DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 14 April 2021

Girl Marry Me - Bab 6


Kita terpisah oleh jarak dan waktu,

kau di sana dan aku di sini,

hanya selisih takdir...

 

QAYYUM memberhentikan kereta di hadapan kedai bunga. Dia mendongak memandang papan tanda yang tergantung di atas pintu masuk. SKA Flowers. Dalam kepala berkira-kira sama ada dia mahu membelikan bunga atau barangan lain. Mahu masuk pusat membeli-belah pada waktu puncak begini, tersangatlah dia malas. Dengan jalan sesak dan parkir yang penuh, itu bukan pilihan yang bijak.

Turun dari kereta, dia terus menapak ke arah kedai tersebut. Dalam hati sempat dia memuji pemilik kedai ini. Pemilihan tempat yang sangat strategik. Berhadapan dengan jalan raya. Kiri dan kanan ada bangunan pejabat dan tidak jauh dari kawasan perumahan.

Tolak saja daun pintu, hidungnya disapa dengan wangian daripada bunga-bungaan yang terdapat di dalam kedai tersebut. Terus kembang hidung menghidu. Terasa segar serta-merta. Patutlah orang perempuan sukakan bunga. Daripada wangian bunga saja ia sudah mampu memberikan aura positif kepada seseorang.

Khaty yang berada di kaunter berpaling ke arah pintu utama sebaik saja loceng berbunyi. Mereka sengaja menggantung loceng pada pintu supaya senang dengar jika ada pelanggan keluar masuk. Pelanggan pertama hari ini. Dia memaniskan bibir dengan senyuman.

Ketika melintasi meja Syifaa, dia sempat menjeling. Langsung tidak terusik fokus Syifaa dengan kehadiran pelanggan mereka. Khaty menggeleng. Temannya itu kalau sudah bertemu bunga, dunia nak kiamat pun dia tidak akan perasan. Oops, melampau sangat perumpamaannya!

“Selamat datang ke SKA Flowers. Apa yang boleh saya bantu encik?” sopan Khaty bertanya. Senyuman sentiasa mekar di bibirnya. Itu adalah penarik bagi mereka yang berniaga, kena ramah dan jangan malu. Wajah sentiasa manis walaupun sakit hati.

Qayyum menoleh ke sisi. Senyuman gadis itu dibalas dengan anggukan. Dia mengintai gadis yang membelakangi mereka tidak jauh dari tempat dia berdiri. Terpaku dia melihat kelincahan tangan si gadis menggubah bunga. Cantik!

“Nak beli karipap kat sini. Ada ke?” sinis jawapan Qayyum.

Khaty menjuihkan bibir. Hei, loyar buruk pula! Nasib baik lelaki itu pelanggan kedainya. Kalau kawan-kawan dia, ada yang makan bunga nanti.

“Saya nak beli bungalah,” ujar Qayyum bersama tawa halus.

“Kat kedai kami ada lebih kurang 10 jenis bunga. Kat sini bahagian bunga ros, lili, carnation...”

“Awak pilihkan. Saya tak tahu pasal bunga ni,” ujar Qayyum pantas. Matanya masih lagi mengintai si gadis di meja sana. Susuk tubuh itu memang sangat mengganggunya. Terlalu biasa dilihat. Tapi di mana?

“Boleh. Encik nak hadiahkan bunga ni kepada siapa?” tanya Khaty sopan. Dia menunggu jawapan daripada lelaki itu, namun sepi. Anak matanya mengekori lurusnya pandangan lelaki itu ke mana. Oh, ke situ rupanya lelaki itu memandang.

“Ehem!” Khaty berdeham keras.

Terkejut Qayyum. Dia menunduk ke bawah sebelum mengangkat wajah memandang gadis di hadapannya. Melihat riak wajah si gadis, dia sudah tahu yang gadis itu sedang menahan diri daripada menggelakkannya.

“Awak... tanya apa tadi?”

“Berkenan dengan kawan saya ke?” Kening dijongketkan tinggi.

Errr... mana ada,” dalih Qayyum.

