DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 17

SUFI yang baru sahaja masuk ke dalam pejabat
bersama beberapa orang staf agak terkejut apabila melihat
Zahim sedang berdiri di meja Kak Azah sambil membelek
beberapa dokumen. Kak Azah pula nampak khusyuk mencatat
sesuatu di buku. Mungkin mencatat arahan daripada Zahim.
Sufi memandang wajah Kak Wawa.
“Alamak, bos ada kat meja Azah. Dia nak buat spot
check ke?” bisik Kak Wawa perlahan.
“Entah, takkanlah kut.” Laila menyampuk.
Mukanya pun sudah berubah pucat tiba-tiba.
Memang Laila jenis orang yang cepat gelabah. Sebab itu dia
sentiasa menjadi usikan Hamdan dan Anuar menyebabkan
suasana di pejabat menjadi kecoh. Tapi sebenarnya usikan itu
telah menceriakan keadaan pejabat. Mereka masih lagi boleh
bergelak ketawa. Tak adalah sampai serius buat kerja 24 jam.
“Execuse me. Apa hal ni berkumpul kat depan
pintu?” Suara Marina tiba-tiba mencelah membuatkan Kak
Wawa, Laila dan Sufi saling berpandangan sebelum kembali
memandang wajah Marina yang muncul bersama Saleha.
Sufi terlebih dahulu memberi ruang untuk Marina
dan Saleha melangkah masuk ke ruang kerja mereka.
Malas nak cakap banyak dengan dua orang perempuan itu.
Bukannya dapat faedah pun.
“Hmm... sejak bila pula korang bertiga ni jadi jaga
kat muka pintu. Habis tu jaga kat bawah tu nak kerja apa
pulak?” Marina terus bersuara lantang.
“Kamu ni Rina, sampai-sampai aje kat ofis, terus
buat kecoh.” Kak Wawa bersuara sambil menggeleng kepala
mengenangkan sikap Marina yang sentiasa bermulut celopar.
Jarang sangat nak jaga hati orang lain. Cakap ikut sedap
mulut tanpa memikirkan perasaan orang. Tapi kalau kena
dekat dia, tahu pula terasa.
“Macamlah Kak Wawa tak kenal siapa Rina ni kan,
perempuan paling cantik dan anggun kat Zamrud Holdings
ni.” Marina sengaja menaikkan sahamnya. Memang dia nak
bagi Sufi dengar.
“Kak Wawa, Sufi pergi tempat Sufi dulu, ya. Dekat
muka pintu ni ada lalatlah. Bising!” Sufi berlalu pergi
meninggalkan Kak Wawa dan Laila yang sudah mengukir
senyum. Tahu sangat yang Sufi maksudkan lalat tadi adalah
Marina.
“Hesy... kau ni Sufi, kalau tak sakitkan hati aku tak
boleh ke?” Marina mengetap bibir.
“Aik, terasa ke? Aku cuma sebut lalat, bukan
nama kau pun. Yang kau tiba-tiba angin ni, kenapa?” Sufi
mengangkat bahu sambil tersenyum sinis.
“Dahlah, tak payah nak gaduh. Encik Zahim dah
pandang semacam. Kena sound dengan bos nanti, naya
korang berdua!” Kak Wawa cuba meleraikan perdebatan
antara Marina dan Sufi
Marina menghentak kasut tumit tinggi yang
dipakainya tanda protes dan tidak puas hati. Saleha terlebih
dahulu bergerak ke tempat kerjanya. Malas nak masuk
campur, nanti dia pun terjebak sama.
Sufi terus melangkah ke tempatnya sambil
tersenyum lega kerana dapat mengenakan Marina.
‘Siapa yang suka cari pasal, kan dapat sebiji. Padan
muka!’
Sufi mendengus. Sakit juga hatinya setiap kali
berhadapan dengan Marina. Apa yang perempuan itu
dengkikan sangat dengan dia? Dalam merungut, dia mencapai
fail biru yang diletakkan oleh Bob semalam. Menurut Bob
yang merangkap dispatch, katanya fail itu penting. Belum
sempat isi fail itu dilihat, telefon di atas mejanya berbunyi.
