DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 9

HANNAH nampak begitu khusyuk melihat
drama Kantonis yang ditayangkan di TV semasa Sufi dan
Risya masuk ke dalam rumah. Sufi menarik tangan Risya agar
mengikutnya berlabuh di sofa.
“Hai sayang, seronok belajar kat nursery hari ini?”
Hannah segera mencium mesra pipi Risya.
“Seronok Cik Anna, Risya ada ramai kawan.” Bukan
main seronok lagi Risya bercerita tentang aktivitinya hari ini.
“Habis tu, Risya nak kawan tak dengan Cik Anna?
Kalau tak nak kawan, Cik Anna tak nak bagi coklat.” Hannah
menayangkan coklat bar.
“Nak. Risya nak kawan dengan Cik Anna.” Risya
memegang tangan Hannah.
Hannah mengukir senyum. Begitu juga dengan Sufi
yang sedang melihat Hannah melayan Risya. Walaupun Risya
baru berusia 4 tahun, dia agak petah bercakap, tak adalah
bunyi pelat sangat.
“Hmm... bagus. Okey, sekarang kita makan coklat
sama-sama, ya.” Tanpa berlengah Hannah terus membuka
pembalut coklat.
Risya mengangguk perlahan. Dia nampak teruja nak
menikmati coklat yang dibelikan oleh Hannah.
“Risya duduk dengan Cik Anna ya, mama nak mandi
kejap. Nanti kita makan sama-sama.” Kepala Risya diusap
seketika sebelum kepala itu dikucup penuh kasih.
“Sufi, aku dah beli lauk. Kejap lagi aku masak nasi.”
Hannah membuka mulut sebelum sempat Sufi beredar.
“Thanks.” Sufi mengukir senyum.
Selesai solat maghrib, Hannah dan Sufi menikmati
makan malam.
“Hmm... sedap juga lauk yang kau beli hari ni,” puji
Sufi.
“Member ofis yang cadangkan aku beli lauk kat kedai
makan dekat ofis aku tu.” Hannah terus mencedok nasi.
Memang betul, lauk yang dibelinya memang sedap.
“Risya nak nasi lagi?” Sufi memandang Risya yang
hanya mendiamkan diri.
Risya menggeleng kepala.
“Hmm... anak mama ni mengantuk, ya?” Sufi
mengusap kepala Risya.
Risya mengangguk perlahan.
“Risya nak susu.” Risya merengek manja.
“Kejap ya, mama nak habiskan nasi ni dulu.
Kemudian, baru mama buatkan Risya susu. Kalau Risya tak
nak makan, Risya pergi tengok TV dulu.”
“Tak nak.” Risya menggeleng kepala.
“Tak nak, tak apa.” Sufi cepat-cepat menghabiskan
nasi yang tinggal sedikit di dalam pinggannya.
Pinggan yang kosong dibawa ke singki dan segera
dibasuh. Kemudian dia membancuh susu untuk Risya.
“Jom, tadi Risya kata nak susu.” Sufi menarik tangan
Risya menuju ke ruang tamu.
“Anna, sorry ya, aku tak sempat nak bersihkan.”
Sufi melahirkan rasa bersalah kerana membiarkan Hannah
membersihkan lebihan makanan dan juga membersihkan
bekas lauk.
“Small matterlah. Kau ada anak kecil, jadi aku
faham.” Hannah mengelap meja.
Risya meletakkan kepala di peha Sufi dan dihisap
botol susunya. Sufi pula terus memakukan tumpuan pada
siaran berita utama sambil tangannya mengusap perlahan
kepala Risya.
Bunyi deringan telefon di bilik membuatkan
tumpuan Sufi terganggu.
“Kejap ya sayang, mama nak ambil telefon kat bilik.”
Sufi segera bangun membuatkan Risya menangis.
Tergopoh-gapah Sufi mendapatkan telefon dan kembali
mendapatkan Risya. Risya diletak atas ribaannya.
