DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 2

MAJLIS pengebumian Puan Farhana baru saja selesai. Puan Shira masih bersandar lemah di dinding rumah. Tidak sangka, dalam sekelip mata wanita itu telah pergi menghadap Ilahi. Hampir seminggu Puan Farhana menerima rawatan, tapi akhirnya wanita itu gagal diselamatkan.

Makin menggigil dia merenung tangannya sendiri. Kedua-dua tangan inilah yang menjadi punca wanita itu kehilangan nyawa. Lebih menyakitkan hati Puan Shira, dia mendapat tahu wanita itu hamil; anak daripada perkahwinan bersama suaminya. Tuhan saja yang tahu perasaannya sekarang. Hancur dilumat dan tidak mampu dipulihkan lagi.

Masih terngiang-ngiang lagi permintaan terakhir Puan Farhana. Mata dipejamkan rapat. Air matanya semakin deras mengalir.

“Aku... aku minta maaf.”

Puan Shira hanya membisu. Baru sebentar tadi doktor memaklumkan keadaan wanita itu semakin kritikal.

Wanita itu kehilangan banyak darah. Di sisi wanita itu, suaminya dan Adiba. Hanya Naim terpaksa ditinggalkan di rumah jirannya kerana tidak mahu anak mereka melihat keadaan di sini.

Setelah seminggu Puan Farhana tidak sedarkan diri, baru hari ini dia membuka mata. Namun keadaannya semakin tenat. Puan Farhana mahu bertemu dengan Puan Shira untuk kali terakhir.

“Aku... aku nak kau tolong... tolong jaga anak aku.”

“Aku tak boleh.”

“Shira...” Lemah nada suara Encik Naqib. Matanya merah menahan sebak. Mungkin permintaan isteri keduanya terlalu kejam. Tapi dia juga tidak sanggup membiarkan isteri keduanya pergi dalam keadaan tidak tenang.

Dengan bersusah payah, tangan Puan Shira diraih. Kemas Puan Farhana menggenggam tangan itu.

Tersentak Puan Shira. Mahu saja dia menepis tetapi hatinya melarang.

“Aku sayangkan kau. Aku... tahu perbuatan aku... kejam. Ini... balasan untuk aku.”

Puan Shira mengalihkan anak matanya ke arah lain. Tidak sanggup dia menatap wajah penuh berharap itu. Hatinya cukup rapuh melihat situasi yang dihadapi oleh mereka sekarang.

“Tolong jaga... Diba. Aku merayu...”

Puan Shira memandang wajah Adiba yang masih terlena di bahu suaminya. Bibirnya dikemam kuat. Memang dia sangat sayangkan budak kecil itu. Namun dia takut hatinya tidak mampu menjaga budak itu lagi setelah apa yang berlaku.

Tiba-tiba nafas Puan Farhana tercungap-cungap. Makin kemas dia memegang tangan Puan Shira. Encik Naqib segera mendapatkan bantuan.

“Hana...” Cemas Puan Shira seketika.

Puan Farhana semakin tenat. Perlahan-lahan Puan Shira mendekatkan bibirnya ke telinga wanita itu.

“Aku akan jaga Diba. Kau pergilah dengan hati yang tenang.”

Makin berderai air mata mereka berdua. Sempat Puan Shira mengajar wanita itu melafazkan dua kalimah syahadah.

“Mama...”

Tersentak Puan Shira. Lekas dia menyeka air matanya di pipi. Wajah Naim yang pucat itu dipandang dengan rasa bersalah. Sejak beberapa hari ini, dia sering mengabaikan Naim.

“Mari dekat mama, Im.”

Naim terus mendakap tubuh Puan Farhana. Wajahnya disembamkan ke dada wanita itu.

“Kenapa tak tidur lagi? Dah lewat ni.”

“Nak tidur dengan mama.”

Kepala Naim digosok perlahan. Dia mendukung tubuh anaknya dan dibawa ke bilik utama. Masuk sahaja ke dalam bilik, nafasnya dihela berat. Tidak suka dia melihat pemandangan di hadapan matanya sekarang.

“Diba tertidur tadi. Nanti abang alihkan ke bilik sebelah.” Serba salah Encik Naqib.

“Tak perlu. Biar Shira ke bilik sebelah.” Puan Shira terus ke bilik sebelah. Untuk sementara waktu, dia tidak mahu berjumpa dengan suaminya. Hatinya masih sakit.

Hampir setengah jam di bilik Naim, barulah anaknya terlena. Puan Shira keluar dari bilik itu menuju ke ruang tamu. Dia masih lagi gagal melelapkan mata. Terlalu banyak masalah yang berlaku sejak beberapa hari ini.

Mahu saja dia pergi dari rumah ini bersama Naim. Sungguh dia tidak mahu lagi meneruskan perkahwinan ini. Untuk memaafkan perbuatan suaminya, tidak begitu mudah.

“Sayang...”

Puan Shira tidak menghiraukan panggilan itu. Jika dulu, pasti dialah wanita paling bahagia mendengar panggilan itu. Namun bukan lagi sekarang.

Encik Naqib duduk melutut di hadapan isterinya. Perlahan-lahan dia memberanikan diri meraih tangan si isteri.

“Abang tahu hati Shira terluka disebabkan perbuatan abang. Abang tak mampu kawal perasaan abang.”

“Abang dengan dia... dah pernah terlanjur ke?”

“Tak, sayang. Kami tak pernah terlanjur. Anak yang Hana kandungkan tu, memang anak abang. Kami bersama selepas kami dah berkahwin.”

Walaupun jawapan suaminya sangat menyakitkan hati, sekurang-kurangnya dia dapat menarik nafas lega. Dia tidak mahu suaminya berzina di belakangnya.

