DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 8

PANJANG helaan nafasnya. Kosong dan hambar.
Itulah yang dirasakan saat ini. Hanya renungan tanpa
perasaan mampu dilemparkan ke tengah tasik. Bagaikan
tiada lagi tarikan. Tempat ini tidak mampu lagi memberi
ketenangan kepadanya.
“Jomlah kita balik. Aku dah penat.”
“Baru satu round, takkan dah nak balik?” Yusri
membalas tidak percaya. Tadi beria-ia ajak dia joging. Baru
satu pusingan sudah hendak balik. Baik tak payah datang.
Tidur lagi bagus. Entah apa yang tidak kena dengan
sepupunya ini. Sejak balik dari kampung, pelik benar
perangainya. Termenung sahaja. Ini mesti sebab Ayuni Aisya.
Danial mengeluh panjang.
“Aku tengok hang asyik termenung saja sejak balik
dari kampung. Hang ada masalah ka?” tanya Yusri bersama
satu tepukan di bahu. Satu sikap Danial yang dia tahu,
suka memendam perasaan. Sejak mama Danial meninggal,
sepupunya berubah menjadi seorang yang pendiam. Dia
bersimpati dengan nasib Danial. Sudahlah kehilangan kasih
sayang seorang ibu. Papanya pula hanya sibuk dengan urusan
syarikat sehingga tanggungjawab menjaga Danial diserahkan
kepada orang gaji.
Danial mula berkawan dengan budak-budak nakal
yang menjadi perhatian sekolah. Lama-kelamaan Danial
juga turut terlibat sehingga dia hampir dibuang sekolah.
Disebabkan itu, sepupunya itu dihantar balik ke kampung.
Dia tahu Danial pada mulanya tidak suka tinggal di kampung.
Dalam diam dia memprotes. Suka menyendiri dan pendiam.
Tetapi siapa sangka Ayuni Aisya mampu mengubah sikap
Danial Haikal. Di samping Ayuni, Danial mampu mengukir
senyuman ceria kembali.
Namun, keceriaan Danial hanya sementara.
Tiba-tiba hubungan Danial dan Ayuni renggang. Ayuni
menjauhkan diri daripada Danial. Mungkinkah ada kaitan
dengan sahabat Danial yang datang ke kampung melawat
Danial sebaik mereka selesai peperiksaan SPM? Kemudian,
sebaik mendapat keputusan peperiksaan SPM, Danial ada
balik ke rumah papanya. Namun, apabila Danial kembali
ke kampung, sikap sepupunya itu terus berubah menjadi
seorang yang begitu pendiam dan murung. Selang beberapa
minggu, Danial mengambil keputusan untuk tinggal dengan
pak su di Johor. Dia ada cuba bertanya, tetapi Danial lebih
suka mendiamkan diri.
Danial hanya diam berdiri di tengah jambatan
dengan renungan yang jauh ke tengah tasik yang beralun
tenang. Soalan Yusri tidak mampu dijawab. Yang pasti,
hatinya terasa kosong dan saat ingatannya kembali pada
kejadian yang berlaku pada Ayuni, hatinya mula dipagut
resah. Hatinya tidak tenteram.
“Tak ada apa-apa. Aku okeylah,” jawab Danial. Bibir
cuba melirik senyum walaupun tampak hambar. Kemudian
dia kembali menyepi.
Yusri hanya memerhati.
“Nal, dah lama aku nak tanya hang. Tapi aku takut
hang kata aku suka campur urusan hati dan perasaan hang.
Sebab dulu hang pernah warning aku, pasal hati dan perasaan
hang tak boleh sesiapa pun ambil tahu. Sebab... itu seratus
peratus hak hang dan tiada sesiapa pun boleh tentukan
keputusan yang hang buat.”
Danial tersenyum. Dia masih ingat kata-kata itu.
Apabila Yusri kerap kali bertanya tentang perubahan sikapnya
yang suka menyendiri ketika itu, dia jadi marah. Kemarahan
yang tidak dapat dipendam sendiri akhirnya meletus juga
kepada Yusri.
