DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 6


ANIS mula rasa selesa bekerja di resort itu. Walaupun dia merupakan orang baharu tapi layanan daripada staf di situ membuatkan dia rasa tidak kekok. Mereka semua mesra dan ramah.

Awal-awal lagi Syaqeer mengingatkan dia supaya menjaga batas pergaulan. Jangan melayan mana-mana lelaki yang cuba nak rapat dengannya. Dia turut mengingatkan Anis supaya sedar statusnya sebagai isteri. Jangan balik lewat dan beritahu dia tentang semua perkara.

Adakalanya Anis rasa rimas dengan sikap Syaqeer. Macamlah dia ni budak kecil yang nak kena beritahu semua benda. Dia tahulah macam mana nak uruskan diri sendiri. Malah dia juga tahu batas-batas pergaulan sebagai seorang isteri.

Tetapi yang buatkan dia hangat hati apabila Syaqeer sesuka hati sahaja nak keluar rumah dan balik bila-bila masa tanpa memaklumkan kepadanya. Bila ditanya, Syaqeer pasti akan melenting.

“Kan abang dah cakap, Anis tak payah nak sibuk pasal urusan abang,” marah Syaqeer.

“Habis tu, abang pun tak payahlah nak sibuk ambil tahu semua benda pasal Anis.”

Bengang betul kalau bercakap dengan Syaqeer. Memang Syaqeer mahu dia ikut segala arahan tanpa ada sebarang bantahan. Kadang-kadang Anis rasa sangat tertekan dan stres. Baru beberapa hari menjadi isteri Syaqeer, dia mula terkongkong. Ini tak boleh, itu tak boleh. Semuanya tak boleh.

“Helo. Abang ni lelaki dan suami Anis. Sebab itu abang berhak untuk tahu semua pasal Anis. Faham?” sergah Syaqeer. Tersentak Anis dibuatnya.

“Anis ni isteri abang. Jadi Anis pun berhak tahu pasal abang. Mana abang pergi, dengan siapa abang keluar,” bidas Anis. Panas hati dibuatnya. Rasa macam nak hantuk sahaja kepala si Syaqeer ni ke dinding. Biar terbelah dua.

“Hah, melawan! Jangan sampai abang naik tangan abang ke muka Anis. Anis kena sedar kedudukan Anis!” jerkah Syaqeer dengan wajah membahang bila Anis menyangkal tindakannya.

Anis hanya mendiamkan diri. Malas nak cari gaduh. Tak mendatangkan faedah pun.

“Abang... Sepanjang kita kahwin, Anis tak pernah tengok abang solat. Abang tak pernah solat ke? Macam ni abang nak jadi imam untuk keluarga kita?” lantang Anis menyoal. Dia pernah bertanyakan soalan itu beberapa hari yang lalu.

Teguran yang keluar dari mulut Anis itu membuatkan Syaqeer mencengkam kuat wajah isterinya.

“Kalau Anis nak solat, solat ajelah. Abang tak larang. Tak payah nak ajar abang. Abang tahulah tanggungjawab abang. Lagipun, kubur masing-masing!” balas Syaqeer dengan wajah berang. Kemudian dia menolak Anis dengan kasar sehingga tubuh itu terdorong ke belakang dua langkah.

Anis rasa begitu sedih dan kecewa diperlakukan begitu. Salahkah kalau dia cuba bertanya untuk kebaikan? Bukankah suami dan isteri ni kena saling ingat mengingati demi kebaikan? Tapi ternyata, Syaqeer jenis yang pantang ditegur dan mudah berang.

Setakat ini, Syaqeer belum naik tangan lagi. Risau juga kalau satu hari nanti dia akan buat begitu. Pada siapa harus Anis mengadu? Sedangkan dalam soal hubungan suami isteri tidak baik diceritakan kepada orang lain. Tapi kalau dah sampai memudaratkan, perlukah dipertahankan lagi?

“Amboi, termenung jauh nampak. Kenapa? Rindukan cik abang ya?” usik Salehah yang baru muncul.

Salehah adalah rakan sekerjanya. Mereka hampir sebaya. Salehah merupakan anak jati Terengganu. Sudah 3 tahun bekerja di resort ini.

“Tak adalah. Saja nak duduk termenung, salah ke?” Anis cuba tayang senyum.

“Tak ada salah asalkan tak mengganggu kerja kita,” komen Salehah sambil mengukir senyum.

Anis hanya diam dan kembali menayang senyum.

“Kata pengantin baharu, takkanlah tak ada cadangan nak pergi berbulan madu kat mana-mana.” Anis memandang lama wajah Salehah. Wajah gadis itu mula resah.

“Lehah tersalah cakap ke?”

“Tak adalah. Kami belum bincang soal nak pergi berbulan madu dekat mana lagi. Kalau tak pergi mana-mana pun, Anis tak kisah. Kerja kat resort ni pun dah rasa macam datang berbulan madu,” ujar Anis. Kemudian dia buat-buat gelak.