“Assalamualaikum, umi.”
“Waalaikumussalam. Sufi sihat?”
“Sihat, umi. Alhamdulillah.”
“Kenapa umi dengar suara Risya menangis?” Suara
Hajah Hashimah kedengaran bimbang.
Sufi memandang Risya yang masih lagi menangis
sebelum memujuknya supaya berhenti menangis.
“Sufi dan Anna baru selesai makan malam. Sufi
berehat kat ruang tamu ni sambil temankan Risya minum
susu. Dah mengantuk sangat cucu umi ni. Tadi, Sufi
tinggalkan dia sekejap nak ambil telefon. Jadi, menangislah
dia sebab tinggal sorang-sorang kat ruang tamu tadi.”
“Ya ke? Kalau macam tu, bagi umi cakap dengan
Risya.”
“Risya, nenek nak cakap dengan Risya.” Sufi
menghulurkan telefon kepada Risya.
“Risya cakap dengan nenek kejap. Mama nak pergi
buat air kat dapur. Jangan bagi nenek letak telefon sebab
mama nak cakap dengan nenek,” pesan Sufi sebelum berlalu
ke dapur. Kali ini, Risya tak menangis tinggal sorang-sorang
di ruang tamu kerana Hajah Hashimah sedang melayannya
berbual di talian.

“RISYA DAH tidur, ya?” Hannah muncul di ruang tamu
selepas membersihkan ruang dapur. Hannah seorang yang
sukakan kepada kebersihan. Itu sebabnya rumah sewa mereka
terjaga dan nampak kemas. Sejak awal dia menyewa di situ,
dia hanya memilih seorang saja rakan serumah kerana dia
tidak sukakan suasana yang sesak. Dia sanggup bayar rumah
sewa dengan harga yang mahal asalkan hati tidak berserabut
dengan pelbagai kerenah. Nasib baik Sufi dapat menyewa
di sini kerana teman serumah Hannah sebelum ini pindah
keluar sebab berkahwin.
Sufi mencapai snek yang ada di atas meja. Dibuka
plastik itu dan terus menyeluk tangannya. Dia terus
mengunyah tanpa mempedulikan Hannah yang sedang
memandangnya. Pura-pura tidak sedar sebenarnya. Sengaja
nak mengenakan kawannya itu.
“Hmm... seronok mengunyah nampak sampai lupa
nak pelawa aku sekali.” Hannah bersuara. Tapi lebih kepada
sindiran sebenarnya.
“Err... kau nak ke? Apasal tak cakap.” Sufi sudah
menayang sengih.
“Kau memang, kedekut nak beli. Bila dah makan,
lupa apa yang sedang kau makan itu bukan kau yang beli.”
Hannah siap bagi jelingan tahap maut.
“Ya ke? Sorrylah. Bukan selalu pun aku balun
makanan yang kau punya. Sebenarnya, aku bukan tak nak
beli makanan ringan ni semua, cuma aku tak nak Risya tu
membesar dengan makan benda-benda yang tak berkhasiat
macam ni.” Sufi meletakkan plastik snek di atas meja. Tanpa
tunggu sesaat, plastik snek itu disambar Hannah.
“Bukan tak boleh makan snek ni tapi jangan
diamalkan selalu,” ujar Hannah dan dibalas anggukan oleh
Sufi.
“Sufi, apa cerita terbaru kat tempat kerja kau
sekarang?” Hannah menaikkan keningnya.
“Tak ada cerita terbaru. Cerita biasa-biasa aje. Tempat
kerja sekarang ni syarikat besar. Seronok kerja kat situ sebab
diaorang pun layan aku dengan baik. Cuma adalah seorang
dua tu nampak kerek sikit.” Tiba-tiba Sufi terbayang wajah
Marina dan Saleha.
Mereka berdua memang terang-terangan nampak
tidak suka dengan kehadiran Sufi di situ. Apa ke masalahnya
dengan diaorang itu. Suka sangat tarik muka masam bila
mereka berselisih. Ingat lawa sangat tarik muka macam tu.
