ADIBA merengus kasar. Daripada berbaring, dia terus bangun dan bersandar di kepala katil. Jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul 2 pagi. Tapi dia masih gagal melelapkan mata.
Rambutnya yang panjang diikat tinggi. Kaki diturunkan ke lantai. Terasa kering tekaknya setelah lama termenung di dalam bilik. Lebih baik dia membasahkan tekaknya terlebih dahulu.
Turun saja ke tingkat bawah, langkahnya terhenti. Dari tangga, dia nampak kelibat Naim sedang berdiri di hadapan meja hiasan. Pelik pula dia melihat cara lelaki itu merenung gambar mereka sekeluarga.
Adiba memberanikan diri mendekati Naim. Belum sempat dia menegur, lelaki itu yang terlebih dahulu berpaling ke belakang.
Terperanjat Naim dibuatnya. Hampir saja dia terkejut gara-gara Adiba yang muncul secara tiba-tiba.
“Maaf, Diba buat abang terkejut.”
Naim menjeling tajam. Dadanya diurut perlahan.
“Abang Im buat apa dalam gelap ni? Bukalah lampu.” Adiba bergerak ke arah suis lampu.
Tidak sempat Naim menegah, keadaan yang suram tadi bertukar terang. Terpaku dia. Halkumnya turun naik menahan debar. Melihat pakaian pada tubuh Adiba saja sudah menyesakkan dadanya.
“Abang Im nak minum air? Diba buatkan.”
“Tak perlu.” Lebih baik dia masuk ke dalam biliknya cepat-cepat. Tidak sanggup dia melihat keadaan Adiba sekarang.
“Alaa... temankanlah Diba minum. Diba tak boleh tidur.”
“Saya dah mengantuk. Awak dah cukup besar. Tak perlu nak berteman.”
Panjang muncung Adiba. Tidak peduli dengan jawapan Naim, selamba saja dia mengheret lengan Naim ke dapur. Terpinga-pinga Naim dibuatnya. Sedar-sedar saja mereka berdua sudah berada di dapur.
“Abang Im duduk. Diba buatkan coklat panas kesukaan Abang Im.”
Naim menghembus nafasnya sedikit kasar. Bengang kerana Adiba masih mahu mendesaknya. Adiba yang sedang berdiri membelakangi dirinya dipandang sekilas. Tertelan air liur Naim melihat betis yang putih melepak itu.
Laju digelengkan kepalanya. Naim segera bangun, ingin beredar dari situ. Tapi langkahnya terhenti sebaik saja melihat Adiba kelihatan bersusah payah mencapai balang serbuk coklat di kabinet dapur sebelah atas.
“Isy... kenapa tinggi sangat ni!” bebel Adiba. Dia cuba mencapai balang itu. Jarinya hampir saja menyentuh permukaan balang kaca. Tiba-tiba terasa ada sesuatu yang hangat di belakangnya.
Kaku tubuh Adiba melihat ada tangan lain yang mencapai balang itu. Dipalingkan sedikit tubuhnya ke belakang. Kepala didongakkan ke atas. Anak mata mereka bertemu. Sepi seketika saat dua pasang mata saling merenung.
“Err... terima kasih.”
Naim yang baru tersedar segera berundur. Hampir saja dia tergoda melihat wajah manis itu. Tidak! Dia sama seperti perempuan itu. Perempuan yang memusnahkan kehidupan mamanya. Laju kaki Naim berpaling meninggalkan Adiba.
Terpinga-pinga Adiba. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Pelik. Tadi elok saja lelaki itu membantunya.
“Sombong!” rungut Adiba.
Di dalam bilik, Naim duduk di tepi katil. Turun naik nafasnya menahan rasa marah. Marah kepada diri sendiri yang hampir berlembut dengan gadis itu. Wajahnya diraup kasar.
Bertahun-tahun peristiwa itu telah berlalu. Malah dia masih ingat setiap perkara yang berlaku dalam rumah tangga mama dengan papanya. Kehadiran arwah ibu Adiba dalam keluarga mereka sudah cukup mengubah kebahagiaan mereka. Cukuplah hanya papa yang melukakan hati mama.
Sudah acap kali dia melihat mama menangis. Dia tidak suka sikap mama yang berpura-pura bahagia. Papa juga kelihatan selalu berhati-hati terhadap mama. Jelas papa hanya cuba membetulkan kesilapan lama. Perasaan benci itu bertambah apabila papa lebih mengambil berat gadis itu berbanding dia. Disebabkan itu, Naim benci tinggal di sini.
Bunyi ketukan di pintu mengejutkan Naim. Berkerut dahinya. Siapa pula yang datang ke biliknya pada waktu begini? Langkah diatur menuju ke pintu. Sebaik saja pintu dibuka, wajah Adiba muncul di hadapannya.
