DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 12

ZAHIM mengeluh perlahan sebaik sahaja
selesai menjawab panggilan telefon dari mamanya. Dia
menyandarkan badannya ke kerusi. Matanya dipejam seketika
tetapi otaknya ligat berfikir bagaimana hendak menyelesaikan
masalah yang baru ditimbulkan oleh mamanya sebentar tadi.
Dia pun tidak sangka yang isu itu kembali menjadi topik
perbualan mamanya. Ingatkan dapatlah dia bertenang dua
tiga bulan sebelum isu itu dibangkitkan semula.
Zahim membuka mata sebaik sahaja telinganya
mendengar ketukan di pintu. Cepat-cepat dia membetulkan
kedudukannya. Haru jadinya kalau ditangkap sedang
tidur dalam pejabat sedangkan kerja yang perlu diuruskan
menimbun tinggi.
“Ya, Kak Azah. Ada apa?” Zahim merenung wajah
Kak Azah yang muncul di depannya.
“Ini ada beberapa dokumen yang perlu Encik Zahim
sign dan juga beberapa pucuk surat.” Kak Azah meletakkan
fail dan surat-surat yang dibawanya ke atas meja.
Zahim memandang sekilas sebelum kembali
menatap wajah Kak Azah yang sedang mengukir senyum.
“Err... saya ada apa-apa appointment penting petang
ini dan esok?” Zahim membelek-belek surat yang diterimanya.
“Petang ni Encik Zahim ada appointment dengan
Datuk Rashid jam 3 petang berkaitan dengan projek di Taman
Puspa. Pagi esok pula Encik Zahim ada mesyuarat dengan
pembekal. Oh ya, Tan Sri baru maklumkan tadi yang dia akan
adakan mesyuarat esok jam 10 pagi dengan beberapa orang
pegawai eksekutif untuk dapatkan maklum balas bulanan.”
Kak Azah menyatakan agenda yang perlu dihadiri oleh Zahim.
“Baiklah. Terima kasih, Kak Azah.” Zahim
mengangguk perlahan.
“Kalau Encik Zahim tak ada-apa yang nak
dibincangkan, akak keluar dulu.” Kak Azah bersedia untuk
beredar.
“Kak Azah...”
“Ada apa Encik Zahim?” Kak Azah segera memandang
wajah Zahim.
“Nur Aisyah Sufiya ada kat luar ke?” Dahi Kak Azah
berkerut.
“Tadi ada. Kenapa Encik Zahim nak jumpa dengan
Sufi?” Kak Azah merenung wajah Zahim yang tiba-tiba
nampak resah membuatkan Kak Azah menguntum senyum.
“Kenapa Kak Azah tiba-tiba senyum? Saya ada cakap
sesuatu yang tak betul ke?”
Zahim cuba kawal diri. Entah kenapa dia tiba-tiba
rasa segan dan malu bila melihat senyuman yang mula
terukir di bibir Kak Azah itu.
“Tak adalah tapi kenapa Encik Zahim nak jumpa
dia?”
“Ada perkara yang saya nak bincangkan dengan dia,
tak boleh ke?” ujar Zahim dengan nada serius.
“Eh, siapa kata tak boleh. Encik Zahim kan bos kat
sini. Encik Zahim berhak untuk berbincang dengan sesiapa
saja.” Kak Azah tergelak kecil membuatkan Zahim tiba-tiba
mengukir senyum.
“Boleh Kak Azah tolong beritahu dia yang saya nak
jumpa dia sekarang?” Zahim bersuara.
“Boleh, nanti akak beritahu.”
Zahim mengangguk perlahan sebelum
menyandarkan badannya ke kerusi. Dalam masa yang sama
otaknya mula merangka ayat yang sesuai.