Tak lawa langsung. Menyampah lagi adalah dia tengok.
“Biasalah, kat tempat mana-mana pun macam tu.
Bukan semua orang boleh terima kita dengan seadanya tapi
kita kena reda ajelah. Jangan dilayan sangat. Bukan mereka
yang bayar gaji kita, kan. Mereka pun sama-sama dibayar gaji.
Janji kita buat kerja kita dengan ikhlas, rezeki pun berkat.”
Hannah menarik nafas seketika.
“Kenapa?” Hannah hairan bila Sufi terus-terusan
memandangnya.
“Kenapa ya selama ini aku tak perasan yang kau
ada bakat jadi pakar motivasi. Nanti bolehlah kau ambil alih
tempat pakar motivasi yang ada sekarang ni bila mereka dah
tak laku ataupun pencen. Kau tahu, lumayan juga jadi pakar
motivasi ni. Air liur diaorang boleh buat duit.” Sufi sudah
menahan senyum.
Hannah membeliakkan mata. Tak sangka yang Sufi
boleh mengenakannya.
“Senyumlah kau. Aku tak hairan pun sebab apa yang
aku cakap tu memang benar.” Hannah ambil sikap tidak kisah.
“Bila masa aku kata kau cakap bohong atau cakap
benda yang salah.”
Sufi tiba-tiba gelak. Seronok pula melihat wajah
cemberut Hannah.
“Sufi, kalau aku tanya satu soalan boleh tak?”
Hannah membuka mulut sambil pandang wajah Sufi
tapi Sufi tahu, mesti soalan yang hendak ditanya itu tidak
relevan. Tengok lubang hidung si Hannah masa itu pun dia
sudah tahu.
“Kalau aku tak nak jawab soalan kau tu, boleh tak?”
Sufi sengaja nak menyakat Hannah.
Hannah mula tarik muka masam. Malah dia sudah
berpaling wajahnya. Tak nak tengok muka cun Sufi lagi.
Hmm... merajuklah konon!
“Alah cayang bucuk-bucuk. Kau nak tanya apa
sebenarnya ni?”
Sufi mula memberi tumpuan. Wajah Hannah yang
mencuka itu dipandangnya sambil mengukir senyum. Saja,
nak ambil hati. Bagi tayang senyum lebih sikit.
“Erm... kat pejabat kau tu tak ada ke lelaki
yang handsome? Kalau ada, kenalkanlah dengan aku.”
Kata-kata Hannah itu mengundang gelak Sufi. Bagaikan
terguling-guling Sufi dibuatnya.
Muka Hannah yang manis seketika tadi sudah
kembali cemberut. Muncungnya sudah makin panjang. Aik,
merajuk lagi!
“Sorry. Aku tergelak pula tadi. Bukan apa, kelakar
punya soalan dan juga permintaan.” Sufi bersuara bersama
tawa yang masih bersisa.
“Hmm... tanya soalan macam tu pun kira kelakar
ke?” Muka Hannah masih lagi masam.
“Kelakarlah jugak. Apasal kau berminat nak tahu
pasal lelaki handsome kat tempat kerja aku? Kat tempat
kerja kau tu dah tak ada lelaki yang handsome ke? Dulukan
kau pernah tanya soalan ni tapi kau cakap, jodoh kau belum
sampai. Apasal tiba-tiba tanya balik?” Sufi tersenyum-senyum
sambil mengangkat keningnya.
“Kat tempat kerja aku tu nak kata tak ada yang
handsome, memang ada tapi semuanya dah ada pemilik.
Kalau ada yang berkenan dengan aku pun, aku pula yang
tak berkenan dengan dia. Bukan kata nak memilih sangat,
tapi tak kena dengan jiwa aku. Aku ni dah lama kepingin nak
merasa alam bercinta macam kau, macam kawan-kawan kita
yang lain. Payahlah kalau asyik macam ni. Sampai bila pun
aku tak kahwin.” Senyuman terukir di bibir Sufi.
