DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 10

DARI jauh Adiba sudah ternampak kelibat Naim yang segak berbaju Melayu biru. Kebetulan pula dia mengenakan baju kurung putih berbunga biru. Malah, penampilannya nampak manis saat dia mengenakan tudung di kepala. Sesuai betul dipakai bersama selendang hadiah daripada Naim semasa hari lahirnya beberapa bulan yang lalu.

Bukan dia tidak perasan semalam, Naim agak terkejut melihat penampilan baharunya. Dia sudah berniat untuk menutup aurat selepas ditegur oleh mama. Perlahan-lahan langkah diatur ke arah Naim yang sibuk memasukkan ais ke dalam tong besar.

“Abang Im...”

Naim menoleh sekilas. Pada awalnya dia tidak mahu menghiraukan Adiba. Namun, anak matanya terpaku melihat corak tudung yang dipakai oleh gadis itu.

“Cantik tak?” Selamba saja Adiba berpusing di hadapan Naim. Gaya mengalahkan model pula.

“Biasa aje.” Naim segera menyambung kerjanya.

Cemberut wajah Adiba. Apa salahnya memuji sedikit.

“Eleh, tadi Abang Im tengok Diba tak berkelip. Mengaku ajelah.”

Naim berdeham perlahan. Tidak sangka adegan tadi sempat ditangkap oleh Adiba.

“Kepala Abang Im dah okey?” Adiba cuba menunduk sedikit. Dia mahu melihat luka di kepala Naim.

Ermmm...”

“Diba nak tengok.” Tangan Adiba cuba menyelak rambut Naim yang agak panjang itu.

Laju saja Naim menjarakkan dirinya. Dia memandang ke sekeliling. Hatinya tiba-tiba hangat. Geram dengan sikap lepas laku Adiba.

“Sini kampung, bukan bandar. Jangan bawa sikap tak sopan awak tu dekat sini.”

Berubah wajah Adiba. Dia sebenarnya tidak sedar dengan tindakannya tadi. Tipulah dia tidak berkecil hati dengan tuduhan Naim.

“Sampai hati Abang Im cakap macam tu. Diba ni teruk sangat ke? Sebelum ni, Diba tak pernah pun sentuh mana-mana lelaki kecuali papa dan Abang Im.”

Kali ini giliran Naim yang sentap. Wajahnya diraup perlahan. Bukan niatnya menuduh Adiba perempuan murah.

“Ada satu perkara yang awak perlu tahu, Diba. Awak tetap haram untuk sentuh saya. Dah berapa kali saya cakap yang awak bukan adik saya.”

“Tapi semalam...”

“Itu darurat.” Tegas nada suara Naim.

“Tak kisahlah darurat ke apa. Itu buktinya Abang Im masih anggap Diba sebagai keluarga Abang Im.”

Naim merengus kasar. Lebih baik dia cepat-cepat menghabiskan kerjanya. Takut ada mata-mata lain yang melihat adegan mereka di sini. Cukuplah dia mendengar bebelan mak su. Ditambah pula dengan pandangan tetamu yang datang, semakin menambahkan rasa kurang selesa dalam hati Naim.

“Awak masuklah. Tak manis kalau orang nampak. Tetamu pun dah semakin ramai.”

Ermmm... sebenarnya Diba ada satu perkara nak minta.”

Ternaik kening Naim. Tubuhnya kembali tegak di hadapan gadis itu.

“Disebabkan Abang Im nak pergi tunaikan umrah, Diba nak minta Abang Im doakan sesuatu untuk Diba, boleh?"

“Apa dia?”

Tersengih-sengih Adiba. Selangkah dia mendekati tubuh Naim.

“Doakan Naim Aswad jadi imam Diba hingga ke jannah.” Sempat Adiba mengenyitkan matanya.

Terbatuk-batuk Naim. Wajahnya yang cerah terus berubah merah.

“Jangan nak mengarut!”

“Diba tak bergurau. Diba memang nak Naim Aswad jadi suami Diba. Kalau Abang Im tak sudi, Diba minta dengan opah. Biar opah yang...”

“Jangan nak buat gila!” pintas Naim dengan suara celah gigi. Malu besar dia nanti kalau permintaan tidak masuk akal itu sampai ke pengetahuan opah.

“Im! Sini pun dia.”

Kedua-duanya berpaling ke arah Mak Su Manisha. Di samping mak su, ada sepasang suami isteri dan seorang gadis manis. Tak berkelip mata Adiba merenung wajah itu. Dia yakin gadis itu ialah orang yang sama ketika dia terserempak di restoran tempoh hari.

Naim segera bersalaman dengan lelaki itu. Adiba masih berdiri di sisi Naim.