Sebenarnya dia ada bertanyakan hal ini kepada Syaqeer tetapi Syaqeer bagi alasan yang sekarang ini dia sibuk dengan kerja. Tak boleh nak bercuti lama-lama. Jadi, Anis mengambil pendekatan dengan hanya mendiamkan diri.

Sejak kebelakangan ini, Syaqeer jarang berenggang dengan telefonnya kalau dia ada di rumah. Asyik bergayut sahaja. Kalau Anis ada di dalam bilik, Syaqeer akan keluar berbual telefon di luar. Cakap pun bisik-bisik. Terdetik juga di hatinya yang Syaqeer sebenarnya sedang berbual dengan kekasih hati yang dinamakan Diela itu. Lepas selesai bercakap di telefon, muka suaminya akan kembali ceria.

Kemudian, mulalah nak tuntut hak dia. Kalau tak dilayan, dia akan marah-marah dan ungkit tentang tanggungjawab sebagai isteri. Dahlah Syaqeer ni jenis yang tak jaga kebersihan. Suka sepahkan pakaian merata-rata. Anis sebenarnya penat melayan kerenah Syaqeer sepanjang bergelar isteri kepada lelaki itu. Jauh panggang dari api kalau dilihat dari segi penampilan dan perangai.

Ada ketikanya Anis terkenangkan kata-kata lelaki yang bernama Aydan. Macam satu sumpahan dan rasa macam terkena batang hidung sendiri. Satu per satu perkara yang dinyatakan oleh lelaki itu ada pada Syaqeer.

Begitukah sikap lelaki bila sudah berkahwin? Semua keburukan pasti akan timbul atau hanya nasib yang tidak menyebelahinya kerana dipertemukan dengan lelaki seperti Syaqeer.

Menyesalkah dia berkahwin dengan Syaqeer? Tapi kalau ditanya ketika ini, dia takkan teragak-agak mengakui yang dia sangat menyesal kerana mudah akur dengan jodoh yang telah ditentukan oleh orang tuanya. Kalaulah dia berkeras menolak jodoh dengan Syaqeer sebelum ini, pasti dia takkan mengalami semua ini. Kalaulah...

Anis cuba menyatakan yang baik-baik sahaja tentang perkahwinannya dengan Syaqeer yang baru sahaja sebulan berkahwin. Sepatutnya ketika ini, benda-benda yang manis sahaja dialami tapi sebaliknya pula yang terjadi. Lelaki yang dia dapat tidak seperti apa yang diimpikan. Dia mahukan seorang suami yang mampu membimbing isterinya ke arah kebaikan.

Anis sangkakan Syaqeer mampu menjadi seorang suami yang baik dan sempurna, sebaliknya Syaqeer hanya tahu menuntut hak batinnya sahaja.

“Lehah, Anis nak pergi kafe. Sekarang ni dah waktu lunch kan? Tiba-tiba rasa lapar pula.”

Anis mula bangkit. Saja nak mengelak dari bercerita hal perkahwinannya. Lagipun dia baru sahaja berkenalan dengan Salehah, takkan nak ceritakan semuanya. Maisara dan orang tuanya pun dia tak cerita, inikan pula kenalan yang baru dia kenal sehari dua.

“Haah, tak perasan pula dah masuk waktu rehat.”

Salehah tergelak kecil. Nasib baik mereka bekerja di bahagian pengurusan. Tak adalah kena terlibat dengan pelanggan dan pengunjung setiap masa. Mereka hanya menguruskan soal admin resort sahaja.

“Tak nak pergi makan sekali ke?” Selalunya dia makan bersama Salehah.

Sorry, hari ni Lehah puasa. Puasa ganti.” Salehah tayang sengih.

“Yalah. Anis pergi dulu.” Anis sudah bersedia untuk beredar. Sudah dua hari, dia tinggal keseorangan sebab Syaqeer pergi outstation ke Melaka.

 

“BOLEH I duduk kat sini?”

Mendengar suara yang meminta izin itu membuatkan Anis terus mengangkat wajah. Sebaik sahaja melihat empunya suara, wajahnya terasa hangat. Spontan Anis terbangun dek terkejut melihat wajah lelaki di hadapannya sekarang.

Please... stay!” suara tegas lelaki itu membuatkan tubuh dan tindakan Anis menjadi kaku. Perlahan-lahan dia kembali melabuhkan punggung di kerusi.

“Terkejut? Sorry kalau I dah buat you terkejut tengok muka I. You masih ingat I lagi tak?” soal lelaki itu yang sedang ralit merenung wajah resah Anis.

Perlahan-lahan Anis mengangguk kepala. Memberi jawapan yang dia masih mengingati wajah lelaki ini.

Sorry, I tak sengaja nak takutkan you masa tu dan juga sekarang.”

Anis tarik nafas perlahan.

