DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 7

NAIM bersandar lemah di kerusi. Puan Shira menjeling anaknya yang duduk di sebelah. Kini hanya mereka berdua saja berada di sini. Keluarga Marsya sudah lama pulang. Dia tahu Naim masih marah disebabkan permintaannya pagi tadi.

“Malam ni Im balik tak?”

“Esok baru Im balik.”

“Im bergaduh dengan papa lagi?”

Soalan mama dibiarkan sepi. Minumannya yang masih berbaki disedut perlahan. Dia yakin wanita itu tahu perkara yang berlaku antara dia dengan papanya.

“Mama minta maaf.”

Naim merengus kasar. Dia bosan mendengar mamanya mengucapkan perkataan itu. Bukan salah mama. Sudah terang semua ini berpunca daripada papa. Lelaki itu masih lagi ingin menyalahkan orang lain disebabkan khilaf sendiri.

“Mama tahu Im marahkan mama. Apa yang mama buat hari ni, semuanya untuk kebaikan Im.”

“Kebaikan? Yang Im nampak, mama sekarang sedang gunakan Im. Kenapa mama buat Im macam ni?”

“Im...”

“Pernah ke mama tanya pendapat Im?”

Terdiam Puan Shira. Mungkin dia dianggap terlalu kejam kerana mengatur kehidupan Naim. Cara ini saja yang dapat difikirkan olehnya. Lagipun dia memang berhajat melihat Naim dan Marsya bersama.

Bukan dia tidak tahu Naim pernah curi-curi melihat Adiba dari jauh. Sebelum anaknya tersasar jauh, lebih baik dia membuat rancangan rapi. Sungguh dia tidak sanggup melihat anaknya menaruh perasaan terhadap Adiba.

“Im tak suka ke dengan rancangan mama? Mama tengok, Marsya tu budak yang baik. Sesuai untuk Im.”

“Masih terlalu awal, mama. Kami masih muda.”

“Mama nak Im cuba dulu. Mama yakin, dia mampu...”

“Okey. Tak ada gunanya Im bantah. Im tetap kena ikut cakap mama juga, kan?” celah Naim tanpa sempat Puan Shira menghabiskan ayatnya.

Naim terus keluar dari restoran itu. Sakit hatinya dengan permainan Puan Shira. Patutlah mama memaksanya ke majlis hari jadi Marsya pagi tadi. Rupa-rupanya ada agenda yang dirancang di belakangnya.

“Im, tunggu!”

Naim berpaling ke belakang. Puan Shira berlari anak ke arahnya.

“Ini selendang siapa?”

Bulat mata Naim. Laju dia mengambil beg kertas itu. Terlupa pula beg itu ada bersamanya tadi.

“Kenapa tak bagi dekat Marsya?”

“Bukan untuk dia.”

“Hah?”

“Naim pergi dulu. Esok kita jumpa kat rumah.”

Terkebil-kebil mata Puan Shira. Belakang tubuh si anak dipandang lama. Kalau bukan untuk Marsya, untuk siapa?

Wajah Puan Shira terus berubah. Kali ini dia yakin andaiannya tidak salah.

 

PAKAIAN YANG sudah dilipat kemas dimasukkan ke dalam beg. Esok dia akan pulang ke asrama. Sengaja dia pulang lebih awal kerana tidak mahu tinggal di rumah ini lagi. Sebelum hatinya tersasar jauh, lebih baik dia menjauhkan diri daripada gadis itu.

Naim mengeluh. Mungkin dia terlalu kejam kerana menyalahkan Adiba. Setiap kali dia teringatkan kisah beberapa tahun yang lepas, dia berasa takut. Takut suatu hari nanti Adiba akan membenci mamanya. Malah, dia tahu dalam diam mama merancang membalas dendam dengan menggunakan dirinya untuk menyakitkan hati gadis itu.

Disebabkan itu juga, dia sangat marah. Dirinya umpama boneka. Dipergunakan untuk memuaskan hati orang lain. Sampai bila dia perlu mengikut telunjuk mereka?

Setelah siap mengemas, zip beg ditarik kasar. Naim duduk di atas katil sambil mata meliar ke sekeliling bilik. Anak matanya terpandangkan bungkusan yang berada di atas meja belajar. Nafas dihela sedikit kasar. Perlahan-lahan dia mendekati bungkusan itu. Lama dia berdiri di hadapan meja belajar sambil merenung bungkusan hadiah tersebut. Nafas ditarik dalam-dalam.

Belum sempat bungkusan itu dicapai, pintu biliknya dibuka oleh seseorang dengan sedikit kasar. Terperanjat Naim sehingga dia berpaling ke belakang. Selamba saja Adiba masuk dan mengunci pintu biliknya dari dalam.

