DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 1



AYDAN melangkah masuk ke dalam restoran itu dengan penuh gaya. Baju kemeja lengan panjang berwarna biru muda berjalur putih tersarung elok di tubuhnya. Dipadankan dengan tali leher warna biru tua dan seluar slek hitam. Pemakaian kaca mata hitam turut menambahkan lagi kekacakan wajahnya.

Kemunculannya di restoran itu telah berjaya mencuri perhatian beberapa kelompok gadis yang sedang menikmati hidangan bersama kawan, tidak terkecuali gadis yang sedang menikmati makanan sambil berdating bersama teman lelaki mereka. Ternyata, aura Aydan memberi kesan yang sangat hebat buat mereka.

Pandangan gadis-gadis sedikit pun tidak dipedulikan Aydan. Ada misi dan tujuan kenapa dia perlu berada di sini ketika ini. Jadi, dia perlu selesaikannya dengan segera.

Aydan menghentikan langkah seketika sambil mata melilau mencari kelibat seseorang yang dia perlu temui. Tiba-tiba tangan naik ke dahi. Menggaru-garu seketika. Mana yang perlu dia tuju? Ada dua orang gadis yang duduk di tempat yang berasingan dan sama-sama memegang telefon. Seorang bertudung, seorang lagi tidak bertudung.

Tanpa berfikir panjang, akhirnya dia membuat keputusan.

“Hai, dah lama tunggu?” soal Aydan sebaik sahaja langkah berhenti di hadapan gadis yang bertudung.

Gadis itu segera mendongak kepala dengan mata terkebil-kebil. Terkejut dengan teguran Aydan yang tiba-tiba muncul.

Err...” Gadis itu kelihatan tergamam dan menelan liur perlahan.

Sorry, I terlambat,” ujar Aydan. Tanpa kata, dia terus melabuhkan punggung di kerusi berhadapan gadis itu. Sebenarnya dia sengaja datang lambat. Nak tahu reaksi si gadis ini.

Kaca mata hitam ditanggalkan dan disangkut di poket baju. Wajah si gadis itu direnung tajam dengan pandangan yang serius. Ternyata gadis di hadapannya ini kelihatan resah dan wajah sudah bertukar pucat.

“You memang tunggu seseorang kan?” soal Aydan dengan gaya angkuh.

Gadis itu mengangguk kepala perlahan. Kelihatan wajahnya sedikit pucat dan resah.

“Encik ni...” Wajah kacak lelaki itu diteliti dengan kening yang hampir bertaut. Pelik kerana tiba-tiba seorang lelaki muncul di hadapannya, sedangkan mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain.

“Nama I, Aydan. Sejujurnya, I datang ni bukan ikhlas nak berjumpa dengan you. I dipaksa.” Gadis di hadapannya jelas tergamam sampaikan tak mampu nak berkata-kata.

My mum yang paksa. Blind datelah konon. I dah jemu dengan benda macam ni. Macam I ni tak ada harga diri. Hanya akur pada arahan walaupun arahan itu datangnya daripada orang tua I sendiri.” Aydan meluah kebenaran. Dia sendiri pun tak sangka yang dia mampu menyatakan demikian.

Dalam masa yang sama, Aydan tetap perhatikan gadis di hadapannya. Tadi nampak resah. Sekarang ketap bibir pula. Masih belum ada sepatah kata yang keluar dari mulut itu.

“Tentu banyak benda baik yang mama I canang pada you kan?” soal Aydan dengan bangga.

Si gadis menelan liur.

Melihat keresahan gadis itu, Aydan mengukir senyum sinis. Badan disandar ke kerusi. Masih merenung tajam wajah gadis muda itu. Entah kenapa, dia dapat merasakan ada sesuatu rasa yang muncul di dadanya, tapi dia tak mampu nak ungkapkannya. Dia sendiri tidak pasti apa yang dia rasa.

“Siapa nama you? Safiera kan?” soal Aydan.

Err...” Belum pun sempat gadis itu menjawab, seorang pelayan muncul untuk mengambil pesanan.

Aydan hanya memesan minuman sahaja. Tidak mahu berlama-lama di sini kerana dia pasti semua ini sia-sia sahaja. Rancangan mamanya takkan berjaya untuk menyatukan dia dengan gadis ini yang dirasakan tidak layak untuk dirinya. Terlalu muda untuk dijadikan isteri. Macam baru habis belajar sahaja lagaknya.

“You tak payahlah nak tenung I macam tu. I tahu yang I ni kacak, bergaya, ada kereta mewah dan ada personaliti yang menarik. Semua ni yang jadi dambaan perempuan muda macam you ni tapi I nak you tahu keburukan I sebelum you buat apa-apa keputusan pasal pertemuan kita ni.”

“Apa maksud encik?” soal gadis itu.

“Ya, semua lelaki akan canang kebaikan dia kepada gadis yang dia baru jumpa sebab nak kelihatan hebat, tapi I ni lain sikit. I akan canang keburukan I sebab I bukan lelaki hipokrit.” Aydan senyum sinis. Nak tergelak melihat wajah tercengang gadis itu.

“I tak nak you menyesal memilih I sebagai calon suami you nanti. Biasalah, lepas kahwin nanti semua keburukan akan terserlah tapi I nak beritahu keburukan I awal-awal. Lepas tu, baru you buat penilaian siapa I sebenarnya.”

Terkelip-kelip gadis itu memandang wajah Aydan.

“Dari segi luaran, I ni memang nampak hebat tapi hakikatnya I ni jenis lelaki yang panas baran, pengotor, suka sepahkan semua barang dalam bilik dan lepas tu letak pakaian merata-rata termasuklah seluar dalam I,” ujar Aydan tanpa rasa segan.

Bulat mata gadis itu merenung wajah Aydan seakan tidak percaya. Lelaki kacak sepertinya mempunyai sikap yang buruk.

“Itu baru sikit aje. Ada lagi keburukan I yang you perlu tahu. I ni seorang perokok tegar, jenis kaki pukul, kaki kelab malam dan I juga pernah tidur dengan beberapa orang perempuan sebelum ini. Dan lagi satu you perlu tahu...” Aydan merapatkan badannya ke meja.

“I juga jenis lelaki yang kuat seks. Penat you nak layan I nanti.” Aydan bersuara seakan berbisik. Kemudian dia mengukir senyuman sinis.

Gadis itu tiba-tiba bangkit dalam keadaan terkejut sampai tertumpah air di dalam gelas yang ada di hadapannya.

“Maaf, saya kena pergi sekarang,” kalut gadis itu bersuara.

“Hei, you dah nak pergi ke? I belum habis nak cerita lagi ni...” laung Aydan bersama ketawa bila gadis itu kalut beredar dari tempat duduknya. Dia terus pergi tanpa mempedulikan laungan Aydan.

Aydan tergelak melihat lagak gadis itu.

Fuh, lega.” Dia menarik nafas lega. Wang kertas RM50 dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Dia bersedia untuk beredar dari situ.

“Hai, you Aydan, kan?”

Satu suara menyapa membuatkan langkah Aydan terhenti. Dia menoleh dan menatap wajah gadis yang bersuara tadi.

Yes, and you?” soal Aydan dengan dahi berkerut.

“I, Safiera. Kita ada blind date kan? I dah lama tunggu you kat sini.” Gadis yang berpenampilan agak seksi itu bersuara.

Melalui penampilan gadis itu dengan warna rambut yang sedikit kekuningan dan kanta lekap berwarna biru membuatkan Aydan berasa sangat jelik.

What???” Aydan tepuk dahi kuat.

Nampaknya dia tersalah orang tadi. Macam mana nak buat ni? Rasa bersalah dan malu mula menerjah bila mengingatkan kembali apa yang telah berlaku sebentar tadi. 

