Saat aku mahu melupakan kesakitan itu,
kau datang merayu...
SYIFAA duduk tenang menonton televisyen. Ketika ini siaran rancangan kegemarannya sedang bersiaran. Memang dia fokus sungguh. Langsung tidak dihiraukan suasana ruang tamu yang bingit dengan suara pertelingkahan antara Khaty dengan Ain. Entah apa lagilah yang tidak kena dengan dua orang temannya itu.
“Syifaa!” sergah Khaty.
“Apa?” Mata masih ralit terarah pada kaca televisyen.
Khaty merengus. Geram dengan Syifaa. Apa yang seronok dengan rancangan Korea itu pun dia tidak tahu. Dia menjeling Ain meminta si teman pula memanggil.
“Woi, dahlah tengok Three Meals A Day tu. Ni ada yang lagi penting ni,” sampuk Ain pula.
“Hah? Kalau nak suruh aku jadi pengadil untuk kau orang, tak nak. Syuh, syuh! Jangan kacau aku,” halau Syifaa. Tergawang-gawang tangannya menyuruh kedua-dua sahabatnya itu menjauh.
Geram dengan Syifaa, Khaty bertindak mematikan televisyen. Puas hati dia melihat muka tidak puas hati Syifaa.
“Apa ni?” rengek Syifaa.
“Tu... kat luar tu... duda kau datang,” ujar Khaty seraya mulutnya memuncung ke luar rumah. Tengah rancak bertekak dengan Ain tiba-tiba diganggu dengan salam dari luar. Sekali diintai duda si Syifaa ni. Entah apa lagilah yang si Adam mahukan.
“Duda? Bila masa pula aku bercerai? Kahwin pun belum lagi,” soal Syifaa dengan kerutan di dahi. Ditayangkan muka blur.
Khaty tepuk dahi. Manakala Ain bantai tergelak.
“Adamlah. Bekas tunang kau. Tu... ada kat luar,” ujar Ain.
“Hah?” Melopong mulut Syifaa. Adam? Biar betul? Sudah kenapa cari dia sampai di rumah? Naik bingung dia dengan sikap mendesak Adam. Dibuatnya hal ini sampai ke pengetahuan Dila ataupun Mak Long Siti, habis dia dibambu. Dan makin bertambahlah kebencian Puan Zuyyin dengan Encik Arash kepadanya. Keluhan dalam dilepaskan perlahan.
“Aduhai, kau ni... aku sumbat juga bunga lili ni dalam mulut kau. Dahlah tu buat muka blur. Pergilah keluar. Jangan sampai ada yang mengata pula tengok lelaki malam-malam jadi jaga depan rumah kita ni!” selar Khaty dengan nada sebal. Syifaa ini kalau diberi bunga dan cerita Korea, memang tak pandang ke lain dah. Sebab itulah dari tadi Adam beri salam, sahabatnya itu buat selamba saja.
Dengan langkah malas, Syifaa mencapai tudung sarung lalu dipakai ke kepala sebelum melangkah keluar. Dari muka pintu dia nampak Adam sedang bersandar pada kereta dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket. Segak. Ya, lelaki ini memang segak. Tapi perangai macam syaitan!
“Kenapa datang sini?” soal Syifaa tanpa menunggu sesaat. Tak perlu berlengah. Lagi cepat habis lagi bagus.
Tegak badan Adam. Dipandang wajah Syifaa dengan rasa bersalah. Silap dia memutuskan hubungan mereka kerana Dila. Kononnya Dila mampu membahagiakannya. Tapi... Allah Maha Adil. Tanpa menunggu lama, Allah sudah tunjukkan balasan dia melukai gadis sebaik Syifaa.
Dila bukan sebaik yang disangka. Dia tertipu. Dan sekarang dia menebalkan muka mengemis cinta Syifaa sekali lagi walaupun tahu Syifaa sudah membencinya. Haruslah gadis itu benci kepadanya, kerana bukan sikit luka yang ditinggalkan. Maruah gadis ini...
‘Maafkan saya, Syifaa...’ gema hatinya.
“Syifaa sihat?” soal Adam bermanis kata.
Syifaa mencebik. Meluat dengan soalan yang berbunyi prihatin itu.
