DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 10


“MAI, aku ingat aku nak bercerai aje dengan suami aku.” Anis bersuara sebaik sahaja Maisara bertanyakan tentang kehidupannya selepas berkahwin dengan Syaqeer.

Maisara terus beristighfar.

“Kenapa dengan kau ni, Nis? Kau ada masalah dengan suami kau ya? Dia pukul dan dera kau?” soal Maisara resah.

“Setakat ni tak ada dia pukul atau dera aku. Tapi aku memang tak boleh nak hidup dengan dia. Makin lama aku rasa makin terseksa hidup dengan dia.” Anis benar-benar mahu bebas dari hidup Syaqeer.

Memang dia sudah tak mampu nak bertahan. Syaqeer pula makin hari makin teruk perangainya. Kadang-kadang sampai berhari-hari tak balik rumah. Anis jadi malas nak bertanya. Nanti pasti akan menimbulkan pergaduhan. Wajah Syaqeer pula dia lihat makin lama makin berserabut.

“Cuba kau cerita pada aku, apa sebenarnya yang berlaku? Aku kan dah cakap, aku akan sokong dan bantu kau. Sejak aku tengok dia bersama perempuan lain kat majlis malam tu, aku dah tak suka dia. Aku yakin yang dia tak mampu beri kebahagiaan pada kau mengenangkan hubungan dia dengan perempuan tu lain macam aje. Itu depan orang ramai, kalau belakang orang. Entah apa yang mereka buat.”

Anis pejam mata. Kalau Maisara tak suka, dia lagi tak suka tapi apa yang boleh dia buat? Dia kena bertahan. Tapi dalam tempoh sebulan lebih usia perkahwinan mereka, dia sudah tak mampu untuk meneruskan ikatan perkahwinan ini. Syaqeer tak jujur. Syaqeer curang dan berselingkuh.

Anis tak sanggup nak bersama Syaqeer selepas mengetahui hubungan sebenar Syaqeer dengan perempuan itu. Biarlah apa tanggapan Syaqeer bila dia menolak ajakan untuk bersama kerana dia juga ada hak untuk mempertahankan diri. Dia tak sanggup nak berkongsi suami dengan perempuan lain. Apalagi perempuan itu haram untuk dikongsi. Mereka tak ada ikatan yang sah.

Akhirnya, Anis nekad menceritakan kepincangan hubungannya dengan Syaqeer. Dia mahu lapangkan dada dengan berkongsi apa yang sedang dia tanggung sekarang. Dia tahu Maisara seorang sahabat yang boleh diharapkan. Dah lama mereka kenal.

Lagi sekali Maisara beristighfar selepas Anis bercerita semuanya. Makin dia geram dan marahkan Syaqeer kerana menyakiti hati kawan baiknya.

“Aku rasa tindakan kau tu betul. Kalau aku kat tempat kau pun, aku akan buat benda yang sama. Aku bukan nak keruhkan keadaan dan hasut tapi aku rasa itu jalan yang terbaik untuk masa depan kau. Belum terlambat untuk kau buat keputusan. Lagipun sekarang ni, kau tak mengandung lagi kan?” ujar Maisara.

Anis mengiakan. Nasib baik dia belum mengandung. Kalau mengandung, tak dapat nak dibayangkan apa yang bakal berlaku nanti.

“Kau ada beritahu dan berbincang dengan orang tua kau?” soal Maisara.

“Tak. Setakat ni aku hanya beritahu kau sorang. Aku tak nak mereka susah hati dan kecewa kalau aku beritahu hal ini. Tambahan pula perkahwinan ini masih baru. Pilihan mereka pula.”

“Sebab masih barulah benda ini tak mendatangkan masalah kalau diselesaikan segera. Kalau tunggu, makin lama makin teruk nanti,” nasihat Maisara.

Hmm... nantilah aku fikirkan.” Anis mengeluh.

“Nanti apa-apa kau beritahu aku. Jangan pendam sorang diri. Ingat, kau masih ada kawan baik yang akan sentiasa menyokong dan membantu kau bila-bila masa. Kalau kau suruh aku jemput kau sekarang pun, aku sanggup datang tau.”

Anis segera mengukir senyum. Dia tahu Maisara pasti akan mengotakan kata-katanya.

Selesai bercakap di talian, Syaqeer balik rumah. Masa tu, Anis berada di ruang tamu sambil menonton televisyen. Kebetulan hari ini hari minggu. Bolehlah dia berehat di rumah. Sejak tinggal di sini, jarang dia bersiar-siar ke mana-mana. Hanya sekadar pergi ke pasar untuk membeli bahan basah dan juga bahan keperluan dirinya sahaja. Lagi pula, dia tak ada kawan di sini. Kalau ada pun, hanya sekadar kawan di resort sahaja.

Anis tak kisah kalau Syaqeer ada atau tidak. Kalau tak ada, lagi bagus. Tak payah dia sakit mata dan sakit hati memandang wajah lelaki itu.

“Tak masak ke?” soal Syaqeer yang baru sahaja keluar dari ruang dapur. Wajahnya nampak bengang sahaja.

Anis buat-buat tak dengar. Mata tertumpu pada kaca televisyen.

“Hei, aku tanya ni? Kau masak ke tidak? Aku lapar ni!” Syaqeer mendekati Anis. Tubuh isterinya ditolak kasar.

Anis memandang wajah Syaqeer. Makin sakit hati pula dengan sikap Syaqeer ini. Makin lama makin teruk. Macam bukan Syaqeer yang pernah dia kenal dulu. Entah apa yang membuatkan Syaqeer berubah begini rupa. Kalau ya pun, tak boleh ke tanya elok-elok? Bukannya kena bayar pun. Isy, sakit hati betullah melayan kerenah lelaki macam ini. Tak balik rumah lagi bagus! Tak payah nak menghadap muka serabutnya itu.

“Anis belum masak. Sekarang ni pukul berapa? Lambat lagi nak tengah hari. Anis baru aje makan pagi.” Anis membalas dengan perasaan geram. Rasa nak hempuk sahaja kepala Syaqeer bagi dia sedar diri. Tak tengok jam ke? Sekarang ni baru pukul 11 pagi. Dah lepas waktu sarapan, belum waktu makan tengah hari.

Syaqeer melabuh punggung kasar di sofa. Dia melempar jelingan ke arah isterinya.

“Sediakan makan. Aku lapar,” arah Syaqeer.

“Abang belum makan lagi ke?”

“Belum.” Sepatah Syaqeer jawab.

Anis mula bangkit. Langkah dihala menuju ke ruang dapur. Menyediakan mi goreng lebihan sarapan pagi tadi. Segelas teh diletak di sebelah pinggan mi.

“Abang, Anis dah sediakan makanan. Abang makanlah.” Anis kembali melangkah ke ruang tamu. Kelihatan Syaqeer sedang memejamkan matanya. Nampak penat dan serabut saja mukanya.

Syaqeer membuka mata. Wajah isteri yang sedang berdiri di depannya ditatap lama.

Anis mula keresahan dan takut saat Syaqeer mula bangkit dan mendekatinya.

“Anis okey?” soal Syaqeer.

Anis tercengang. Terkejut dengan pertanyaan Syaqeer. Tiba-tiba menyoal dengan nada lembut. Tadi bukan main kasar.

“Okey,” balas Anis sepatah.

Syaqeer mengukir senyum. Senyuman yang sudah lama tidak dilihat oleh Anis sejak mereka bergaduh hari itu.

Anis menjadi kaku apabila Syaqeer tiba-tiba menarik tubuhnya dan mengucup lama dahinya.

“Terima kasih,” ucap Syaqeer perlahan. Kemudian dia berlalu pergi ke ruang makan meninggalkan Anis tercengang di situ.

Beberapa saat kemudian, Anis menoleh. Melihat tubuh Syaqeer yang sudah berada di meja makan, sedang menikmati makanan dengan penuh selera. Makin pelik dia melihat lagak Syaqeer.

 

HARI INI Aydan muncul dan menginap lagi di sini. Dia pun tak tahu kenapa hatinya meronta mahu datang ke resort ini. Kali ini, dia datang bukan sebab urusan kerja tapi urusan hati. Jadi sepanjang 2 hari ini, dia akan berehat sepenuhnya.

Dia datang ke sini pun senyap-senyap, tanpa memberitahu sesiapa terutama sekali Puan Sri Hayati. Pasti mamanya akan membebel kalau tahu dia datang bercuti di sini. Mama kalau boleh setiap hari minggu mahu dia menghabiskan masa di rumah orang tuanya. Nak tergelak Aydan mengingatkan saranan mamanya. Macamlah dia ni budak kecil. Ingat dia duduk asrama ke, setiap hari minggu perlu balik rumah orang tua?

Aydan menarik nafas sambil memegang kemas palang kayu di beranda. Tak sangka ramai juga pengunjung yang datang ke sini sewaktu hujung minggu. Ingatkan cuti sekolah sahaja ramai yang menghabiskan cuti di sini.

Gegaran di poket seluarnya membuatkan Aydan segera menyeluk tangan dan mengeluarkan telefon pintarnya. Melihat nama Khalief di skrin, Aydan menguntum senyum.