“Dah tu, dari tadi encik intai dia. Nak saya panggilkan dia ke?”

“Eh, jangan!” tegah Qayyum. Kenapa pula mahu panggil gadis itu? Dia bukannya mahu berkenalan pun. Dia sudah ada pilihan hati. Dia tengok pun sebab kagum dengan kelincahan tangan gadis itu saja.

“Encik nak bunga untuk apa ya?”

“Untuk isteri kawan saya. Dia baru lepas bersalin.”

Khaty memandang si pelanggan dengan riak tidak percaya. Biar betul nak ziarah orang dalam pantang bawa bunga?

“Janganlah tengok saya macam tu. Saya tak tahu nak bawa apa. Nak beli barangan bayi, waktu puncak macam ni memang taklah saya nak redah jalan sesak tu,” akui Qayyum. Sememangnya dia tidak tahu apa yang harus dibawa untuk melawat isteri sahabatnya itu.

Khaty ketuk dagu. Rasanya dia boleh bantu lelaki ini.

“Encik tunggu kejap ya, saya nak ke belakang sekejap.”

Sementara menunggu gadis itu hilang ke mana, Qayyum berjalan ke segenap ruang di dalam kedai. Dari sebaris susunan bunga ke sebaris lagi.

“Encik!” tegur Khaty.

Qayyum menjongketkan kening.

“Kami ada ni. Masih elok lagi berbungkus. Kalau encik nak, saya boleh balutkan sebagai hamper.” Khaty menunjukkan beberapa set pakaian bayi lebihan projek mereka bulan lepas.

“Bukan sini jual bunga aje ke?”

“Memang kami jual bunga juga. Ini barang untuk projek khas kedai kami. Encik nak ke tak? Yang ni kami bagi percuma aje.”

“Boleh juga. Tapi bunga pun saya nak juga. Isteri kawan saya tu memang sukakan bunga. Dan saya nak... dia gubahkan.” Muncung Qayyum terarah kepada gadis yang sedang menggubah bunga sedari tadi.

Khaty mengangguk.

“Memang dia yang akan buat semua gubahan kat kedai ni, encik.” Dia mendekati Syifaa dengan barangan di tangannya.

Qayyum hanya memerhati dari jauh. Hati ingin sangat menegur, tapi kakinya seperti payah untuk melangkah. Detak jantungnya juga seperti ketika dia berjumpa dengan Syifaa dulu. ‘Ya Allah, Qayyum! Jangan samakan semua perempuan yang kau jumpa dengan Syifaa.’

‘Pandanglah sini,’ pinta hatinya. Dia benar-benar ingin melihat wajah gadis itu. Tumpuannya terganggu apabila muncul pelanggan lain. Dia beralih ke sudut yang lain bagi memberi ruang kepada pelanggan yang baru masuk itu.

Syifaa berpusing melihat lelaki yang dimaksudkan oleh Khaty tadi. Sayangnya dia hanya nampak bahagian belakang lelaki itu saja. Kemudian dia meneruskan kerja-kerjanya.

“Encik...” tanya Khaty sambil menjongketkan keningnya.

“Qayyum,” jawab Qayyum biasa.

“Okey, Encik Qayyum. Ini hamper dan bunga yang encik minta. Semuanya RM150,” ujar Khaty. Bunga ros putih yang telah digubah di dalam pasu rotan itu sangat cantik.

“Nanti kena rajin-rajin siram ya. Ini bunga hidup.”

“Tapi ni ada span basah, kan?”

“Ya. Cuma pastikan yang span ni sentiasa lembap untuk bekalkan air yang cukup supaya bunga ni kekal segar. Selalunya bertahan 3 hari atau paling lama seminggu,” jelas Khaty.

“Okey. Terima kasih miss.” Qayyum menghulurkan tiga keping not RM50.

“Sama-sama. Sila datang lagi,” ujar Khaty.

Qayyum mengangguk. Sebelum berlalu, dia sempat menoleh ke arah meja sana. Hatinya berdegup laju. Kenapa? Tanpa menunggu lama, dia berlalu keluar dari kedai tersebut.

Tangan yang kaku dari tadi masih begitu. Tubuhnya tegak saat telinga disapa sebaris nama Qayyum. Degup jantungnya kian laju. Dia mahu berpaling, tapi tidak punya kekuatan. Bagaimana kalau bukan orang yang sama tapi hanya nama yang sama? Ya, dalam dunia ini nama Qayyum bukan milik lelaki itu seorang.

Syifaa pejamkan mata rapat. Degup jantungnya masih laju. Kenapa? Kenapa jantungnya resah begini? Nafas ditarik dalam sebelum dia berpaling ke belakang. Namun tiada sesiapa. Matanya melilau sekeliling. Tiada.

“Kau cari siapa?” soal Khaty mengambil tempat di hadapan Syifaa.

Errr, tadi ada pelanggan nama Qayyum. Dia...”

“Oh, dah keluar dah. Tadi lagi. Kenapa? Kau kenal ke?” soal Khaty pelik. Boleh pula Syifaa dengar nama lelaki itu. Rasanya perlahan saja Qayyum menyebut nama dia.

Syifaa gelengkan kepala. Mustahillah lelaki itu berada di Malaysia. Tidak mungkin dia mengaku kenal lelaki bernama Qayyum. Peristiwa di Paris masih menjadi rahsia. Belum terasa mahu berkongsi dengan Ain dan Khaty. Atau lebih tepat lagi, dia malas mahu bersoal jawab dengan mereka berdua. Apatah lagi tentang lamaran Qayyum. Terus lemah seluruh tubuhnya mengingatkan lamaran itu. Apa yang hatinya mahukan sebenarnya?

‘Tak ada apa yang mustahil dalam dunia ini, Syifaa. Sebagaimana kau dan dia boleh bertemu di kota besar tu, sedangkan kau orang tak saling mengenali. Kau kena tahu, jika Allah mahukan begitu, maka kau takkan mampu menghalangnya. Lagi pula, Qayyum tu kan orang Malaysia. Jadi tak pelik kalau dia ada kat sini; berpijak di bumi yang sama dengan kau.’

“Hei, kau kenapa ni? Kejap tergeleng-geleng kepala,” sergah Khaty.

“Hah?” Syifaa membuang pandangan kosong ke arah Khaty.

“Khaty,” panggil Ain.

“Kenapa?”

“Sinilah. Tolong aku ni. Weh, dah berapa lama kau orang tak kemas stor ni?” bebel Ain yang kedengaran sayup-sayup.

Syifaa ketawa. Dia yakin sekejap lagi akan dengar suara bertekak kedua-dua gadis itu. Ain seorang yang cerewet dan sukakan kekemasan.

Dengan malas, Khaty bangun menuju ke bilik stor dengan muka masam. Dah tahu sangat apa yang bakal dihadapinya nanti. Mujurlah Ain itu rakan kongsi halimunan. Semua kerja di kedai bunga ini hanya dia dan Syifaa yang uruskan. Kalau tidak, mahu bernanah telinganya mendengar si Ain membebel setiap hari. 

 

“ASSALAMUALAIKUM,” SAPA Qayyum seraya melangkah masuk ke dalam rumah sahabatnya itu. Di muka pintu dia disambut dengan muka ceria Azim. Orang baru dapat anaklah katakan. Ceria saja wajahnya.

Waalaikumussalam. Masuklah. Wah, tak sangka aku dapat jumpa kau akhirnya. Selalu dalam Skype aje,” ujar Azim lantas memeluk tubuh sahabatnya itu.

Qayyum ketawa kecil. Memang ramai yang tidak sangka dia akan pulang ke Malaysia semula.

“Rezeki anak kaulah ni.” Dikenyitkan mata. Pandangannya beralih ke arah bayi comel yang sedang tidur di atas tilam kecil. Tercuit hatinya melihat wajah putih kemerahan itu. Kemudian pandangan beralih pula kepada isteri Azim, Syarina.