“Sufi, ada tak?” Hannah merengek macam
kanak-kanak nak minta coklat.
Sufi mengangguk perlahan. Dia memandang
seketika wajah Hannah sebelum berkalih ke skrin TV. Nak kata
Hannah tak cantik, tipulah sebab Hannah tergolong dalam
kategori perempuan yang cantik juga, kerja pun elok dan
terjamin. Tapi dia tidak boleh nak komen lebih-lebih sebab
hati orang ini, mana boleh nak kontrol pakai remote. Boleh
kawal ikut sesuka hati. Kalau hati sudah tidak berkenan, nak
buat macam mana.
Macam dia dengan Encik Zahim, lelaki itu
menawarkan dirinya untuk berkawan, tapi dia awal-awal dah
tolak sebab dia tak rasa yang dia nak berkawan dengan lelaki
itu. Bukan kata Encik Zahim itu tak kacak, kacak sangat tapi
buat apa dia punya ramai kawan lelaki, dia cukup bimbang
Jazlan akan cemburu.
“Betul ke?” Mata Hannah sudah membulat.
Duduknya sudah menegak.
“Betullah. Aku tak tipu. Berdosa tau.” Bibir Sufi
mula mengukir senyum.
“Habis tu, kau tak berkenan ke dengan dia?”
Hannah mula nampak makin teruja. Muka itu sudah
nampak bersinar-sinar macam dikelilingi bintang waktu
malam.
“Amboi, kau ni! Tak boleh dengar ada lelaki kacak
sikit, mulalah lupa daratan. Tak payah nak menggedik.” Sufi
mengerling tajam ke arah Hannah.
Hannah tayang sengih menampakkan gigi yang
tersusun kemas.
“Tak ada maknanya aku nak menduakan Abang Lan
aku tu. Dia satu-satunya lelaki yang aku cinta dan aku sayang
sepenuh hati.” Beria-ria Sufi mempertahankan cinta hatinya
itu.
Sebelum Jazlan berangkat ke luar negara dua tahun
yang lepas, tunangnya ada berpesan agar Sufi menjaga cinta
mereka. Jangan ada niat hendak menduakannya. Nak tergelak
pula Sufi mendengar pesanan Jazlan. Dan kerana ingatan dan
pesanan itulah, dia tidak pernah layan mana-mana lelaki lain,
biarlah sekacak dan setampan mana pun mereka.
Sufi cukup kenal dengan perangai Jazlan. Dia cukup
tak suka melihat Sufi bersama dengan mana-mana lelaki.
Kerana itu, Jazlan sering menghubunginya bertanyakan
tentang aktiviti Sufi di sini. Kadang-kadang Sufi pula yang
rasa rimas. Jazlan itu takut sangat Sufi berubah hati.
Tetapi, sejak kebelakangan ini, Sufi pula merasakan
Jazlan yang berubah hati. Lelaki itu sudah jarang
menghubunginya. Mesej dan panggilannya sudah tidak
dibalas oleh tunangnya itu. Apa sebenarnya yang berlaku
pada Jazlan di sana?
‘Adakah hanya aku seorang sahaja yang merindu,
sedangkan orang yang dirindu tidak merindukannya. Wah,
ini yang buat aku nak nangis ni! Tapi buat masa sekarang,
aku kena bertenang. Anggap semua itu hanya satu cabaran.
Think positive.’
“Hmm... kalau aku kata tak ada, memang tak betullah
sebab kat tempat kerja aku tu ramai jugalah lelaki yang kacak
terutama sekali bos aku. Fuh! Kalau kau tengok, meleleh air
liur kau!” Bukan main beria lagi Sufi menggambarkan rupa
bosnya sampaikan mata Hannah terbeliak.
“Ya ke? Bestnya.” Hannah nampak begitu teruja.