What’s up, bro?” soal Aydan sambil menikmati pemandangan pantai yang terhampar di depan matanya. Petang-petang begini terasa nyaman dengan hembusan angin.

“Kau kat mana sekarang?” soal Khalief.

“Aku kat Terengganu. Kenapa?”

What? Kau kat Terengganu. Kau tak beritahu aku pun nak ke sana. Bila kau pergi? Ada apa?” soal Khalief macam kalut sahaja.

Aydan gelak kecil.

“Aku pergi bercuti. Saja nak tenangkan fikiran. Kalau aku ajak kau pun, kau nak datang ke? Kau kan kena luangkan masa bersama isteri dan anak kau. Jadi aku tak nak ganggu kau.”

“Punyalah banyak tempat nak tenangkan fikiran, resort kat situ juga yang kau pergi. Ke kau masih tak nak berputus asa? Masih mengharapkan seseorang yang tak mungkin jadi milik kau,” tutur Khalief.

Kali ini Aydan ketap bibir. Dia hilang kosa kata kerana apa yang diungkapkan oleh Khalief itu ada benarnya. Dia rindu untuk menatap wajah seseorang sebenarnya. Pelik, kan? Dia masih tak faham apa yang ada dalam hatinya sekarang. Kenapa wanita itu yang dia ingin pandang? Sedangkan dia tahu wanita itu sudah menjadi milik orang.

“Aydan, kau tak boleh terus mengharap. Kau kena terima kenyataan,” pujuk Khalief.

“Kau jangan risau, Lief. Aku ni masih waras lagi. Aku memang datang sini untuk tenangkan fikiran. Tak ada niat lain. Bukannya aku tak biasa datang sini,” tutur Aydan. Sengaja tak nak biarkan Khalief fikir yang bukan-bukan.

“Okeylah, aku nak mandi ni.” Talian terus diputuskan.

Aydan menarik nafas. Dia senyum sendiri. Entah apa yang difikirkan sekarang ni pun dia tak tahu. Hanya sekadar mahu senyum. Itu sahaja. Saat itu juga tangannya lincah membuka satu per satu butang kemeja yang dipakainya sehingga terbuka luas. Saat ini badan sasanya dilitup dengan singlet putih. Sesekali udara menyapa tubuhnya. Memang rasa enak dan nyaman menghirup udara petang. Jarang dapat dinikmati sekiranya dia berada di Kuala Lumpur.

Tiba-tiba anak matanya tertumpu pada susuk seseorang yang sedang berjalan mendekati resort tempat penginapannya.

“Hai.” Ringan sahaja mulut Aydan menyapa wanita yang berjalan berseorangan melewati tempat dia berada sekarang.

Anis terpinga-pinga ditegur seseorang. Mata mula mencari empunya suara yang menegur. Terus tersentap jantung saat melihat pemilik suara itu.

“Sorang?” tegur Aydan. Hai, dia jadi ramah pula tiba-tiba apabila berjumpa dengan wanita ini.

Anis menghentikan langkah seketika. Bibir diketap geram.

“Ya, encik ada nampak orang lain ke bersama saya?” Anis menyoal dengan nada sinis. Sudah nampak lagi ditanya.

Aydan mengukir senyum.

“Nak pergi mana?” soal Aydan. Sengaja nak panjangkan bicara.

“Saja, ambil angin sebelum balik kerja.” Anis terpaksa menjawab soalan itu. Bimbang dikatakan sombong dan biadab dengan pengunjung. Nanti tak pasal-pasal kena komen dan ada yang buat repot.

“Oh... okey. Have a nice day. I masuk dulu.” Aydan membuat pendekatan lain. Buat-buat tak kisah. Dia terus melangkah masuk ke dalam biliknya.

Anis tercengang. Pelik dan terkejut kerana lagi sekali mereka berjumpa tanpa sengaja. Nampaknya lelaki ini bukan calang-calang orangnya. Tengah hari tadi dia sempat melihat lelaki itu bersembang dengan Encik Fahiem, pengurusnya. Hubungan mereka nampak rapat.

Anis kembali mengatur langkah yang terhenti sebentar tadi.

Di dalam biliknya, Aydan tidak meneruskan niatnya untuk mandi. Dia sekadar masuk tapi matanya masih mengintai tingkah laku Anis yang sedang mengatur langkah meninggalkan tempat itu.

 

*** READY STOK KELUARAN APR 2021. SEBARANG PERTANYAAN ATAU UNTUK MEMBUAT BELIAN BOLEH WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-372 9676 (Cik Shida) 011-4004 9752 (Cik Admin)

 

No comments:

Post a Comment