DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 14 April 2021

Girl Marry Me - Bab 10


Musim berganti musim, hari berganti hari, 

puas aku mencari masih tidak ketemu, 

di manakah gerangan dirimu?

 

QAYYUM menghempas punggungnya di kerusi. Dia memandang bilik yang sudah seminggu didudukinya. Nafas berat dilepaskan. Kepenatan! Batang leher yang lenguh diurut perlahan. Saat ini dia rindukan bantal dan katilnya.

Kepala jatuh di atas meja yang dipenuhi dengan kertas-kertas kerja yang perlu disemak. Teringat sewaktu dia melaporkan diri di pejabat ini seminggu yang lepas. Dia datang untuk menyelenggarakan projek amal, sekali dipaksa oleh Encik Ismail untuk turut menyertai mesyuarat dengan staf-staf syarikat tersebut.

Dia turut diperkenalkan sebagai pengarah urusan syarikat, sekali gus mengambil alih tempat kakaknya. Zila pula dinaikkan pangkat. Licik! Sungguh licik Encik Ismail. Mahu tak mahu, dia terpaksa anggukan kepala. Tidak mahu papanya dimalukan.

Dan sekarang, di sinilah dia terdampar. Rancangan untuk mencari Syifaa terpaksa ditangguhkan dek kesibukan di pejabat. Banyak yang dia perlu belajar memandangkan selama ini dia tidak pernah ambil tahu tentang perniagaan papa. Apatah lagi, bidang yang dipelajarinya jauh berbeza dengan jenis perniagaan yang diterajui oleh papanya. Rambut dikusutkan, rimas dengan segala benda di atas mejanya.

“Hai, little brother!” Terjengul kepala Zila di muka pintu pejabat. Diatur langkah ke meja Qayyum. Kasihan melihat wajah penat si adik. Hendak dibantah arahan Encik Ismail, dia tidak mampu sementelah dia memang memerlukan bantuan Qayyum di syarikat ini.

“Long, janganlah panggil angah macam tu. Angah dah besar kut,” rengek Qayyum. Dijeling Zila geram. Di rumah, Puan Balqis tidak habis-habis memanggilnya boy. Nampak sangat dia masih lagi anak kecil di mata dua wanita yang dikaguminya ini. Namun tidak dapat disangkalkan, itulah cara Zila dan Puan Balqis menyatakan sayang mereka kepadanya.

Zila mengulum senyum. Wajah masam Qayyum melucukan.

“Yalah. Tak nak keluar lunch ke?” tanyanya.

“Dah lunch ek?”

Aik, dari mana tadi?”

“Bilik mesyuarat.”

Zila menjongketkan kening bertanya.

“Pasal projek amal itulah. Proposal dah siap, amaun belanja pun dah ada. Cuma sekarang angah kena ke sana untuk lihat stok bunga diaorang. Sejak bila pula majlis amal macam tu ada siap dengan bunga jadi hiasan?” Pelik sungguh dia. Macam tak logik pun ada.

Hmm, baru lagi. Papa kata nak tolong anak Melayu maju dalam perniagaan. Anggap aje papa sediakan prospek perniagaan buat mereka. Lagipun perkhidmatan mereka tiptop. Ini bukan kali pertama syarikat kita bekerjasama dengan mereka. Walaupun kedai bunga mereka tu masih baru menapak, tapi pengurusan diaorang sangat sistematik dan teratur. And you wanna know something?”

What?”

Owner dia cun!” puji Zila.

So?” soal Qayyum tidak berminat. Cun ke tak apa kaitan dengan dia?

So?” ajuk Zila. Adiknya ini ada perasaan ke tidak? Atau songsang?

“Along, otak tu jangan bersimpang-siur sangat. Angah masih straight okey!” amaran Qayyum. Dari pandangan Zila, dia sudah boleh meneka apa yang ada dalam kepala si kakak. Dia tidak suka sebab dia sudah ada pilihan lain, bukan sebab dia songsang!

Meletus tawa Zila.

Chill my little bro.”

“Long!” deram Qayyum geram. Panggilan itu lagi!

“Dahlah. Nak pergi makan ke tak ni?”

“Nak, nak.”

“Kita makan kat Kampung Baru ek?”

“Jauh tu. Tak marah ke bos nanti?” Qayyum tersenyum senget.

“Bos tak masuk pejabat hari ni. Teman mama.”

“Kenapa dengan mama? Pagi tadi elok aje.”

“Tak sihat badan. Alah angah ni, mama tu nak bermanja dengan papa ajelah. Bukan angah tak tahu, papa kalau dah menghadap kerja, mana nak ingat mama dah.”

“Oh...” Hanya itu yang terluah di bibir Qayyum. Betullah apa yang dikatakan oleh kakaknya itu. Encik Ismail memang seorang yang kuat bekerja.

