DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 27 May 2021

Cinta Zara : This I Promise You - Bab 3

 

 

“WAH, cantiknya!” Begitu teruja Zara melihat pemandangan di Lavender Garden.

“Kat sini saja kita mampu berbulan madu. Itu pun cuma 2 hari 1 malam.” Ammar berdiri di sisi Zara. Telefon diangkat tinggi untuk merakam gambar mereka berdua. Selesai check-in hotel, mereka keluar untuk berjalan-jalan.

“Ini pun dah cukup, abang. Tunggu anak-anak besar, kita bawak diaorang bercuti. Sempat lagi kita kumpul duit. Kita bercuti kat luar negara,” cadang Zara. Walaupun sangat teruja melihat pemandangan, hatinya masih memikirkan keadaan Darlina dan juga Darien. Izz dan Naurah sudah besar. Sudah biasa ditinggalkan.

“Okey. Kita plan kemudian, sayang.” Ammar perasan Zara seperti melamun. “Sayang.” Pipi Zara dicubit.

“Maaf, abang.”

“Nak telefon Kak Zue ke?” Ammar menghulurkan telefon bimbitnya kepada Zara.

Zara sekadar menggeleng. Baru 15 minit lepas dia menelefon Kak Zue. Sempat dia dimarahi oleh wanita itu kerana terlalu kerap menelefon. Dia disuruh menikmati puas-puas percutian singkat ini.

Zara memeluk lengan suaminya. “Jom, kita ambik gambar.”

“Nak makan aiskrim tak?”

Sekali lagi Zara geleng.

“Tempat sejuk makan aiskrim. Tambah sejuk.”

“Okey, jom.” Ammar memeluk pinggang Zara. Mereka berdua masuk dan menjelajah seluruh Lavender Garden. Sesekali mereka berhenti untuk merakamkan gambar.

Zara kelihatan begitu gembira dapat menghabiskan masa berdua dengan suaminya. Tidak terasa penat akibat perjalanan jauh kerana terlalu teruja melihat keindahan tempat itu.

“Lepas ni kita nak pergi mana pulak?” Zara menjadi semakin teruja. Rasanya kali terakhir bercuti adalah ketika berbulan madu bersama arwah Daniel. Mengingat akan arwah suaminya, tiba-tiba dia jadi sayu.

Ammar perasan roman muka isterinya berubah secara tiba-tiba.

“Sayang, kenapa? Ada yang tak kena ke?”

Zara geleng. Kalau dia beritahu hal sebenarnya pasti Ammar akan kecewa. Dia tidak mahu rosakkan mood bulan madu mereka. Sebolehnya dia tidak mahu membandingkan layanan arwah Daniel dan juga Ammar terhadapnya. Tapi dia tidak boleh halang dirinya daripada berbuat demikian.

“Sayang...” Sekali lagi Ammar perasan isterinya melamun.

“Ya, abang.” Zara tersedar daripada lamunan.

“Nak call Kak Zue lagi ke?”

Zara menarik nafas lega. Mujur Ammar tidak syak apa-apa. Dia berpura-pura ketawa.

“Nanti Kak Zue marah saya kalau asyik call dia. Jom, kita sambung berjalan.” Tangan Ammar ditarik.

Ammar memerhatikan Zara dari belakang. Dia yakin ada sesuatu yang mengganggu isterinya sebentar tadi. Tapi dia biarkan sahaja. Kalau Zara mahu berterus-terang, dia sudi mendengar. Sekiranya sang isteri mahu menyimpan rahsia, dia akan hormat.

Mereka sambung berjalan dan sesekali berhenti untuk mengambil gambar pemandangan.

“Kita pergi Rose Valley pulak.”

“Okey, jom.” Zara tunjuk muka teruja. Dibiarkan tangannya digenggam Ammar. Sambil itu langkahnya menyandingi sang suami. Perasaan tidak enak cuba dibuang jauh-jauh.

“Bila kita nak pergi ladang teh?” Zara cuba melindungi perasaannya.

“Besok. Dan besok abang ada surprise untuk sayang.”

Surprise? Apa tu?” Zara kembali teruja.