“Nah, bunga untuk my lady,” Qayyum menghulurkan jambangan bunga dan hamper pakaian bayi.

Manis senyuman Syarina. Disambut huluran Qayyum dengan senyuman lebar.

Oh my... sweetnya kau. Haih, kenapalah aku dulu pilih Azim. Sejak kahwin sampailah aku beranak, sekuntum bunga pun aku belum pernah dapat tau.” Syarina menjeling si suami.

“Alah sayang... abang tak bagi bunga, tapi abang bagi tu... harta yang paling berharga dalam hidup kita.” Bibir Azim memuncung pada si jantung hati mereka. “Bunga kan cepat layu, sayang,” tambahnya lagi.

“Yalah,” ujar Syarina mengalah. Ada saja jawapan suaminya itu.

“Kau orang kalau nak gaduh manja, tunggulah aku balik dulu. Sakit mata aku tengok aksi manja kau orang ni.” Qayyum mencebik. Dia beralih duduk di sebelah si kecil.

“Dah letak nama ke?” Pipi mulus itu dicuit-cuit perlahan.

‘Agaknya nanti anak aku dengan Syifaa comel macam ni juga, kan?’ Tergeleng kepalanya.

‘Apalah masalah kau, Qayyum. Semakin parah. Berangan jauh ke langit sedangkan tuan badan masih belum dapat kau jejaki.’

Syarina dan Azim saling berpandangan. Pelik melihat Qayyum yang tiba-tiba tersengih.

Erk... kita orang belum lagi nak jadikan kau menantu kita orang. Anak aku pun masih kecil lagi.” Tiba-tiba suara Azim mencelah.

Qayyum angkat kepala. Melotot pandangannya ke arah Azim. Apa? Azim ingat dia ini kemaruk sangat sampaikan bayi pun dia nak...

Hesy, geram pula dapat kawan biul begini! Bantal peluk bayi comel itu diambil lalu dibaling ke arah Azim sekuat hati. Syarina mengekek ketawa. Suaminya pun, tak beragak hendak mengusik.

“Apa? Betullah. Kau tengok anak aku, lepas tu tersengih. Dah macam orang angau. Ya, aku tahu anak aku tu gen aku, sebab itulah kecil-kecil pun menawan, menggoda. Macam akulah,” sambung Azim bangga.

Qayyum kacip gigi.

Woi, otak kau biul ke apa? Tak ingin aku nak berbapa mentuakan kau yang poyo nak mampus ni. Aku belum terdesak lagi sampaikan anak kau yang umur seminggu ni aku nak cilok. Huh! Ikutkan hati aku, otak kau tu... aku korek, lepas tu letak Clorox. Kasi bersih sikit!” sembur Qayyum. “Orang tua kata, orang beranak ni banyak urat putus. Tapi kau ni sebaliknya. Aku tengok Rina relaks aje, kau yang over pula!” kutuk Qayyum lagi.

Meletus tawa Syarina. Sakit perutnya dengan gelagat kedua-dua sahabat ini.

Azim sengih.

“Alah, dah lama tak bahan kau. Sesekali seronok juga,” ujarnya seraya menggosok belakang Qayyum.

“Apa-apa ajelah. Nama apa puteri ni?” soal Qayyum lagi. Malas dia mahu melayan loyar buruk Azim. Buat sakit kepala saja.

“Putri Zulaika,” jawab Syarina.

“Zulaika...” Perlahan nama itu diseru. Hatinya bergetar. Nur Syifaa Zulaika. Diseru nama itu sekali lagi.

“Zulaika... Cantik,” puji Qayyum. Pipi si kecil dikucup lembut.

‘Doakan uncle jumpa dengan puteri Zulaika uncle, sayang.’ Sekali lagi pipi merah itu dicium. Bau wangi anak syurga sangat menyenangkan.

 

QAYYUM DAN Azim mengambil angin di laman belakang sementara Syarina menyusukan Zulaika. Lagi pula sengaja Azim mengajak Qayyum ke sini. Ada banyak perkara yang dia mahu korek daripada sahabatnya ini.