“Masih ingat lagi nama I?” soal lelaki itu.

Anis tetap diam.

“Nama I, Aydan. Aydan Harith bin Razlan. You? I belum tahu nama you lagi,” ujar Aydan.

“Nama saya Anis, Nur Farahanis.”

“Cantik nama you. Macam orangnya juga.” Aydan mengukir senyum.

Sungguh, Aydan tidak sangka yang kedatangannya ke Terengganu dan menginap di resort ini menemukan dia sekali lagi dengan gadis di hadapannya. Memang dia mengharapkan pertemuan ini. Dia pun tak tahu kenapa dia ingin sangat bertemu semula dengan gadis bernama Anis ini.

Yang pasti ada sesuatu yang istimewa pada Anis yang tiada pada gadis-gadis yang pernah dia temui sebelum ini. Dia memberanikan diri mendekati gadis ini yang kebetulan sedang makan berseorangan.

“You buat apa kat sini?” Aydan sekadar bertanya sebagai tanda perkenalan. Melihat dari pakaian dan tag nama yang terletak di tudung Anis, dia sudah tahu bahawa Anis adalah pekerja di resort ini.

“Saya kerja kat sini.” Anis bersuara.

“Oh, kerja kat sini. You orang sini ke?” soal Aydan.

“Tak. Saya orang KL. Cuma kerja kat sini,” beritahu Anis lagi.

“Oh, dah lama kerja kat sini?”

Anis memandang wajah Aydan.

“Encik ni kerja sebagai wartawan ke apa?” Anis mula rasa tak selesa.

Aydan tergelak kecil.

“Kenapa? Muka I ni macam muka wartawan ke?” soalan dibalas soalan.

Anis mencebik sambil mengangkat bahu. Peduli apa kalau lelaki ini wartawan atau tidak. Tak ada kena-mengena dengan dia pun.

“I bukan kerja sebagai wartawan. I kerja biasa aje,” balas Aydan tanpa menyatakan siapa dia sebenarnya.

“Tak apalah. Saya dah lewat nak masuk kerja. Saya pergi dulu. Selamat menjamu selera ya.”

Anis mula mengangkat punggung. Tidak selesa apabila menyedari ada beberapa orang pengunjung yang makan di situ mula memandangnya. Lebih tepat lagi memandang lelaki yang bersama dengannya sekarang ini.

Maklumlah lelaki di hadapannya ini tergolong dalam kategori lelaki kacak. Penampilan juga nampak kemas dan segak walaupun sekadar mengenakan kemeja lengan panjang yang dilipat hingga ke siku dan juga seluar jean berwarna biru. Gaya pun nampak ala-ala model. Pastilah mengundang pandangan gadis-gadis itu.

Anis masih sedar akan status dirinya sebagai isteri orang. Jadi, dia tak nak menimbulkan sebarang fitnah dan spekulasi. Apatah lagi kalau sampai ke telinga Syaqeer.

Wait!”

Anis tersentap apabila pergelangan tangannya dipegang secara mengejut.

“Apa ni?” marah Anis. Mencerlung anak matanya menatap wajah Aydan. Memang pantang kalau ada lelaki yang suka pegang-pegang ni.

“I tak nak cakap banyak. I cuma nak cakap, I nak lamar you jadi isteri I,” tutur Aydan dengan lancar.

What? Encik dah gila ya?” Anis bertambah terkejut dan bengang dibuatnya. Tak pernah membayangkan yang dia akan menghadapi situasi begini. Dilamar tiba-tiba oleh orang yang dia tak kenal. Dahlah dia masih berstatus isteri orang. Kan kerja gila namanya tu.

“I tak gila. I serius. I memang nak melamar you dan jadikan you isteri I. Kalau you nak, I boleh datang jumpa orang tua you,” balas Aydan dengan wajah serius.

Anis dah mula pegang dahi. Kepalanya dah mula terasa berdenyut tiba-tiba. Boleh migrain dibuatnya.

“Encik ni memang dah gila. Baik encik pergi hospital untuk check-up dan buat rawatan.” Anis memberi saranan. Malu betul bila beberapa orang sedang memandang ke arah mereka.

Aydan makin mendekati Anis. Beg duit dalam poket seluar dikeluarkan lalu sekeping kad kecil diambil. Selamba tangan Anis dicapai dan diletakkan kad tadi di telapak tangan gadis itu.

“Ini kad I. You boleh hubungi I bila-bila masa untuk beritahu keputusan you. Kalau you nak dapat kerja selain dari sini pun, you boleh hubungi I especially kalau you nak kerja kat KL, I boleh uruskan. Anytime.” Usai memberi kata-kata itu, Aydan terus berlalu meninggalkan Anis termangu sendiri.

Pandangan mata Anis tiba-tiba tertumpu pada pinggan lelaki tadi yang masih belum berusik. Tanpa sedar, dia menggaru dahi yang tidak gatal.

No comments:

Post a Comment