PERUT yang semakin membesar diusap lembut. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Pintu bilik Naim diketuk perlahan. Dia tahu lelaki itu hanya berkurung di bilik kerja sejak pulang daripada bekerja.
Sayup-sayup dia mendengar suara Naim menyuruhnya masuk. Pintu dibuka perlahan. Wajah keruh Naim dipandang dengan perasaan risau. Kakinya melangkah mendekati lelaki itu.
“Kenapa?” Dingin nada suara itu.
Adiba mengemam bibirnya. Takut-takut dia ingin menyoal. Sejak dia bersetuju dengan rancangan Puan Shira, layanan Naim semakin dingin. Tipulah kalau dia tidak bersedih. Isteri mana yang sanggup membenarkan suami sendiri berkahwin lain.
“Abang masih marahkan Diba?”
Naim tidak menjawab. Dia masih ralit menyiapkan kerjanya. Soalan Adiba dibiarkan sepi saja, seolah-olah isterinya tidak wujud di situ.
“Abang...”
“Kalau tak ada perkara penting, keluar. Abang sibuk.”
“Dah beberapa hari abang tak bercakap dengan Diba. Abang langsung tak nak tanya pasal anak kita. Penting sangat ke kerja abang tu sampai abang abaikan Diba? Abang memang sengaja nak buat masalah kita ni semakin rumit.”
Bengang juga Adiba. Dia juga ada hati yang perlu dijaga. Dalam keadaan berbadan dua, dia semakin tertekan. Sungguh dia rindukan Naim yang dulu; suami yang sentiasa menunjukkan sikap prihatin terhadapnya.
Naim mengeluh kasar. Wajah isterinya dipandang dengan renungan tajam. Dia penat menghadap masalah yang tidak pernah selesai. Balik ke rumah, dia terpaksa mendengar permintaan Adiba yang tidak masuk akal itu.
“Apa lagi yang Diba nak abang buat untuk puaskan hati Diba? Diba nak abang keluar dari rumah ni ke baru Diba senang hati?” soal Naim sinis.
Naim terus berdiri dan berpaling menghadap tingkap. Bukan dia sengaja membiarkan isterinya terabai. Tapi dia tidak mahu menyakitkan hati isterinya jika terlepas kata.
“Abang...”
“Dahlah. Abang penat nak hadap semua ni. Jangan fikir perasaan Diba aje yang sakit. Hati abang ni pun sakit. Semua orang gunakan abang untuk kepuasan hati masing-masing. Habis tu, abang? Tak layak untuk buat keputusan sendiri???” Bergema suara Naim di bilik itu.
Terhinggut bahu Adiba. Kali ini suaminya betul-betul mengamuk. Bukan niatnya untuk menyakitkan hati Naim. Tapi dia sudah tiada pilihan. Hanya dengan cara ini dirinya dapat diterima oleh mama. Paling penting, dia tidak mahu Naim kehilangan doa seorang ibu.
“Diba tak nak dibenci mama.”
“Dengan cara korbankan abang?” balas Naim laju. Tubuhnya menghadap si isteri.
Adiba menggeleng laju. Air matanya mengalir deras di pipi. Dia memberanikan diri merangkul tubuh Naim. Tangisan dihamburkan ke dada suaminya. Walaupun Naim tidak membalas pelukan itu, dia tahu Naim turut merindui sentuhannya.
“Diba minta maaf. Diba tahu, permintaan Diba terlalu kejam. Bukan abang aje yang terluka. Percayalah, Diba pun tak sanggup buat keputusan ni.”
Terpejam mata Naim. Luluh rasa hatinya mendengar suara tangisan isterinya. Sudah hampir seminggu dia tidur di bilik kerja. Sengaja dia mengelak daripada berhadapan dengan Adiba. Takut jika mereka akan bertengkar tentang perkara yang sama.
“Sekali lagi abang tanya, untuk kali terakhir...”
Berdebar-debar dada Adiba. Dia masih tidak melepaskan tubuh suaminya.
“Diba masih berkeras nak abang ikut permintaan mama?”
Bergegar tubuh Adiba menahan esakan. Makin kemas dia merangkul suaminya. Pilihan apa lagi yang dia ada. Jika dia menolak, Naim turut menderita kehilangan kasih sayang seorang ibu.
“Diba terlalu sayangkan abang...”
Naim masih memasang telinga. Dia sangat berharap Adiba mengubah keputusannya.
“Diba tahu abang pun tersepit di antara Diba dengan mama. Tak lama lagi, Diba bakal bergelar seorang ibu. Diba dapat rasa perasaan mama yang kecewa dengan perbuatan kita. Diba tak nak anak kita hidup dibenci oleh wanita yang paling abang sayang. Mama syurga abang.” Adiba mendongak memandang wajah Naim.
Mata berkaca milik suaminya dipandang dengan penuh kasih. Menggeletar tangannya cuba menyentuh pipi itu. Saat jari halusnya menyentuh wajah Naim, air mata lelaki itu mengalir di pipi.
“Abang tunaikanlah permintaan mama. Diba reda. Anggap saja Diba buat semua ni untuk tebus kesalahan arwah ibu Diba.”
“Sayang...”
Naim terus merangkul tubuh isterinya. Sakit hatinya mendengar setiap luahan si isteri. Rupa-rupanya Adiba masih memendam perasaan tentang sejarah hidup keluarga mereka.
Nafas dihela agak berat. Benar kata Adiba, dia juga tersepit. Antara isteri dengan mama, kedua-duanya sangat penting. Jika dengan cara ini dapat menjernihkan keadaan, terpaksalah dia mengalah.
“Baiklah... abang setuju.”
No comments:
Post a Comment