DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 9

TIDURNYA terganggu dek bunyi ketukan
pintu yang bertalu-talu. Bibir melepaskan keluhan geram.
Dalam hati boleh meneka siapa yang mengganggunya pada
waktu-waktu begini. Dipandang ke arah jam dinding. Pukul 4
pagi baru ingat nak balik rumah.
Perlahan Adibah bangkit. Dia beralih pandang ke
arah katil bayi di sebelah. Khuatir tidur Adam terganggu.
“Dibah! Buka pintu!” Suara pekikan Ikram semakin
jelas apabila Adibah melangkah keluar dari bilik.
Sebaik sampai di pintu utama, selak pintu ditarik.
Lantas daun pintu dikuak luas. Terjengul wajah masam
mencuka Ikram. Tajam mata itu menikam wajah Adibah.
“Kunci rumah abang mana?” soal Adibah geram.
Kalau dah tahu nak balik lambat, kenapa tak bawa kunci?
“Kau ni kenapa? Kalau aku ada kunci, takkan aku
suruh kau bukakan pintu. Bodoh! Cepatlah buka pintu ni!”
marah Ikram. Dihentak-hentak pintu jeriji yang masih
berkunci.
Adibah mengeluh berat kala suara itu terus
melantun kasar ke telinganya. Beginilah sikap suaminya sejak
akhir-akhir ini. Asyik marah-marah. Kalau dulu Ikram hanya
tahu marah-marah saja, tetapi sekarang apabila dia melawan,
mulalah tangan Ikram juga akan naik.
Tiada guna dia melayan angin baran Ikram. Lantas
kunci yang tersangkut di tepi pintu dicapai. Sebaik mangga
dibuka, pintu jeriji ditolak perlahan.
“Buka pintu pun lembab!” herdik Ikram.
Ikram melangkah masuk. Langkah yang
terhuyung-hayang diperhati Adibah.
“Abang mabuk lagi?”
“Diamlah kau! Aku dah banyak kali pesan jangan
masuk campur hal aku.”
“Saya ni isteri abang. Takkan Dibah tak boleh nak
tegur kalau apa yang abang buat sekarang ni satu dosa?
Kita orang Islam, bang. Sampai bila abang nak macam
ni? Dibah dah tak tahan hidup macam ni. Abang berhabis
duit di kelab-kelab malam. Berkepit dengan perempuan
sana sini. Anak isteri, abang biar berlapar di rumah. Mana
tanggungjawab abang sebagai seorang suami?”
“Diam! Aku kata diam!” Satu tamparan kuat
mengenai pipi Adibah. Hampir dia tersungkur jatuh.
Adibah mengusap pipinya yang terasa pijar. Darah
merah mula mengalir dari bibir. Dikesat dengan jari.
Pandangan kembali terarah kepada Ikram. Muka Ikram
menyinga. Matanya tajam menikam. Tamparan Ikram sudah
lali padanya. Kalau dia melawan lagi, mungkin dia akan dapat
lebih daripada ini. Tapi sampai bila dia hendak mengikut
rentak Ikram? Sampai bila dia hendak berdiam diri? Sungguh,
semakin hari dia semakin bosan dengan kehidupan begini.
Sampai bila dia perlu bersabar, menelan setiap kepahitan
yang dilakukan Ikram?
“Dibah tak boleh berdiam diri lagi. Kalau abang tak
boleh bagi duit, izinkan Dibah kerja. Nak harapkan abang, tak
berasap dapur. Susu, lampin Adam pun dah nak habis.”
“Hei, perempuan! Kau jangan nak membebel kat
sini. Kalau tak, lagi teruk aku kerjakan. Kalau kau pandai
sangat, pergilah cari kerja kat luar sana. Setakat sijil SPM,
kerja apa yang kau boleh buat?”
Terteleng kepala Adibah dek tunjalan jari Ikram.
Sebelum lelaki itu pergi, pandangan bersama senyuman sinis
dilemparkan buat si isteri.
Adibah tertunduk. Melihat senyuman menyindir
Ikram, perasaan terhina dan rendah diri sering mematahkan
segala semangatnya. Meleburkan kekuatan yang ingin
bangkit melangkah daripada rebah. Tanpa sedar, setitis air
mata mengalir lesu di pipi.
Dia juga manusia biasa yang inginkan hidup
bahagia. Dibelai dan dimanja oleh suami yang mencintainya
sepenuh hati. Entah mengapa, jalan takdir telah menemukan
mereka berdua. Kerana cinta, dia terlalu ikut kata hati tanpa
mempedulikan nasihat ibunya.
Naluri seorang ibu tidak perlu disangkal lagi. Ibunya
tidak begitu berkenan dengan Ikram apabila dia membawa
Ikram bertemu ibunya buat pertama kali. Kerana rasa
cintanya yang membuak-buak terhadap lelaki itu, dikeraskan
hati. Dia berkeras mahu berkahwin juga dengan Ikram.
Ketika itu cinta Ikram segala-gala baginya. Seperti
isteri yang lain, dia juga punya angan-angan untuk membina
hidup yang lebih bahagia. Tapi malangnya, selepas beberapa
bulan berkahwin, perangai Ikram sedikit demi sedikit
berubah. Dia kerap keluar malam. Balik tidak menentu
waktu. Dan akhirnya dia mendapat tahu Ikram sering ke
kelab malam.
Sejak itu, rumah tangga mereka mula berantakan.
Ketika dia disahkan mengandung, Ikram tidak menunjukkan
apa-apa reaksi. Kalau suami lain, sudah tentu akan melompat
kegembiraan. Demi Adam, dia terpaksa bersabar dan terus
bersabar. Soal kebahagiaan, dia terpaksa tolak ke tepi. Dia
masih berharap Ikram akan berubah suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment