DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 6

SUFI masih lagi khusyuk meneliti dokumen yang
baru diterimanya. Dia terpaksa mengkaji baik buruk sesuatu
usul dan cadangan sebelum sebarang tindakan diambil
dan berbincang dengan Encik Razif nanti. Namun, saat ini
hatinya tetap tertanya-tanya, bagaimana agaknya rupa Encik
Razif selepas kena tumbukan padunya semalam. Pasti sudah
lebam agaknya. Sejak pagi tadi dia tidak bersua muka kerana
awal pagi tadi dia mengikut Azrul ke Selayang Jaya.
“Jom!”
Tiba-tiba satu suara menyapa lamunannya.
Terpinga-pinga Sufi mendongak, cuba melihat
empunya suara yang menyapanya itu.
“Encik Razif?”
Sufi terpegun sebaik saja matanya memandang lama
wajah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya bersama
senyuman manis.
Yalah, dalam ofis ini siap pakai kaca mata hitam.
Kalau nak bergaya bagai pun biarlah bertempat.
“Hai, dah tak kenal dengan I ke? Cepat sungguh you
lupakan I, ya!” Razif bersuara bersama senyuman yang tidak
lekang di bibirnya.
“Err, kenapa Encik Razif...”
Sufi terdiam dan dia mula faham kenapa lelaki itu
memakai kaca mata hitam.
“Sorry ya. Pasal hal semalam, sampaikan Encik
Razif kena pakai kaca mata hitam hari ini. Teruk sangat ke
penangan saya semalam?” Sufi bersuara perlahan. Bimbang
didengari oleh staf lain. Marina sudah menjeling semacam aje
sejak Razif singgah di mejanya.
Razif membuka kaca mata hitam, sempat juga
matanya yang lebam itu mengenyit ke arah Sufi.
“Hai, mata lebam pun masih ada hati nak mengenyit,
ya?” Sufi tergelak kecil. Razif juga gelak sama sambil memakai
semula kaca mata hitamnya.
“Tapi serius, Encik Razif tambah kacak bila pakai
kaca mata hitam macam ni.” Sufi memuji ikhlas sambil
menyusun dokumen di atas meja supaya nampak kemas. Tak
naklah dikatakan mejanya tidak kemas dan berselerak.
Muka Razif masa itu sudah bertukar warna merah
bila mendapat pujian. Secara automatik, bibirnya mengukir
senyum lebar. Hatinya sudah mula kembang, bukan setakat
berkembang dan berbunga tapi dah menjadi taman bunga.
“Hmm... dah putuskan nak makan kat mana ni?”
Sufi mencapai beg tangannya.
“Yup, tapi kita kena tunggu kejap.” Razif memasukkan
tangan kanannya ke dalam poket.
“Kenapa?” Dahi Sufi berkerut.
Razif memberi isyarat mata ke meja Kak Azah.
Pantas Sufi menoleh ke arah meja Kak Azah.
Kelihatan Kak Azah sedang bercakap dengan seorang lelaki.
Penampilannya cukup kemas walaupun hanya mengenakan
kemeja lengan panjang warna biru lembut dan bertali leher.
Lebih kurang sama dengan penampilan Encik Razif. Tapi dari
segi rupa paras, rasanya lelaki itu lebih kacak.
“Siapa tu? Kawan Encik Razif ke? Nampak mesra aje
dengan Kak Azah.”
Sufi memandang wajah Razif seketika menagih
jawapan sebelum kembali memandang ke meja Kak Azah
atau lebih jelas masih lagi terpegun melihat lelaki kacak itu.
Nasib baik lelaki itu tidak sedar yang dia menjadi perhatian
Sufi. Kalau tidak, buat malu saja tenung lelaki bagai nak
keluar biji mata.
“You tak kenal ke siapa dia tu?” Razif agak kehairanan
sambil matanya melirik ke arah Zahim.
Sufi menggeleng kepala. Memang betul pun dia tidak
kenal dan tidak pernah jumpa sepanjang seminggu lebih dia
bekerja di sini.
“Hmm... nanti you akan kenal dengan dia tapi I nak
bagi warning awal-awal dekat you ni. You jangan terpikat
dengan dia tau!” bisik Razif perlahan, seolah-olah tidak mahu
didengari oleh orang lain.
“Kenapa? Kalau saya terpikat pun, ada masalah ke?”
provoke Sufi. Saja hendak menyakat.
“Memanglah ada masalah. Masalah besar tau.” Razif
sudah tersenyum-senyum.
“Masalah besar? Kenapa? Dia suami orang ke?” Dahi
Sufi mula berkerut.
Razif segera menggeleng kepala.
“Habis tu, tunang orang?”
Razif menggeleng kepalanya lagi.
“Erm... kekasih orang?”
“Semua bukan. He still single and available, bukan
milik mana-mana perempuan. Dia hanya milik mama dan
papa dia.” Razif masih lagi membiarkan Sufi berteka-teki.
“Kalau semuanya bukan, apa yang betulnya? Encik