“Pergi layan abah dan ibu Marsya. Bukan orang lain pun, keluarga bakal tunang Im juga.” Sengaja Mak Su Manisha menekankan perkataan ‘bakal tunang’. Dia mahu Adiba tahu anak saudaranya itu bakal bertunang.

Bulat mata Adiba. Terasa lemah kedua-dua lututnya.

“Tu... tunang?”

“Tak ada yang cerita lagi ke? Lepas Im balik dari umrah, Im dengan Marsya akan bertunang sebelum Marsya pergi belajar ke luar negara. Ooo... lupa, Diba kan orang luar.” Mak Su Manisha hampir saja melompat kegembiraan sebaik saja terpandang wajah Adiba yang keruh itu. Puas hatinya dapat menyakitkan hati gadis itu. Geram juga dengan kakaknya yang masih mahu menjaga anak perampas suami sendiri. Dia juga sedar, dalam diam Adiba ada hati terhadap anak saudara kesayangannya itu.

Naim serba salah. Kata-kata mak su agak keterlaluan. Sudahlah ibu bapa Marsya berada di sini.

“Diba, pergi masuk sekarang.” Naim terpaksa menyuruh Adiba beredar. Cukuplah gadis itu menerima kejutan dan sindiran daripada mak sunya.

“Siapa ni?” soal Puan Mariam setelah lama berdiam diri.

“Ini anak angkat kakak saya.”

Adiba hanya tersenyum kelat.

Terkejut kedua-dua orang tua Marsya. Marsya juga tidak lepas daripada memandang wajah Adiba.

“Tak sangka pula Shira ada anak angkat. Dia tak pernah beritahu saya pun.”

Err... dia lupalah tu. Jomlah kita ke dalam.” Bahu Puan Mariam dirangkul mesra.

Naim turut berlalu pergi bersama keluarga Marsya. Sempat Marsya menghadiahkan senyuman manis kepada Adiba. Adiba ditinggalkan bersendirian di bawah khemah. Lama dia berdiri di situ sehingga kepalanya mendongak ke atas.

“Patutlah Abang Im tak nak tunaikan permintaan aku. Rupanya... dia dah nak bertunang.”

Saat Adiba menunduk ke bawah, titisan air mata mengalir di pipi. Kali ini dia yakin dirinya sudah kalah di tangan Marsha.

Dari jauh Puan Shira melihat adegan itu. Dadanya dicengkam kuat. Selendang di kepala Adiba itu menarik perhatiannya sejak tadi. Dia tahu siapa yang menghadiahkan selendang itu kepada Adiba.

 

SUDAH BEBERAPA bulan berlalu sejak dia tahu Naim bakal bertunang. Hancur segala impiannya untuk hidup bersama dengan lelaki itu. Senyuman pahit terukir di bibir. Sepatutnya dari awal lagi dia perlu sedar lelaki itu tidak pernah mempunyai perasaan terhadapnya.

Hujung bulan ini, Naim dan Marsya bakal bertunang. Menurut papa, Marsya akan melanjutkan pelajaran di luar negara. Naim pula hanya mahu menyambung pelajaran di sini. Tidak lama lagi, keputusan peperiksaan SPM akan keluar. Adiba masih belum ada perancangan tentang masa depannya nanti.

Jam di tangan dikerling sekilas. Hari ini dia tiada hati mahu bersenam lebih lama. Lebih baik dia pulang saja ke rumah.

Semasa Adiba tiba di halaman rumah, terdengar suara mama dan papanya bergaduh. Dada Adiba berdegup kencang. Laju kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.

“Shira tak peduli. Kalau abang sayangkan Shira dan Im, kita pindah hujung tahun ni. Shira dah tunaikan amanah arwah. Abang jangan nak paksa Shira lagi.”

“Sayang tak kasihan ke dengan Diba? Dia baru berumur 18 tahun masa tu. Tolonglah...”

“Nampak sangat Shira dan Im tak penting dalam hidup abang, kan?”

Mengucap panjang Encik Naqib. Dia terus duduk melutut di hadapan isterinya. Kedua-dua tangan itu digenggam kemas.

“Demi Allah, abang sayangkan Shira dan anak kita. Termasuklah Diba. Tak mungkin Shira tak ada rasa sedih nak berpisah dengan Diba. Dari kecil Diba ada bersama dengan kita.”

Puan Shira memejamkan kedua-dua matanya. Memang dia kejam. Dia tidak mahu lagi tinggal di sini setelah tanggungjawabnya selesai. Lebih-lebih lagi setelah dia tahu isi hati Naim. Perkara itulah yang membuatkan dia tidak mahu tinggal di sini lagi.

“Diba tahu yang Shira akan tinggalkan dia. Abang patut bersyukur yang Shira tak dedahkan punca rumah tangga kita hampir retak dulu.”

Tergamam Encik Naqib. Wajahnya terus berubah pucat.

“Shira...”

