DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 8

SELEPAS tamat peperiksaan SPM 2 minggu yang lepas, kelibat Naim masih tidak muncul lagi di rumah. Keluhan kecil terlepas daripada bibirnya. Dia mungkin bodoh kerana masih mengharapkan perhatian daripada lelaki itu.

Mahu saja dia mencari pekerjaan untuk mengisi masa lapang. Bosan juga duduk di rumah. Papa menentang keras sebaik saja dia bercadang mencari kerja separuh masa. Teringatkan tentang mama, Adiba sudah jarang berbual dengan wanita itu. Sejak dia tahu wanita itu menjaganya hanya disebabkan amanah, jujur dia sukar berhadapan dengan Puan Shira. Seolah-olah dirinya adalah beban dalam hidup wanita itu.

Hadiah yang diberikan oleh Naim masih tersimpan di dalam almari. Untuk apa dia memakai hadiah itu, sudah jelas hadiah itu bukan untuk dirinya. Mahu saja dia membuang selendang itu ke dalam tong sampah.

“Diba.”

Tersentak Adiba. Laju dia berpaling ke arah suara itu.

“Buat apa duduk dekat sini? Panas ni.” Puan Shira duduk di sebelah Adiba.

“Saja ambil angin. Mama dari mana?” Melihat pakaian Puan Shira, jelas menunjukkan wanita itu baru saja pulang ke rumah.

“Mama jumpa kawan mama. Ada hal penting sikit. Hujung minggu ni, mama dengan papa nak balik kampung. Kita balik ke sana ya.”

Terdiam Adiba. Bukan dia tidak mahu ke sana, tetapi pasti hatinya akan terluka mendengar kata-kata pedas ibu saudara Naim.

“Lama ke?”

“Dalam dua tiga hari juga. Opah dan Im nak pergi umrah. Opah nak buat kenduri doa selamat sebelum mereka bertolak ke sana.

Terus berubah wajah Adiba. Tidak sangka lelaki itu akan menjejakkan kaki ke tanah suci. Sungguh dia cemburu.

“Abang Im tinggal di rumah opah ke sekarang?”

Ermmm... lepas habis exam, dia tinggal kat sana. Mama pun tak nak halang. Mungkin Im lebih selesa kat sana.”

Jatuh kedua-dua bahu Adiba. Rupa-rupanya Naim sudah berpindah ke kampung. Patutlah barang-barang di bilik lelaki itu sudah banyak yang kurang.

“Kenapa Abang Im tak nak tinggal dengan kita?”

Terdiam Puan Shira. Nafas dihela dengan agak berat.

“Diba tahu kan, Im tu cuma abang tiri Diba. Mama pun tak setuju kalau Im terus tinggal di sini. Tak manis untuk Im dan Diba.”

“Mama akan tinggalkan Diba juga ke?”

Tercengang Puan Shira. Dadanya berdegup laju. Tidak mungkin anak tirinya itu tahu tentang rancangannya dengan Naim.

Adiba segera mengalihkan anak matanya ke arah lain. Tidak sedar yang dia sudah terlepas cakap. Namun dia tidak mampu terus berlakon lagi.

“Diba tahu, mama hanya jaga Diba sebab amanah arwah ibu, kan?”

Kelu lidah Puan Shira. Dia kelihatan serba salah. Tidak ada gunanya dia menafikan kenyataan itu.

“Dari mana Diba tahu?”

Pucat wajah Adiba. Namun dia mendiamkan diri saja.

“Mama mengaku, memang mama jaga Diba demi amanah arwah ibu Diba. Tapi mama tak boleh ada di sisi Diba sampai bila-bila.” Biarlah dia berterus terang. Hubungannya dengan Naim tidak semesra dulu adalah berpunca daripada Adiba. Kali ini gilirannya membahagiakan Naim pula. Tipulah dia tidak bersedih dengan keputusan itu. Lebih 12 tahun dia menjaga Adiba, perasaan sayang itu tetap ada.

“Diba tak nak berpisah dengan mama dan papa.” Serak suara Adiba. Hampir saja dia menangis di hadapan wanita itu.

“Diba dah besar. Mampu berdikari. Dah tiba masanya Diba belajar hidup tanpa mama dengan papa.”

Adiba tunduk menekur tanah. Dia masih berharap Puan Shira tidak akan pergi meninggalkannya.

“Mama nak masuk ke dalam. Nak kemas pakaian. Kalau Diba tak nak ikut mama balik kampung, Diba tinggal kat sini aje.”

“Diba nak ikut,” jawab Adiba laju. Hanya dengan cara ini dia dapat berjumpa dengan Naim. Sungguh dia rindukan lelaki itu.

“Baguslah. Opah memang nak jumpa dengan Diba. Kemas baju untuk beberapa hari. Ooo ya, jangan lupa pakai selendang.”

“Hah?” Adiba mendongak sedikit.

“Tutup aurat. Diba dah besar. Barulah Im selesa nak berjumpa dengan Diba.” Pipi Adiba dicubit geram.

Kelu lidah Adiba seketika. Pesanan itu benar-benar membuatkan dia terkesan.

