ADIBA tersenyum lebar. Tidak sabar rasanya dia mahu tiba di rumah. Hari ini, lelaki kesayangannya akan pulang ke rumah. Sampai saja di hadapan rumah, dia terus keluar dari van sekolah; masuk ke dalam rumah, lalu meluru ke arah dapur.
“Mama!”
Terperanjat Puan Shira. Dadanya digosok perlahan.
“Hesy... budak ni. Dah berapa kali mama cakap, bagi salam. Masuk rumah macam pencuri aje,” bebel Puan Shira.
“Mama...” Tubuh Puan Shira didakap kemas. Pipi itu dicium bertalu-talu.
“Ini mesti nak apa-apa. Minta dengan papa. Bukan dengan mama.”
Tersengih-sengih Adiba. Melihat lauk yang baru dimasak oleh mama, hatinya berbunga kembali.
“Mama masak daging kicap, lauk kegemaran Abang Im.”
“Ermmm... kejap lagi baru kita makan. Tunggu papa balik dengan Abang Im.”
Api dapur dimatikan. Lauk yang sudah masak itu dimasukkan ke dalam bekas. Puan Shira kemudian mengeluarkan buah mangga dari peti sejuk. Naim suka sangat dengan buah mangga. Kalau dibuat jus, lagi berselera anak tunggalnya itu.
“Biar Diba buatkan jus mangga tu.”
“Tak payah. Pergi tukar baju tu dulu. Mandi, lepas tu solat.”
“Alaa... Diba nak buatkan jus mangga tu untuk Abang Im.”
Menggeleng Puan Shira. Makin dilarang, perkara itulah yang hendak dibuat oleh Adiba.
“Yalah. Mama letak buah ni dekat sini. Nanti Diba buat. Tapi jangan lupa letak susu lemak.”
“Baik, mama. Diba naik atas dulu.” Sekali lagi pipi Puan Shira dicium. Macam lipas kudung Adiba berlari masuk ke dalam biliknya.
Senyuman Puan Shira semakin kendur. Dia duduk di kerusi meja makan sambil mengeluh lemah. Tak sedar terlalu cepat masa berlalu. Sudah bertahun-tahun juga dia tinggal di sini. Walaupun hubungannya dengan Encik Naqib semakin pulih, masih ada lagi kesan luka dulu yang masih tertinggal.
Paling dia terkesan, perubahan sikap si anak. Naim sudah tahu perkara yang pernah berlaku dulu. Malah, anaknya itu tidak mahu tinggal di rumah ini. Kebencian Naim terhadap keluarga Adiba semakin dalam. Sanggup anaknya tinggal di asrama.
Di bilik, Adiba segera membersihkan diri dan bersolat. Selepas menunaikan kewajipannya kepada Yang Maha Esa, Adiba segera memilih pakaian. Hari ini dia mahu kelihatan cantik di hadapan Naim.
“Abang Im suka warna biru. Jadi hari ni aku nak pakai dress biru.”
Sepasang dress biru dikeluarkan dari almari. Dia terus mengenakan pakaian itu ke tubuhnya. Rambut panjang miliknya dibiarkan lepas. Bedak asas disapukan ke wajahnya.
Setelah siap menghias diri, Adiba berpusing di hadapan cermin. Puas hati dengan penampilannya sekarang. Namun senyuman Adiba semakin kendur. Hubungannya dengan Naim tidak pernah baik sejak kecil. Dia sendiri tidak faham punca lelaki itu membencinya. Pernah juga dia bertanyakan kepada papa. Menurut papa, Naim tidak suka dengan perkahwinan papa bersama arwah ibunya.
Nafas dihela panjang. Tak sepatutnya dia mempunyai perasaan terhadap Naim. Dia sendiri pun tidak sedar sejak bila hatinya mahu memiliki lelaki itu. Mungkin setelah dia tahu antara mereka tidak ada sebarang hubungan darah.
Bunyi deruman enjin kereta menyedarkan Adiba. Laju kakinya melangkah ke arah balkoni bilik. Berdebar-debar dadanya menunggu seseorang keluar dari kereta papa.
Saat pintu dibuka, Naim keluar sambil membawa beg galas. Rambutnya diraup perlahan. Terasa lenguh bahunya kerana tidur di dalam kereta. Sengaja dia tidur. Dia lebih rela tidur daripada berbual dengan papanya itu.
Naim mendongak memandang langit. Tanpa sedar, anak matanya terhala ke arah balkoni bilik. Angin petang membuatkan dress biru yang dipakai Adiba kelihatan beralun-alun. Penampilan gadis itu membuatkan dia terpaku seketika. Mereka saling berpandangan.
“Im... jom masuk. Panas ni.”
Naim berdeham perlahan. Lekas dia mengalihkan anak matanya ke arah lain. Belakang lehernya diusap perlahan. Bergegas dia masuk ke dalam rumah. Dadanya ditekup dengan tapak tangannya.
Tak! Dia tidak patut berperasaan begitu. Berkali-kali dia menyedarkan dirinya yang keluarga gadis itulah punca kebahagiaan mamanya musnah.
