DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 26 May 2021

Cinta Zara : This I Promise You - Bab 1

 

“ASSALAMUALAIKUM.”

Zara menoleh. Tahu-tahu sahaja pinggangnya dipeluk dari belakang. Dia sedang menyusun pakaian suaminya.

“Abang dah balik.”

“Sebut sekali lagi...” Ammar menjatuhkan dagunya pada bahu Zara.

“Sebut sekali lagi apa?”

“Rindu sayang panggil abang, abang. Rindu sangat. Tolong sebut sekali lagi untuk abang.” Ammar mengucup pipi isterinya dengan penuh rasa kasih. Hari-harinya sangat indah dengan hadirnya semula Zara Aulia.

“Abang, I love you.”

Jeda seketika. Ammar membisu. Zara menoleh untuk cuba melihat apa suaminya lakukan. Adakah Ammar tertidur di bahunya?

“Abang.”

“Sayang dengar tak?” tanya Ammar.

“Dengar apa?” Zara kerutkan dahi. Hanya mereka berdua di bilik pakaian. Tiada sebarang bunyi yang dia dengar kecuali bunyi hela nafas suaminya.

“Jantung abang berdegup lebih kencang apabila sayang sebut I love you.”

Tersengih-sengih Zara. Ingatkan apalah tadi.

“Sejak bila Ammar Syafiq pandai buat lawak ni?”

“Sayang tak percaya cakap abang ke? Jauh sebatu boleh dengar bunyi jantung abang ni tau.”

Zara tergelak.

“Sayang ketawakan abang.” Dilepaskan pelukan lalu dipusingkan tubuh sang isteri. Tangan kanan Zara diraih dan tapak tangan didaratkan pada dadanya.

Tergamam Zara dengan tindakan suaminya. Mata bersabung dengan mata redup suaminya. Senyap sunyi. Hanya pandangan mata yang berbicara. Saat ini dia hanya mendengar bunyi degup jantungnya sendiri.

“Setiap kali abang dekat dengan sayang, setiap kali tu juga jantung abang berdegup kencang. Hati ini akan berdebar-debar setiap kali kita bertentangan mata. Tahu tak sebab apa?”

Zara geleng.

“Sebab Ammar dah dipukau dengan cinta Zara. Cinta yang sangat tulus dan ikhlas. Sebab itu jantung ni sentiasa berdegup kencang apabila bersama sayang.” Ammar menarik tangan Zara lalu dilingkarkan ke pinggangnya. Perlahan dia mendekatkan bibirnya pada bibir Zara. Dalam hati dipanjatkan syukur kerana Allah memberi peluang kedua kepadanya.

Zara membalas pelukan suaminya. Cinta itu sudah lama ada dalam hatinya. Sejak mereka di bangku sekolah lagi. Namun dia sedar perbezaan taraf mereka berdua. Dia hanyalah anak pemandu.

Tiba-tiba terdengar bunyi deringan telefon milik Zara yang diletakkan di atas katil. Zara menolak tubuh suaminya perlahan. Namun Ammar tidak mahu melepaskannya. Terpaksa ditolak tubuh suaminya dengan kasar.

“Abang, Kak Zue call tu.”

“Kacau daunlah Kak Zue ni.” Mahu tidak mahu Ammar melepaskan isterinya.

“Mesti Darien atau Darlina dah bangun tu.”

“Okey...” Ammar tarik muncung sambil menanggalkan tali lehernya lalu dicampak ke dalam bakul pakaian kotor.

“Siapa suruh abang pilih janda baru beranak ni buat isteri.” Zara melangkah keluar dari bilik pakaian. Dia mengambil telefon yang sedang menjerit nyaring itu lalu dijawab.

Ammar hanya mendengar suara Zara tanpa mengambil tahu butir perbicaraan isterinya dengan Kak Zue. Kemeja ditanggalkan. Dia tersenyum sendiri di hadapan cermin. Jika diberi pilihan sekali lagi, dia lebih rela memilih Zara, janda yang baru beranak daripada si gadis manis Husna.

Sepatutnya dia berterima kasih kepada Husna kerana tidak datang semasa upacara pernikahan mereka. Gadis itu sudah berlepas ke luar negara. Dia tahu ada cinta dalam hati Husna, tetapi gadis itu memilih untuk mengundurkan diri. Husna mungkin tahu bukan mudah untuk dia memadam nama Zara dari hatinya. Tiba-tiba ada tangan memeluknya.

“Nak sambung yang tadi tak?” tanya Zara.

“Darien dengan Darlina tak bangun lagi.”

“Izz nak ikut pak long dia pergi pasar malam. Dia mintak izin nak ikut. Kembar tu tidur lagi kata Kak Zue. Ermm... nak sambung yang tadi tak? Bukan senang dapat...” Belum sempat ayatnya habis, Ammar sudah pusingkan tubuhnya. 

 

 

“IZZ... MAKAN elok-elok. Comot.” Zara mengelap bibir anaknya yang comot.

“Besok angah dengan Zara gerak pukul berapa?” Puan Sri Aisyah memangku Darlina sambil memerhatikan cucu-cucunya makan sate.

“Macam berat hati nak pergi.” Zara suarakan rasa hatinya.

“Kenapa?” tanya Juwita.

“Darien dengan Darlina... diaorang kan menyusu lagi. Berat hati nak tinggalkan diaorang.” Rasanya sudah berkali-kali dia menyuarakan perkara ini.

