DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 1



“SELAMAT pagi, Nal,” ucap Liza merangkap
setiausaha Danial sejak dua tahun lalu.
“Selamat pagi. Saya ada apa-apa appointment hari ni
ke Kak Liza?”
“Ada, pukul 3 petang dengan Syarikat Mega Setia.
Semua repot dan dokumen-dokumen yang perlu Danial sign,
akak dah letak atas meja. Lagi satu, Cik Zara dah banyak kali
call. Akak pun dah tak tahu nak bagi alasan apa. Payah betul
melayan orang tak faham bahasa ni,” beritahu Liza sambil
bersungut di akhir katanya.
“Kalau dia call lagi, akak bagi ajelah apa-apa alasan.
Tak kuasa saya nak melayan.”
“Karang Kak Liza cakap lebih-lebih, dia mengadu
kat Datuk pulak. Lagi susah Kak Liza. Maklumlah, dia tu
kan calon menantu kesayangan Datuk,” beritahu Liza. Sudah
heboh satu pejabat yang Izara anak Datuk Kamal itu ialah
bakal isteri Danial Haikal. Si Zara juga yang mencanangkan
cerita itu sebenarnya. Padahal dia tengok bosnya ini macam
tidak ada apa-apa perasaan pun kepada si Zara. Perempuan itu
yang perasan lebih. Dia bukannya hendak jadi kaki penyibuk.
Tapi dia tengok Zara tidak sepadan langsung dengan Danial.
Sudahlah berlagak. Sombong pulak tu. Perasan diri tu cantik
sangat gamaknya. Rasanya mak cik cleaner lagi cantik kut.
Dengan cara pakaian yang sentiasa tidak cukup kain, dia yang
menengoknya pun malu.
Berkerut dahi Danial.
“Calon menantu? Pandai Kak Liza buat gosip
pagi-pagi ni.”
Hubungan antara Danial dan setiausahanya umpama
adik dan kakak. Sikap ramah Liza amat disenangi Danial,
apatah lagi setiausahanya ini cekap menjalankan tugas.
“Hari tu... masa Nal cuti, dia ada datang cari Nal kat
ofis. Lama juga kami berbual. Mungkin dia cuba nak cungkil
maklumat daripada Kak Liza kut. Dia ada tanya Nal pergi
mana? Kenapa Nal off handphone? Pergi bercuti kat mana?
Macam-macam lagilah. Sampai tak terlayan akak.” Panjang
lebar Liza bercerita.
Danial hanya tersenyum. Malas mengambil tahu
hal Izara. Ada perkara yang lebih penting daripada itu.
Otaknya pun tengah berserabut. Tidak mahu perihal Izara
menyemakkan lagi fikirannya yang sudah sedia serabut.
Sekarang dia tengah sibuk dengan projek di Putrajaya.
Seminggu yang lalu, papa ada menyuarakan hasrat Datuk
Kamal yang ingin menjodohkan dia dengan anaknya, Izara.
Tetapi dia diamkan saja mengenangkan kesihatan papa yang
tidak mengizinkan. Sebab hubungannya dengan papa sudah
dingin sejak dulu, jadi papa juga hanya diam begitu saja. Jika
dia menyuarakan pendiriannya, bergaduh pula nanti. Apatah
lagi Datuk Kamal itu rakan rapat papa. Sudah tentu papa akan
menyokong hasrat sahabatnya. Kononnya untuk kepentingan
syarikat.
Geram juga dia, kalau tidak percayakan dia
mengemudi syarikat, kenapa dipujuk rayu supaya mengambil
alih syarikat ini? Ketika itu, dia belum bersedia untuk
memaafkan perbuatan papanya. Kalau tidak kerana pujukan
pak su, jangan harap dia akan berada di sini. Itu semua hanya
alasan sahaja.
Sejak dia mengambil alih syarikat daripada papa dua
tahun yang lalu, muka tembok Izara yang menjadi masalah
kepadanya. Bukan dia tidak tahu perangai Izara, anak
perempuan tunggal Datuk Kamal itu. Apa yang dia mahu,
dengan apa cara sekalipun mesti akan dapat. Tidak dilayan
pun masih juga hendak bertenggek kat sini. Kalau tidak
mengenangkan hendak menjaga perasaan Datuk Kamal,
sudah lama disekolahkan si Izara itu.
Tanpa sedar, Danial menggeleng.
“Nanti Kak Liza tolong bawa masuk fail Syarikat
Mega Setia ya,” pinta Danial sebelum berlalu masuk ke
biliknya.
Tidak lama kemudian, Liza masuk membawa fail yang
diminta Danial tadi. Perlahan langkah Liza, membawa perut
yang semakin sarat. Melihatkan keadaan Liza, mengundang
rasa kasihan dalam hati Danial.
“Ini fail yang Nal nak tu.” Liza meletakkan fail itu ke
atas meja.
“Bila due, Kak Liza?”
Mendengar pertanyaan Danial, segaris senyuman
terukir di bibir.
“Hujung bulan depan,” jawabnya.
“Dah tahu boy or girl?”
Senyuman semakin lebar di bibirnya. Spontan
tangan kanan diletakkan ke atas perut yang memboyot.
“Insya-Allah, kali ni girl,” jawab Liza, jelas keceriaan
pada wajahnya.
“Tak kisah boy or girl Nal. Yang penting sihat dan
sempurna sifatnya,” sambung Liza lagi.
Danial melirik senyum sambil mengangguk setuju.
“Ini resume untuk position PA yang Encik Taufik
dah pilih.” Liza menghulurkan satu lagi folder kepada Danial.
“Okey Kak Liza. Biar Nal tengok dulu.”
Sebulan yang lalu, Liza menyuarakan hasrat
ingin berhenti kerja kerana akan mengikut suaminya yang
akan bertukar tempat kerja ke Johor. Oleh sebab itu, dia
memerlukan pengganti Liza dengan kadar yang segera. Susah
kalau dia tidak ada pembantu.
“Kalau macam tu, Kak Liza keluar dululah ya.”
Danial hanya mengangguk. Fail projek Syarikat
Mega Setia dibuka. Dia perlu menyemak beberapa perkara
sebelum mesyuarat dengan syarikat itu nanti. Setelah
beberapa maklumat diperoleh, pandangan Danial terarah
pada folder di sebelahnya. Dikeluarkan semua resume dari
dalam folder itu. Satu per satu diteliti. Namun, tangan Danial
terhenti tatkala mata terpaku pada seraut wajah. Dadanya
tiba-tiba berdebar. Perasaan yang dipendam selama ini seakan
bercambah memenuhi ruang hati.
“Ayuni Aisya binti Abdul Halim...” serunya seakan
berbisik. Fikirannya menerawang pada seraut wajah gadis
yang mendapat tempat dalam hatinya sejak dulu.
Berat helaan nafas terhembus. Pandangan ditebarkan
ke dada langit membiru dari cermin tingkap bilik. Keliru dan
tidak faham dengan gelojak jiwanya. Menatap seraut wajah
itu, getarnya tetap sama. Sudah gilakah dia kerana tidak
mampu memadam perasaan terhadap gadis itu? Bukannya
tidak ada gadis lain di luar sana cuba mendekatinya, tetapi
perasaan itu tidak sama ketika dia bersama Ayuni Aisya.

No comments:

Post a Comment