Qayyum mengikut langkah Zila ke ruang lobi.

 

QAYYUM MENGELUH melihat semua meja dipenuhi dengan manusia. Yalah, waktu puncak begini memang ramailah. Kalau tahu begini sesak, akan diajak Zila makan di kafe yang baru dibuka di bawah pejabat mereka sahaja.

“Aku dah cakap, sini sesak. Kau orang nak datang sini juga,” marah Syifaa. Perutnya sudah berkeroncong dari tadi. Hampir 15 minit dia memegang pinggan yang penuh dengan nasi dan lauk. Sudah beberapa kali dia menelan liur melihat ikan bakar yang telentang di dalam pinggannya.

“Sabarlah. Diaorang bukannya nak bertapa kat sini pun,” celah Khaty.

“Memanglah tak bertapa, tapi tengok tu... pinggan dah licin, duduk bersembang pula. Tak reti kasihan kat orang lain ke?” Bengang saja Syifaa rasa.

“Sabar,” pujuk Ain pula.

“Hah, tu sana kosong. Cepat!” ujar Khaty menarik lengan Syifaa. Laju kakinya melangkah ke meja kosong. Bimbang ada orang lain yang datang pula. Mahu Syifaa bertukar menjadi singa lapar nanti.

Qayyum memanggung kepala. Telinga luas dibuka. Suara itu, dia kenal. Walaupun hanya beberapa jam mereka bersama dahulu, suara itu bagaikan melekat dalam peti ingatannya. Dia berpaling ke belakang. Matanya melilau mencari arah suara tadi. Namun hampa.

Lautan manusia yang sedang berhimpit mengambil makanan, membuat bayaran, malah berdiri mencari meja menyukarkan matanya mengecam pemilik suara itu. Benarkah gadis itu atau hanya delusi akalnya kerana desakan hati yang merindu?

“Long... kita pergi tempat lainlah. Angah dah naik rimas ni...” ujar Qayyum. Sungguh dia tidak selesa.

Zila menjeling. Karang dia panggil little brother, marah. Tapi merengek macam budak-budak pula.

“Tak naklah. Along nak makan nasi ulam kampung kat sini. Kat sini aje sedap tau. Kejap aje lagi. Lagi dua orang dah giliran kita. Tak pun, angah pergi cari meja kosong, along ambil makanan,” ujar Zila. Itu lagi baik. Tidaklah nanti mereka terkapai-kapai mencari meja pula.

Qayyum merengus. Dia keluar daripada barisan yang panjang itu. Matanya melilau mencari meja kosong. Kebetulan ada sebuah meja kosong membelakangi tiga orang gadis. Laju kakinya melangkah ke situ.

Dia duduk membelakangi gadis-gadis itu. Sesekali dia terdengar gelak halus mereka bertiga. Tab dibuka. Ruangan e-mel ditekan. Memeriksa jika ada e-mel penting.

Fuh!” Zila meletakkan dua pinggan nasi yang penuh dengan lauk dan ulaman. Datang pula seorang lelaki membawa dulang yang penuh dengan pelbagai jenis lauk. Ada siput sedut masak lemak cili api, sayur masak lemak putih, sambal belacan dan ikan pekasam.

Qayyum geleng kepala. Ini betul ke manusia yang makan? Dia memandang Zila yang sedang menelan liur memandang semua hidangan itu.

“Long, dah berapa lama tak makan ni?” soal Qayyum sinis.

Tanpa mempedulikan soalan Qayyum, Zila membaca doa lalu memulakan suapan pertama. Dipejamkan matanya. Wah... Sudah lama dia teringin makan siput sedut. Memang terbaik!

Makin kuat gelengan Qayyum. Macam-macam! Dia membaca doa makan, disudu kuah sayur lemak putih ke dalam pinggan. Baru saja dia mahu menyuap nasi ke dalam mulut, telinganya disapa satu nama yang dirinduinya.

“Syifaa! Tunggulah...” laung Ain. Terkocoh-kocoh dia dan Khaty bangun hendak mengejar Syifaa.

Pantas Qayyum berpaling. Matanya terpaku pada sesusuk tubuh yang tidak jauh daripadanya; yang sedang bercekak pinggang dengan mulut menceceh sesuatu kepada dua temannya. Nasi di tangan diletak kembali. Tanpa sedar, kakinya diatur melangkah ke arah kumpulan gadis itu.

Zila hanya memandang dengan kehairanan. Hendak memanggil, tapi mulutnya penuh dengan nasi. Akhirnya, hanya mata saja yang menemani langkah si adik. Tidak lepas matanya memandang ke mana arah tujuan Qayyum.

Buru-buru Qayyum melangkah apabila melihat si gadis mula membuka pintu kereta.

