DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 10

ZAHIM meneliti penampilannya di hadapan
cermin, memastikan penampilannya kemas dan menarik.
Bukan dia tidak tahu bahawa dia merupakan jejaka bualan
terhangat di Zamrud Holdings dan kawasan yang sewaktu
dengannya. Apa tidaknya, CEO Zamrud Holdings ini masih
bujang dan sedang mencari pasangan. Itu yang menjadikan
dia terkenal dan glamor.
Entah siapa yang canang berita tidak benar tu.
Kadang-kadang membuatkan dia jadi resah. Terasa setiap
langkah dan tutur katanya diperhati terutama oleh perempuan
yang sememangnya berada dan berkhidmat di bangunan
Zamrud Holdings. Dia bukannya artis yang mahukan publisiti
dan perhatian dari semua perempuan. Dia rimas.
Setelah berpuas hati dengan gaya dan penampilannya,
Zahim mendapatkan briefcasenya dan terus keluar dari bilik.
Kakinya diayun menuruni tangga dari tingkat tiga.
“Haa... Im, mari sarapan. Dah lama mama dan papa
tunggu.” Puan Sri Yasmin terus menyapa sebaik sahaja
melihat wajah Zahim.
“Selamat pagi mama, papa. Maaf, Im terlambat.”
Zahim menyalami tangan orang tuanya.
“Hmm... semalam balik lambat, ya.” Sekali lagi Puan
Sri Yasmin menegur Zahim. Matanya tepat memandang
wajah anak bujangnya.
“Tak adalah lambat sangat. Im balik dalam pukul
11.30 malam. Jumpa kawan-kawan lama. Bukan senang nak
jumpa dengan diaorang. Maklumlah masing-masing dah
ada tanggungjawab dan komitmen pada keluarga.” Zahim
menyenduk nasi goreng dalam pinggan.
Tan Sri Mokhtar hanya diam. Nampak begitu
berselera menikmati nasi goreng masakan Mak Munah.
“Habis tu, Im pula bila nak ada tanggungjawab dan
komitmen pada keluarga?” Dahi Zahim tiba-tiba berlapis
mendengar komen mamanya.
“Maksud mama?” Zahim memandang wajah
mamanya yang sudah mengukir senyum.
“Maksud mama, Im kena kahwin dan berkeluarga.”
Zahim terdiam. Kemudian dia menggaru-garu
keningnya. Entah kenapa isu kahwin yang baru dibangkitkan
itu menghilangkan rasa selera makannya. Tadi bukan main
berkobar-kobar rasanya hendak menghadap nasi goreng
disebabkan baunya yang sedap.
“Boleh tak kalau kita tak bincangkan pasal ni buat
masa sekarang. Im tak bersedia untuk ada komitmen dengan
mana-mana perempuan.” Zahim memberi alasan klise.
“Habis tu, nak tunggu sampai bila?” Isu itu masih
lagi meniti di bibir mamanya.
Puan Sri Yasmin melahirkan rasa terkilan. Anaknya
sudah berusia 29 tahun tapi sampai sekarang masih belum
bersedia untuk berumah tangga. Itu yang membuatkan dia
jadi tidak senang dengan sikap anaknya. Takkanlah anaknya
tak nak fikirkan soal masa depan? Sekurang-kurangnya
fikirkanlah statusnya sebagai orang tua. Semua anak
kawannya yang sebaya Zahim sudah berumah tangga.
“Erm...” Zahim mula kekeringan idea. Takkanlah
nak guna idea yang sama lagi? Asyik tak bersedia saja. Pasti
alasan itu takkan diterima.
“Betul juga kata mama tu. Papa rasa elok kalau
Im mula fikirkan pasal masa depan Im. Mama dan papa ni
dah lama teringin nak tengok Im kahwin, berkeluarga dan
hidup bahagia macam orang lain. Takkanlah selamanya nak
hidup membujang.” Tan Sri Mokhtar tiba-tiba menyokong
membuatkan Zahim tengadah, diam tidak terkata.
Zahim menggaru kepala yang tidak gatal. Bila papa
sudah mula masuk campur, dia jadi tidak senang duduk.
Terasa mencucuk-cucuk pula punggung dibuatnya.