“Tapi aku faham... masa tu hang tengah serabut.
Mungkin pasal Ayuni... dan mungkin juga sebab papa hang.
Lepas balik jumpa papa hang, sikap hang lain sangat. Apa
sebenarnya yang terjadi Nal?”
Danial diam. Soalan Yusri tidak mampu dia jawab.
Yang pasti biarlah peristiwa itu tersimpan kejap dalam lipatan
sejarah hidupnya.
“Jomlah, kita balik,” ajak Danial.
Yusri mengeluh. Menggeleng perlahan. Dengan
sendirinya dia mengerti kesepian Danial. Dia tidak akan
menemui jawapannya.

KAYUHAN BASIKALNYA semakin laju. Dia betul-betul
sudah lambat gara-gara perutnya meragam pagi ini. Dan
hari ini buat pertama kalinya dia melanggar pesan ibunya.
Tetapi kalau ikut jalan biasa, mesti dia akan lambat sampai ke
sekolah. Disebabkan itu, dia mengambil keputusan melalui
jalan pintas ini.
Sesekali matanya meliar ke sekeliling kebun getah
yang sunyi dan suram itu. Meremang juga bulu romanya.
Tetapi mengenangkan dia sudah betul-betul lambat,
diberanikan dirinya juga melalui kawasan itu.
Sebaik sampai di suatu selekoh, Ayuni
memperlahankan kayuhannya. Melihat Zakry bersama
gengnya sedang melepak di sebuah pondok kecil membuatkan
dia berasa ragu-ragu untuk melalui jalan itu.
“Sini ka tempat diaorang lepak?” soalnya sendiri.
Sedang Ayuni berkira-kira hendak berpatah balik, namanya
dilaung kuat.
“Yuni!!!”
Belum sempat Ayuni berbuat apa-apa, Zakry dan
dua lagi kawannya menghampiri. Ayuni cuba beriak biasa
walaupun perasaan takut mula menggamit diri. Melihat ilai
tawa Zakry menambahkan kecutnya.
“Nak pergi mana sayang? Bukan jalan nak pergi
sekolah ikut jalan ni ka?”
Zakry mula bertindak memegang handle basikal
menyebabkan Ayuni terpaksa turun dari basikalnya.
“Helo! Jangan nak bersayang-sayang dengan aku.
Geli telinga aku dengaq.”
“Tapi aku suka panggil macam tu, mesra dan manja.”
Zakry mengenyit mata nakal.
Ayuni mencebik meluat. Dasar buaya tembaga!
Pantang jumpa perempuan, semuanya nak mengayat!
“Semua perempuan hang panggil sayang. Tepilah!
Aku nak lalu.”
Tiba-tiba Zakry menyambar lengan Ayuni. Tersentak
Ayuni dengan tindakan Zakry. Dia menelan liur.
“Lepaskan aku, Zakry! Aku dah lambat!” Tajam
renungan Ayuni pada wajah Zakry. Mahu saja dicekiknya
mamat tidak faham bahasa ini.
“Marah? Janganlah marah, sayang...” ujar Zakry
lembut sebelum tawanya lepas.
“Aku cakap cara baik, Zakry. Hang jangan cari
masalah dengan aku.” Ayuni memberi kata amaran, suaranya
cuba ditenangkan.
“Euuwww... takutnya aku...” balas Zakry bersama
mimik muka yang dibuat-buat seperti gerun dengan amaran
Ayuni yang sedikit pun tidak berbekas padanya.
“Lepaskan aku Zakry!” Suara Ayuni mula meninggi.
“Kalau aku tak nak lepaskan, apa sayang boleh buat?”
Zakry selamba menjawab.
“Hang memang cari pasal dengan aku!” Ayuni
menendang kuat kaki Zakry bertubi-tubi.
Tindakan Ayuni menyebabkan Zakry terpaksa
melepaskan pegangannya. Dia terlompat-lompat menahan
sakit.
