DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 7


“KENAPA dengan kau ni, bro? Muka kau tu macam orang bengang dan resah aje?” tegur Fahiem. Sejak tadi dia perhatikan wajah Aydan. Macam ada sesuatu yang membelenggu temannya itu.

Aydan melepaskan keluhan berat. Memang betul kata temannya itu. Dia betul-betul resah sekarang.

“Aku nak tanya ni, kau kenal tak staf kat sini yang nama Anis?” soal Aydan. Dia yakin Fahiem memang kenal kerana Fahiem merupakan pengurus resort ini.

Dia dan Fahiem memang kenalan. Dah banyak kali dia datang menginap di sini kalau ada urusan kerja di Terengganu. Tapi tak sangka pula kedatangannya kali ini menemukannya dengan gadis itu semula.

Tetapi mana mungkin gadis itu dengan mudah menerima lelaki yang tak dikenali, apalagi setelah mengetahui semua keburukan yang disebutnya. Silap dia juga kerana terlalu gelojoh gara-gara bengang dengan saranan mamanya yang kepingin melihat dia berkahwin kononnya.

“Anis? Maksud kau Nur Farahanis?” soal Fahiem terkejut.

Aydan segera mengangguk kepala.

Yes. Nur Farahanis,” akui Aydan dengan rasa tak sabar.

“Kenapa kau berminat nak tahu pasal dia?” Fahiem merenung wajah Aydan. Pelik juga sebab selama dia mengenali Aydan, lelaki itu tidak pernah menunjukkan minatnya pada mana-mana perempuan. Sebaliknya, perempuan yang menaruh minat pada dia.

She is something.” Aydan pamer senyum.

“Sebab dia cantik? Putih melepak? Macam tu?” tutur Fahiem. Ada gelak sinis di hujungnya.

Aydan mencebik bibir.

“Bukan sebab itu. Macam yang aku cakap tadilah, she is something.”

“Bukan kau seorang yang menaruh minat pada dia. Tapi ada beberapa orang lagi tapi maaflah, dia tu dah berpunya. Kau hanya mampu pandang ajelah.” Fahiem mengukir senyum. Nak tergelak pula melihat lagak tercengang Aydan.

“Dah berpunya. Mampu pandang? Maksud kau?” soal Aydan tidak puas hati. Tapi tak mustahil kalau orang cantik macam gadis itu sudah berpunya tapi hatinya tetap berdegil mahukan gadis itu juga. Pertama kali dia rasa perasaan seperti ini. Rasa sesuatu!

“Memang dah berpunya sebab dia tu isteri orang,” beritahu Fahiem.

What??? Isteri orang? Kau ni biar betul atau kau saja nak mainkan aku?” Aydan sukar hendak percaya.

“Apa yang aku dapat kalau aku tipu kau? Memang betullah dia tu isteri orang. Baru kahwin bulan lepas. Dia ikut suami kerja kat sini. Suami dia engineer. Aku kenal suami dia tu sebab dia saudara jauh aku. Aku yang rekomen supaya Anis tu kerja kat sini,” ulas Fahiem dengan wajah serius.

Aydan mengeluh. Bahunya melorot jatuh. Kecewa.

“Kau suka Anis ke?” Tajam mata Fahiem menatap wajah Aydan. Dia sebenarnya terkejut bila melihat reaksi kecewa Aydan.

Aydan diam. Nak mengaku, rasa segan pula sebab dah tersuka dekat isteri orang. Nak buat macam mana, nasib tidak menyebelahinya. Lagi sekali Aydan mengeluh.

Hmm... kesian kat kau kan. Bila dah tersuka dekat seseorang, dah jadi milik orang. Sabarlah. Insya-Allah akan ada seseorang yang akan hadir dalam hidup kau satu hari nanti. Banyakkan berdoa ya.” Itu yang mampu Fahiem katakan. Bahu Aydan ditepuk perlahan sebagai tanda sokongan.

Aydan mengukir senyum. Teringat pula bicara mamanya. Kalau dia masih tak mampu menemui seseorang dalam tempoh beberapa bulan ini, mamanya akan buat hal lagi. Kali ini mampukah dia menolak gesaan dan perancangan Puan Sri Hayati yang mahu melihat dia berkahwin dan juga tak sabar nak menimang cucu hasil dari zuriatnya?

‘Mama... mama... masih tak cukup ke cucu yang ada sekarang? Sampaikan aku pula yang jadi mangsa?’

Aydan garu kepala bersama sengihan.

 

UNTUK KALI kedua, Aydan tak sangka yang dia akan bertemu dengan gadis itu semasa perjalanan pulang ke biliknya. Masa itu dia baru sahaja balik dari berjalan-jalan di persisiran pantai. Nasib baik hari ini kerjanya di tapak projek cepat siap. Jadi dapatlah dia santai-santai di resort ini sambil menikmati pemandangan. Pagi esok dia akan bertolak ke Kuala Lumpur.

Aydan sedar yang Anis cuba mengelak daripada bertemu dengannya. Tapi bagi Aydan, itu satu pertemuan yang tidak dijangka.

“Maaf, saya nak lalu.” Anis pamer wajah serius. Lelaki itu masih berdiri statik di tengah-tengah tanpa bergerak.

“Eh, lalulah. I tak halang,” balas Aydan.

Anis mengeluh perlahan.