“Sebenarnya Im bukan tak bersedia nak kahwin
tapi Im belum jumpa perempuan yang sesuai dengan jiwa
Im. Kalau Im dah jumpa yang sesuai dengan Im, Im akan
kenalkan dengan mama dan papa. Im janji!” Hanya itu yang
mampu Zahim berikan sebagai alasan.
“Susah-susah sangat, Im terima ajelah Dania tu. Dia
pun dah lama tunggu Im.” Puan Sri Yasmin cuba mencari
reaksi Zahim.
“Mama, papa. Sejak dulu lagi Im dah nyatakan
yang Dania tu bukan pilihan Im. Mama tolong beritahu kat
perempuan tu yang dia tak perlu tunggu Im kerana Im tak
akan pilih dia sebagai isteri. Jangan kerana urusan perniagaan,
mama dan papa nak korbankan perasaan Im.” Zahim mula
bersikap tegas. Sudah banyak kali Zahim menyatakan bahawa
Dania bukan perempuan kesukaannya tapi kenapa orang
tuanya tetap berdegil mahu dia menerima perempuan itu?
Mungkin mama dan papa tidak pernah kenal siapa Dania
sebenarnya.
“Baiklah. Kalau Im tak suka jodoh yang papa dan
mama carikan, kami akur... tapi pastikan jodoh yang Im
cari tu boleh kami terima. Papa tak nak perempuan yang Im
pilih tu terima Im kerana inginkan harta kita.” Suara Tan Sri
Mokhtar kedengaran sedikit keras.
“Papa, jangan ingat semua perempuan memilih
orang kaya kerana nakkan harta semata-mata. Kita kena
tengok dari sudut yang berbeza. Harta bukan boleh dibawa
mati dan harta kekayaan juga bukan kekal menjadi milik kita
buat selamanya. Semua tu hanya pinjaman sementara dari
Allah.” Zahim cuba menyedarkan pandangan orang tuanya.
“Im kena ingat bahawa cinta sahaja bukan boleh
menjadikan perut kita kenyang dan hidup kita bahagia.” Tan
Sri Mokhtar bersuara lagi membuatkan Zahim mengetap
bibir. “Dan kerana hartalah kita akan disanjung dan
dihormati. Kalau kita tak berharta, tak berpangkat, ada orang
nak pandang kita? Nak hormatkan kita?” tempelak Tan Sri
Mokhtar.
Zahim hanya mendiamkan diri. Biarlah papa dengan
pendapatnya walaupun tidak dinafikan ada betulnya kata-kata
papa itu tapi dia malas nak bertekak pagi-pagi ini. Tiada
kebaikannya.
Puan Sri Yasmin mula mendiamkan diri. Tidak
berani nak masuk campur bila dilihat suaminya mula ambil
serius hal ini. Bimbang dimarahi oleh suaminya.
“Mama, papa. Im pergi dulu.” Tiba-tiba Zahim
bangun.
“Tapi kan Im belum makan lagi. Tengok, nasi goreng
dalam pinggan tu belum terusik.” Puan Sri Yasmin agak
terkejut dengan tindakan Zahim.
“Tak apalah mama, Im sarapan kat luar. Im dah tak
selera nak makan. Im pergi dulu.” Zahim segera beredar
selepas bersalaman dengan kedua orang tuanya.
“Bang, kesian pula Min tengok kat Im tu. Tadi
beria-ia dia nak makan tapi bila dibangkitkan soal kahwin,
terus hilang selera.” Puan Sri Yasmin melahirkan rasa kesal.
“Biarkanlah. Dia dah besar.” Tan Sri Mokhtar kembali
menyuap nasi goreng yang masih berbaki sambil diperhati
oleh Puan Sri Yasmin.
“Tapi bang...” Puan Sri Yasmin nampak teragak-agak
untuk bersuara.
“Kenapa ni? Min ada apa-apa yang Min nak
bincangkan dengan abang ke?” Tan Sri Mokhtar terus
merenung wajah isterinya yang nampak resah.
“Betul ke abang serius nak jodohkan Im dengan
anak Datuk Azman tu?” Puan Sri Yasmin memandang wajah
suaminya yang nampak tenang pagi itu.
Tan Sri Mokhtar terdiam. Sementara Puan Sri
Yasmin nampak sabar menanti jawapan dari suaminya. Dia
cuma mengikut kata dan cadangan suaminya agar menjadikan
Dania sebagai calon isteri Zahim sedangkan pada hakikatnya
dia tak adalah berkenan sangat nak jadikan Dania itu sebagai
menantunya.