“Sebenarnya aku tak boleh nak tenung lama-lama
muka bos aku tu, boleh cair hati aku dibuatnya. Nak-nak
Encik Zahim tu. Handsome sangat. Dia punya senyuman,
renungan, gaya, alahai... berdebar-debar hati aku dibuatnya.
Memang cairlah babe. Tapi kan, susah juga kalau punya
pakwe kacak dan handsome macam Encik Zahim tu, makan
hati nanti.” Ketika itu juga wajah Zahim terlayar di matanya.
“Makan hati? Maksud kau?” Hannah cukup tidak
sabar menunggu penjelasan dari Sufi.
“Apa tak makan hatinya kalau pergi mana-mana,
mesti dia jadi perhatian perempuan. Kalau dia tu jenis yang
setia, tak apa juga tapi kalau dia jenis kategori buaya tembaga
tahap petala tujuh, menangis tak berlagu nanti.
Lagipun, dia tu anak orang kaya. Kau rasa ikhlas ke
dia nak kawan dengan kita yang biasa-biasa ni. Dan lagi satu,
mesti parents dia dah siap booking dengan mana-mana anak
Datuk atau Tan Sri sebagai menantu. Kau sendiri pun pernah
cakap, pipit dan enggang tak boleh terbang bersama, kan?”
Biasalah, klise anak-anak orang kaya, berharta dan
berpangkat ini. Mana nak pandang orang yang biasa-biasa ni.
Tak setaraf. Jatuh martabat nanti.
“Hmm... memang betul pun tapi kau tak terfikir ke
tentang masa depan kau. Kalau kahwin dengan lelaki kacak
ni, mesti anak kita nanti esok-esok pun kacak macam ayahnya
juga.” Hannah mula berangan.
“Kalau dapat pasangan yang kacak tapi iman di dada
kosong, haprak... rumah tangga pun tak aman dan berkat.
Kita hendaklah pilih pasangan yang sekufu dengan kita.
Kalau boleh, carilah lelaki-lelaki yang beriman, beragama,
penyabar dan penyayang agar dia boleh jadi pembimbing
kita di masa depan.” Sufi mencapai bantal kecil empat segi,
kemudian dipeluk erat.
“Eleh... tapi aku tengok Abang Lan kau tu kategori
alim kucing aje. Pantang juga kalau jumpa perempuan cantik,
mula nak jual minyak senyonyong. Kau percaya ke yang dia
tu setia dengan kau? Nak-nak bila dah tinggal berjauhan.
Cabarannya cukup besar.
Kalau ya pun kau setia dengan dia, aku tak yakin yang
dia pun setia dengan kau. Hati orang ni bukan senang nak
duga. Bukan kategori transparent yang boleh kita nampak.
Ramai yang berpura-pura baik dan alim tapi hakikatnya,
hanya Allah sahaja yang tahu.” Sufi mula termenung
mengenangkan kata-kata Hannah tadi.
Apa tidaknya, dia termenung sebab pendapat
Hannah itu sama dengan pendapatnya. Masih setiakah Jazlan
kepadanya apabila mereka berjauhan begini?
“Hannah, kau tahu tak yang Encik Zahim tu offer
diri nak kawan dengan aku tapi aku tolak.” Akhirnya Sufi
membuka cerita.
Bulat mata Hannah merenung wajah Sufi.
“Ya? Apasal kau tolak? Banyak keistimewaannya tau.
Ruginya kau. Kalau aku, tak payah nak fikir panjang. Dia nak
jadi kawan aku pun dah syukur. Lagipun senanglah kalau nak
bodek untuk naik gaji dan naik pangkat.” Hannah melahirkan
rasa terkilan.
“Kau tahu kenapa dia nak kawan dengan aku?”
Hannah menggeleng kepala.
“Sebab dialah lelaki yang aku tolong masa dia kena
belasah kat shopping complex hari tu. Kau ingat tak?” Mulut
Hannah ternganga.