“SUFI, BOS nak jumpa dengan Sufi sekarang.” Kak Azah
segera mendapatkan Sufi yang sedang menaip sesuatu di
komputer.
“Bos?” Sufi tercengang.
“Ya, Encik Zahim.” Kak Azah tergelak kecil.
“Kenapa dia nak jumpa dengan Sufi?” Kelam-kabut
dia dibuatnya.
Kak Azah mengangkat bahunya tanda tidak tahu.
“Kalau Sufi tak nak jumpa dia, boleh tak?” Sufi mula
risau kalau benda yang sama berlaku kali ini.
“Kenapa pula? Jumpa ajelah. Dia kata ada perkara
yang nak dibincangkan dengan Sufi. Buat apa nak takut,
bukannya dia makan orang. Dia makan nasi jugak macam
kita. Kalau dia buat yang bukan-bukan, Sufi tunjukkan saja
kehebatan Sufi. Mesti lain kali dia tak berani nak buat lagi.”
Sekali lagi Kak Azah tergelak kecil melihat wajah Sufi yang
berubah pucat.
“Apa kata Kak Azah temankan Sufi jumpa dengan
bos?” Sufi menelan liur.
Kak Azah kembali gelak dengan permintaan Sufi.
“Hai, apa pasal nak kena berteman pulak ni. Sufi
takut jatuh hati dengan dia, ya?” usik Kak Azah sambil
menaikkan keningnya beberapa kali. Seronok sangat dapat
mengenakan Sufi yang nampak cantik mengenakan blaus
kuning lembut bercorak bunga, dipadankan dengan seluar
hitam dan juga tudung krim.
“Eh, akak ni. Apa pulak ke situ fikirnya. Tak ada
maknanya Sufi nak jatuh hati dengan bos tu. Sufi ni memang
tak layak nak bergandingan dengan dia.” Sufi menolak
andaian Kak Azah.
“Layak tak layak, bukan kita yang tentukan tapi itu
semua jodoh yang telah ditentukan oleh Allah. Akak yakin
yang sebenarnya Encik Zahim tu dah jatuh hati kat Sufi.
Jangan jadi kura-kura dalam perahu tau.”
Kak Azah sambung mengusik membuatkan wajah
Sufi terasa panas. Memang dia pun turut akui apa yang
dikatakan oleh Kak Azah itu tapi dia cuba menidakkan kata
hatinya. Malu kalau firasatnya salah. Nanti orang kata, hidung
tak mancung, pipi pula tersorong-sorong.
Perbualan mereka terhenti apabila pintu bilik Zahim
dibuka dan lelaki itu melangkah keluar. Langkahnya terus
diayun ke arah Sufi dan Kak Azah.
“Kak Azah, saya nak keluar sekarang sebab ada hal.
Kalau ada apa-apa yang penting, akak call saya, ya?” Zahim
memberi pesanan.
“Tadikan Encik Zahim kata nak jumpa Sufi.” Kak
Azah memandang wajah Sufi yang agak tercengang.
“Oh, lain kali saja. Saya nampak dia macam sibuk
aje buat kerja.” Zahim melirik ke arah Sufi yang nampak
tersentak dengan kata-katanya.
“Saya minta maaf.” Sufi mula rasa bersalah.
“Tak ada hal. Lupakan saja,” tukas Zahim.
“Saya pergi dulu.” Zahim terus berlalu pergi
membuatkan Sufi dan Kak Azah saling berpandangan.
“Macam merajuk aje bos tu. Nanti jenuhlah Sufi
kena pujuk dia nanti.”
“Ya ke? Dia marah dekat Sufi ke?”
“Sufi rasa?” Sufi menelan liur. Sungguh, saat ini dia
mula rasa tidak selesa.
Sepanjang hari itu hati Sufi dilanda resah dan
fikirannya berkecamuk. Kata-kata Kak Azah tadi menimbulkan
kesan yang mendalam di hatinya. Sufi bertambah buntu
apabila terkenangkan salam persahabatan yang dihulurkan
Zahim dahulu. Takkanlah benda kecil macam ini dia nak
minta pendapat Hannah dan Kak Azah. Buat malu tuan
empunya badan saja!