Segera tangannya mengangkat gagang telefon.
“Sufi, bos nak jumpa Sufi kat biliknya.” Suara Kak
Azah kedengaran di corong telefon.
“Bos nak jumpa Sufi?” Bulat mata Sufi mendengar
arahan.
“Ya.”
“Bila?”
“Sekarang!”
“Sekarang?” Serentak itu juga Sufi menoleh ke meja
Kak Azah dan nampaknya Zahim masih ada di situ. Lelaki itu
siap bagi isyarat minta dia datang ke bilik lelaki itu dengan
kadar segera.
Selepas memberi isyarat itu, Zahim segera beredar
masuk ke biliknya.
“Hmm... baiklah. Thanks, kak.” Sufi segera
meletakkan kembali gagang telefon di tempat asal.
Sufi mengeluh perlahan.
‘Ini tak ada pasal lain, mesti pasal hal semalam.’
Rungut Sufi.
Sambil berjalan otak Sufi ligat berfikir bagaimana
harus dia ucapkan kata-kata di hadapan lelaki itu. Semalam
pun sudah jenuh dia cuba merangka ayat yang sesuai.
“Akak, Sufi masuk jumpa bos akak, ya.”
Sufi mengenyit mata sebaik sahaja dia melewati
meja Kak Azah yang nampak khusyuk melakukan kerja.
“Silakan, but be careful with your heart.” Kak Azah
tersenyum manis.
“Amboi, rangkap lagu kesukaan Sufi tu!” Sufi sengaja
nak mengusik Kak Azah.
“Hmm... memang kenalah dengan Sufi!” Kak Azah
menaikkan keningnya.
“Maksud Kak Azah?” Sufi tidak jadi nak melangkah
masuk.
“Hai, buat-buat tak faham, ya. Hati-hati dengan big
boss tu, hati dia sedang berbunga sekarang. Nanti hatinya
makin berkembang bila jumpa Sufi.” Kak Azah tergelak kecil.
Bukan main lagi seronok menyakat Sufi.
“Eh, Kak Azah ni. Ada-ada ajelah. Sufi nak masuk
mengadap ni.” Sufi tergelak kecil.
“Hai, selalu sangat kau masuk jumpa big boss
sekarang, ada apa-apa ke?” Sufi dan Kak Azah sama-sama
memandang wajah Marina.
“Salah ke kalau aku nak jumpa buah hati. Kau
cemburu, ya?” Sengaja Sufi nak hangatkan Marina.
Kak Azah sudah menyimpul senyum. Wajah Marina
usah cakap. Memang masam habis.
“Kau!”
Marina mengetap bibir sambil mendengus.
“Haa... memang jelaskan yang kau cemburu. Haha...”
Makin seronok pula Sufi menghangatkan hati Marina.
“Sudahlah, tak payah nak gaduh. Buat malu aje kalau
orang lain pandang dan dengar. Sufi, pergi masuk jumpa bos
cepat dan Rina ni, dah tak ada kerja nak buat? Kalau tak ada,
ambil separuh kerja akak ni.” Kak Azah pura-pura mencapai
beberapa dokumen yang ada di atas meja, konon-kononnya
hendak diberikan kepada Marina.
“Daripada Rina buat kerja akak, baik Rina buat kerja
Rina!” Marina mencemuh masam sambil terkedek-kedek
beredar.
Kak Azah menggeleng kepala mengenangkan gelagat
mereka. Macam anjing dengan kucing. Ada-ada saja benda
yang nak digaduhkan.

SUFI MENJENGUKKAN kepalanya sebaik sahaja membuka
pintu bilik Zahim.
“Please, come in!”
Sufi tersentak. Baru saja hendak jenguk kepala,
sudah kena sergah. Tapi dari mana datangnya suara lelaki itu?
Tiada pun dekat kerusi?
Sufi mula menayang sengih apabila matanya beradu
dengan pandangan mata Zahim yang sedang berdiri di sisi
tingkap biliknya. Dengan lafaz bismillah, Sufi melangkah
masuk ke bilik itu.