“Syifaa,” seru Qayyum hanya beberapa langkah saja lagi jurang antara dia dengan ketiga-tiga gadis itu. Dadanya bagai dipalu gendang. Gementar. Takut. Bimbang. Semua ada. Terasa panas seluruh tubuhnya. Darah gemuruh menguasai diri. Debaran menghentak laju jantungnya menanti si gadis menoleh ke belakang. Dalam hati, dia berdoa agar gadis itu ialah Syifaa.

Mendengar namanya dipanggil seseorang sudah cukup membuatkan Syifaa terpaku. Dan apabila suara itu berdengung di relung telinga, seakan seluruh tubuhnya membeku. Suara itu sangat dikenalinya. Dia...

Tak mungkinlah! Tidak mungkin mereka dipertemukan lagi. Memang bumi ini bulat, tetapi takkanlah secepat ini mereka dipertemukan?

Teringat isi surat yang pernah dia tinggalkan buat lelaki itu, kelopak matanya tertutup. Detak jantungnya sudah berubah arah. Sesak dadanya dengan asakan debar di dada. Allah... Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Berpaling atau mengunci diri di dalam kereta?

Ain dan Khaty memandang Syifaa dan lelaki yang sedang berdiri di hadapan mereka silih berganti. Dalam kepala masing-masing sudah terangka pelbagai persoalan. Kening Khaty berkerut. Semakin diamati, dia rasa seperti pernah berjumpa dengan lelaki ini. Tapi, di mana?

“Nur Syifaa Zulaika.” Kali ini Qayyum menyeru nama penuh Syifaa. Dia yakin itu gadis yang dicari. Bahasa tubuh Syifaa telah menjawab persoalannya.

Ternganga Ain dan Khaty. Kalau lelaki ini tahu nama penuh Syifaa, maknanya mereka bukan kenalan biasa-biasa. Kedua-duanya saling berpandangan, menyampaikan tekaan yang sama.

Nafas ditarik dalam. Syifaa perlukan kekuatan untuk berpaling. Dia yakin itu memang Qayyum saat sebaris nama penuhnya diseru. Syifaa berpaling ke belakang seraya kepalanya ditunduk ke bawah. Dia masih belum punya kekuatan untuk memandang wajah itu. Kenapa secepat ini pertemuan kedua mereka? Apa yang Allah cuba sampaikan kepadanya?

Look at me Nur Syifaa Zulaika,” ujar Qayyum perlahan lagi lembut nadanya.

Mahu tidak mahu, Syifaa mengangkat wajah memandang Qayyum. Dan ya, itulah lelaki yang dijumpainya di Paris. Dan itulah lelaki yang sama melamarnya. Melihat panahan pandangan redup Qayyum menusuk sehingga ke hatinya, terasa damai dan tenang.

Anak matanya jatuh pada senyuman senget lelaki itu. Kenapa dia rasa senyuman itu sedang menitipkan peringatan? Janji? Janji yang dia buat ketika menolak lamaran Qayyum.

At last I found you, Syifaa. It’s really you!” ujar Qayyum dengan suara teruja. Senyuman meleret kemas di bibirnya.

Lidah Syifaa bagaikan digam, tidak mampu membalas kata-kata itu. Kata-kata yang mengandungi harapan. Bibirnya bagaikan beku untuk membalas senyuman lelaki itu. Takdir apakah yang sedang melintangi jalan hidupnya ini?

Do you know how bad I missed you?” luah Qayyum lirih.

Syifaa kertap bibir. Qayyum ini memang selamba. Sejak awal perkenalan mereka, berpisah dan bertemu kembali, masih juga dengan sikap yang sama. Berterus terang. Dari ekor mata, nampak teman-temannya sedang melopong mendengar luahan lelaki itu. Hatinya tersentuh juga.

Membulat bola mata Ain dan Khaty memandang kedua-duanya. Kata-kata lelaki itu menandakan yang mereka sudah kenal lama dan lelaki itu sedang mencari sahabat mereka ini. Melihatkan reaksi Syifaa, hati mereka semakin panasaran untuk tahu apa sebenarnya yang telah terjadi.

Bilakah Syifaa dan lelaki ini berkenalan? Setahu mereka, Syifaa ini kawan lelaki yang serius hanyalah Adam. Tapi takkanlah lelaki ini dari masa silam Syifaa?

“Syifaa.” Semakin ringan lidahnya menyeru si gadis. Qayyum tahu, Syifaa terkejut. Malah dia juga terkejut. Tidak sangka permainan takdir mereka begini. Dia berusaha mencari, tapi jalan yang Allah lukiskan sangat mudah. Benarlah manusia hanya merancang, namun perancang yang terbaik ialah Allah SWT.