MATA ZAHIM melilau melihat sekitar restoran yang baru
dimasukinya itu. Dia mengeluh perlahan bila matanya mula
terpandang pada seorang gadis yang duduk seorang diri di
satu sudut. Segera kakinya diayun ke situ.
Gadis yang berada di situ segera mengalih pandang
bila menyedari seseorang sedang berada di sisinya.
“Hai!”
Gadis itu segera membuka mulut sambil mengukir
senyum. Terpancar rasa terpegun dan gembira di wajahnya.
“Maaf kalau I dah buat you tunggu lama.” Zahim
segera membuka mulut.
“It’s okay. Asalkan you datang. Lama pun tak apa, I
tunggu,” ujar gadis itu lagi sekali gus mempersilakan Zahim
duduk di hadapannya.
“Dan I juga nak minta maaf kalau I dah ganggu masa
you, Im.”
Zahim mendengus perlahan. Entah kenapa baru
beberapa saat dia berhadapan dengan gadis itu dia mula
ditimpa rasa bosan. Bukan nak kata gadis yang ada di
hadapannya tidak cantik, tidak menawan, tidak menggiurkan
atau tidak seksi... semua itu sudah cukup pakej tapi apa yang
dimiliki oleh gadis itu belum mampu menawan hatinya.
“Memang betul. Kalau tak mengenangkan desakan
mama I, tak adanya I datang duduk kat sini untuk mengadap
muka you.” Dengan wajah selamba Zahim bersuara tanpa
menghiraukan perasaan gadis itu yang sudah terang-terang
mula berubah. Bukan tambah lawa, tambah cantik tapi
tambah cemberut dan tambah kelat.
“Im, sampai hati you cakap kat I macam tu, kecik
hati I tau. You tahu tak, beria-ia I nak jumpa you tapi you
macam nak mengelak saja setiap kali I ajak jumpa. Kalau
bukan sebab I minta pertolongan auntie, sampai bila-bila pun
you tak ingin jumpa I kan!”
Gadis itu menahan rasa sebak di hati. Memang dia
cukup terasa dengan kata-kata itu. Kalaulah Zahim dapat
menyelami perasaannya selama ini, pasti lelaki itu akan rasa
bertuah kerana dia memang begitu ikhlas menyukai lelaki itu
sejak bertahun yang lalu.
“Dania, selama ini I tak pernah berikan you apa-apa
harapan. I dah penat cakap dengan you hal ni tapi you yang
tak mahu faham! Lagipun I belum bersedia untuk berkahwin
buat masa sekarang.” Suara Zahim sedikit kasar. Dia tak nak
main tarik tali lagi. Berterus terang adalah cara yang terbaik.
“Im, I tahu you tak bersedia untuk berkahwin buat
masa sekarang tapi apa salahnya kita punya hubungan, I
mean I nak jadi kekasih you. Parents kita pun pasti akan
restui hubungan kita,” pujuk Dania sambil cuba mencapai
tangan Zahim tapi cepat-cepat Zahim melarikan tangannya.
“Dania, I rasa I tak sesuai untuk you dan you juga
tak sesuai untuk I. Berhentilah menaruh harapan dan terima
kenyataan yang kita tak akan bersama. Dania, you cantik,
muda, bergaya jadi I rasa you tak ada masalah untuk mencari
mana-mana lelaki sebagai pasangan hidup you.” Kalau boleh
Zahim tidak mahu pertemuan ini mengambil masa yang
lebih panjang.
“Tapi Im, I hanya sukakan you. I love you and you
know that!” Dania cuba menjelaskan perasaannya.
“Jangan buang masa you, Dania. I tak akan terima you
atau mencintai you. Tolonglah faham.” Zahim mendengus.
Zahim jadi pening mengenangkan kedegilan Dania.
Dia sudah tidak tahu macam mana nak buat gadis itu faham
tentang perasaannya.
“Habis, you nak terus membujang seumur hidup?”
Dania mengetap bibir. Sakit hatinya mendengar jawapan
Zahim.
“Tak. I juga ada impian dan harapan. I tahu ada
seseorang di luar sana yang ditakdirkan sebagai jodoh I.”
Zahim menarik nafas dengan tenang.
Dania ketawa. Rasa lucu pula mendengar jawapan
Zahim. Nampak begitu yakin bahawa ada seseorang yang
sedang menunggunya.
“Oh really, you yakin?”
Dania tergelak.
“I cukup yakin.” Zahim memberikan jawapan yang
pasti membuatkan senyuman Dania kembali hambar.
“Okey, I nak tengok macam mana rupa perempuan
itu. I nak you kenalkan dia dengan I nanti. Kalau boleh
secepat mungkin.” Dania mencabar.
Zahim menarik nafas seketika. Dia tahu Dania
sengaja nak mengenakannya tapi dia takkan mengalah.
Bimbang sekali sekiranya orang tua mereka mempunyai
rancangan yang lain atau lebih tepat mahu menjodohkan
mereka berdua.
“Baik, I akan kenalkan gadis itu dengan you
minggu depan.” Zahim memberi jawapan yang begitu yakin
membuatkan mulut Dania terbuka luas. Memang Dania tidak
sangka yang Zahim akan memberi jawapan yang sebegitu.
“Wow, memang di luar jangkaan! You bagi jawapan
yang begitu pasti tak sampai dalam masa seminit. Im, you
sebenarnya dah ada calon atau sekadar nak main-mainkan I
ni?” Dania merenung wajah Zahim.
“I serius. Kalau you sudah nekad nak kenal dan nak
jumpa dia, I boleh tunjukkan. Jadi I harap lepas ni you tak
akan ganggu hidup I dan parents I lagi.”
“Hmm... okey, tapi pastikan minggu depan I dapat
jumpa perempuan tu. I nak tahu apa hebatnya dia sampai
boleh tawan hati you.” Dania bersuara.
“I rasa perjumpaan kita tamat di sini. I pergi dulu.”
Zahim bangun.
“Im, you belum makan apa-apa pun, setidak-tidaknya
temankanlah I seminit dua lagi,” pujuk Dania.
“I banyak kerja yang nak dibuat di pejabat selain
dari melayan you makan sambil berbual kosong.” Zahim
mengukir senyum sinis.
“Well, jangan lupa janji you. I akan datang rumah
you minggu depan.” Kali ini Dania pula yang mengukir
senyum sinis.
Kata-kata Dania itu dipandang sepi. Sebaliknya
Zahim terus berlalu.
Dania segera mencapai telefonnya. Nombor telefon
Puan Sri Yasmin dicari. Dia perlu hubungi wanita itu untuk
memaklumkan hal ini.

No comments:

Post a Comment