“Selamat pagi, Encik Zahim.” Kakinya berdiri tegak
di meja kerja Zahim.
“Selamat pagi, jemput duduk.” Zahim berjalan ke
kerusinya.
Sufi akur. Punggungnya dilabuhkan ke kerusi yang
mengadap muka Zahim.
“Erm... ada apa Encik Zahim nak jumpa saya
pagi-pagi ni?” Sufi pura-pura bersikap tenang sedangkan
dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu.
Zahim terus memandang wajah Sufi tanpa segaris
senyum membuatkan wajah Sufi mula kelat. Dadanya mula
berdebar dan perasaan gemuruh turut melanda. Tapak
tangannya juga sudah berpeluh.
“Kenapa Encik Zahim tenung saya macam tu? Ada
something kat muka saya ke?” Sufi meraba mukanya, sengaja
nak menghilangkan rasa gementar.
Tindakan Sufi itu membuatkan bibir Zahim
mengorak senyum. Tak jadi nak buat muka serius bila melihat
gelagat dan reaksi spontan gadis yang berada di hadapannya.
“Awak ni kan...” Zahim menggeleng kepala sambil
mengukir senyum tapi mukanya dipaling ke arah tingkap.
“Saya ni apa Encik Zahim? Boleh tak habiskan cakap
tu, ini buat saya gabra dan suspens aje!” Bukan main berani
lagi Sufi sound ketuanya membuatkan senyuman di bibir
Zahim makin mekar.
“Tak ada apa-apa.” Zahim menayang senyum manis.
Entah kenapa setiap kali dia berhadapan dengan gadis itu,
hatinya menjadi ceria.
“Tak ada apa-apa? Kalau macam tu, saya keluar
sekarang.” Sufi sudah pun bangun dari kerusi dengan rasa
lega.
“Eh, eh, eh... siapa bagi kebenaran untuk awak keluar
dari bilik ni sekarang?” Zahim bersuara dengan muka tegang.
“Habis tu, dah Encik Zahim cakap tak ada apa-apa,
saya nak keluarlah. Takkanlah Encik Zahim nak kurung saya
kat sini?” Dahi Sufi berkerut.
Apa yang tidak kena dengan bosnya hari ini?
Zahim mendengus perlahan.
“Duduk!” Zahim memberi arahan tegas membuatkan
Sufi akur.
“Awak ada masalah ke kalau saya kurung awak kat
dalam bilik ni?” Sengaja Zahim nak menduga hati Sufi.
“Memang ada masalah, masalah besar!” Sufi pamer
wajah serius membuatkan kening Zahim bertaut.
“Masalah besar? Like what?”
“Tak pasal-pasal kita kena tangkap basah sebab
berdua-duaan dalam bilik ni tanpa ada muhrim, kan naya
tu. Nama Encik Zahim dan saya akan tercemar nanti!” Sufi
tayang muka selamba.
“Elok juga tu, nanti bolehlah kita kahwin.”
Zahim mengukir senyum.
“Kahwin?”
Mata Sufi terbeliak. Nampaknya lelaki itu suka ambil
jalan mudah.
“Ya, kahwin.” Zahim melekapkan kedua-dua jari
telunjuknya membuatkan mata Sufi terbeliak.
‘Aku karate jugak karang bos aku ni!’ Sufi mengacip
giginya menahan geram.
Zahim melepas tawa yang ditahannya sejak tadi.
“Awak ni serius tak bertempat. Kalau saya nak
kahwin dengan awak, mestilah dengan cara yang beradab.
Takkanlah saya nak kahwin koboi dengan awak. Awak ingat
saya ni jenis lelaki yang teruk ke?” Zahim menggeleng kepala
sambil tergelak kecil.
“Duduklah. Ada perkara yang belum kita selesaikan,”
pelawa Zahim membuatkan Sufi akur dan kembali duduk di
kerusi.
“Okey, perkara apa yang kita nak selesaikan ni?
Adakah ia melibatkan projek juta-juta? Kalau melibatkan hal
tu, takkanlah Encik Zahim nak bincang berdua aje dengan
saya.” Sufi tayang muka poyo.