“Coklat panas ni untuk Abang Im.” Tersengih-sengih Adiba sambil menghulurkan mug kepada lelaki itu.
“Saya tak nak.”
“Minum ajelah. Diba tahu Abang Im tak boleh tidur.”
Terpaksalah Naim mengambil juga minuman itu. Dia segera ingin menutup pintu bilik, tetapi tangan gadis itu cepat saja menghalang.
“Nak apa lagi?”
“Boleh tak esok Diba nak belajar dengan Abang Im? Diba lemah dalam Matematik. Abang Im kan pandai.”
“Saya tak suka belajar dengan orang lain.”
“Diba bukan orang lain, Diba ni dah macam adik...”
“Awak bukan adik saya!” Tegas nada suara Naim. Sabarnya sudah hilang dengan sikap mendesak gadis itu. Masih tidak faham-faham lagi ke yang dia tidak suka diganggu?
Jatuh kedua-dua bahu Adiba. Dia cuba berbaik-baik dengan Naim tetapi lelaki itu masih tidak mahu bergaul baik dengannya.
“Kenapa Abang Im benci Diba?”
Naim sekadar membisu. Lidahnya tiba-tiba kelu untuk bersuara.
“Diba tak tahu apa salah Diba dengan Abang Im. Kalau Diba ada buat salah, Diba minta maaf. Diba sanggup buat apa saja asalkan hubungan kita baik.”
Naim tergelak sinis.
“Kembalikan kehidupan keluarga saya yang asal.”
“Hah?” Tercengang Adiba.
“Awak takkan mampu kembalikan kebahagiaan keluarga kami. Saya rasa awak dah cukup besar untuk tahu apa yang pernah berlaku dulu dalam rumah tangga papa dengan mama saya.”
Terus berubah wajah Adiba. Dia tahu tentang hal itu. Ramai yang menuduh ibunya seorang perampas. Tapi menurut papa dan mama, mereka menerima kehadiran ibunya dengan baik.
“Satu lagi saya nak ingatkan awak, kita ni bukan mahram. Antara kita perlu ada batas. Pakaian awak tu langsung tak sesuai dipakai di hadapan saya termasuklah rambut awak tu. Lebih baik awak ubah cara pemakaian awak lepas ni. Mata saya pun tak sakit.”
Berbahang wajah Adiba. Bukan kali pertama dia ditegur oleh Naim kerana tidak berpakaian sopan. Tetapi malam ini dia betul-betul tidak sengaja.
Terhinggut kedua-dua bahu Adiba sebaik saja pintu ditutup kasar. Keluhan terlepas daripada bibirnya. Dahinya melekap pada pintu bilik itu dan perlahan-lahan tapak tangannya menekap di situ.
“Diba rindu Abang Im. Rindu sangat-sangat. Walaupun ingatan Diba samar-samar, tapi Diba masih ingat Abang Im pernah layan Diba dengan baik. Susah sangat ke Abang Im nak layan Diba dengan baik?” Bergenang tubir mata Adiba.
Dari dalam bilik, tubuh Naim kaku. Dia dapat dengar luahan Adiba dengan jelas. Kepalanya didongakkan ke atas. Bukan mudah untuk dia melupakan kesakitan itu. Malah, dia yakin Adiba pasti akan membenci mama jika tahu punca arwah ibunya meninggal.
MAKIN LEBAR senyuman Adiba saat terpandang kelibat Naim. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Melihat tiada sesiapa di ruang tamu itu, laju kaki Adiba melangkah ke arah Naim.
“Abang Im.”
Naim memanggung kepalanya sedikit. Hanya jelingan dan rengusan kasar saja diberikan.
“Abang Im nak kek? Diba ada buat pagi tadi. Mama yang ajar.” Terkelip-kelip mata Adiba.
“Tak nak.”
“Abang cubalah rasa air tangan Diba. Sedap tau. Rasa dia sama macam mama yang buat. Diba pergi ambil kejap.”
Belum sempat Adiba berlalu, tangannya yang berlapik itu ditarik kuat. Tubuhnya terduduk di sebelah Naim. Tergamam Adiba. Anak matanya melihat cengkaman tangan Naim di lengannya. Berdebar-debar dada Adiba.
“Saya-tak-nak!” Satu per satu perkataan itu disebut oleh Naim. Tangan Adiba dilepaskan kasar. Naim menyambung kembali mengulang kaji pelajarannya.
Nampak sangat Naim tidak sudi menjamah kek itu. Hati yang berbunga tadi terus layu. Adiba tersenyum tawar. Walaupun sudah seminggu lelaki itu pulang dari asrama, Naim masih bersikap dingin. Raut wajah yang kacak itu ditatap lama.
“Pergi dari sini. Saya nak belajar pun tak selesa.”
“Diba nak belajar dengan Abang Im, boleh?”