Razif ni sengaja nak kenakan saya, ya?”
“Maksud I masalah besar tu kalau you terpikat
dengan dia. Nanti susahlah you nak terpikat dengan I. I
memang rancang nak pikat you tau sejak pertama kali kita
jumpa kat sini.” Jawapan Razif membuatkan Sufi terkedu
tiba-tiba.
“Kenapa? Tak sangka, ya?” Razif masih memandang
wajah Sufi yang mula berubah.
“Jadi I harap you benarkanlah I pikat you.” Razif
tetap pamer senyuman.
Sufi terdiam. Sukarnya hendak percaya apa yang
baru didengarinya.
“Encik Razif hanya gurau aje kan?” Perasaan Sufi
mula tidak enak. Rasa gabra semacam aje.
“I serius nak pikat you ni, okey,” Razif sudah pamer
wajah yang agak serius. Tapi ada sedikit senyuman terukir di
hujung bibirnya.
Nampaknya Razif tidak bergurau. Sufi mula tidak
senang duduk. Haruskah dia berterus-terang akan statusnya?
Sufi mula keliru.
“Jomlah. Tak habis lagi ke berborak?” Zahim terus
menonong jalan sebaik sahaja melewati meja yang menjadi
tempat persinggahan Razif.
“Im...” Razif membuka mulut.
Langkah Zahim terhenti. Dia segera menoleh
dan pandangannya terus terpaku. Tidak berkelip matanya
memandang wajah Sufi yang sudah pun bangun dari tempat
duduknya.
“Im, kenalkan pembantu aku merangkap staf baru
yang aku ceritakan kat kau hari tu.” Razif memperkenalkan
Sufi pada Zahim.
“Cik Nur Aisyah Sufiya, kenalkan... this is our CEO
of Zamrud Holdings, Mr. Zahim Fikri bin Tan Sri Mokhtar.”
Razif memperkenalkan mereka berdua.
Zahim mengukir senyuman. Sebenarnya dia tidak
tahu nak pamerkan aksi yang macam mana saat dia berhadapan
dengan gadis itu. Ada pelbagai rasa yang bertandang.
“Selamat tengah hari Encik Zahim. Saya gembira
sebab baru hari ini saya dapat kenal CEO syarikat ini. Selamat
berkenalan Encik Zahim.”
Sufi mengukir senyum. Cuba mengawal diri. Dia
sendiri pun sukar nak memikirkan apa yang patut dikatakan.
Bantai sajalah. Teringat pula perbualannya dengan Kak Azah
pada hari pertama dia memulakan kerja di sini. Berbaloi juga
dapat kerja di syarikat ini. Hari-hari dapat cuci mata. Tengok
bos-bos yang handsome. Mesti Hannah cemburu kalau dia
beritahu ini.
“Hai, sempat lagi termenung. Fikirkan apa tadi?”
Teguran Razif membuatkan Sufi tersentak. Lebih-lebih lagi
bila menyedari mata Razif dan Zahim terus terpaku pada
wajahnya. Malu... malu... malu... Mana nak sorok muka aku
ni?
“Boleh kita pergi sekarang?” Zahim mencelah setelah
melirik ke arah jam tangannya. Staf Zamrud Holdings sudah
berkurangan kerana kebanyakan mereka telah beransur
meninggalkan tempat masing-masing kerana waktu rehat
sudah tiba.
“Silakan.” Dengan penuh tertib Razif memberi
ruang untuk Sufi keluar dari tempat duduknya.
“Saya rasa elok saya jalan kat belakang aje.” Sufi
menelan liur.
“Kenapa?” Pandangan mata Razif terus saja terpaku
ke wajah Sufi.
“Err... seganlah saya. Dengan Encik Razif taklah
rasa segan sangat tapi dengan Encik Zahim tu saya seganlah.
Diakan CEO, saya ni cuma pekerja biasa aje.” Sufi bersuara
perlahan. Bimbang didengari oleh Zahim.
Razif terus mengukir senyum.
“Dia okeylah. Jom!” Tanpa berlengah Razif menarik
tangan Sufi tapi cepat saja Sufi menjauh.
“Aik, tak serik ke kena penumbuk padu saya
sampaikan mata tu dah jadi macam mata panda,” perli Sufi
sambil melirik ke arah Razif.
Razif terus ketawa, cukup faham dengan kata-kata
itu.
“Sorry, ladies first. I kena jadi gentleman untuk
pikat hati you, betul tak?”
Razif memberi peluang untuk Sufi berjalan di
hadapannya. Nak tak nak Sufi terpaksa berjalan di hadapan
Razif tapi akhirnya mereka bergandingan. Hanya Zahim yang
menonong laju ke hadapan dan berhenti di pintu lif. Selepas
itu dia terus merenung wajah Sufi.
Sufi mula rasa serba salah bila melihat cara renungan
Zahim padanya. Cara renungan itu membuatkan dadanya
tiba-tiba berdegup hebat. Ada sesuatu yang tidak kena di sini
tapi apa dia? Akhirnya Sufi menundukkan wajahnya ke lantai,
menunggu pintu lif terbuka.

No comments:

Post a Comment