“Eh, awak ni, bila saya nak bincang hal yang serius,
awak buat lawak pula. Ini yang buatkan saya tak nak lepaskan
awak, wahai Cik Nur Aisyah Sufiya.” Zahim tergelak kecil.
Sufi menarik nafas dalam-dalam sambil memejam
mata.
“Okay, let’s talk about your offer. Saya ingat saya nak
terima tawaran tu.”
“Awak terima?” Muka Zahim ceria dan teruja.
“Erk...” Sufi menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
Sebenarnya Sufi memang nak menolak tawaran itu tapi
macam mana boleh tercakap yang dia terima?
“Thanks God!” Zahim bangun sambil mengukir
senyum lebar.
Sufi masih termangu di kerusi. Tangannya
perlahan-lahan menepuk mulutnya yang sudah menderhaka
kepada tuan.
Melihat keceriaan pada wajah lelaki itu membuatkan
hati Sufi dihimpit rasa serba salah. Tidak sampai hati pula dia
nak tarik balik kata-katanya tadi. Itulah kata pepatah; terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.
Sufi mengeluh perlahan dengan wajah muram.
“Kenapa ni?” Zahim yang mula sedar perubahan
pada wajah Sufi mula bertanya.
“Hah? Tak ada apa-apa. Saya cuma takut nak
berhadapan dengan parents Encik Zahim nanti. Kalau mereka
tanya macam-macam, apa yang saya nak jawab?” Kalut Sufi
cuba menyembunyikan resah di hati.
“Tentang hal tu, awak jangan risau, pandai-pandailah
saya jawab nanti. Dan awak jangan bimbang, mama dan papa
saya okey. Mereka mesti sukakan awak nanti,” ujar Zahim
tanpa mempedulikan gelodak di hati Sufi.
“Itu yang buatkan saya tak sedap hati ni. Kalau
mereka tak suka tak apa, habis cerita. Tapi kalau mereka suka,
macam mana? Kita hanya akan berlakon untuk beberapa jam
saja kan?” Wajah Zahim dipandang Sufi dengan perasaan
tidak selesa.
“Ya, kenapa? Awak nak kita betul-betul jadi couple
ke? Saya tak ada masalah.” Dengan selamba Zahim menjawab
tanpa memikirkan keresahan di hati Sufi.
Sufi menelan liur.
“Tak adalah.” Sufi mengeluh lemah. Sedangkan pada
hakikatnya dia cukup rasa bersalah kerana menipu lelaki
itu dan juga tunangnya sendiri. Macam mana kalau timbul
masalah nanti? Siapa yang nak bertanggungjawab?
“Saya akan jemput awak hujung minggu nanti.
Sebelum tu saya akan call awak dulu.” Zahim membuat
perancangan.
“Ya, saya tunggu.” Nak tak nak saja Sufi membalas.
“Terima kasih sebab sudi jadi pasangan sementara
saya. Saya akan bayar berapa saja yang awak minta.” Zahim
menarik senyum.
“Encik Zahim tak perlu bayar satu sen pun. Saya
ikhlas tolong Encik Zahim. Cuma saya harap lain kali saya tak
perlu terlibat lagi dalam masalah Encik Zahim. Encik Zahim
carilah orang lain yang sesuai dengan Encik Zahim.” Sufi rasa
cukuplah sekali dia membantu lelaki itu menipu. Takkan ada
untuk kedua kalinya nanti.
Zahim memandang wajah Sufi.
“Kenapa? Saya ingatkan awak kawan saya.” Zahim
agak terkesima dan kecewa.
“Ya, berkawan pun ada batasannya.” Zahim terus
terdiam.
“Kalau tak ada hal lain yang nak kita bincangkan, saya
keluar dulu. Ada banyak perkara yang perlu saya uruskan.”
Zahim terus diam dan hanya membiarkan Sufi
keluar dari biliknya. Akhirnya dia melepaskan satu keluhan.
“Sufi, kalaulah awak faham apa yang ada dalam hati
saya...” Zahim memejam matanya seketika.

No comments:

Post a Comment