Kali ini Adiba beralih tempat duduk. Dia duduk di hadapan Naim. Kedua-dua tangannya ditongkat ke bawah dagu.
Naim hanya berdiam diri saja. Malas dia melayan kerenah Adiba.
“Abang Im, pandanglah Diba.” Kali ini selamba saja tangan Naim yang sedang rancak menulis itu disentuh.
Tajam anak mata Naim merenung Adiba. Pantang baginya jika gadis itu berkelakuan bebas. Sesuka hati saja menyentuh tubuhnya tanpa rasa malu.
“Lepas.”
Mencebik bibir Adiba. Apabila disentuh, baru hendak pandang. Memang sengaja dia menyentuh tangan lelaki itu. Hanya dengan cara begitu, baru Naim akan bercakap dengannya.
“Diba tanya tadi, boleh tak Abang Im ajar Diba? Diba nak belajar dengan Abang Im.”
“Tak guna papa keluarkan duit yang banyak untuk hantar awak ke tuisyen, tapi hasilnya masih tak pandai juga,” sindir Naim. Dia kembali menyelesaikan soalan matematik di buku latihannya.
Adiba tidak perlu dilayan sangat. Sejak kecil lagi kemunculan gadis itu dalam hidupnya dianggap seperti lalat. Walaupun puas dihalau, tetapi tetap muncul dengan muka temboknya. Pelik kenapa mama dengan papanya terlalu memanjakan gadis itu walaupun umur sudah 17 tahun.
“Abang Im ni kedekutlah. Sesekali balik sini, apalah salahnya ajar Diba.”
Naim tayang wajah selamba. Kata-kata Adiba itu dianggap seperti angin lalu saja.
Makin bengang Adiba. Wajah kacak itu ditatap sekali lagi. Senyuman manis terukir di bibirnya. Mungkin lebih baik dia berterus terang saja.
“Diba suka Abang Im.”
Kaku tubuh Naim. Perlahan-lahan anak matanya menjamah wajah itu.
“Suka yang betul-betul. Bukan cinta monyet tau!” tekan Adiba.
Terpejam mata Naim. Wajahnya diraup perlahan. Terasa menyesal pula pulang ke sini pada cuti sekolah kali ini. Dugaan apakah pula yang perlu dia hadap kali ini?
“Abang Im nak kahwin dengan Diba?”
Terbeliak biji mata Naim. Tubuhnya terus tegak.
“Kita bukan adik-beradik. Tak salah kalau kita berkahwin, kan?”
“Tak nak. Saya tak nak kahwin dengan awak.”
“Tapi Diba nak kahwin dengan Abang Im.” Sengaja Adiba mendekatkan wajahnya ke arah lelaki itu.
Terkejut Naim. Laju tubuhnya berundur ke belakang. Rengusan dilepaskan perlahan. Makin menjadi-jadi kerenah Adiba hari ini.
“Jangan nak mengarut!” Keras nada suara Naim. Segera dia mengemas buku-buku yang berada di atas meja. Gara-gara kemunculan Adiba, terbantut niatnya untuk membuat ulang kaji di ruang tamu. Lebih baik dia berkurung saja di dalam bilik. Mungkin juga dia perlu keluar dari rumah ini.
“Abang Im...”
Naim masih tidak menghiraukan panggilan itu. Langkahnya semakin laju menuju ke tangga. Makin lama menghadap wajah Adiba, boleh jadi gila dia nanti.
Bengang Adiba. Terasa tebal kulit wajahnya. Bukan mudah untuk dia berterus terang tentang perasaannya kepada Naim. Tergamak lelaki itu menolak luahannya mentah-mentah.
“Hey, my future husband!”
Mati langkah Naim. Bibirnya diketap menahan marah. Laju dia berpaling ke belakang dengan wajah yang tegang. Tidak suka perkataan yang muncul daripada mulut Adiba itu.
“Suatu hari nanti Abang Im akan jadi husband Diba juga.”
Naim tayang senyuman mengejek.
“In your dreams.”
Ternganga Adiba mendengar jawapan Naim. Melihat belakang tubuh itu yang berlalu pergi begitu saja, hatinya semakin sakit. Kakinya dihentak dengan kuat. Geram menghadap sikap sombong Naim.
“Tunggulah. Suatu hari nanti, dia tetap akan jadi suami aku.” Punggung dihempas kasar di atas kerusi. Anak matanya beralih ke arah meja. Tegak terus tubuh Adiba. Laju tangannya mencapai barang kesukaan Naim itu. Senyuman lebar terukir di bibirnya.
“Tak dapat orangnya, yang ni pun bolehlah. Biar aku simpan barang ni dulu.” Pen kesayangan Naim dicium lama. Gembira kerana barang itu ada di tangannya sekarang.
No comments:
Post a Comment