Bulat mata Naim. Adiba dah hilang akal agaknya!

“Awak buat apa ni?” Kedua-dua tangan Naim sudah berada di pinggang. Turun naik nafasnya menahan marah.

Mengecil anak mata Adiba. Awak? Susah betul dia mendengar lelaki itu menyebut namanya. Laju dia berjalan ke arah katil.

“Diba nak berbual dengan Abang Im.” Adiba duduk bersila di atas katil sambil memeluk tubuhnya.

“Keluar.”

“Tak nak.”

Terpejam mata Naim. Dia masih cuba bersabar. Mahu saja dia menjerit dan menghalau gadis itu.

“Okey, cepat cakap. Lepas tu keluar dari bilik ni.”

“Abang Im sengaja ke tak nak raikan hari lahir Diba semalam?”

Naim berjalan ke arah katil. Beg pakaiannya ditarik kasar. Satu jelingan tajam diberikan kepada gadis itu.

“Saya tak suka bazirkan masa dengan perkara yang tak penting.”

‘Penipu! Sambut hari jadi orang lain boleh pula.’ Mahu saja Adiba meluahkan apa yang tersimpan dalam hati. Selepas dia melihat adegan dua beranak itu, mood untuk membeli-belah terus mati. Dia segera pulang ke rumah tanpa sempat membeli apa-apa.

“Sampai hati Abang Im. Tiap-tiap tahun Abang Im selalu aje bagi alasan sibuk. Tahun ni apa salahnya luangkan masa untuk Diba. Abang Im lebih pentingkan orang lain daripada adik sendiri.”

Naim tergelak sinis.

“Adik?”

“Yalah, Diba kan adik Abang Im... ahli keluarga Abang Im.” Terpaksalah Adiba berbohong. Mungkin selepas dia meluahkan rasa isi hatinya tempoh hari, Naim bertindak menjauhkan diri daripadanya. Tidak sanggup dia melihat Naim semakin jauh.

“Selama ni pernah ke saya layan awak macam keluarga?”

Terkebil-kebil mata Adiba.

“Saya tak pernah anggap awak sebahagian daripada keluarga saya, apatah lagi sebagai adik.”

Kaku tubuh Adiba. Wajah kacak Naim dipandang. Tergamak lelaki itu mengeluarkan kata-kata yang tajam begitu.

“Abang Im benci sangat ke dengan Diba?”

“Dah habis bercakap, sila keluar.” Tegas Naim memberikan arahan. Malas dia memanjangkan topik perbualan mereka.

Wajah Adiba berubah keruh. Dia melangkah ke arah pintu. Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Mereka saling berpandangan. Belum sempat Adiba bersuara, mulutnya ditekup dari arah belakang. Tergamam Adiba. Pertama kali dia berada dekat dengan lelaki itu.

“Diam,” bisik Naim di telinga Adiba. Tangan Adiba ditarik dan tubuh itu ditolak masuk ke dalam almari pakaiannya. Mujurlah almari itu mempunyai ruang untuk bernafas. Sebaik saja pintu almari ditutup rapat, Naim segera membuka pintu.

“Mama.”

“Boleh mama masuk? Kejap aje. Mama ada perkara penting nak cakap.”

Errr... boleh. Masuklah mama.”

Puan Shira masuk ke dalam bilik itu dan duduk di atas katil. Naim duduk bersandar di meja belajar. Sesekali anak matanya melirik ke arah pintu almari.

“Dah siap kemas?”

Ermmm...” gumam Naim.

“Perlu ke Im balik ke sana? Kan Im ada cuti beberapa hari lagi.” Puan Shira mengeluh panjang. Puas sudah dia memujuk, tetapi sikap keras kepala Naim sukar dilembutkan.

Naim masih membisu. Dia tidak mahu pujukan Puan Shira mengubah fikirannya.

“Sebab Diba ke Im nak balik cepat-cepat?”

Tertelan air liur Naim. Mahu saja dia menyuruh mamanya berhenti bercakap. Lebih-lebih lagi gadis itu pasti mendengar perbualan mereka.

“Mama tahu Im dah banyak terluka dengan kami. Tak lama lagi, semuanya akan jadi seperti dulu. Papa dengan mama akan pergi dari rumah ni.”

“Mama.” Naim semakin serba salah.

“Im pun tahu sebab mama terpaksa tinggal kat sini, kan? Percayalah, antara Im dengan Diba, mama lebih sayangkan Im. Mama buat semua ni sebab arwah ibu Diba. Mama punca...”