“Kau ada benda nak cerita dengan aku ke?” soal Azim tidak menyempat.

“Kau ni kan Zim... semua benda pasal aku mesti kau tahu. Haih!” sungut Qayyum kononnya marah.

“Yalah, aku kan sahabat sejati kau. Sahabat dunia akhirat. So, apa pula kali ni?”

Lama Qayyum berdiam sebelum memulakan ceritanya tentang kisah cinta dia dengan Zahnita yang kecundang di tengah perhubungan. Tentang Syifaa... Ya, tentang gadis itu. Sejujurnya dia perlukan pertolongan Azim untuk mencari Syifaa. Tidur malamnya tidak lena kerana gadis itu. Gila!

Dengan khusyuk Azim mendengar setiap patah cerita yang disampaikan oleh Qayyum. Dihadam semua dengan baik. Sesekali dia mengeluh. Sesekali juga dia menggeleng kepala. Qayyum ini nampak saja seperti lelaki pilihan Malaya, tapi otak letak di lutut. Sampai sahaja bahagian melamar Syifaa, berdekah-dekah dia menggelakkan si Qayyum.

“Janganlah gelak!” marah Qayyum. Walaupun dia sudah jangka reaksi Azim, hatinya tetap mahu meletup mendengar gelak tawa Azim.

“Okey, okey...” Azim angkat tangan. Namun sisa tawa masih kedengaran.

“Aku cerita nak dengar pendapat kau. Nak kau tolong aku cari dia. Bukan gelakkan aku!” marah Qayyum lagi. Sebal hatinya.

“Aduhai... mahu aku tak gelak. Kelakar, tahu tak?”

“Apa yang kelakarnya?” Qayyum kerut kening. Bahagian lamaran dia ditolak? Kelakar ke tu?

Melihat riak masam kelat Qayyum, Azim menahan tawa. Kasihan pula dia dengan sahabatnya ini. Dua kali lamaran ditolak pada hari yang sama.

“Kau ni pun Qayyum, tak beragak langsung. Kau baru jumpa dia, kau dah lamar dia. Sudahlah dia tengok aksi kau kena tolak dengan Zahnita tu. Kau rasa dia masih nak terima ke lamaran lelaki ‘terdesak’ macam kau ni?” ujar Azim. Dipandang wajah mendung Qayyum. Satu yang dia perasan, ketika bercerita tentang Syifaa, mata itu bercahaya. Tidak sama seperti setiap kali bercerita tentang Zahnita. Adakah Qayyum telah jatuh cinta? Sebenar-benar jatuh cinta? Cinta pandang pertama? Wow! Hebat kuasa Allah. Dia mampu membalikkan apa yang sebaliknya mengikut kemahuan-Nya.

“Aku tak terdesaklah!” sangkal Qayyum. Berdesing pula telinganya mendengar perkataan terdesak itu. Memangnya kalau melamar perempuan yang baru kenal beberapa jam itu dikatakan terdesak? Atau melamar perempuan lain setelah beberapa jam berpisah dengan kekasih itu dikatakan terdesak?

“Relakslah bro. Aku tak kata kau terdesak, tapi tindakan kau waktu tu yang menampakkan kau terdesak. Gersang sangat!” tempelak Azim sebelum ketawa kuat.

Qayyum kacip gigi. Haih, menyesal dia menceritakan hal ini kepada Azim. Tak habis bahan dia, sekarang mengata dia gersang pula. Tak sayang mulut langsung!

Qayyum bersandar pada kerusi. Tangan disilangkan ke dada. Terlafaz rengusan halus di bibirnya. Bercerita dengan Azim bukannya mengurangkan beban, semakin terbeban adalah. Sejak tadi si Azim hanya menggelakkannya saja.