 

PUAN SRI Hayati bergegas mendapatkan Aydan sebaik sahaja wajah Aydan muncul di muka pintu. Tak sempat tubuh Aydan masuk ke dalam rumah sepenuhnya. Baru sebelah kaki melangkah masuk.

“Aydan, macam mana dengan pertemuan tadi?” Puan Sri Hayati segera menyoal. Jelas terpancar di wajahnya rasa tidak sabar untuk mengetahui perkembangan dan keputusan yang dirancangnya.

“Mama, bagi Aydan masuk dulu. Ini terus terjah. Apa salahnya kalau mama bersabar sikit? Tak sempat Aydan nak masuk lagi,” komen Aydan sambil menggeleng kepala mengenangkan kelakuan mamanya itu.

Puan Sri Hayati mula mendecit mendengar komen Aydan. Punyalah dia tak senang duduk sejak dari tadi. Sebenarnya, dah banyak kali dia menghubungi Aydan tapi Aydan tidak menjawab panggilannya.

Dia mahu menghubungi Safiera bertanyakan hal itu tetapi dia pula tiada nombor telefon gadis itu.

Sudahnya dia hubungi mama Safiera, Datin Umirah tadi tapi wanita itu juga tidak tahu perkembangan itu kerana anak gadisnya belum memaklumkan apa-apa kepadanya. Itu yang membuatkan Puan Sri Hayati menjadi kalut.

Ini bukan kali pertama dia mengalami situasi begini, dah banyak kali sebenarnya tetapi perasaan gemuruh tetap sama. Perangai Aydan ni bukan macam adiknya, Danish yang selalu mendengar kata. Aydan lebih suka ikut kepalanya sahaja. Keputusan orang lain mana dia nak dengar.

Tapi satu yang Puan Sri Hayati puji Aydan, walaupun Aydan membantah jodoh yang dia cari dan temukan namun anaknya tetap akur menemui gadis yang dia cuba jodohkan meskipun keputusannya mengecewakan. Dia yakin jawapan yang sama akan dia terima nanti. Namun dia tetap ingin tahu.

Aydan melabuhkan punggung di sofa. Penat kerja di pejabat masih belum hilang. Kini ditambah lagi dengan desakan mamanya yang membuatkan dia jadi bertambah penat. Puan Sri Hayati turut duduk di sebelah Aydan sambil tangannya menyentuh paha Aydan.

“Aydan, macam mana dengan pertemuan tengah hari tadi? Mama tak sabar nak tahu ni,” gesa Puan Sri Hayati seraya merenung wajah anak lelakinya.

Aydan tarik nafas panjang. Tangan kirinya menggaru dahi tanpa memandang wajah mamanya.

“Mama pun tahu apa jawapan dan keputusannya, kan? Tak perlu tanya lagi.” Aydan hanya menjawab acuh tak acuh.

“Aydan, sampai bila Aydan nak jadi macam ni? Mama dah tak tahu nak buat apa dah,” keluh Puan Sri Hayati dengan nada kesal dan kecewa. Nampaknya rancangannya gagal lagi.

“Mama, mulai hari ini, mama tak perlulah nak bersusah payah buat semua tu lagi. Tak berbaloi pun. Pintu hati Aydan belum terbuka untuk berkahwin lagi. Aydan selesa dengan cara hidup Aydan dan Aydan tak menyusahkan sesiapa pun, kan?” jelas Aydan agar mamanya faham akan isi hatinya selama ini.

Puan Sri Hayati mengetap bibir.

“Mama buat untuk kebaikan dan masa depan Aydan. Mama nak tengok Aydan hidup berkeluarga. Bahagia dengan anak isteri. Takkanlah Aydan tak pernah nak fikirkan semua tu? Lagipun, Aydan bukannya muda lagi. Dah 33 tahun pun.”

Dia mahu Aydan faham perasaannya sebagai seorang ibu. Dia buat semua ini bukan kerana pentingkan diri sendiri. Dia mahu melihat anak-anaknya bahagia terutamanya Aydan.