“Wow, macam berjodoh aje kau dengan dia! Hari tu
pun kau dah tolak salam perkenalan dia. Sekarang pun kau
tolak. Aku rasa kau tolak tuahlah merangkap tolak jodoh
sekali.” Hannah pamer muka terkilan.
“Aku bukan tolak tuah atau tolak jodoh tapi aku tak
nak cari masalah. Hubungan aku dengan Abang Lan pun
belum selesai lagi. Takkanlah aku nak buat hal pulak dengan
lelaki lain. Kau pun tahukan bila lelaki dan perempuan
berkawan, takut timbul fitnah pula nanti.” Sufi melahirkan
kebimbangan. Kerana penolakannya itu, dia telah dianggap
sombong oleh bosnya itu.
“Alah, semua tu terletak pada hati. Kalau bos kau
tu ikhlas nak kawan dengan kau, apa salahnya. Kau kena
berfikiran positif. Kena pandang ke hadapan. Mana tahu dia
boleh jadi spare part kau nanti.”
Hannah ketawa. Dalam memberi nasihat, sempat
pulak dia bagi cadangan yang tidak berapa nak bernas itu.
“Hesy... Kau ni, tak sayang mulut, ya.” Sufi
mendecit geram. Sebenarnya bukan marah betul-betul pun.
Kadang-kadang terfikir juga cadangan si Hannah ini boleh
pakai. Untung apa!
“Kalau dah selalu jumpa, tak mustahil lama-lama
hati boleh tertawan. Kalau kau tak nak kawan dengan dia,
kau bagi aje kat aku. Mana tahu, dia jodoh aku.” Hannah
sudah senyum-senyum. Mesti dah terbayangkan yang dia
duduk bersanding atas pelamin. Gedik juga si minah ni. Sufi
menggeleng kepala.
“Lagi satu, sepupu bos aku pun kategori handsome
jugak tapikan yang tak bestnya dia tu jenis buaya sikitlah.
Kau nak ke? Kau tak risau kalau dia ngap kau nanti?” Saja Sui
nak mengenakan Hannah.
“Kalau kategori buaya handsome, apa salahnya.
Nanti aku jinakkanlah dia sebelum sempat dia ngap aku. Kau
lupa, aku dulukan kerja kat zoo. Fiil buaya tu aku dah faham
dan kenal.” Sufi terbatuk-batuk. Perit pula rasa tengkuknya.
Hannah sudah buat muka poyo.
“Woi, sejak bila kau kerja jadi penjinak buaya kat
zoo ni? Kalau ya pun nak bangga diri tu, agak-agaklah. Aku
lempang karang, terteleng kau empat puluh hari, nak?”
Hannah terus ketawa sambil menekan-nekan perutnya.
“Alaa... itu pun nak ambil kira ke. Sorrylah, aku
main-main aje tadi. Aku sebenarnya tak naklah terburu-buru
dalam mencari jodoh. Tapi sejak dua menjak ni, mak aku asyik
bising aje, risau sangat aku lambat jumpa jodoh. Nak-nak bila
saudara mara aku datang bertandang kat rumah. Diaorang
asyik sibuk cakap pasal anak cucu... Mak aku pun apa lagi,
panas punggung dan panas telingalah. Itu yang tempiasnya
terkena kat aku walaupun aku duduk jauh. Kalau aku call, isu
kahwin ni mesti tak tinggal punya dalam agenda mak aku tu.”
Hannah menarik nafas sebelum memejam matanya.
“Belum sampai jodoh, nak buat macam mana. Kita
pun tahukan bahawa Allah dah tetapkan jodoh kita dengan
siapa. Cuma, belum bersua muka lagi. Bersabarlah, ya!” Sufi
memberi nasihat membuatkan kening Hannah naik.
“Amboi, baik punya nasihat.” Hannah mengeluh
perlahan sambil mengetap bibir.
Sufi hanya membalas dengan senyuman. Siap
terangkat-angkat kening lagi. Hannah apa lagi, cepat aje tarik
muka empat belas.

No comments:

Post a Comment