Melihat lelaki itu masih lagi dalam keadaan kaku, Anis mula bergerak ke kiri untuk melangkah. Dalam masa yang sama, Aydan turut bergerak ke kanan bagi memberi laluan kepada gadis itu yang menyebabkan mereka hampir bertembung.

“Encik, saya nak lalu. Tolong jangan halang,” nada suara Anis semakin serius.

“Ya, I tak halang,” balas Aydan.

Anis dah mula ketap bibir.

Aydan tayang muka tak bersalah. Memang dia tak sengaja pun buat kedudukan mereka bertembung. Dah memang di luar jangkaan.

“Okey, encik berdiri dekat situ diam-diam. Jangan bergerak sedikit pun.” Anis memberi syarat. Siap dibulatkan anak matanya.

Aydan senyum sambil cuba menahan ketawa melihat gelagat Anis. Lucu dengan permintaan Anis tapi dia tetap berdiri tegak sebagaimana yang gadis itu mahukan.

Anis segera mengatur langkah meninggalkan Aydan. Namun, ada sesuatu yang membuatkan Anis tersentuh tiba-tiba. Haruman yang dipakai lelaki itu terasa melekat kuat di hidung seakan mencium haruman tubuh itu. Dia tak sanggup berpaling ke belakang untuk melihatnya.

Aydan berpusing dan menatap tubuh Anis yang makin menjauh hinggalah tubuh itu benar-benar hilang dari pandangan.

Dia kembali melangkah untuk ke resort. Dia mahu berehat dan tenangkan fikiran. Tiada gunanya dia memikirkan perempuan yang tak mungkin menjadi miliknya. Mungkin ada perempuan lain yang akan wujud dalam hidupnya nanti. Dia hanya perlu menunggu dan bersabar.

 

MATA AYDAN terus tertumpu ke arah telefonnya yang sedang berdering sebaik sahaja dia keluar dari bilik air dengan hanya mengenakan tuala di pinggangnya. Titisan air yang jatuh di badannya dibiarkan. Kakinya melangkah ke katil dan mendapatkan telefon pintar. Bibirnya mengorak senyum melihat nama yang tertera di skrin telefon.

What’s up, bro. Dah mula rindukan aku ke?” ujar Aydan selepas memberi salam. Terdengar suara gelak di hujung talian.

Woi, kau ingat aku ni kekasih kau, nak main rindu-rindu ni!”

Suara bengang Khalief membuatkan Aydan terus melepas tawa sambil melabuh punggung di atas katil.

“Dah tu, kenapa kau call aku?” Aydan gembira menerima panggilan daripada kawannya ini. Sekurang-kurangnya dia tak rasa keseorangan di resort ini. Sekejap lagi dia mahu buat panggilan pesanan makanan. Lebih baik dia makan di bilik sahaja kerana jika ke kafe, dia akan makan seorang diri juga.

“Aku saja call kau. Nak berborak dengan kau. Tanya khabar. Tak boleh ke?” ujar Khalief di hujung talian.

“Boleh sangat. Aku pun memang dah boring gila duk sorang kat sini,” akui Aydan.

Hmm... Kalau dah boring sangat, kenapa tak cari sesiapa untuk temankan kau berbual? Manalah tahu terjumpa calon isteri mungkin,” usik Khalief.

Aydan mengeluh perlahan. Anak rambut yang berjuntaian di dahi ditolak ke belakang. Saat itu juga, terbayang wajah seseorang di matanya.

“Memang aku dah jumpa calonnya tapi sayang...” Sekali lagi Aydan melepas keluhan panjang.

“Kalau dah jumpa, apa masalahnya?” Khalief menyoal. Tak sabar pula nak tahu cerita yang seterusnya.

“Dia dah jadi milik orang.” Lemah nada suara Aydan memberitahu.

“Hah? Kau biar betul?”

“Ya, dia isteri orang. Baru jadi isteri orang. Baru sebulan kahwin,” jelas Aydan.

“Adoi, masalah berat ni.” Macam serius saja bunyi nada suara Aydan saat ini. Lepas tu Khalief gelak kuat.

“Hei, kenapa gelak pula. Aku tengah serius ni.” Aydan mengetap bibir.

“Yalah. Dalam banyak-banyak perempuan kat Malaysia ni, kenapa kau boleh berkenan kat bini orang pula? Dah parah sangat tu,” ujar Khalief.

“Nak buat macam mana. Dah hati berkenan kat dia. Bukan boleh dipaksa-paksa macam yang dibuat mama aku tu.” Aydan bengang.

“Okey, cuba cerita perkara sebenar. Biar jelas dan terang.” Kali ini nada suara Khalief kembali serius. Macamlah dia boleh selesaikan masalah yang ditanggung oleh Aydan sekarang ini.

Tanpa berlengah, Aydan terus bercerita dari awal hingga akhir bagaimana dia boleh bertemu dengan gadis itu.

Hmm... tak apalah. Nak buat macam mana. Dah tak ada rezeki dan jodoh kau dengan dia. Kau terima ajelah. Takkanlah kau nak fikir yang bukan-bukan pula kan,” komen Khalief.

Khalief tumpang simpati dengan nasib yang menimpa Aydan tapi dia tak tahu macam mana nak bantu. Aydan ni kalau bab perempuan, bukan main cerewet lagi memilih. Bukan senang nak tawan hati dia. Tapi kali ini yang berjaya menawan hati Aydan, isteri orang pula. Kasihan.

No comments:

Post a Comment