SYAQEER melempar jelingan ke arah Anis yang sedang menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan.
Anis tidak mempedulikan jelingan suaminya. Dia meneruskan kerjanya seperti biasa. Sejak seminggu yang lepas, dia melancarkan mogok dan tidak bercakap dengan Syaqeer. Sepuluh patah yang ditanya, sepatah yang dijawab.
Bukan itu sahaja, dia juga tidak mahu tidur sebilik dengan Syaqeer sejak kemunculan Diela tempoh hari. Pada mulanya dia memberi alasan yang dia tidak dapat melayan kehendak suaminya kerana uzur. Lepas itu, terus meminta izin untuk berpindah bilik.
“Kenapa sampai nak pindah bilik?” soal Syaqeer dengan muka bengang. Hati dah mula merungut dan geram. Dah elok-elok tidur sebilik sebelum ini, alih-alih nak tidur berasingan. Memang pelik.
Kalau ya pun tengah uzur dan tak boleh tunaikan kehendak batinnya, dia boleh bersabar. Kalau tak dapat tahan sangat, dia ada tempat lain yang boleh memberikan layanan untuknya. Dia tidak kisah.
“Saja... nak ubah angin,” balas Anis acuh tak acuh sambil memasukkan baju-baju ke dalam beg beroda.
“Nak ubah angin apa ke bendanya? Jangan nak buat kerja bodohlah, Anis.” Syaqeer merentap kasar tangan isterinya.
Anis hembus nafas. Sabar Anis! Sabar.
“Abang jangan ingat Anis ni bodoh. Tak tahu apa yang abang buat kat belakang Anis. Ingat Anis tak tahu siapa perempuan yang bernama Diela tu. Konon-konon kawan sekerja. Kawan sekerja ke kekasih? Itu… tanda lebam kat leher abang tu, siapa yang buat? Perempuan tu kan? 2 hari abang menghilang, katanya hal kerja tapi sebenarnya abang bersama perempuan tu.” Anis melepas rasa yang terbuku di hati. Dia menentang wajah Syaqeer dengan pandangan tajam.
“Hei, mana Anis dapat cerita ni? Jangan nak main tuduh-tuduh. Abang dengan Diela ke Melaka sebab urusan kerja. Bukan saja-saja nak makan angin berdua.” Syaqeer masih tidak mahu mengaku. Bahu isterinya ditolak kasar. Terdorong tubuh Anis ke belakang dua langkah.
‘Memang dia sengaja nak cari gaduh dengan aku,’ desis hati Anis.
Anis hanya pamer senyum sinis. Geram betul dengan perangai si Syaqeer ni. Dah buat salah tapi masih tak nak mengaku.
“Anis dah pergi pejabat abang. Anis dah tanya diaorang. Mereka kata abang memang tak ada kerja pun kat Melaka. Abang hanya ambil cuti dan satu lagi, perempuan tu bukannya kawan sekerja abang. Dia tak kerja kat situ pun tapi dia memang kekasih abang. Dah lama abang bercinta dengan dia. Sampai sekarang pun abang dan dia masih pasangan kekasih.”
Anis menatap wajah Syaqeer dengan perasaan yang membara. Turun naik nafasnya menahan marah dan geram dengan perangai suami sendiri.
Syaqeer mendengus. Wajahnya berubah. Tak sangka perbuatannya selama ini dapat dihidu oleh Anis.
‘Memang dasar jantan dan suami tak guna!’ desis hati Anis.
“Dahlah abang. Anis menyesal kahwin dengan abang. Kalau Anis tahu macam ni hidup Anis sebagai isteri abang, Anis takkan terima abang. Anis akan tolak awal-awal masa kita nak dijodohkan.” Suara Anis mula mengendur. Ada rasa hiba mula bertandang di dada.
Selesai mengemas, Anis mengezip beg beroda tadi. Kemudian dia mula tarik beg beroda itu.
“Okey, kalau kau nak keluar dari bilik ni sangat, keluarlah. Aku tak hairanlah!” marah Syaqeer.
Suara dan panggilan pun dah berubah kasar tapi Anis tetap tak peduli. Lantaklah. Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari bilik itu, Syaqeer terus menutup kasar pintu bilik. Berdentum kuat bunyinya. Sakit juga telinga Anis mendengar tapi masa tu hatinya dah cukup puas.
“Sampai bila Anis nak mogok dengan abang?” Soalan Syaqeer membuatkan Anis kembali ke alam realiti. Nada suara suaminya juga kedengaran lembut di telinga.
Anis terus diam. Buat-buat sibuk menyediakan sarapan pagi. Selepas siap menyenduk nasi goreng, dia tuangkan air teh ke dalam cawan.
