DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 14 April 2021

Girl Marry Me - Bab 4


Kesakitan itu pedih.

Luka itu perit.

Tapi perit lagi rindu yang kejauhan. 

 

SYIFAA melabuhkan duduk di atas katil. Dia berbaring merenung kipas yang ligat berpusing. Kenapa hatinya meronta teringatkan lelaki itu? Kala luka memerut hati, dia mengharapkan kehadiran lelaki itu. Kenangan mereka di sana menggamit fikirannya. Walaupun hanya bicara tegang, dia tetap mahu mengingatinya.

Ketika ini rasa sesal juga bertandang. Mungkin sepatutnya dia meminta masa untuk berfikir. Mungkin juga dia sepatutnya menjelaskan kisah silamnya dan membiarkan Qayyum membuat pilihan.

Hesy, jangan buat kerja gilalah menceritakan aib sendiri kepada lelaki yang baru dikenali!

Gila? Memang dia gila terkenangkan Qayyum selepas menolak lamaran lelaki itu. Entah-entah lelaki itu sekarang sudah berbaik semula dengan teman wanitanya atau mungkin juga lelaki itu sudah menerima hakikat yang dia menolak lamaran tersebut.

Teringat cincin dan surat yang dititipkan kepada bellboy hotel... entah dari mana dia mendapat keyakinan yang Qayyum akan mencarinya. Semalam budak bellboy itu ada menghantar e-mel menyatakan pesanannya telah disampaikan kepada Qayyum. Dia ingin benar tahu reaksi Qayyum setelah membaca suratnya itu.

Qayyum...

Telefon di atas meja dicapai. Folder album dibuka. Gambar jarinya yang tersarung cincin pemberian Qayyum dipandang lama. Tidak sangka cincin itu muat dengan jarinya. Hampir saja dia kalah dengan amukkan hati yang merusuh agar dia menerima lamaran itu. Kala itulah panggilan telefon daripada Adam masuk dan... akhirnya dia di sini.

“Hei, bila kau sampai? Kata singgah rumah orang tua kau.” Muncul Khaty di muka pintu bilik Syifaa.

Khaty teman serumahnya dan juga rakan kongsi perniagaannya. Bukan hanya Khaty, Ain juga merupakan rakan kongsinya. Cuma Ain jarang melekat di rumah. Kerja dalam bidang pelancongan, membuatkan gadis itu lebih banyak menghabiskan masa di luar. Seronok jadi Ain, boleh melancong ke sana sini tanpa perlu keluarkan duit sendiri.

Hmm... dah singgah pun,” jawab Syifaa malas.

“Kejapnya?” ujar Khaty lalu duduk di sebelah Syifaa.

“Kau nak aku duduk lama mana kat situ? Macamlah kau tak tahu, kedatangan aku bukan dialu-alukan pun...” lirih suara Syifaa berkata.

“Dahlah. Lupakan aje. Kau jet lag lagi ke?”

“Kenapa?”

“Jom keluar, tengok wayang. Bosanlah. Selama kau takde ni, Ain pun takde. Aku terkontang-kanting sorang diri tau,” ujar Khaty sedih.

“Heh! Macamlah aku nak percaya. Si Hilman tu takkan kau tak heret dia ke mana-mana?” Syifaa jongket kening. Hilman itu kekasih si jantung hati Khaty.

Khaty senyum simpul. Malu pula ditempelak Syifaa.

“Aku nak tidurlah, Khaty. Penat,” ujar Syifaa.

“Yalah. Tidur ajelah kau tahu,” omel Khaty selajur keluar dari bilik itu.

Tidak pedulikan omelan Khaty, Syifaa pejamkan mata. Dia mahu tidur. Dengan harapan apabila bangun nanti, semuanya akan kembali normal. 

 

QAYYUM DUDUK melepak di gazebo, mengambil angin malam yang damai. Dia kebosanan. Setelah menghantarnya tadi, mama keluar. Katanya ada majlis apa entah di rumah Datin Suzy, kawan baik mama. Papa? Kata mama outstation. Inilah antara sebab dia malas pulang ke rumah ini lagi. Berada di sini atau Paris sama saja. Namun sekarang dia harus melupakan itu semua semata-mata untuk menjejaki Syifaa.

Haih, macam mana aku nak cari minah tu? Aku hanya tahu nama dia aje.” Ah, yakinlah pada jodoh. Lagi pula bumi Kuala Lumpur ini bukan luas pun. Lambat-laun akan ketemu juga.

“Ehem. Menungkan apa tu? Teringat buah hati ke?” tegur satu suara.

Pantas Qayyum berpaling.

“Eh, along!” ujarnya. Terkejut dia.

“Bila sampai ni?” soal Zila.

“Baru aje. Along dari mana?”

“Dari rumahlah. Balik bercuti ke?” soal Zila seraya melabuhkan duduk di sisi adiknya. Sebenarnya siang tadi lagi Puan Balqis sudah maklumkan kepadanya tentang kepulangan Qayyum. Cuma urusan di pejabat menghalangnya untuk datang ke rumah ini lebih awal.

“Balik untuk selamanya. Hei, kenapa semua orang tanya angah balik berapa lama ni? Macam tak suka aje angah balik,” ujar Qayyum berjauh hati.

“Tak payah nak buat ayat sedihlah. Saja ajelah tanya. Selalu ajak balik bercuti pun susah. Tiba-tiba kali ni balik untuk selamanya. Kerja kat sana macam mana?” soal Zila lagi.