“Min, kalau abang tak desak dan gertak dia, sampai
bila-bila pun kita tak bercucu. Nak harapkan Zarul, dia
pun dua kali lima aje. Tambahan pula bila mak dan ayah tu
manjakan sangat cucu kesayangan mereka tu.” Jawapan dari
Tan Sri Mokhtar itu membuatkan Puan Sri Yasmin menarik
nafas lega.
“Betul juga cakap abang tu. Mereka berdua tu buat
tak endah aje kalau kita cakap pasal kahwin. Kadang-kadang
Min pun risau juga kalau fikirkan soal Zarul. Perempuan
bertukar silih berganti. Yang paling Min terkilan, dia tu
macam mengelak aje dari jumpa kita,” ujar Puan Sri Yasmin
dengan wajah muram.
“Nak buat macam mana. Kadang-kadang timbul
rasa menyesal pulak sebab dulu kita serahkan dia kat mak
dan ayah untuk dijaga. Bila dah besar, mestilah dia tak rapat
dengan kita, malah makin lama makin jauh pula dia dari
kita.” Tan Sri Mokhtar turut merasai perasaan yang sama.
Puan Sri Yasmin mengeluh perlahan.
“Yalah bang. Min rasa dia masih marah dan merajuk
dengan kita. Sebab tu dia jarang menjenguk kita kat sini
walaupun kita dengan dia bukannya tinggal berjauhan pun
kan bang.” Puan Sri Yasmin menyokong.
Tan Sri Mokhtar tidak memberi sebarang komen.
“Abang, pasal Zahim tu pula, kalau ikutkan Min
bukannya berkenan sangat kat Dania. Dia tu sosial sangat.
Min tak nak cucu kita nanti terikut-ikut perangai mak dia.
Kalau boleh, Min nak anak kita memilih perempuan yang
baik, beragama, bersopan santun, pandai menghormati orang
tua dan berpelajaran. Pasal harta benda ni semua, Min tak
kisah sangat. Asalkan anak menantu kita bahagia, itu dah
cukup buat Min. Macam yang Im katakan tadi, harta bukan
boleh dibawa mati.” Puan Sri Yasmin mengeluh perlahan.
Dan ketika itu juga dia mengharapkan komen dari suaminya.
“Hmm...” Hanya itu balasan yang diterima dari
suaminya sekali lagi Puan Sri Yasmin mengeluh perlahan.
“Min rasa elok kita berikan kebebasan untuk anak
kita memilih jodoh mereka,” Puan Sri Yasmin cuba mendapat
reaksi suaminya.
“Ikut suka Minlah. Abang dah nak pergi pejabat ni.”
Tan Sri Mokhtar bangkit dari kerusi, diikuti oleh Puan Sri
Yasmin.

ZAHIM MEMBUKA pintu bilik Razif selepas mengetuk
beberapa kali. Razif yang baru sahaja keluar dari bilik air terus
tersentak sebaik sahaja melihat wajah Zahim. Tambahan pula
ketika itu dia sedang menzipkan seluarnya.
“Kus semangat.” Razif mengeluh lega.
Zahim ketawa mengenangkan situasi tadi.
“Nasib baik aku yang masuk, kalau orang lain yang
masuk tadi, silap hari bulan boleh terbang ‘angry bird’ kau!
Hahaha...”
Zahim makin galak ketawa.
Razif menarik muka masam. Tapi langkahnya tetap
diayun ke kerusi, diikuti oleh Zahim.
“Yalah tu, nasib baik tak jatuh saham aku. Ini, main
terjah aje. Apa hal pepagi lagi dah masuk bilik aku? Biasanya
aku yang masuk ke bilik kau.” Razif memandang wajah
Zahim.
“Sesekali aku datang mencemar duli kat bilik kau,
salah ke?” Zahim menyandarkan badannya di kerusi bersama
keluhan.
“Hmm... Lain macam aje mood kau pagi ni. Apa
hal?” Razif sudah dapat melihat perubahan pada wajah kacak
sepupunya itu.
“Jom, temankan aku breakfast,” ajak Zahim.
“Okey.” Tanpa banyak soal, Razif terus bersetuju.
Dan memang saat ini perutnya sudah terasa lapar.
Mereka bersarapan di kafe yang berhadapan dengan
Zamrud Holdings. Razif memesan roti canai, Zahim pula
memesan nasi lemak.