“Kurang ajaq!” Zakry menyumpah kuat sambil
menghentak stereng basikal sehingga menakutkan Ayuni.
Ayuni telan liur. Dia mengundur ke belakang.
Zakry sudah bergerak mendekat. Bunyi basikal terjatuh
mengejutkan Ayuni. Manakala dua lagi sahabat Zakry hanya
tergelak sinis sambil memerhati.
“Hang jangan buat kerja gila, Zakry.”
Ayuni semakin mengundur ke belakang. Dia melihat
kiri dan kanan sekiranya ada sesiapa yang melalui jalan ini.
Tetapi, dia tidak nampak kelibat sesiapa pun.
“Hang jangan dekat dengan aku. Aku jerit nanti.”
“Jeritlah. Aku nak tengok sapa yang datang tolong.”
Tanpa Ayuni duga, Zakry bertindak menyambar
lengannya dan cuba memeluknya. Nasib baik dia sempat
menahan dengan tangan. Lantas ditolak kasar tubuh Zakry.
Saat itu, dia rasa hendak menangis.
‘Ya Allah, Kau lindungilah aku daripada segala
musibah,’ doanya dalam hati sambil berusaha melepaskan
genggaman Zakry. Dia pasti lengannya sudah berbekas dek
genggaman Zakry yang kuat dan menyakitkan.
“Zakry, tolong lepaskan aku...” Kali ini nada suara
Ayuni sudah berubah nada merayu. Tubir matanya sudah
berlinang. Namun, rayuannya hanya disambut ketawa kuat
Zakry.
“Lepaskan dia!!!”
Danial! Saat ini, tiada lagi ungkapan yang dapat
menggambarkan perasaan lega kala melihat lelaki itu.
Kehadiran Danial meniup semangat ke dalam dirinya untuk
berusaha melepaskan diri. Dengan sekuat hati, Ayuni menolak
tubuh Zakry dan kali ini dia berjaya melepaskan tangannya
dari genggaman lelaki itu.
Namun begitu, tindakan Ayuni menimbulkan
kemarahan Zakry. Tudung Ayuni ingin disambarnya tetapi
sempat dihalang Danial.
“Din! Yob!” Zakry memberi isyarat kepada dua
rakannya.
Ayuni yang menyaksikan pergelutan antara Danial
dengan rakan Zakry terasa menggigil seluruh badan.
“Sudah! Berhenti!” Ayuni menjerit kuat. Walaupun
Danial dapat menepis setiap serangan, tetapi Ayuni tetap
cemas melihat aksi pergelutan itu.
Terbeliak mata Ayuni apabila tiba-tiba Zakry meluru
ke arah Danial sebaik melihat dua rakannya tewas dan
terbaring sambil mengerang kesakitan.
Dup!!! Satu tumbukan singgah betul-betul di muka
Danial. Saat itu, Danial tidak menyedari serangan Zakry yang
tiba-tiba itu. Terteleng kepala Danial. Perlahan dia berpaling
kembali memusat pandangannya ke wajah Zakry.
“Lain kali jangan cuba masuk campur hal orang.
Kau belum kenal sapa aku. Kau budak baru kat sini. Jadi,
buat cara budak baru. Jangan nak jadi hero pulak kat sini.”
Zakry memberi amaran keras.
Namun, Danial hanya beriak selamba. Darah yang
mengalir di bibirnya disapu dengan ibu jari.
“Kalau aku budak baru, kenapa? Senang kau nak
buli? Kalau setakat gengster kampung macam kau ni, bukan
lawan akulah.” Bibirnya menarik senyum sinis membuatkan
Zakry rasa tercabar.
“Kurang ajar!” suara Zakry melengking kuat. Satu
pukulan cuba dibuat tetapi dapat ditepis Danial.
Zakry mula berang. Dia cuba menyerang Danial
lagi tetapi kali ini tendangannya tersasar, malah perutnya
yang menjadi sasaran tumbukan Danial. Tumbukan itu
membuatkan dia tersungkur ke tanah.
