DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 25 May 2021

Hey, My Husband! - Bab 9

SUASANA di ruang tamu masih kecoh setelah Naim membawa Adiba masuk ke dalam rumah. Puan Shira dan opah masih melihat keadaan Adiba di dalam bilik. Masam mencuka wajah Mak Su Manisha. Dia memang tidak suka dengan kehadiran budak perempuan itu di rumah ini.

“Yang Im baik hati pergi angkat budak tu buat apa? Panggillah sesiapa tolong.”

“Darurat, mak su.” Pendek jawapan Naim.

“Entah-entah budak tu saja buat-buat pengsan. Nak tarik perhatian.”

Naim mengeluh perlahan. Sejak dulu lagi ibu saudaranya ini tidak sebulu dengan Adiba. Ada saja buruk sangkanya.

“Kepala tu sakit lagi tak? Kalau sakit lagi, kita ke klinik.”

“Tak perlu. Opah dah letak ubat tadi. Kepala Im dah okey.”

Mak Su Manisha menarik nafas lega. Hampir luruh jantungnya tadi melihat kepala Naim berdarah. Semuanya gara-gara anak perampas itu!

“Mak su tak nak Im jatuh kasihan dekat budak tu. Sakit hati mak su ni tak hilang lagi. Mama Im paling kasihan. Terpaksa jaga anak perampas suami sendiri. Dalam hati mama Im tu mesti terluka sangat.”

“Im nak keluar dulu. Ambil angin.” Lebih baik dia segera angkat kaki. Bercakap dengan mak su, hanya menambahkan rasa kusutnya sahaja. Jiran-jiran yang datang membantu sudah beransur pulang. Majlis doa selamat akan diadakan pada hari esok selepas solat zuhur.

Naim duduk di luar untuk mengambil angin. Langit yang gelap direnung lama. Tiba-tiba kedengaran kerusi di sebelahnya berbunyi. Dia memandang ke sebelah. Encik Naqib tersenyum nipis kepadanya.

“Boleh papa bercakap dengan Im sekejap?”

“Kalau pasal budak tu...”

“Ni pasal masa depan Im,” celah Encik Naqib.

Naim sekadar membisu. Dia kemudian memandang ke hadapan kembali. Encik Naqib mengambil peluang ini untuk bercakap tentang keputusan Naim. Dia tidak mahu anaknya tersilap langkah.

“Betul Im dah setuju dengan rancangan mama?”

“Ya.”

Encik Naqib mengeluh lemah. Jujur dia tidak bersetuju tentang rancangan isterinya. Umur anak mereka masih muda. Masih jauh lagi perjalanan masa depan Naim.

“Papa tahu, papa dah tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan Im. Tapi bila melibatkan tentang masa depan Im, papa takut. Papa takut Im buat semua ni demi kebahagiaan orang lain.”

Terpukul Naim mendengar kata-kata Encik Naqib.

“Walaupun beribu kali papa minta maaf, memang papa tak mampu kembali ke masa lalu. Papa punca keluarga kita tak sama seperti dulu. Tapi percayalah, kasih sayang papa terhadap mama dan Im masih sama. Tak pernah pun kurang.” Berkaca mata Encik Naqib.

Naim tunduk menekur lantai. Hatinya sedikit terusik mendengar luahan papanya. Dulu dia yang menjadi anak kesayangan papa. Sejak gadis itu muncul, semuanya berubah. Malah, perhatian papa sudah beralih sepenuhnya kepada gadis itu.

“Papa sentiasa doakan Im bahagia. Ingat, cari kebahagiaan Im dulu sebelum bahagiakan orang lain.” Bahu Naim ditepuk perlahan. Encik Naqib kemudian masuk ke dalam rumah.

Naim kaku di tempat duduknya. Masih terngiang-ngiang lagi nasihat papa di telinganya. Sukar untuk dia mencari kebahagiaannya, lebih-lebih lagi ada halangan yang menanti. Kebahagiaannya yang dia mahu, terlalu mustahil untuk digapai.

 

BERKERUT DAHI Adiba. Perlahan-lahan dia membuka mata. Dia melihat sekeliling seketika. Sebaik saja berpaling ke sebelah, terlihat Puan Shira yang sedang terlena.

Teringatkan kejadian yang berlaku sebentar tadi, laju saja dia bangun daripada perbaringan. Dia yakin perkara yang berlaku tadi bukannya mimpi. Tubuhnya masih tersarung lagi baju yang sama. Hanya selendang saja sudah ditanggalkan dari kepalanya.