 

SUASANA DI rumah opah riuh-rendah dengan suara orang yang sedang membantu menyediakan keperluan untuk kenduri esok. Adiba yang tidak biasa bergaul dengan mereka hanya duduk di tangga dapur. Sesekali dia menghadiahkan senyuman kepada tetamu yang datang.

Sejak dia sampai, kelibat Naim masih tidak kelihatan. Susah betul dia hendak berjumpa dengan Naim. Gaya dah mengalahkan perdana menteri! Nak bertanya kepada opah, dia segan. Terpaksalah Adiba duduk bertenggek di sini.

“Yang Kak Ira bawa anak si perampas tu datang sini buat apa?”

“Nisha!” Keras nada suara opah.

Adiba berpura-pura tidak dengar. Dia kenal sangat dengan perangai mak su Naim. Pantang nampak muka dia, ada saja yang tidak kena pada mata wanita itu.

“Dia bukan orang lain, anak Kak Ira juga.”

“Anak tiri aje pun. Itu pun sebab arwah ibu dia...”

“Nisha! Mak kata diam. Nampak tak lesung ni? Ada juga mak sumbat dalam mulut kamu!”

Hampir hendak tergelak Adiba. Dengan opah, jangan buat hal. Walaupun dia bukan cucu kandung opah, kasih sayang opah tetap sama.

Adiba sudah terbiasa mendengar sindiran mak su. Sejak kecil, dia sudah disajikan dengan tuduhan bahawa arwah ibunya seorang perampas. Setiap kali dia bertanya kepada mama dengan papa, mereka menidakkan perkara itu dengan keras. Lama-kelamaan Adiba mula rasa curiga. Tidak mustahil kisah itu benar.

“Mak ni menangkan sangat orang luar tu. Jangan buat baik sangat. Tak mustahil perangai dia sebiji macam arwah kawan baik Kak Ira tu,” bisik mak su di telinga Puan Shira.

Terus berubah wajah Puan Shira. Dia berpaling ke arah Adiba. Gadis itu masih duduk termenung di tangga. Keluhan terlepas daripada bibirnya. Dia tidak pernah membenci Adiba, cuma apa yang pernah berlaku dalam hidupnya dulu membuatkan dia lebih berhati-hati. Setiap kali dia memandang wajah itu, pasti mengingatkan dia tentang seseorang.

“Diba, tolong opah ambil bekas makanan dalam stor. Ambil yang besar sikit,” arah opah tiba-tiba.

Tersentak Adiba. Dianggukkan kepalanya perlahan sambil tersenyum. Segera dia bangun dan keluar melalui pintu dapur ke stor yang terletak di belakang dapur. Keadaan di situ agak gelap. Kecut perut juga dia berjalan di kawasan yang gelap itu.

Adiba menekan lampu di luar stor. Perasaan gugup tadi hilang sebaik saja ruangan di situ menjadi terang. Bergegas dia masuk ke dalam stor itu. Dia mencari bekas makanan yang diminta oleh opah. Adiba menarik nafas lega saat ternampak bekas yang dicarinya.

Terkial-kial dia cuba mengambil bekas makanan itu. Bekas makanan itu terletak di rak yang paling tinggi. Semasa dia menarik bekas itu, Adiba tidak sedar ada tong besar yang bertindih di atas bekas makanan itu.

Bulat mata Adiba melihat tong besar itu hampir terjatuh ke wajahnya. Matanya terus tertutup rapat. Dalam sekelip mata, dia dapat merasakan tubuhnya ditarik oleh seseorang dan terasa wajahnya tersembam pada sesuatu yang lembut dan tegap.

Dada semakin berdegup kencang. Dia kenal dengan bau wangian itu. Adiba mendongak ke atas. Tergamam dia melihat wajah Naim sangat hampir dengan wajahnya. Menggigil tubuh Adiba melihat ada lelehan darah mengalir di kepala lelaki itu.

“A... abang... Im... tu...” Jari halusnya menyentuh dahi Naim. Darah yang masih pekat itu direnung lama.

Hampir luruh jantung Naim sebentar tadi. Nasib baiklah dia tergerak hati untuk mengikut Adiba dari belakang. Semasa dia melihat tong besar itu hampir menghempap tubuh Adiba, spontan dia berlari ke arah gadis itu. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Wajah Adiba yang pucat itu semakin mencemaskan Naim.

“Da... rah...” Menggigil tubuh Adiba.

Naim memandang jari halus itu. Baru dia perasan ada cecair merah mengalir keluar di dahinya. Kuat juga bekas itu terjatuh di atas kepalanya tadi.

“Sikit aje. Tak teruk... eh...” Tidak sempat Naim menghabiskan ayatnya, tubuh Adiba sudah terkulai lemah.

Bulat mata Naim. Segera dia merangkul pinggang gadis itu.

“Diba! Diba!” Serba salah pula dia mahu menyentuh pipi mulus itu. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Allah... macam manalah aku boleh terlupa dia ni tak boleh tengok darah!”

Dalam keadaan darurat, terpaksalah Naim mencempung tubuh Adiba keluar dari stor itu. Janganlah Puan Shira memikirkan hal yang bukan-bukan nanti.

No comments:

Post a Comment