“Macam mana awak boleh ada kat sini?” soal Syifaa.

Well, memanglah saya kat sini. Inikan tempat lahir saya juga. Apa awak ingat saya kat sini nak skodeng awak ke, macam yang awak buat kat saya dulu?” Qayyum jongketkan kening nakal.

Syifaa merengus. Jelingan tajam dihadiahkan buat lelaki itu. Hal itu juga yang diungkitnya.

Ain dan Khaty melopong. Sungguhlah apa yang sedang mereka lihat sekarang ini merupakan kejutan yang sangat hebat. Kenyataan yang mereka dengar ketika ini sangat berbeza dengan Syifaa yang mereka kenal. Skodeng? Bila masa pula Syifaa pandai menghendap anak teruna orang?

Chill dear,” ujar Qayyum bersama tawa halus. Suka melihat wajah Syifaa merah menahan geram. “That’s what I missed most about you!” Jarinya naik menunjuk wajah Syifaa. “The cherry tomato face.”

Tangan naik mencekak pinggang. Mata Syifaa mencerun pandang wajah Qayyum yang tersengih nakal. Ada ke patut muka dia yang cun ini disamakan dengan tomato? Suka hati lelaki itu saja!

“Kerana ‘surat cinta’ awak itulah saya balik ke sini. Power ‘surat cinta’ awak tu, boleh buat hati saya yang keras ni cair.” Qayyum menepuk dadanya perlahan. Mata dikenyitkan nakal kepada Syifaa.

Syifaa mendecit.

“Keras sangat ke?” sinisnya.

“Nak tahu, kenalah masuk ke dalam hati saya. Tawaran saya... masih terbuka lagi.” Qayyum tersengih.

Syifaa geleng kepala dengan olah lelaki itu.

“Qayyum, saya dah beritahu dalam surat tu, kan? Keputusan saya masih sama, tak berubah.”

“Dan... dalam surat tu juga ada nyatakan yang awak akan beritahu saya semuanya dan serahkan pada saya untuk menilai sendiri. Saya anggap itu janji awak kepada saya. Sebab itulah saya di sini. Di Malaysia.” Qayyum mendepangkan tangannya. Kemudian dia merenung wajah Syifaa yang jelas gelisah.

“Perlu ke, Qayyum?”

No doubt.” Yakin Qayyum menjawab.

“Saya tak nak terluka lagi, Qayyum.” Syifaa tunduk merenung jalan. Menidakkan hati yang bergetar untuk Qayyum saja sudah membuatkan dia sakit. Dia tidak mahu memberi harapan palsu kepada diri sendiri. Dia yakin lelaki terpelajar seperti Qayyum tidak akan mampu menerima dirinya; menerima dosa silamnya; menerima asal usul dirinya. Tidak mungkin!

“Saya datang menawarkan ubat, bukan pisau untuk ditoreh pada luka lama, Syifaa.”

Syifaa mendongak. Terkejut melihat Qayyum sudah berdiri dekat dengannya. Sejak bilakah lelaki itu menapak mendekat?

Give me a chance. Sekali saja Syifaa,” pinta Qayyum.

“Ehem.” Khaty berdeham halus. “Bukan nak mengganggu, tapi... rasanya sebarang perbincangan perlu bersambung. Sekarang ni kita di tengah jalan, dengan bahang matahari lagi...” Khaty menjongketkan kening.

“Ya, maaf. Jadi, boleh kan saya jumpa awak lagi?”

“Serahkan pada takdir. Kalau kita berjumpa lagi untuk kali ketiga, saya akan ikut apa saja kemahuan awak. Setiap janji saya, akan saya tunaikan,” putus Syifaa.

“Sampai bila nak bermain dengan takdir, Syifaa?” soal Qayyum kecewa.

“Saya bukan bermain dengan takdir, Qayyum. Tapi takdir... selalu datang kepada saya pada waktu dan ketika yang salah. Saya hanya manusia biasa, Qayyum. Jika betul awak maksudkan apa yang awak katakan dulu, awak akan ikut saranan saya ni.”

Qayyum menarik nafas dalam.

“Okey. Bila sampai ketika itu, jangan sesekali awak mimpi nak lari. Alasan awak, saya campak dalam tong sampah nanti!” Qayyum memberi amaran. Dia menjarak, memberi ruang kepada Syifaa berlalu.

Seterusnya dia kembali ke meja makan semula. Baru dia teringat akan kakaknya itu. Pasti banyak soalan Zila kepadanya nanti. 

 

*** READY STOK KELUARAN APR 2021. SEBARANG PERTANYAAN ATAU UNTUK MEMBUAT BELIAN BOLEH WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-372 9676 (Cik Shida) 011-4004 9752 (Cik Admin)

 

No comments:

Post a Comment