“Kalau ikutkan hati Shira, Shira nak beritahu dia perkara yang sebenar. Hati Shira sakit setiap kali teringat perbuatan ibu dia.”

“Allahuakbar! Hana dah lama pergi. Kenapa perlu babitkan Diba? Diba tak salah.”

“Ya, sebab tu Shira perlu pergi dari sini. Shira tak nak ada rasa benci terhadap Diba. Muka dia... hampir seiras dengan arwah.” Semakin Adiba membesar, wajah gadis itu seiras dengan arwah Puan Farhana. Puan Shira tidak sanggup memandang wajah itu lagi.

“Abang fikir sayang dah maafkan abang. Dah bertahun-tahun perkara tu berlalu.”

“Kepercayaan Shira terhadap abang dah hilang. Hilang saat abang duakan Shira bersama si perampas tu. Maaf tak mampu buat Shira lupakan perbuatan abang.”

Menggigil tubuh Adiba di hadapan pintu rumah. Dia sudah dengar semuanya. Laju kakinya berlari keluar dari rumah. Tidak sanggup lagi dia mendengar mama menghina arwah ibunya.

Dia terduduk di kawasan lapang. Air matanya mengalir deras. Dadanya ditepuk berkali-kali. Sungguh dia berasa sangat malu untuk berhadapan dengan mama. Benarlah kata mak su yang dia adalah anak seorang perampas.

Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar. Terketar-ketar tangannya cuba mendail nombor lelaki itu. Nafasnya ditarik dalam-dalam.

Adiba menarik nafas lega sebaik saja panggilannya dijawab.

“Nak apa?”

“Abang Im...” Teresak-esak Adiba menangis.

Naim di hujung talian turut terkejut.

“Kenapa ni?” Kali ini nada suara Naim sudah berubah cemas. Tangisan Adiba semakin menjadi-jadi.

“Ibu... ibu Diba perampas. Sebab tu ke... Abang Im bencikan Diba?”

Terdiam Naim di hujung talian. Lidahnya terus kelu.

“Patutlah mama nak tinggalkan Diba. Abang Im pun tak sudi anggap Diba ni keluarga Abang Im. Diba takut...”

Talian tiba-tiba dimatikan. Terkelu Adiba. Lama dia merenung skrin yang sudah bertukar gelap itu. Tiba-tiba dia ketawa. Ketawa dengan kebodohan sendiri. Tidak sepatutnya dia meluahkan kesedihannya kepada Naim. Sudah tentu lelaki itu tidak sudi mendengar.

Dengan tangan yang masih menggigil, nombor lelaki itu terus disekat. Kali ini Adiba nekad, dia akan pulangkan kembali kebahagiaan keluarga Naim dan mama.

 

MALAM ITU, Adiba tertidur bertemankan air mata. Sepanjang malam dia menangis mengenangkan nasibnya yang malang. Album gambarnya bersama Naim didakap erat.

Terasa pipinya diusap oleh seseorang, namun mata masih dipejamkan rapat. Dia tidak mahu membuka matanya. Takut jika ini hanyalah mimpi. Adiba kenal dengan bau lelaki itu. Tidak mungkin Naim muncul di dalam biliknya ketika ini.

“Diba...”

Makin deras air mata Adiba mengalir. Esakannya terlepas juga. Makin kemas dia mendakap album gambar itu. Mungkin disebabkan terlalu rindukan Naim, dia termimpikan lelaki itu.

“Maafkan abang. Tunggu abang. Sampai masanya nanti, abang akan kembali ke sisi Diba.”

Adiba tersenyum dalam tangisan. Terasa seperti lelaki itu betul-betul berada di sisinya. Tanpa sedar, dia meraih jari yang hinggap di pipinya. Lama jari mereka bertaut sehingga dia terlena.

Sebaik saja terjaga daripada lena, mata Adiba melilau ke sekeliling bilik. Bayang lelaki itu tidak ada di biliknya. Nafas dihela sedikit panjang. Apa yang berlaku semalam, hanyalah satu mimpi yang indah.

Tiba-tiba Adiba tersedar sesuatu. Album gambarnya tidak ada di tangan. Matanya tercari-cari album itu. Pelik! Kenapa tiba-tiba saja hilang? Baru semalam dia melihat album itu. Malah, dia sempat menulis sesuatu di belakang album itu.

Adiba menggaru kepala yang tidak gatal. Mungkin semalam dia hanya berhalusinasi saja agaknya. Tidak kisahlah. Lagipun dia memang tidak perlukan lagi album itu. Ada baiknya juga dia tidak menyimpan gambar Naim lagi.

 

*** READY STOK KELUARAN MEI 2021. SEBARANG PERTANYAAN ATAU UNTUK MEMBUAT BELIAN BOLEH WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-372 9676 (Cik Shida) 011-4004 9752 (Cik Admin)

 

No comments:

Post a Comment