“Sayang, jangan buat abang macam ni. Abang minta maaf, okey. Abang tahu abang salah. Abang berkasar dengan sayang. Abang minta maaf. Abang janji, abang takkan buat lagi,” pujuk Syaqeer. Kali ini panggilan pun lembut. Siap ungkap kata sayang lagi.
Bila Anis terus tak pedulikannya, tubuh si isteri didekati. Tangan Anis digapai dan digenggam.
Anis dah nekad. Walau dengan apa cara pujukan Syaqeer sekali pun, dia takkan mengalah. Cukuplah dengan apa yang dia terima. Anis takkan sesekali memaafkan lelaki yang menyakitinya. Apalagi menduakan dia. Sekali Syaqeer buat macam tu, dia yakin dan percaya yang Syaqeer akan mengulanginya lagi. Dia berani jamin. Lelaki macam Syaqeer takkan mudah insaf.
“Abang makanlah. Nanti lewat nak pergi pejabat.” Anis menarik perlahan tangan yang masih dipegang Syaqeer. Kemudian dia tarik kerusi dan melabuh punggung. Pujukan suaminya itu ditolak mentah-mentah oleh Anis tanpa mempedulikan wajah kecewa Syaqeer. Biar suaminya rasa macam mana yang dia rasa. Baru adil.
Akhirnya Syaqeer mengikut langkah Anis. Dia tarik kerusi di sebelah Anis.
‘Dia duduk sebelah aku? Selama ini dia duduk berhadapan aku tapi kali ini duduk sebelah aku pula. Apa kes? Kes nak pujuk aku? Sorry, aku takkan terpujuk ya!’
Anis masih buat tak kisah. Bila melihat Syaqeer ubah tempat, dia ambil pinggan Syaqeer dan letak di hadapannya. Anis terus makan tanpa mempedulikan suaminya. Tadi dia dah pelawa Syaqeer makan. Jadi pandai-pandailah makan sendiri. Lagipun Syaqeer bukannya budak kecil yang perlu disuapkan makan.
“Sayang,” pujuk Syaqeer lagi. Pinggan di hadapan tidak disentuh. Sebaliknya tangan Anis sekali lagi cuba dicapai.
“Abang, Anis nak makan ni. Lepas ni, Anis nak pergi kerja. Kalau abang tak nak makan, tak apalah. Anis tak paksa. Mungkin masakan Anis ni tak sedap, tak selera dipandang.” Anis bersuara tanpa memandang wajah Syaqeer.
Terdengar Syaqeer mengeluh. Tak lama kemudian, Anis melihat Syaqeer mencapai sudu dan menikmati nasi goreng yang dimasaknya.
Suasana sunyi tanpa sebarang suara. Selepas selesai makan, Anis segera bangkit dan membawa pinggan kotor ke singki.
“Anis pergi dulu.”
Sempat lagi dia melihat Syaqeer berhenti makan sebelum berlalu pergi. Tergamam Syaqeer apabila isteri sendiri buat tak endah. Selalunya sebelum pergi kerja, Anis akan salam tangan Syaqeer dulu tapi kini dia menonong saja berlalu ke ruang tamu untuk mencapai beg tangan dan segera keluar dari rumah.
DIELA MEMANDANG wajah muram Syaqeer sejak mereka keluar bersama ke restoran ini. Makanan yang terhidang di depan lelaki itu masih belum disentuh. Diela mula geram. Dia tahu Syaqeer pasti memikirkan tentang isterinya.
Beberapa hari lepas, Syaqeer mengadu yang isterinya merajuk setelah melihat mereka berdua tempoh hari. Malah Syaqeer turut menyatakan bahawa Anis sudah pun tahu tentang hubungan mereka berdua. Kini Anis sudah tidak tidur bersama Syaqeer.
Bagi Diela, itu berita baik untuknya. Dia yakin, lambat-laun Syaqeer dan isterinya akan berpisah. Dia tak sabar menunggu hari itu.
“Sayang, kenapa dengan you ni? Muram aje,” tutur Diela. Tangan Syaqeer yang berada di atas meja disentuh.
“I banyak kerja kat ofis.” Syaqeer memberi alasan sebagai jawapan.
“Banyak kerja kat ofis? Betul ke? Atau you saja bagi alasan?” tempelak Diela.
Syaqeer menarik nafas kasar. Wajah kekasih hati dipandang dengan senyuman di bibir.
“Betul,” balas Syaqeer.
Diela menjuih bibir.
“Atau you sebenarnya sedang fikirkan macam mana nak pujuk isteri you yang masih merajuk tu?”