“Im, cuba kau story kat aku apa kena dengan kau
pagi ni, lain macam aje aku tengok.”
Razif merenung seketika wajah Zahim sebelum
memasukkan roti canai ke dalam mulut.
“Pasal parents akulah, diaorang asyik gesa aku
terima Dania. Pening aku dibuatnya. Macam bermusim aje
diaorang tu. Kalau timbul isu kahwin, mesti nama minah
gedik tu yang disebut-sebut. Macamlah tak ada perempuan
lain.” Zahim merengus geram selepas menelan suapan nasi
lemaknya.
Razif mengangguk perlahan.
“Habis tu, cepat-cepatlah cari jodoh kalau jodoh
yang parents kau cari tu, kau tak berkenan kan senang. Tak
adalah nak pening-peningkan kepala kau nak fikirkan alasan
lagi.” Razif ambil jalan mudah.
“Hmm... kau ingat senang ke? Memanglah kat
KL ni ramai perempuan tapi nak cari yang lulus SIRIM tu
bukan senang. Ramai perempuan sekarang yang ‘kahwin
sebelum nikah’. Jadi, aku tak naklah dapat perempuan yang
secondhand untuk dijadikan isteri.” Zahim menarik nafas
seketika.
“Maksud kau?” Razif nampak terpinga-pinga sekejap.
“Maksud aku, perempuan yang hilang dara sebelum
masanya.” Zahim berbisik. Risau kalau kata-katanya didengar
oleh pelanggan lain.
Razif tergelak mendengar ayat itu.
“Sebab kat KL ni sekarang banyak spesies tupai
dan buaya. Sebab tu banyak kelapa yang kena tebuk.” Razif
berkias sambil tergelak-gelak.
Zahim mengeluh perlahan.
“Kau ada cadangan tak macam mana aku nak
mengelak dari terus digesa oleh parents aku?” Zahim
memandang wajah Razif, cuba mendapatkan idea dari
sepupunya.
“Aku cadangkan kau upah aje mana-mana perempuan
yang nampak suci, bawa dia jumpa parents kau. Habis cerita.”
Razif memberi cadangan dengan muka selamba.
“Hesy... kau ingat senang ke nak cari perempuan
macam tu?” Zahim mula pening.
“Kau tabur duit aje, berduyun-duyun yang akan
datang. Tunggu pilih aje.” Razif tetap ambil jalan mudah
untuk menyelesaikan masalah.
“Yalah tu.” Zahim kembali resah.
“Alah... coollah, bro. Kau buat tak kisah dengan apa
yang parents kau cakap. Aku pun buat-buat tak dengar aje
kalau mak ayah tanya pasal jodoh, macam tak biasa pulak.
Lama-lama diaorang pun penat.”
“Tapi sampai bila nak buat tak tahu?”
Zahim tetap rasa susah hati.
“Jangan risaulah. Jodoh kau belum sampai lagi.
Kalau dah sampai, automatik kau akan jatuh cinta dengan
perempuan tu,” tukas Razif.
“Betul juga, thanks bro. Kaulah kawan, sahabat dan
sepupu aku yang paling istimewa.” Zahim sudah mengukir
senyum. Ada rasa lega yang mula bertandang. Baginya, Razif
adalah seorang lelaki terbaik yang pernah dia kenal. Lelaki
yang sentiasa ada di kala suka dan dukanya.
“Im, aku nak tanya satu hal.” Muka Razif berubah
serius.
“Pasal apa?” Zahim terus menatap wajah sepupunya.
“Pasal Sufi.” Mata Razif tepat memandang wajah
Zahim.
“Kenapa dengan dia?” Dada Zahim mula rasa debar.
Razif diam seketika. Tapi matanya tetap galak cuba
mencari reaksi. Hatinya meronta ingin tahu apakah status
hubungan Zahim dan Sufi sekarang.
“Kau betul-betul sukakan dia?” Razif mengetap bibir.
Zahim menarik nafas. Sesaat, wajah gadis comel itu
terbayang di matanya.
“Kau cintakan dia?” Razif masih lagi menunggu
jawapan.
Zahim tetap diam, kali ini dia mengangkat bahu
tanda dia tidak punya jawapan yang pasti. Tindakan Zahim
itu membuatkan Razif pula mengeluh perlahan.

No comments:

Post a Comment