“Im tahu, mama. Tak perlulah cakap lagi,” celah Naim. Anak matanya memandang ke arah almari. Dadanya berdegup laju. Tidak mustahil gadis itu sudah mendengar luahan mama.

“Lepas umur Diba 18 tahun, tanggungjawab mama akan selesai. Mama akan ajak papa pindah dari sini.”

Tergamam Naim. Makin tidak senang duduk dia dibuatnya. Namun, bunyi sesuatu yang jatuh dari dalam almari mengejutkan mereka berdua.

“Bunyi apa tu?”

Laju kaki Naim melangkah ke arah almari.

“Ooo... almari ni memang dah tak okey. Kadang-kadang, tempat penyangkut tu jatuh.”

“Kenapa tak beritahu mama? Boleh kita tukar. Mari mama tengok.”

Bulat mata Naim. Matilah dia kalau mama tahu Adiba berada di dalam sana.

“Eh, tak payahlah mama. Dah lewat. Im dah mengantuk.” Bahu Puan Shira dirangkul erat. Dia membawa Puan Shira menuju ke pintu bilik.

Ermm... yalah. Tidur awal. Esok, sebelum balik ke sana, mama sediakan makanan kegemaran Im.”

Naim sekadar tersenyum. Sebaik saja Puan Shira keluar, pintu dikunci dari dalam. Dia menarik nafas lega. Nyaris saja mamanya tahu Adiba berada di biliknya. Dia segera membuka almari. Tergamam dia melihat wajah Adiba yang sudah dicemari air mata.

Perlahan-lahan Adiba keluar dari almari itu. Wajahnya masih tunduk ke bawah. Dia berdiri di hadapan Naim.

“Mama... tak pernah sayangkan Diba ke?”

Terhenyak Naim. Lidahnya tiba-tiba kelu.

“Maaf kalau Diba ganggu Abang Im. Diba keluar dulu.” Adiba melangkah ke arah pintu bilik. Hatinya betul-betul terluka mendengar perbualan tadi. Tak sangka selama ini Puan Shira menjaganya hanya kerana amanah arwah ibunya.

“Tunggu!”

Termati langkah Adiba. Dia berpaling sedikit ke belakang.

“Ini... hadiah.” Bungkusan yang berada di atas meja belajar tadi dihulurkan kepada Adiba.

Tidak berkelip mata Adiba. Wajah Naim dan hadiah itu dipandang silih berganti.

“Memang Abang Im beli untuk Diba ke?”

Naim hanya berdiam diri. Tidak tahu jawapan yang sesuai untuk dijawab. Tersalah cakap, takut semakin melukakan hati gadis itu.

Melihat Naim masih berdiam diri, Adiba tahu hadiah itu bukan untuknya.

“Diba akan anggap Abang Im beli hadiah ni untuk Diba. Terima kasih sebab Abang Im masih sudi berikan hadiah. Selamat malam.”

Adiba segera keluar dari bilik itu. Dia cuba menahan air matanya daripada terus mengalir. Ketika dia ingin memulas tombol pintu bilik, ada tangan lain yang menyentuh tombol pintu itu juga. Tangan mereka saling bersentuhan. Dia berpaling sedikit ke belakang. Wajah Naim dipandang dengan dahi berkerut.

Dada Adiba semakin berdebar-debar. Lama mereka saling merenung antara satu sama lain. Perlahan-lahan Naim melepaskan tangannya. Melihat wajah Adiba yang sugul itu, hatinya turut terluka. Biarlah Adiba membencinya sekarang. Mungkin itu lebih baik untuk kehidupan mereka pada masa akan datang.

“Tolong buang perasaan awak tu terhadap saya. Saya tak mungkin akan sukakan awak.”

Bergenang tubir mata Adiba. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

“Saya sukakan orang lain,” tambah Naim.

Terasa lemah kedua-dua lutut Adiba ketika ini. Dia mengangguk faham. Senyuman terpaksa ditayangkan di hadapan Naim. Dengan tangan yang sedikit menggigil, tombol pintu dipulas perlahan. Dia melangkah keluar dari bilik itu tanpa berpaling ke belakang.

Sampai saja di bilik, tubuh Adiba melorot jatuh di belakang pintu. Hadiah di tangannya dibuka dengan perasaan ingin tahu. Makin berderai air matanya melihat hadiah itu.

“Ini... ini bukan untuk aku.” Selendang di tangannya direnyuk kasar. Tidak mungkin hadiah itu dibelikan untuk dirinya. Dia tidak pernah berhijab selama ini kecuali ke sekolah. Adiba yakin selendang itu milik gadis bertudung bawal semalam. Gadis yang mampu membuatkan Naim tersenyum lebar.

No comments:

Post a Comment