“Mana ada,” sangkal Syaqeer.
“Syaq, you ni cintakan I ke cintakan isteri you?” dengus Diela.
“Mestilah I cintakan you. Lama kita bercinta. Dah 2 tahun kut,” ujar Syaqeer.
“Tahu pun. Habis tu, sampai bila kita nak macam ni? Bila you nak kahwin dengan I? Dari dulu lagi you cakap nanti-nanti. Tapi akhirnya you kahwin dengan perempuan lain.” Diela pamerkan wajah merajuk.
“Itu pilihan ibu I. Pilihan I, adalah you.” Syaqeer mengusap pipi Diela.
“So, kita kahwinlah. Takkanlah kita nak terus bersama macam suami isteri tanpa ikatan. Kalau I mengandung nanti, macam mana?” tutur Diela.
Syaqeer mengukir senyuman.
“I kan selalu pakai protection setiap kali bersama you. You takkan mengandunglah,” tutur Syaqeer penuh yakin.
Namun ada ketikanya dia juga terlupa nak pakai alat pelindungan. Puncanya sebab si Diela ni dah asyik menggodanya. Dan dia pula jenis yang pantang digoda.
Diela mendengus.
“Habis tu, sampai bila kita nak macam ni? Kalau isteri you mengadu dengan parents you, macam mana?” Diela melahirkan rasa gusar.
“Biarlah. I peduli apa. Lagipun, memang parents I tahu pasal kita. Cuma mereka tak merestui aje hubungan kita. I pun tak faham dengan mereka tu.” Syaqeer membalas.
“You pujuklah parents you tu untuk terima I,” ujar Diela dengan nada manja.
Syaqeer pamer senyum. Kemudian kepala diangguk perlahan tanda setuju dengan saranan buah hatinya tadi.
“Malam ni I bermalam di rumah you. Boleh kan?” tutur Syaqeer. Ada maksud tersirat di sebalik kata-katanya itu.
“Isteri you?” soal Diela.
“I dah lama tak bersama dia. Dia asyik mengelak. Asyik bagi macam-macam alasan. Silap I juga,” tutur Syaqeer dengan nada kesal. Kalau ikutkan, dia lebih selesa bersama Anis daripada bersama Diela. Tapi nak buat macam mana, dah yang halal menolak. Terpaksalah menuntut dari yang tidak halal.
“Okey. Jadi sekarang ni, I sorang yang selalu bersama you?” Diela tersenyum manja.
Syaqeer mengangguk perlahan. Kemudian dia mengukir senyum.
“Dari dulu lagi, I sorang aje yang bersama you kan?” Diela menjilat bibirnya. Buat gaya gedik.
Syaqeer terus melepas tawa.
“Of course, sayang.” Syaqeer mencium tangan Diela.
“Hmm... Jadi, malam ni you akan dapat upah yang lebih spesial tapi ada syaratnya...” ujar Diela dengan penuh manja.
“Syarat?” kening Syaqeer terangkat.
“No protection. I nak yang original,” ujar Diela. Paha Syaqeer yang berada di bawah meja diusap-usap. Makin lama makin mencengkam paha Syaqeer.
Syaqeer dah rasa lain. Air liur ditelan terasa tersekat di kerongkong. Tangan Diela yang meliar di celah pahanya mula dipegang.
“Kita balik sekarang!” tegas Syaqeer. Dia segera bangkit.
“Hah?” Diela terkejut.
“I dah tak tahan,” bisik Syaqeer di telinga Diela.
Diela tergelak manja. Tangannya mencubit perut Syaqeer.
“So... malam ni you memang tak balik rumah ya,” ujar Diela semasa mereka berada di dalam kereta.
“Nope. Kalau I balik pun, I tak dapat apa-apa. Baik I balik rumah you, dapat juga puaskan hati I.” Syaqeer mencium pipi Diela.
“Okey. You jangan menyesal kalau you terpaksa berjaga sampai pagi.” Diela gelak manja. Dia siap melentok kepalanya di bahu Syaqeer.
“You know me sayang. You pun tahu tenaga I macam mana, kan?” Syaqeer kenyit mata nakal. Diela tergelak. Begitu juga dengan Syaqeer.
Sebelum menghidupkan enjin kereta untuk menuju ke destinasi mereka berdua, sempat lagi Syaqeer menyatukan bibir mereka berdua demi menyalurkan rasa cinta di hati mereka.
Bagi Diela pula, dia akan menawan dan memiliki Syaqeer. Dia akan guna caranya sendiri kerana terlalu lama dia menanti lelaki itu menjadi miliknya.
No comments:
Post a Comment