“Itu saja ke awak nak tanya saya?” soal Syifaa mendatar tanpa menjawab soalan Adam. Kalau itu yang menyebabkan Adam ke sini, sangat buang masa. Lagi pula sakit demamnya bukan lagi urusan Adam. Selama ini lelaki itu tidak pernah ambil tahu jika dia mengadu sekalipun.
Berubah riak wajah Adam, namun cepat dia tukar riak tenang. Mana boleh dia melatah dengan provokasi Syifaa. Dia tahu, berdepan dengan Syifaa yang sekarang, dia perlu lebih banyak bersabar.
“Syifaa...”
“Kalau awak datang sekadar untuk bertanya sihat atau tak... lebih baik awak lupakan aje, Adam. Sebelum ni... eh, bukan.... beberapa bulan sebelum majlis kita, awak abaikan saya seratus peratus. Sakit pening saya, awak tak pedulikan. Bila saya mengadu, awak cakap saya mengada-ada sebab nak kahwin. Macam-macamlah alasan awak bagi,” sinis Syifaa. “Jadi, jangan bebankan bahu awak dengan hal yang tak sepatutnya. Baliklah Adam,” suruh Syifaa.
Adam tunduk. Rasa bersalah kian memuncak di tangkai hati. Betapa bodohnya dia kerana termakan hasutan Dila tentang masa silam Syifaa. Siapa saja yang tidak pernah berbuat kesilapan? Apa yang penting adalah masa sekarang. Syifaa yang sekarang. Itu yang dia terlupa. Masa sekarang!
“Syifaa, saya... saya...”
“Nak minta maaf?” duga Syifaa. “Macam inilah Adam, buat masa sekarang saya tak mampu nak maafkan awak. Awak tak duduk di tempat saya, Adam. Awak... tak rasa apa yang saya rasa. Maruah diri saya dipijak awak semahunya. Saya tak kisah awak nak putuskan pertunangan kita. Bagi saya, buat apa terhegeh kalau orang tak sudi, kan? Tapi... perbuatan awak... Saya menyesal kerana pernah bergelar tunang awak!” tempelak Syifaa tegas. Ikutkan hati mahu saja dibaling pasu di tamannya itu kepada Adam.
“Saya tahu apa yang saya lakukan itu memang teruk.” Adam pejamkan mata rapat. Dia bukan saja melukai hati Syifaa, malah dia membiarkan segala tuduhan, segala bebanan, segala kesalahan dan punca pertunangan mereka terputus diletakkan di atas bahu Syifaa. Dia tahu, itu kekejaman yang tak mungkin Syifaa lupakan.
“I’m glad you realised that,” sinis Syifaa.
“Tapi Syifaa, saya masih sayangkan awak. Saya minta maaf sebab lukakan hati awak. Bagilah saya peluang betulkan semuanya semula.”
“Betulkan semuanya semula? How?”
“Terima saya kembali. Kita kahwin?” Lancar sebaris ayat itu meluncur di bibir Adam.
“What???” Kuat suara Syifaa melantun. Dia mendengus geram. Dia berpaling daripada memandang wajah Adam. Terasa mahu saja diterajang Adam kala ini. Lelaki ini ingat dia apa? Barang? Patung? Masa tak nak, buang. Lepas tu bila nak, kutip balik! Kerana lelaki ini, dia dihina oleh keluarga sendiri. Kerana lelaki ini, pelbagai tohmahan dia terima. Bukan daripada orang luar, tapi ahli keluarga sendiri. Sehingga sekarang dia sudah menjadi yatim piatu sebelum masanya. Benci! Sungguh dia bencikan Adam. Ah, kenapalah dia boleh terperangkap dengan lelaki seperti Adam?
“Syifaa,” panggil Adam. Resah dia melihat reaksi gadis itu.
“Kau dah gila ke? Atau kau dah buta?” soal Syifaa. Sudah hilang lembut bicaranya. “Hei, kau tengok aku ni elok-elok. Tengok! Aku ni perempuan yang kau tolak beberapa minggu sebelum perkahwinan kita. Kau tak ingat ke apa kau cakap masa tu? Hah? Kau lupa ke?” selar Syifaa.
