“Aku minggu depan pun kena pergi Johor. Mungkin
seminggu lebih aku outstation.”
“Nasib baik aku plan nak balik kampung. Kalau hang
tak ada, boleh mati kutu juga aku dalam rumah ni. Bercakap
dengan dinding hari-hari.”
Shafiqa gelak. Ada-ada saja kawannya nan sorang ini.
“Hari ni hang masak apa?”
“Amboi anak dara ni, balik kerja tahu nak makan ja.
Nak masak punyalah liat. Macam mana nak jadi isteri orang
ni? Masak pun malas.”
Shafiqa sengih.
“Lepas kahwin, aku belajarlah masak.”
“La ni kena mula belajar masak, bukan lepas kahwin.”
“Tak apa, Badrul sayang aku. Dia tak kisah makan
lauk kedai.”
“La ni bolehlah, tengah manis bercinta. Apa pun
boleh. Kentut pun jadi wangi. Tunggu lepas kahwin esok.
Takkan hari-hari nak makan lauk kedai? Kalau hang sendiri
pun cemuih.”
“Ala Yuni, hang bukan tak tau aku sibuk. Mana ada
masa nak belajar masak.”
“Sibuk-sibuk juga, Fiqa. Tanggungjawab isteri, hang
kena tau. Hanya air tangan si isteri mampu ikat hati si suami.”
“Itu aku tau. Mak aku pun puas dah berleter, tapi
aku kalau bab masak ni memang lemahlah. Aku bukan minat
sangat masak-memasak ni.”
“Suka tak suka, itu dah jadi kewajipan seorang isteri.
Jaga makan, minum, pakai suami.”
Tiba-tiba Ayuni tergelak.
“Amboi bukan main beria aku bagi nasihat kat hang,
macam aku dah berlaki. Tapi aku nasihat ni untuk kebaikan
hang. Sebab hang kawan baik aku.”
“Yalah nanti aku belajar masak dengan hang macam
mana nak buat nasi lemak sedap.”
“Yalah... nanti hang tu tak tau bila...”
Panjang sengihan di bibir Shafiqa.
No comments:
Post a Comment