“Budak-budak ni mama boleh jaga. Kak Ita dengan Kak Zu ada. Zara dengan Ammar pergilah honeymoon. Habiskan masa berdua. Bukan lama pun, 2 hari 1 malam.”

Zara melepaskan keluhan perlahan. Ini semua idea ibu mentuanya. Dia dengan Ammar sudah bersetuju untuk tidak berbulan madu kerana anak-anaknya masih kecil lagi. Tetapi mentuanya mendesak.

“Betul tu. Pergi aje. Akak tolong mama jaga budak-budak ni. Stok susu kan ada.”

Zara mengangguk. Stok susu beku memang sentiasa ada di dalam peti ais. Adakalanya dia perlu meninggalkan anak kembarnya untuk ke butik. Kasihan pula jika Ammar sendirian menguruskan DH Fashion. Namun dia tetap berat hati.

“Pergilah. Masa kahwin kali pertama dulu tak ada honeymoon. Yang kedua ni pergilah. Angah dengan Zara perlu masa berdua tanpa gangguan. Tolonglah jangan tolak.”

Zara menunduk. Sukar untuk berikan kata setuju sebenarnya. Hatinya masih berat untuk meninggalkan anak kembarnya yang baru berusia 4 bulan. Dia masih belum memberi kata putus walaupun tarikh untuk mereka berangkat ialah esok.

“Kenapa ni?” soal Ammar yang baru muncul. Melihat muka keruh isterinya, dia dapat agak apa topik perbincangan kaum wanita di situ. Tangan sang isteri ditarik dan dielus perlahan. Faham akan masalah yang membelenggu Zara.

“Kalau sayang berat hati nak pergi, kita tak payah pergi. Nanti abang bayar harga pakej tu dekat mama.”

“Tapi... membazir.”

“Abang tak nak sayang rasa terpaksa pergi. Nanti honeymoon kita entah ke mana. Lebih baik kita duduk rumah saja.”

Serba salah pula Zara mendengar ayat suaminya. Selalu ada gangguan saat mereka hendak berdua-duaan. Perkahwinan mereka baru berusia sebulan. Masih baru dan masih segar walaupun kali kedua mereka bernikah. Pernikahan kali pertama dulu, pernikahan paksa, jadi tidak sama dengan perkahwinan kali kedua yang diikat kerana cinta.

“Kita pergi.” Zara akhirnya memberi persetujuan.

“Sayang... kalau tak nak pergi...”

“Tak apa, kita pergi. Lagipun mama dengan Kak Ita ada nak tolong Kak Zue. Kembar tu pun bukan susah sangat nak jaga.”

“Betul ni sayang?” Ammar begitu teruja.

Zara angguk dengan senyuman. Walaupun pernah melayari bahtera bersama selama 5 bulan, dia masih belum mengenali sepenuhnya Ammar versi dewasa ini. Pertemuan selepas mereka bercerai, penuh dengan dendam dan kebencian. Saat ini dia perlu pupuk kembali cinta mereka.

“Abang pergi kemas baju kita ya.”

Angguk lagi. Zara tersenyum melihat muka teruja suaminya. Ammar kali ini sangat berbeza dengan Ammar yang dulu.

“Tapi, nanti kejap. Nak gomol princess ni.” Ammar memberi isyarat agar mamanya menyerahkan  Darlina kepadanya untuk didukung.

“Darien tidur lagi ke?” soal Ammar.

“Darien tu memang kerjanya tidur. Nek Zue dia jaga.” Darlina diserahkan kepada Ammar.

“Naurah mana?” Ammar baru perasan anak gadisnya tiada di situ. Hanya ada Izz yang sedang ralit makan sate. Dicium pipi Darlina yang sedang menguap. Digomolnya pipi si kecil itu sehingga ketawa mengekek.

“Naurah dengan pak long dia kat luar. Tengah siram bunga,” jawab Kak Ita sambil memerhatikan adik iparnya. “Dah pandai gelaklah dia.”

Rasa bahagia hati Zara melihat Ammar dan Darlina. Bersyukur sangat kerana Ammar dapat menerima zuriatnya bersama Daniel seperti anak sendiri. Diharapkan semua ini akan kekal sampai bila-bila. Walaupun arwah Daniel dan Ammar sepupu, risau juga kalau penerimaan Ammar terhadap Darien dan Darlina hanya sementara.

Daddy, nak kiss jugak.” Izz selamba sahaja bangun dan berdiri di sebelah Ammar. Disuakan pipinya.

“Bau sate dah. Kenapa tak tunggu makan malam?” Pipi anak terunanya dicium. Izz memang kuat makan. Terlupa hari ini ada pasar malam.

“Sate tu sedap sangat. Macam dia panggil-panggil Izz suruh makan.”

Meletus ketawa mereka yang berada di situ. Izz sudah kembali ke tempatnya untuk sambung makan.

“Memang kesukaan dia. Meh Darlina tu. Sayang nak mandikan.” Sudah pukul 6 petang. Masa untuk si kembar mandi.

“Abang tolong sayang.” Ammar tawarkan diri.

Takpe. Abang tolong tengokkan Izz mandi. Pastikan dia mandi betul-betul. Jangan main-main.”

Izz menyengih dengan sate penuh di dalam mulut.

No comments:

Post a Comment