“Aku tak tahu kenapa aku jadi segila ni. Apa yang aku tahu, masa tu aku hanya ingin jadi sebahagian daripada dia. Ketika aku melamar dia, aku tak fikirkan diri aku. Tapi dia! Kau tak tahu, Azim... bila aku lihat mata dia, walau mata tu jernih, tapi aku nampak kelam. Lenggok bahasa dia bercakap dengan aku walaupun ceria, tapi kosong. Entahlah. Sukar untuk aku jelaskan,” keluh Qayyum. “Apatah lagi bila dia ceritakan yang dia ditinggalkan beberapa minggu sebelum perkahwinannya hanya kerana kisah lalu dia. Walaupun aku tak tahu seteruk mana kisah lalu dia, tapi hati aku ni... memberontak untuk menjadi pelindung dia. Gila ke aku, Azim?” luah Qayyum sepenuh hati.

Tergamam Azim mendengar luahan itu. Kelu lidahnya seketika. Diamati wajah Qayyum tidak terselit riak acah-acah. Nada Qayyum juga serius. Adakah benar telahannya tadi yang Qayyum sudah jatuh cinta? Cinta yang sebenarnya, bukan kerana tarikan kecantikan rupa paras semata.

Pernah dia memberitahu kepada Qayyum yang sahabatnya itu tidak mencintai Zahnita. Qayyum hanya tertarik dengan kecantikan dan penampilan seksi gadis itu. Tarikan biasa yang terjadi antara lelaki dengan perempuan. Namun sekerasnya Qayyum menafikan.

“Tak. Kau tak gila, Qayyum. Cumanya aku pelik. Sebelum ni kau mati-mati yakinkan aku yang Zahnita tu cinta mati kau. Tapi aku tengok sekarang ni, sekali ditolak Zahnita, kau terus melamar perempuan lain. Kau ikhlas ke?”

Qayyum berkali-kali memandang Azim. Soalan yang sama dia pernah tanyakan kepada dirinya. Kenapa mudah dia melupakan Zahnita dan mudah saja dia melamar Syifaa?

“Aku sendiri tak tahu, Zim. Aku kecewa tapi taklah sampai menonggeng. Cuma entahlah, aku sendiri tak tahu nak jelaskan macam mana perasaan aku.”

Takpelah Qayyum. Soal hati ni bukan aturan kita pun tapi aturan yang di atas sana,” pujuk Azim.

“Aku pun fikir begitu. Tapi kat mana aku nak cari dia? Aku hanya tahu nama dia aje.”

“Kalau jodoh kau dengan dia, lambat atau cepat, kau orang akan jumpa juga. Ikhlaskan niat kau kembali ke sini. Minta dengan Allah agar dipertemukan kau orang berdua. Yakinlah pada perancangan Allah. Dia lebih tahu bila dan di mana waktu yang sesuai kau akan temui Syifaa,” nasihat Azim memberikan perangsang. Tidak salah dia menaikkan semangat sahabatnya itu.

“Tapi takkanlah aku nak duduk berserah saja?” keluh Qayyum.

“Okey. Dah tu kau nak cari kat mana? Kau tahu alamat rumah dia? Nombor telefon? Tak pun kau tahu dia kerja mana? Siapa kawan-kawan dia? Tak tahu, kan?” duga Azim.

Qayyum tengadah. Baru tersedar yang dia tidak tahu apa pun selain nama gadis itu. Dia mengeluh lagi. Kepalanya tertunduk ke bawah. Lemah. Punah segala harapannya.

“Sebab tu aku cakap serahkan pada takdir. Kalau dah tersurat jodoh kau dengan dia, kau orang akan jumpa lagi. Tengoklah sekarang, kau orang sama-sama orang Malaysia, tapi dipertemukan di Paris. Dalam situasi yang lebih kurang sama. Percayalah, ni semua sudah ditakdirkan. Hanya tunggu masa dan ketika. Sabar. Doa tu jangan putus,” pesan Azim.

Wajah yang mendung tadi kembali cerah. Ya, ada betul kata-kata Azim. Dia tidak boleh putus asa sekarang. Yakin! Kena yakin bahawa Syifaa jodohnya. Kalau tidak, masakan Allah menggerakkan rasa ini dalam hatinya. Allah tidak akan pertemukan mereka tanpa sebab. Setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmahnya.

No comments:

Post a Comment