DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 26 May 2021

Cinta Zara : This I Promise You - Bab 2

“ABANG... beg baju semua dah bawak turun ke?” Zara meninjau Ammar yang masih berada di bilik pakaian. Lama dia menunggu di tingkat bawah, tidak muncul juga kelibat suaminya. Kata hendak ambil barang sebentar dan juga tengok kalau ada beg yang tertinggal.

“Barang yang tertinggal dah ambil?”

“Dah.”

“Abang buat apa? Kenapa tak turun lagi?” Kaki melangkah mendekati suaminya yang sedang berdiri di hadapan cermin. “Kata nak gerak awal. Nak jalan-jalan dulu baru check-in hotel.”

“Sayang.” Ammar menarik tangan isterinya. Dan serta-merta Zara berada dalam pelukannya.

“Abang, kita dah nak gerak kan. Janganlah nak buat drama lagi.”

No. Abang bukan nak buat drama. Sayang betul ke rela nak pergi honeymoon dengan abang? Bukan terpaksa atau kesian kat abang yang tak pernah pergi honeymoon walaupun dah 3 kali nikah?”

Zara berhenti meronta. Dia tergelak dengan kata-kata suaminya.

“Salah satu sebabnya... ya, kesian dekat Ammar yang tak pernah sekali pun pergi honeymoon. Kesian dia.”

Ammar tiba-tiba berwajah muram dan melepaskan pelukan.

“Kalau macam tu, kita batalkan ajelah. Nanti abang bawak naik beg.” Dia memang mahu sangat pergi berbulan madu. Pelbagai rancangan diatur sebagai kejutan buat Zara nanti. Tapi sekarang dia tiada mood untuk pergi. Zara pun bukan sepenuhnya rela hati mahu berbulan madu. Risaukan Darien dan Darlina.

Lengan Ammar segera ditarik. “Abang, sayang gurau ajelah. Sayang memang  nak habiskan masa berdua dengan abang. Bukanlah kita tak pernah berdua, tapi tak pernah kan kita berdua sebagai pasangan kekasih halal, saling tunjukkan rasa cinta dengan bebas... tak macam sebelum ni.”

Lambat-lambat Ammar mengukir senyum manis. Perkahwinan kali pertama mereka bukan tiada rasa cinta, tetapi rasa cinta itu belum mekar sepenuhnya seperti sekarang. Ammar kembali mendekati Zara dan memeluk pinggang sang isteri.

“Kita jadi pergilah ni?”

“Kalau abang tanya sekali lagi... sayang malas nak pergi.”

“Okey, okey. Jom ,kita pergi honeymoon. Tak sabar-sabar pulak rasanya ni.” Segera dia menarik tangan Zara dan keluar dari bilik pakaian. Semangat yang tadi merudum kembali berkobar-kobar. Kalau ada pintu ajaib Doraemon, memang dia mahu sampai ke sana dengan sekelip mata.

“Nak bercinta pun, tunggu sampai sana boleh tak? Bukan kat sini.” Aiman mengusik adiknya. Barulah dia nampak sinar kegembiraan dalam hidup Ammar.

“Mana ada bercinta. Angah cuma check kalau ada apa-apa yang tertinggal saja.” Ammar sengih sambil garu belakang kepala. Malu diusik abangnya.

“Macam orang tak tahu helah dia.” Puan Sri Aisyah tidak ketinggalan mengusik anaknya. Sebagai ibu, dia gembira anaknya menemui kebahagiaan.

“Kak Zue, kalau ada apa-apa call ya.” Zara mencium dahi Darlina yang sedang tidur. Seterusnya mencium dahi Darien yang berada dalam dukungan Kak Ita.

“Baik Zara,” balas Kak Zue.

“Naurah dengan Izz jangan nakal-nakal ya. Dengar cakap pak long dengan mak long.” Zara memeluk putera dan juga puterinya.

“Izz dengan Naurah tolong Nek Zue jaga adik ya. Jangan asyik nak main saja.”

“Baik daddy,” ucap kembar itu serentak dan seterusnya bersalaman dengan Ammar.

“Dah... pergi cepat. Jangan risau tentang budak-budak ni. Kami semua ada nak jaga.” Puan Sri Aisyah menggesa anak dan menantunya untuk cepat berangkat. Mana tahu kalau lambat-lambat lagi Zara akan bertukar fikiran pula.

“Angah pergi dulu, mama.” Ammar bersalam dengan Puan Sri Aisyah dan kemudian abangnya. Zara turut bersalam dengan mentua dan kakak iparnya. Selesai bersalaman, dia mendekati kereta. Ammar sudah membukakan pintu untuknya. Sebelum masuk, dia melihat anak-anaknya serta melambaikan tangan.

“Doakan kami selamat pergi dan selamat pulang. Assalamualaikum.” Ammar menutup pintu kereta Zara dan bergerak ke tempat pemandu. Sempat lagi dia melambai sebelum meloloskan diri masuk ke dalam kereta. Terlebih dahulu dia membaca doa sebelum menghidupkan enjin.

“Sayang dah sedia ke?”

Zara angguk dengan senyuman.

Bismillahirrahmanirrahim.” Ammar mula memandu keluar dari pekarangan vila. Senyuman tak lekang daripada bibirnya. “Sayang tahu tak apa impian abang dari dulu?”

“Tak tahu...”

“Abang teringin nak berdua dengan Zara macam ni. Drive sambil pegang tangan isteri tercinta.” Tangan Zara ditarik dan digenggam kemas. Sambil itu sebelah tangan lagi di stereng. Lampu isyarat bertukar warna merah. Ammar mengambil kesempatan mengucup kekura tangan isterinya. “I love you sayang.”