“Lembik!”
“Sudah!” Ayuni terjerit kuat apabila Zakry berdiri
dan ingin menyerang Danial lagi. Dalam keadaan sakit begitu
pun masih mahu melawan lagi.
Danial hanya mengelak sahaja dan satu tendangan
pada punggung Zakry menyebabkan sekali lagi Zakry jatuh
tersungkur mencium tanah. Akhirnya Zakry mengalah.
Dengan wajah berkerut-kerut menahan sakit, dia memanggil
dua rakannya pergi dari situ. Sebelum berlalu pergi, sepasang
matanya tajam merenung tepat wajah Danial.
“Antara kita belum habis lagi!” Keras suara Zakry.
Amaran itu hanya dipandang sinis Danial,
seakan-akan tidak terkesan langsung. Tanpa sepatah kata,
Danial terus mengambil beg sekolah, lantas disangkut
ke bahu. Baju seragam sekolah dibetulkan dan kaki mula
mengorak langkah.
“Awak...” panggil Ayuni. “Terima kasih tolong saya.”
Ayuni menghulurkan sapu tangannya kepada Danial.
“Bibir awak.” Jari telunjuk ditunjuk ke arah tubir
bibir kirinya sendiri menunjukkan di mana luka pada bibir
Danial. Perasaan bersalah mula menggamit jiwa. Kerana
hendak menolongnya, Danial mendapat sakit.
Danial menyambut huluran sapu tangan Ayuni
tanpa suara sebelum berlalu pergi. Beberapa langkah kakinya
melangkah, dia berhenti.
“Lain kali jangan ikut jalan ni. Bahaya.” Sempat
Danial berpesan sebelum menyambung langkah.
Ayuni mengetap bibir. Inilah akibatnya melanggar
pesanan orang tua. Mujur dia tidak apa-apa. Kalaulah Danial
tidak datang tepat pada masanya, entah apa akan jadi kepada
dirinya. Dia benar-benar rasa terhutang budi kepada lelaki
itu.
“Hoi! Berangan!!!”
Sergahan Shafiqa menerbangkan jauh memori
lalu. Entah kenapa sejak bertemu kembali dengan lelaki
itu, fikirannya seakan memutar kembali kenangan mereka
dahulu.
“Mana ada aku berangan,” selar Ayuni.
“Hang sejak balik dari kampung termenung sana,
termenung sini. Ada apa-apa yang aku tak tahu?”
“Tak ada apalah,” nafi Ayuni cuba menyembunyikan
gelodak jiwa. Pertemuan yang tidak disengajakan
mengundang kembali rasa yang tidak pernah padam. Hanya
dia yang mampu membuatkan dadanya berdebar. Dan debaran
itu kembali berirama meresahkan jiwa.
“Aku ada jumpa Mak Nab,” beritahu Ayuni mengalih
perhatian Shafiqa yang sedari tadi merenungnya. Bukannya
dia tidak tahu perangai kawannya yang seorang ini. Dia kan
ada ilmu membaca air muka orang.
“Mak Nab minta tolong aku cari rumah Dibah. Dah
lama Dibah tak balik kampung. Telefon pun sekali-sekala.
Mak Nab risau kalau-kalau Dibah ada masalah.”
“Hang ada alamat rumah Dibah?”
“Ada ,Mak Nab bagi. Aku harap dia tak pindah. Mak
Nab beritahu Dibah dah jarang call dia. Bila Mak Nab tanya
bila nak balik, katanya Ikram tengah sibuk, tak dapat ambil
cuti.”
“Tapi takkan cuti sehari dua pun tak boleh? Kalau
Ikram tak boleh cuti, Dibah dengan anaknya ajelah yang
balik. Lagipun Dibah tak kerja kan?”
“Mak Nab beritahu aku, Dibah tak kerja.” Panjang
helaan nafas Ayuni. Dia dapat merasakan sesuatu. Mungkinkah
sahabatnya Adibah dalam kesusahan?

No comments:

Post a Comment