“Mama, tolonglah faham perasaan dan situasi Aydan. Aydan bukannya tak nak berkahwin. Aydan pun nak hidup berkeluarga, ada isteri dan anak-anak tapi hati ni belum terbuka lagi buat masa sekarang. Aydan tak boleh paksa diri untuk terima semua itu. Aydan tak nak seksa diri dan perempuan yang Aydan tak cintai untuk hidup bersama Aydan nanti,” jelas Aydan.

“Yang lepas tu tak perlu dikenangkan lagi. Aydan mesti mulakan hidup baharu. Mama percaya, Aydan boleh lakukan.” Pujuk Puan Sri Hayati tanpa jemu.

Aydan melurutkan rambut ke belakang. Mata dipejam beberapa saat. Mahu tenangkan fikiran kerana dia tak nak bergaduh hal ini dengan mamanya. Takkan ada faedah kerana akhirnya dia juga yang merajuk sampai berhari-hari tak pulang ke rumah orang tuanya.

“Aydan, mama sebenarnya tak kisah siapa pun jodoh Aydan. Yang penting, mama nak tengok Aydan kahwin.”

Aydan memandang wajah mamanya. Keningnya terjongket sebelah.

“Mama tak kisah siapa pilihan hati Aydan?” soal Aydan seakan tak percaya. Puan Sri Hayati hanya mengangguk kepala.

“Habis tu, yang mama duk sibuk carikan jodoh untuk Aydan daripada kalangan anak Dato’, anak Tan Sri, kerabat dan keturunan Tengku segala tu, apa hal? Bukannya mama pentingkan darjat dan keturunan ke?”

“Dah Aydan tak cari sendiri. Mama carikanlah anak kenalan mama. Nak harapkan Aydan, sampai mama pejam mata pun, belum tentu dapat menimang cucu,” komen Puan Sri Hayati.

“Habis tu, Safiya dan Haiqarl tu bukan cucu mama ke?” Aydan gelak sinis.

“Memanglah budak berdua tu cucu mama, tapi anak Danish. Mama maksudkan cucu tu, zuriat Aydan. Aydan faham tak? Aydan ni saja nak sakitkan hati mama.” Puan Sri Hayati ketap bibir dengan rasa geram. Ada sahaja alasan Aydan menjawab hujahnya.

“Okey, fine. Kalau mama nak sangat tengok Aydan kahwin, Aydan akan kahwin tapi jodoh tu Aydan sendiri yang pilih. Sekali lagi Aydan ingatkan, lepas ni mama tak perlu susah payah nak matchkan Aydan dengan mana-mana perempuan lagi. Aydan dah penat nak hadap semua tu. Macam orang bodoh sahaja terpaksa berjumpa dengan perempuan yang entah apa-apa,” ujar Aydan memberi syarat.

“Betul ni?” Wajah Puan Sri Hayati mula ceria. Berjaya juga dia memujuk Aydan untuk berkahwin.

“Mama tak kisah kan siapa perempuan tu?” ujar Aydan lagi. Nak pastikan betul-betul persetujuan daripada mamanya. Manalah tahu dia tersalah dengar tadi.

“Tak kisah. Janji Aydan kahwin secepat mungkin.” Puan Sri Hayati mengukir senyum.

“Nanti mama jangan nak kompelin apa-apa ya.”

Puan Sri Hayati sekadar menggeleng kepala.

Aydan mula mengukir senyum lega.

“Bila Aydan nak kahwin?” soal Puan Sri Hayati dengan wajah teruja.

“Bila Aydan dah jumpa perempuan yang berjaya menambat hati Aydan dan tak kisahlah siapa pun dia,” ujar Aydan bersahaja.

Hmm... Kesimpulannya, lambat lagilah ni.” Puan Sri Hayati mengeluh.

Aydan buat-buat tidak peduli dengan reaksi mamanya. Dia terus bangun meninggalkan Puan Sri Hayati. Apa yang penting, lepas ni mamanya takkan bersusah payah carikan jodoh untuknya lagi. Dia dah boleh bertenang.

No comments:

Post a Comment