“Tak nama surprise kalau beritahu sekarang.”

Zara tersenyum pahit. Hilang sudah rasa terujanya. Dia begitu trauma dengan perkataan surprise. Arwah Daniel dulu mahu berikan kejutan. Tapi kejutan yang dia terima bukan membuatkan dia gembira, sebaliknya dia diberi ujian yang sangat besar.

Zara buat tidak tahu sahaja. Dia terus berjalan tanpa membuka mulut. Sesekali dia tersenyum apabila diminta oleh sang suami untuk mengambil gambar.

Perubahan mendadak mood Zara membuatkan Ammar bingung. Isterinya tidak sukakah kejutan yang bakal dibuatnya esok? Tak mungkinlah dia akan dedahkan sekarang kejutannya. Tak jadilah kejutan kalau dia beritahu sekarang.

“Abang, sayang penatlah.”

Ammar angguk. Dia ikutkan sahaja kehendak Zara walaupun tidak puas hati. Dia masih mahu berjalan sambil berpegangan tangan dengan sang isteri, menikmati keindahan alam. Mahu ditanya kenapa, namun dia tidak mahu mengganggu Zara.

 

 

“SAYANG.” AMMAR menegur Zara yang kelihatan sibuk dengan telefon. Nampaknya Zara benar-benar berjauh hati kerana dia tidak mahu beritahu tentang kejutan esok. Dia baru sahaja keluar dari bilik mandi.

“Abang dah ngantuk ke? Tidurlah dulu. Sayang tengah balas mesej Kak Ita.” Mereka baru sahaja balik dari makan malam. Dia belum mengantuk lagi. Suaminya mungkin sudah letih kerana memandu sendirian sepanjang perjalanan.

Ammar merebahkan punggung di sebelah Zara. Dia mengambil telefon dari tangan isterinya lalu diletakkan di atas meja sisi katil.

“Kita tengah bulan madu kan.”

Zara tidak membalas. Hanya tersenyum.

“Ada apa-apa yang sayang sembunyikan daripada abang ke?” Sempat Ammar menjeling telefon Zara tadi. Isterinya berbohong mengatakan sedang berbalas WhatsApp dengan kakak iparnya. Bukan aplikasi WhatsApp yang Zara buka. Sebaliknya aplikasi Google. Hatinya tertanya-tanya, kenapa Zara berbohong? Adakah berkaitan dengan kejutan yang diakatakan siang tadi?

“Tak ada apa-apa pun. Kata nak tidur. Jomlah kita tidur.” Zara buat selamba. Malah dia buka mulut lebar-lebar dan tutup seolah-olah menguap.

“Cerita dengan abang, kenapa ni? Apa yang tak kena? Zara yang kat depan abang ni bukan Zara yang keluar dari rumah pagi tadi.”

Zara tunduk. Memarahi diri sendiri kerana tidak mampu mengawal perasaannya. Tidak sepatutnya dia pentingkan diri sendiri dengan melayan perasaan. Penting juga untuk dia menjaga perasaan Ammar.

Ammar menyentuh dagu Zara dan memaksa isterinya mendongak perlahan.

“Cerita dekat abang apa yang tak kena? Sayang betul-betul nak tahu pasal kejutan tu ke? Sebab tu sayang buat perangai ya.”

Perlahan Zara menolak tangan Ammar. Pandangan dialihkan ke tempat lain. Tidak tahu bagaimana hendak diluahkan perasaannya sekarang. Dia sudah berjanji kepada Ammar yang dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Tapi apa yang berlaku saat ini, memaksa dia mengimbas kembali sesuatu yang mahu dia lupakan.

Ammar mengerti sesuatu. Tubuh isterinya dipeluk.

“Ada kaitan dengan arwah Daniel ke?”

Mendengar nama itu, terus Zara menangis  teresak-esak. Dia membalas kembali pelukan suaminya. Malah, lebih kuat.

“Kalau sayang tak cerita, abang tak akan tahu.”

“Masa kat Korea dulu, arwah kata nak bagi kejutan dekat sayang, tapi... tapi...” Zara menangis teresak-esak. Tidak sanggup meneruskan ayatnya.