“Ya, saya tahu salah saya, Syifaa. Saya menyesal. Saya silap menilai permata dan kaca. Dila...”
Meletus tawa Syifaa apabila nama Dila dikaitkan. Kenapalah mereka tidak boleh membiarkan dia membina hidupnya sendiri? Dia sudah mengundur daripada haluan yang melibatkan mereka, tapi kenapa... kenapa masih menginding? Sungguh dia lemas dan rimas dengan semua desakan ini.
“Oh, sebab kau dan Dila dah putus, kau cari aku? Atau kali ini kau nak letak semua salah atas bahu Dila pula? Hei, mati hidup balik pun aku takkan terima kau balik. Pergi dari sini! Jangan tunjuk muka kau depan aku lagi!” jerit Syifaa. Kesabarannya makin menipis.
“Syifaa, dengar dulu. Bukan macam tu. Bukan sebab Dila dah putus dengan saya. Lagi pula kami putus sebab...”
“Dah!” Syifaa menekup telinga tanda tidak mahu mendengar apa-apa pun. Apa jua alasan Adam dan Dila berpisah, dia tidak mahu tahu. Dia tak peduli pun!
“Sebab kau, pelbagai kata hinaan dilemparkan kepada aku. Sebab kau, aku dikatakan sial, malang, perempuan murah. Kerana kau, aku...” Berombak laju dada Syifaa. Sempit. Tidak mampu diteruskan kata-katanya. Sakit!
Terngiang-ngiang segala cemuhan yang diterimanya sejurus keluarga Adam menelefon memutuskan pertunangan. Air mata yang mahu jatuh diseka dengan hujung jari. Lebih menyakitkan segala kata-kata itu keluar daripada mulut ibu yang mengandungkannya!
“Pergilah Adam. Pergi!” halau Syifaa. Dia melangkah hendak masuk ke dalam rumah, namun langkahnya terhenti apabila tangannya ditarik oleh Adam.
Syifaa menjeling tajam. Berapi matanya mencerlung ke arah lelaki itu. Dia pantang jika orang menyentuhnya tidak kira berlapik ataupun tidak.
Lambat-lambat Adam melepaskan pegangannya. Dia mengalah. Dengan payah dia melangkah ke dalam kereta dan memecut pergi meninggalkan rumah Syifaa. Dia bukan berputus asa, dia cuma mengalah. Memberi masa untuk bekas tunangnya itu menenangkan hati.
Tidak jauh dari situ, Qayyum sedang memerhati. Dari tadi dia memerhatikan pasangan itu. Dia pasti mereka sedang bergaduh. Walaupun dia tidak mendengar butir bicara kedua-duanya, namun daripada bahasa badan mereka, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Siapakah gadis itu? Rasanya itu rumah yang...
Berkerut keningnya cuba mengingati sesuatu. Hah, itulah gadis yang dia nampak pagi tadi. Yang bersembang dengan bunga. Kekasih diakah lelaki itu? Qayyum cuba mengintai wajah sang gadis, namun tidak dapat dilihat dengan jelas.
Telefon yang sedang menjerit nyaring diangkat.
“Ya, ma. Nak balik dah ni.” Talian dimatikan.
Hairan. Kenapa dia ke sini? Niatnya tadi keluar untuk melihat suasana malam Kuala Lumpur. Tanpa sedar keretanya menghala ke kawasan ini. Qayyum terus pusingkan kereta dan berlalu dari situ.
Dari cermin pandang belakang, dia ternampak tubuh kecil si gadis melorot jatuh. Tangan segera menyentuh dada. Kenapa rasa sakit di situ? Siapakah gadis itu? Malas mahu berfikir panjang, diteruskan juga pemanduannya pulang ke rumah. Kejiranan mereka hanya bersebelahan sahaja.
Sampai di rumah, Qayyum terus ke biliknya. Fikirannya masih ligat memikirkan gerangan gadis tadi. Kenapa dia rasa seperti mengenali gadis itu? Disembamkan mukanya ke bantal.
‘Kau kan lelaki yang baik, Qayyum. Lelaki baik tak suka tengok wanita lemah ditindas. Jadi normallah kau rasa macam tu,’ pujuk hatinya.
No comments:
Post a Comment