“Macam mana aku boleh terlena ni?” Adiba menggaru kepala yang tidak gatal. Bingung juga dia dibuatnya. Teringatkan peristiwa tadi, terus wajahnya berbahang. Boleh pula dia pengsan di hadapan Naim.

“Diba...”

Ternaik bahu Adiba. Dia berpaling ke arah suara itu. Puan Shira sedang menggosok mata sambil bersandar di kepala katil.

“Alhamdulillah, Diba dah sedar.”

“Lama ke Diba pengsan?”

Ermmm... macam biasa. Diba tak sedar sebab nampak darah. Tapi kali ni, lama pula Diba tak sedar.”

Adiba mengeluh perlahan. Satu kelemahannya yang hanya ahli keluarganya saja tahu; sejak kecil dia tidak mampu melihat darah. Pasti terbayang arwah ibunya yang meninggal akibat tumpah darah. Walaupun ketika itu dia masih kecil, dia sempat melihat wajah ibunya menahan sakit di tangga paling bawah.

“Abang Im macam mana? Kepala dia luka sebab Diba.”

“Luka dia sikit aje, tapi mungkin dalam. Sebab tu darah banyak keluar. Dah okey lepas opah cucikan luka tu."

“Tak bawa ke klinik?” Ngilu pula Adiba mendengarnya. Kalau bukan disebabkan dia, Naim tidak akan mengalami kecederaan.

“Abang Im yang tak nak. Tidurlah. Esok banyak kerja nak dibuat.” Tubuh Adiba ditarik agar berbaring semula.

Adiba hanya menurut. Mungkin disebabkan terlalu lama tidak sedarkan diri, dia gagal melelapkan matanya kembali. Dia mengiring menghadap Puan Shira.

“Mama...”

Erm...” gumam Puan Shira dengan mata terpejam.

“Betul ke arwah ibu Diba perampas?”

Terus terbuka mata Puan Shira. Hatinya terasa seperti dihiris saat diajukan soalan itu. Tubuh yang sedang berbaring mengiring ditelentangkan menghadap siling.

“Mama dah pernah jawab soalan tu, kenapa perlu tanya lagi?”

“Tapi mak su...”

“Cukup. Mama tak suka Diba tanya soalan yang hanya mengaibkan arwah ibu Diba. Mama tak nak dengar lagi.” Tegas nada suara Puan Shira. Walaupun perasaan benci masih ada terhadap arwah Puan Farhana, dia tidak tergamak membuka aib wanita itu kepada Adiba.

“Adiba cuma takut...”

Berkerut dahi Puan Shira. Dia berpaling ke sisi.

“Takut apa?”

“Kalau betul apa yang mak su cakap, Diba takut mama bencikan Diba.”

Tergamam Puan Shira. Nafas ditarik dalam-dalam. Perlahan-lahan dia mengiring menghadap Adiba. Pipi gadis itu disentuh lembut.

“Mama tak pernah bencikan Diba. Sejak Diba tinggal dengan mama, mama ikhlas jaga Diba. Tapi...” Lama Puan Shira terdiam.

Dada Adiba berdegup kencang. Takut untuk mendengar jawapan mamanya.

“Mama cuma penjaga Diba. Bila Diba dah berumur 18 tahun, mama akan kembali ke tempat asal. Diba perlu berdikari sendiri.”

Berkaca tubir mata Adiba. Jadi memang benarlah dia bakal hidup bersendiri nanti. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya yang dia akan kehilangan keluarganya sekarang.

“Tapi Diba nak jadi anak mama sampai bila-bila.” Bergetar nada suara Adiba.

“Mama tahu...” Pipi Adiba dielus lembut.

“Tak boleh ke mama terus tinggal bersama dengan Diba?”

Puan Shira tersenyum kelat. Sukar untuk dia berikan jawapan kepada Adiba. Dia takut untuk berjanji kerana sudah terang dia akan meninggalkan rumah mewah itu apabila tiba masanya.

“Tidur. Dah lewat. Mama dah mengantuk sangat.” Puan Shira menutup kedua-dua matanya.

Reaksi mamanya membuatkan Adiba semakin terluka. Dia berbaring membelakangi wanita itu. Air matanya mengalir deras. Takut membayangkan kehidupannya tanpa ahli keluarga di sisi.

No comments:

Post a Comment