“Apa kurangnya Shira? Sebab Shira tak mampu bagi zuriat lagi ke?”

“Tak! Jangan cakap macam tu. Sayang dah cukup sempurna untuk abang. Abang sendiri tak dapat bagi jawapan kenapa hati abang masih mahukan Hana. Mungkin abang terhutang budi dengan dia sampai hati abang jatuh sayang kepada dia.”

Berkerut dahi Puan Shira. Dadanya berdegup kencang.

“Apa maksud abang?”

“Perniagaan kita hampir musnah dulu. Abang hilang arah. Abang takut tak mampu nak jaga sayang dan Im. Masa tu, abang diperkenalkan kepada Hana untuk dapatkan bantuan daripada Hana. Syukur, Hana berminat dan nak bantu perniagaan abang. Kami berkawan dan berkongsi masalah. Sampailah...”

“Hati abang dah jatuh sayang terhadap dia?” celah Puan Shira.

Encik Naqib mengangguk perlahan.

“Dia dah banyak kali tolak abang. Alasannya... sebab abang suami orang. Tapi abang sendiri tak mampu nak pergi daripada hidup dia. Perasaan abang terhadap sayang dan Hana, sama. Sebab tu abang buat keputusan untuk berkahwin.”

Menggigil tubuh Puan Shira. Wajahnya terus ditekup dengan tapak tangan. Dia tidak sanggup mendengar pengakuan suaminya lagi. Terlalu sakit untuk ditelan.

“Abang berjanji, abang takkan ulang perkara yang sama lagi. Maafkan abang, sayang.” Tubuh isterinya didakap kemas. Takut membayangkan jika dia terpaksa berpisah dengan isterinya. Cukuplah dia kehilangan Puan Farhana. Kali ini dia akan cuba menebus kesalahannya walaupun mungkin sukar untuk dia menerima kemaafan daripada isterinya itu. 

 

PAKAIAN NAIM dimasukkan ke dalam almari. Masih ada banyak lagi barang yang perlu dikemas. Nafas ditarik dalam-dalam. Puan Shira terpaksa bersetuju tinggal di rumah mewah ini demi menunaikan amanah arwah.

Sejak mereka tiba di rumah ini, perasaan Puan Shira tidak selesa. Mahu saja dia tinggal di rumahnya kembali.

Namun mereka terpaksa tinggal di sini memandangkan dia sudah berjanji kepada arwah. Dia akan cuba bertahan sehingga Adiba mampu berdikari. Sampai masa nanti, dia akan pergi dari sini.

Tentang rancangannya itu, sudah diketahui oleh Encik Naqib. Ternyata lelaki itu sangat terkejut. Puan Shira tidak peduli dengan rayuan suaminya. Sudah cukup baik dia menerima keputusan suaminya untuk tinggal di sini sehingga Adiba berusia 18 tahun.

Tiba-tiba terdengar suara budak menangis. Laju kakinya melangkah keluar dari bilik itu. Suaminya tidak berada di rumah kerana punya urusan di pejabat.

“Im.”

Bergegas Puan Shira menarik tangan Naim. Makin kuat Adiba menangis sebaik saja rambutnya dilepaskan.

“Kenapa buat Diba?” Puan Shira cuba memujuk Adiba. Wajah yang sudah lencun itu diseka perlahan.

“Im benci dia!”

Tersentak Puan Shira. Sebelum ini, Naim dan Adiba berkawan baik. Tiba-tiba saja Naim bersikap dingin.

“Dia punca mama menangis. Im benci dia. Sebab dia mama dengan papa bergaduh.”

Mengucap panjang Puan Shira dalam hati. Tidak sangka perubahan dalam rumah tangganya dapat dikesan oleh Naim.

“Mama dengan papa baik-baik aje. Im dah salah faham ni.”

“Mama bohong! Im dengar mama nak tinggalkan papa sebab ibu dia jahat.”

“Naim Aswad!” Bergema suara Encik Naqib di ruang tamu itu.

Laju Puan Shira berpaling ke arah pintu. Tidak sedar suaminya sudah pulang.

“Papa tak ajar anak papa kurang ajar. Diba sekarang dah jadi adik Im. Suka atau tidak, Im kena terima.”

Merah mata Naim. Nafasnya turun naik menahan sebak. Puan Shira segera menyerahkan Adiba kepada suaminya. Dia perlu memujuk Naim.

“Mari ikut mama.”

Puan Shira membawa masuk anaknya ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat. Dia duduk melutut di hadapan anaknya.

“Dengar sini baik-baik. Mama sayangkan Im. Disebabkan mama terlalu sayangkan Im, mama nak kehidupan anak mama sempurna.”

“Tapi papa dah tak sayangkan kita. Dia sayangkan orang lain.”

Puan Shira menggeleng laju. Dalam keadaan sekarang, dia perlu membetulkan tanggapan Naim. Anaknya masih kecil. Pasti cetek fikirannya dalam membuat penilaian dan kesimpulan tentang sesuatu perkara.

“Papa sayangkan Naim. Mama pun sayangkan Naim.”

“Mama sayang papa?” soal Naim polos.

Terdiam Puan Shira. Masih adakah lagi perasaan sayang itu terhadap Encik Naqib? Separuh hatinya membenci, tetapi separuh lagi masih mencintai suaminya.

“Ya, mestilah mama sayangkan papa.” Tubuh Naim didakap erat. Saat anak matanya menghala ke arah pintu, wajah suaminya muncul di situ. Jelas wajah itu penuh rasa kesal.

Puan Shira semakin tertekan. Sampai bilakah dia perlu bertahan di sisi Encik Naqib demi amanah arwah?

No comments:

Post a Comment