“Abang drivelah betul-betul. Sampai hotel nanti boleh manja-manja.”

“Baik, sayang.” Ammar melepaskan tangan Zara dan kembali memandu. Kebetulan lampu isyarat berwarna hijau.

“Boleh tak sayang nak tanya sikit?” Zara menjeling Ammar. Dia ingin tahu sesuatu tapi hatinya berat untuk bertanya.

“Sayang nak tanya apa?”

Ermmm... ermmm...” Segan pula hendak bertanya. Soalan tidak mahu keluar daripada bibirnya.

“Sayang nak tanya apa? Tanya ajelah. Abang tak makan orang pun walaupun abang suka gigit orang.” Ammar sedikit bergurau. Adakalanya Zara masih segan-segan lagi untuk bertanya soalan atau bermanja. Maklumlah kisah cinta mereka sangat rumit.

“Dulu kan... masa... masa...” Kenapa susah sangat untuk dia bertanya? Takut dia silap meneka.

“Sayang nak tanya, siapa budak yang abang suka masa sekolah dulu?”

Perlahan Zara menunduk. Malu untuk bertanya sebenarnya.

Ammar menoleh sekilas dan melemparkan senyuman. “Nama dia Zara Aulia binti Izham.”

“Ohhh...” Hanya itu yang terkeluar daripada bibir Zara. Namanya sendiri yang Ammar sebut tadi.

“Sekarang sayang dah tahu rahsia abang. Sayang kena beritahu rahsia sayang pulak.”

“Rahsia apa?” Berkerut dahi Zara. Rasanya dia tidak simpan sebarang rahsia daripada Ammar.

“Masa tu abang ingat sayang minat dengan Nik Ahmad... apa entah nama dia. Lantaklah. Tak ada kena-mengena. Sayang kata sayang tak suka dia. Jadi, siapa yang sayang suka?”

Serta-merta merah pipi Zara. Perlukah dia beritahu perkara itu? Bagaimana kalau Ammar  ketawakan dia nanti? Sesekali dia menjeling Ammar yang sedang memandu. Sesekali juga pandangan mereka bertembung.

“Kenapa sayang takut nak beritahu? Ada apa-apa yang sayang tak nak abang tahu ke? Sayang suka along?” Mungkin itu sebabnya Zara segan untuk beritahu. Dia akui perangainya dulu sangat teruk. Dan suka membuli Zara.

“Sayang suka adik along... angah.” Hampir  tidak kedengaran suara Zara. Malu punya pasal!

“Sayang suka siapa? Angah? Ohhh...” Ammar tergelak lalu menggeleng. “Mungkin kalau kita sama-sama luahkan perasaan dulu, kisah cinta kita tak akan macam ni.”

Zara meramas tangannya sendiri. Betullah apa yang dia sangka. Ammar pernah kata sukakan seorang perempuan sejak sekolah lagi. Mungkin kalau mereka sama-sama meluahkan perasaan ketika itu, lain jalan hidup mereka.

“Abang kena tahu, Allah sebaik-baik perancang. Dia dah susun indah perjalanan hidup kita. Mungkin kalau kita saling meluah masa tu, cinta kita tak sekuat sekarang.”

Ammar akui kata-kata isterinya itu benar. Mereka harus percaya pada perancangan Allah. Mereka sama-sama memendam rasa suatu ketika dulu. Dan dia membohongi dirinya sendiri saat dipaksa berkahwin dengan Zara. Mengaku tidak cinta, padahal cintanya masih utuh buat pemilik nama Zara Aulia.

“Tapi kan... dulu abang ada suruh PI cari sayang. Dia kata sayang dah kahwin. Sayang ikut suami sayang pergi ke Indonesia.”

“Baru sekarang nak tanya?” Zara melentokkan kepala ke bahu Ammar.

“Kat rumah anak yatim tu ada 2 orang nama Zara Aulia. Memang nama kami sama. Sebab tu kat sana orang panggil Zara bukan Ara. Sebab dia guna nama Ara. Memang Ara tu yang kahwin dengan orang Indon. Habis saja SPM, arwah papa sewakan rumah untuk sayang dengan Maria. Bayar pengajian kami.”

Ammar angguk faham. Kerana salah fakta itu, dia putus asa untuk mencari pemilik cintanya. Namun bukan salah penyiasat yang dia upah. Tiada siapa akan sangka ada 2 orang bernama sama di rumah anak yatim itu.

“Allah Maha Besar. 2 kali kita dipisahkan. Kali ini sayang harap cinta kita kekal hingga ke syurga.”

“Insya-Allah. Abang janji. Abang tak akan sia-siakan peluang kedua yang sayang beri. Abang akan jadi suami yang terbaik untuk sayang.” Ammar mengusap ubun-ubun kepala isterinya. Kebetulan kereta berhenti kerana lampu merah.

“Dan juga daddy yang terbaik untuk anak-anak kita,” Zara sambung ayat Ammar.

“Ya, abang janji akan jadi daddy yang terbaik buat anak-anak kita.”

“Abang janji akan anggap Darien dengan Darlina macam anak sendiri.”

“Ya, abang janji akan anggap Darien dengan Darlina macam anak sendiri. Abang pegang amanah arwah Daniel untuk jaga ketiga-tiga insan yang paling dia sayang.”

“Sayang pegang janji abang.” Takdir memihak kepada mereka meskipun dia sudah mengundur diri. Kalau sudah tersurat jodoh mereka kembali bertaut, segala halangan akan hilang.

“Alhamdulillah. Sayang kalau ngantuk tidurlah. Nanti sampai R&R abang kejut.” Tak perlu disuruh, Zara memang sudah pun melelapkan mata.

No comments:

Post a Comment