MAKAN TENGAH hari mereka sungguh meriah. Masing-masing berkongsi cerita tentang apa yang berlaku dalam aktiviti harian mereka. Hanya Naim yang lebih suka berdiam diri.
“Sedap tak lauk mama masak?” soal Puan Shira.
“Sedap,” Naim menjawab sambil tersenyum.
“Kalau sedap, makan lebih lagi. Mama masak banyak ni.”
Naim mengangguk sedikit. Dia kemudian meneguk jus mangga kegemarannya. Habis separuh air itu diminum. Senyuman Adiba semakin lebar. Tidak berkelip matanya melihat lelaki itu meneguk jus mangga hasil air tangannya.
“Sedap tak air tu, Abang Im?”
Naim tidak menjawab. Sebaliknya dia terus makan.
Puan Shira dan Encik Naqib saling berpandangan. Keluhan lemah terlepas daripada bibir Encik Naqib.
“Im... Diba tanya tu,” tegur Encik Naqib.
“Tak penting pun soalan dia.”
Masing-masing tergamam. Hanya Adiba saja masih beriak tenang. Tahu sangat sikap Naim yang tidak suka bercakap dengannya. Dia sudah lali dengan sikap lelaki itu.
“Jus mangga tu, Diba yang buat. Nanti Diba buat lagi ya kalau Abang Im suka.”
Tak jadi Naim menyuap makanan ke mulut. Wajah Adiba dipandang dengan renungan tajam.
Namun Adiba tayang senyuman manis. Sempat lagi dikenyitkan matanya kepada lelaki itu.
Tersedak Naim. Lekas dia berdeham menghilangkan rasa perit di tekak. Laju dia mencapai minumannya dan diteguk habis.
“Makan tu perlahan-lahan. Kan dah tersedak,” pesan Puan Shira. Dia kemudian menuang jus mangga ke dalam gelas Naim yang sudah kosong itu.
Baru Naim tersedar yang dia sudah menghabiskan minumannya tadi. Nafas dihembus sedikit kasar. Seleranya sudah mati.
“Im dah kenyang. Nak berehat.”
“Eh, sikitnya makan.” Berkerut dahi Puan Shira. Nasi di dalam pinggan Naim masih ada separuh lagi.
“Im dah kenyang.”
“Banyak lagi nasi tu. Tak baik membazir, Im...” Puan Shira cuba memujuk.
“Im minta maaf, Im betul-betul dah kenyang.’
“Tak apa, biar Diba yang habiskan nasi tu,” celah Adiba. Selamba saja dia mengambil pinggan nasi lelaki itu.
Adiba segera menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan itu. Tidak berkelip mata Naim melihat perbuatan Adiba. Tak sempat dia hendak menghalang, gadis itu sudah menjamah baki makanannya.
“Im naik dulu.” Tidak mahu terus berada di situ, Naim bergegas naik ke tingkat atas. Takut hatinya pula yang menderhaka.
Encik Naqib merenung lama belakang tubuh si anak. Sekali lagi dia mengeluh. Hubungannya dengan Naim semakin renggang. Sudah puas dia cuba mengambil hati anaknya itu. Tetapi ada saja salah faham berlaku.
“Burppp... Alhamdulillah.” Adiba tersandar sambil mengelus perut.
“Buruk anak dara sendawa macam tu,” tegur Encik Naqib.
Tersengih-sengih Adiba. Perutnya betul-betul kenyang. Gara-gara ingin mengambil hati Naim, sanggup dia menghabiskan makanan lelaki itu.
“Mama... Diba kenyang sangat ni. Diba nak rehat dulu. Nanti pinggan-pinggan ni, Diba cuci malam sikit, boleh?”
“Tak apa. Hari ni mama yang basuh. Pergi naik atas. Buat ulang kaji. SPM dah dekat.”
Selepas membasuh tangannya, Adiba segera mendekati wanita itu. Pipi Puan Shira dicium lama.
“Terima kasih, mama. Diba sayang mama.”
“Mama aje? Papa?”
“Papa super hero Diba.”
Ketawa mereka saling bergabung. Puan Shira menayang senyuman tawar. Hilang saja kelibat Adiba, Encik Naqib meraih tangan isterinya.
“Sayang risaukan Im ke?”
Puan Shira mengangguk perlahan. Bukan dia tidak sedar Naim tidak selesa bersama mereka. Sayu hatinya. Bukan ini yang diharapkan. Selama ini dia hanya mahu melihat Naim hidup dalam keluarga yang sempurna.
“Kita bagi masa Im sesuaikan diri. Mungkin sebab dah lama dia tak tinggal bersama dengan kita.”
“Shira tak salahkan Im. Dia memang patut rasa tak selesa. Lebih-lebih lagi di mata Im, Diba tu hanya orang luar.”
Terhenyak Encik Naqib. Air liur yang ditelan terasa payah. Naim dan Adiba sudah meningkat remaja. Antara mereka tiada pertalian darah. Jika perkara ini diketahui oleh orang luar, pasti tidak manis jika mereka tinggal bersama.
No comments:
Post a Comment