“Berhentilah, long. Ingat nak cari kerja kat sini pula. Tapi untuk sementara ni nak rehat dululah.” Qayyum tersengih. Itu satu lagi keputusan tekadnya. Hantar surat berhenti kerja 24 jam dengan gaji yang berganda lagi mahal jika hendak dibandingkan dengan gaji di Malaysia. Gila! Memang sangat gila.

“Sanggup tinggalkan gaji beratus ribu dan pulang ke Malaysia for good? Hmm...” Zila mengetuk dagunya.

“Hanya ada dua kemungkinan. Satu, pulang bawa hati yang lara. Kedua, pulang mencari bunga yang hilang. So, angah yang mana satu?” Zila menjongketkan kening.

You and your theory tak pernah habis, kan? Angah balik sebab... angah rindukan keluarga kita,” dalih Qayyum. Belum masanya untuk dia ceritakan tentang Syifaa. Masih terlalu awal.

Whatever.” Apa pun sebab yang membawa Qayyum balik, Zila tetap gembira. Sekurang-kurangnya kerisauan mama akan berkurangan. Ini tidak, saban waktu dia mendengar Puan Balqis membebelkan perihal Qayyum. Tapi apabila dalam telefon dengan Qayyum, tak pula dibebelkan adik lelakinya ini.

“Eh long, Najwa mana? Dari sampai tadi tak nampak dia pun.”

Haih, macamlah angah tak tahu, si bongsu tu sibuk dia mengalahkan along dengan mama yang kerja ni. Setiap minggu ada saja program dia. Kali ini katanya ada camping kat Gunung Jerai,” jelas Zila akan perihal si bongsu. Adik mereka itu memang aktif dengan sukan lasak. Sejak graduasi, program apa yang Najwa tidak sertai. Berkhemah, panjat gunung, malah menjadi sukarelawan pun pernah. Apabila suruh masuk kerja dengan Encik Ismail, bermacam alasan dia bagi. Tak puas lagi nak enjoy katanya. Mujurlah bongsu, pangkat anak manja. Semua kehendak dia dituruti.

“Wah! Seronoklah jadi anak manja, kan?” sinis soalan Qayyum.

“Hai, cemburu ke?” usik Zila.

“Tak kuasalah angah nak cemburu dengan budak manja tu.” Qayyum memeluk lutut. Dipanggungkan kepala di lutut. Dalam kepalanya ligat memikirkan cara untuk menjejaki Syifaa.

“Along...” panggil Qayyum.

“Ya.” Zila kerutkan kening. Dari tadi dia perasan yang adiknya itu seolah-olah sedang memikirkan hal penting.

Errr... kalau angah tanya, along jangan gelak ek.” Qayyum membetulkan duduknya menghadap Zila.

“Serius nampak ni. Apa dia?”

“Long, katakanlah ada lelaki melamar along selepas kenal beberapa jam, along terima atau tolak?” Qayyum menggigit lidah sendiri. Sebenarnya bukan soalan ini yang sedang bermain dalam kepalanya.

Zila memandang Qayyum pelik. Dia diam seolah-olah sedang berfikir.

“Lamanya fikir long,” ujar Qayyum.

Zila menjeling.

“Kalau along kat tempat gadis tu, memanglah tak percaya. Sah-sahlah lelaki tu ada niat tak baik. Baru kenal dah melamar. Macam desperate sangat. Tapi kan... kata orang tua, kalau nak tahu lelaki itu ikhlas atau tak, lihat sejauh mana kesungguhan dia nak jadikan gadis tu isteri dia. Kalau kawan bertahun-tahun tapi masih ragu-ragu nak akhiri hubungan tu dengan ikatan perkahwinan, sah-sah lelaki tu nak main-main aje.” Panjang lebar Zila menjelaskan pendapatnya.

Qayyum anggukkan kepala.

“Maksudnya, takdelah pelik sangat lelaki tu melamar walaupun baru kenal, kan?” tanyanya lagi.

Zila angguk

“Kenapa ni? Angah ada melamar anak dara orang ke?” soalnya ragu-ragu.

Erk, mana ada. Kan dah cakap tadi, andai kata aje kan.” Qayyum tarik senyum. Kekok. Dibetulkan duduk menghadap ke arah lain.

Zila sembunyi senyum. Melihat olah kelam-kabut Qayyum, dia yakin tekaannya tepat. Pasti si adik pernah melamar seseorang dan ditolak. Maknanya betullah Qayyum pulang ke Malaysia sebab patah hati, atau sebab mahu mencari gadis itu.

‘Eh, apa susah-susah fikir, tuan badan ada tanyalah terus,’ monolog hati Zila.

“Siapa dia?” soal Zila tiba-tiba.

“Siapa?” Qayyum kerutkan kening. Tidak faham akan soalan si kakak.

“Alah, gadis yang angah andaikan tadi.”

“Oh... Syifaa nama dia.” Qayyum tersenyum. Haih, sebut nama saja hatinya sudah berbunga. Kenapa dengan dia ni? Takkanlah sudah jatuh cinta pula? Mustahil!

Hmm, Syifaa. Mesti cantik orangnya, kan?” duga Zila lagi.

“Haah. Can... tik...” Qayyum gigit lidah. Kepala tunduk memandang tanah. Aduhai, dia sudah terlepas cakap. Mahu saja dihantukkan kepalanya di tiang gazebo. Memalukan sungguh! Takkanlah dia mahu cerita yang lamarannya ditolak? Jatuhlah imejnya. Huarghh...

Zila ketawa mengekek. Suka hati dapat mengenakan adiknya itu. Melihat wajah serba salah Qayyum, hatinya digeletek lucu. Nak menipu tak pandai. Sekali kantoi sendiri!

No comments:

Post a Comment