Ammar mengusap belikat isterinya. Dia tahu apa yang terjadi di Korea. Tetapi dia tidak pernah tahu apa kejutan arwah sepupunya buat Zara.

“Daniel cakap ada kejutan untuk sayang... tapi... kejutan yang sayang dapat, dia pengsan kat bilik hotel tiba-tiba. Sayang tak suka kejutan. Takut...”

Akhirnya Ammar faham kenapa Zara ‘buat perangai’. Sungguh dia tidak tahu itu yang terjadi di Korea. Tentang kejutan itu mungkin arwah Daniel mahu tunjukkan rekaan Jubah Zara dan minta Zara sendiri memilih warna untuk jubah itu. Itu yang pernah diberitahu oleh arwah sepupunya. Namun akhirnya, bukan Zara yang memilih warna, sebaliknya dia yang membantu arwah Daniel.

“Maafkan abang, sayang. Abang tak tahu.”

“Bukan salah abang. Sayang yang terbawa-bawa emosi. Sayang dah janji dengan abang akan cuba lupakan kisah silam. Tapi sayang mungkir.” Zara melepaskan pelukannya. Sungguh dia rasa bersalah kepada Ammar kerana merosakkan suasana bulan madu mereka saat ini. Kenapa dia harus teringatkan arwah Daniel sedangkan dia bersama Ammar?

“Abang tak marah, kan?” soal Zara.

“Abang faham. Abang tak marah.” Jari mengesat air mata di pipi sang isteri. Sekuntum senyuman dihadiahkan buat Zara. “Macam mana abang nak marah kesayangan abang ni. Nanti kalau dia merajuk, abang jugak yang susah.”

Zara membalas senyuman suaminya.

“Okeylah. Sebab sayang tak suka kejutan... abang beritahulah apa kejutan tu.”

“Tak apa ke? Tak nama kejutan nanti.” Lagi tebal rasa bersalah Zara. Entah apa yang suaminya rancangkan untuk hari esok. Dia bakal merosakkan kejutan yang bakal dibuat oleh Ammar.

“Tak ada kejutan apa pun. Cuma besok abang dah upah jurugambar untuk ambik gambar kahwin kita kat Cameron Highlands ni. Abang nak ambik gambar kat kebun teh pakai baju pengantin.” Demi isteri tercinta, dia terpaksa mendedahkan kejutannya.

“Oh... menarik tu. Sayang suka. Tak sabar tunggu esok.” Zara ukirkan senyum sambil memeluk tubuh suaminya. Barulah hilang semua beban dalam kepalanya.

“Abang pun tak sabar. Abang nak ambik gambar banyak-banyak. Kahwin kali pertama dulu kita ada gambar nikah saja. Pakai baju nikah.”

“Kahwin paksa memanglah. Apa pun tak nak. Nak nikah saja.” Penolakan Ammar dahulu membuatkan dia terasa hati. Tapi dia sedar yang lelaki itu tidak sukakannya sejak di bangku sekolah lagi. Namun siapa sangka, sebenarnya mereka saling mencintai dalam diam.

“Kalau arwah papa sebut kahwin dengan Ara, kawan angah masa sekolah dulu, confirm Ammar melompat tinggi sampai ke langit. Tapi....”

“Kita dah janji kan tak nak ungkit masa lalu.” Bagi Zara kenangan pahit itu dia tidak mahu kenang kembali. Menyakitkan hati sahaja. Dia takut kalau hatinya kembali marah kepada Ammar. Saat ini dia hanya mahu mencintai sahaja.

“Okey. Jomlah kita tidur. Malam ni Zara Aulia abang punya seorang.” Ammar melabuhkan ciuman pada dahi isterinya. Tiada yang akan mengganggu mereka malam ini.  Tiada Darien atau Darlina yang bakal merengek.

“Abang...” Zara perasan tangan Ammar sudah merayap.

Syhhh...” Tangannya sudah pun menarik zip jubah yang Zara kenakan. Dari dahi ciuman itu singgah ke bibir sang isteri.

Dan Zara langsung tidak membantah.

 

No comments:

Post a Comment