Bulan.
Jika kau melihatnya di sana,
sampaikan rindu yang terhampar di sini...
QAYYUM memarkirkan kereta di sebelah Mercedes milik Puan Balqis. Keluar dari kereta, dia bersandar pula pada badan kereta miliknya. Matanya menghala pada rumah banglo tiga tingkat itu.
Indah. Dari jauh sudah nampak keindahannya. Ditambah dengan laman yang dipenuhi bunga-bungaan milik mama. Di pintu pagar juga ditanam bunga yang membentuk seperti pintu gerbang. Cantik! Namun sayang, rumah yang indah tapi sepi. Ya, ahli keluarganya bukanlah jauh antara satu sama lain. Kadangkala ada juga masa untuk diluangkan bersama. Cuma seperti sekarang, apabila pulang ke rumah sunyi sepi.
Sepatutnya mama dan papa menghabiskan sisa waktu yang ada ini dengan bersantai di rumah. Mencari bekalan akhirat. Tapi masing-masing masih sibuk dengan hal dunia. Mencari harta tidak pernah habis.
Keluhan kasar dilepaskan. Apa pun dia perlu bersyukur dengan segala nikmat ini. Nampaknya dia perlu mencari kerja juga. Boleh mati kutu duduk di rumah keseorangan ditemani Mak Minah dan Pak Nawi sahaja. Itu pun bukan boleh diajak berbual. Asyik sibuk saja kedua-dua pembantu rumahnya itu.
“Assalamualaikum,” laung Qayyum. Tika pintu dibuka, dia melangkah ke ruang tamu. Penat.
“Waalaikumussalam. Lah, Qayyum. Mak Minah ingat siapalah tadi,” ujar Mak Minah seraya meletakkan jus oren di atas meja. Sudah jadi kebiasaannya menyediakan air jika tuan rumah pulang. Lagi pula, itu merupakan permintaan majikannya sejak dia bekerja di sini.
“Wah, terima kasih Mak Minah. Macam tahu saja saya tengah dahaga ni.” Qayyum mencapai gelas berisi jus oren lalu diteguk rakus. Terasa nyaman tekaknya yang perit tadi.
Mak Minah tersenyum.
“Kamu dari mana ni?”
“Dari rumah Azim. Melawat isterinya bersalin anak sulung. Comel anak dia Mak Minah.” Bersinar mata Qayyum bercerita.
Mak Minah ketawa halus. Suka melihat keterujaan pada wajah anak majikannya itu.
“Hah, kalau dah rasa anak Azim comel, cepat-cepatlah cari calon. Jangan tangguh lagi,” usiknya.
Qayyum ketawa. Amboi Mak Minah suruh dia cari calon. Ingat calon untuk hiasan di rumah ke? Untuk dijadikan pendamping haruslah yang terbaik. Dan yang terbaik itu... Syifaa.
“Siapalah nakkan saya ni Mak Minah oi. Dahlah tanam anggur sekarang ni. Muka pun ala-ala handsome aje.”
“Kamu jual mahal kut. Takkanlah duduk lama kat luar negara takde yang terpikat?” duga Mak Minah.
“Tak sekufu, Mak Minah. Diaorang makan stik, saya nasi dengan ulam aje.”
Mak Minah menjegilkan mata. Pandai loyar buruk si Qayyum ini.
“Mak Minah masak apa petang ni?” Bahu wanita itu dipaut senang. Suka dia dapat menyakat Mak Minah.
“Goreng pisang aje untuk makan petang. Malam nanti tak tahulah nak masak ke tak. Tunggu puan telefon. Selalunya diaorang makan luar. Kenapa?”
Qayyum tunduk kepala mendengar penjelasan Mak Minah. Rupanya aturan rumah ini masih sama. Waktu makan masih seperti dahulu. Hanya waktu sarapan pagi saja mereka duduk semeja. Itu pun boleh dikira dengan jari berapa kali sarapan satu keluarga.
“Qayyum teringin nak makan asam pedas,” ujar Qayyum dengan senyum tawar.
“Asam pedas aje?”
Qayyum angguk.
“Boleh sangat. Nanti Mak Minah masakkan. Sekarang kita ke dapur makan pisang goreng,” ajak Mak Minah.
Qayyum bangun mengikut langkah Mak Minah. Baru saja dia melabuhkan duduk di table top, kedengaran salam diberi. Laju kepala berpaling ke belakang. Kelihatan Encik Ismail dan Puan Balqis beriringan masuk ke dalam rumah.
“Ma... pa...” tegur Qayyum. Baru hari ini dia dapat bertemu dua mata dengan ayahnya.
“Qayyum,” ujar Puan Balqis lalu menukar arah langkah ke meja makan.
“Awal puan dan tuan balik hari ni?” tegur Mak Minah. Dia menuangkan air kopi untuk majikannya itu.
“Ya. Ni suami saya ada hal nak bincang dengan anak teruna dia katanya. Saya suruh bincang berdua tak nak. Nak juga saya ada sama,” ujar Puan Balqis bersama jelingan manja ke arah si suami.
Encik Ismail senyum segaris. Dia duduk berhadapan dengan anak keduanya itu. Kerana kesibukan di pejabat, sekarang baru dia punya masa untuk berbual dengan si anak. Khabar kepulangan si anak pun dia tahu melalui isterinya. Nak harapkan Qayyum datang menghadap dia, tinggal angin sajalah.
Kening Qayyum berkerut. Bincang dengan dia? Hal apa? Jangan cakap suruh dia kahwin. Memang dia lari dari rumah nanti. Papa ni bukan boleh percaya sangat. Dia hanya inginkan Syifaa sahaja sebagai pengantinnya.
‘Amboi Qayyum! Orang tu entah ada di pelosok mana, kau dah angan-angan nak jadikan dia pengantin kau! Buatnya orang tu juga dah jumpa pengganti, meloponglah kau.’ Qayyum gelengkan kepala dengan monolog hatinya. Tak mungkinlah!
“Hah, yang kamu ni diam aje kenapa, angah? Tergeleng-geleng...” ujar Encik Ismail.
“Hah? Takde apa, pa.” Qayyum tersengih sumbang.
“Ni, mama cakap kamu balik kali ini for good. Jadi papa nak kamu tolong papa kat pejabat, boleh?” usul Encik Ismail.
Qayyum menjeling Puan Balqis. Mama tak boleh simpan rahsia langsung! Dia memang mahu bekerja, tapi bukan dengan papanya. Aduh! Apa dia nak jawab ni? Mahu tolak, nada suara papa kedengaran seperti arahan walaupun hujung ayatnya berakhir dengan tanda soal. Biasalah Encik Ismail, kalau dengan dia, tegas semacam.
“Boleh tu boleh, pa. Tapi angah baru aje sampai. Jet lag lagi ni,” dalih Qayyum. Bantai sajalah. Janji ada alasan.
“Haih, jet lag apa kalau dah sampai ke rumah Azim perginya. Macam inilah... kalau tak nak masuk pejabat lagi, tolong papa handle satu projek ni. Projek amal. Nak minta along tolong, dia pun banyak projek under dia yang nak kena pantau. Please Qayyum,” pinta Encik Ismail lembut.
Qayyum mengeluh. Kalau papa sudah guna nada selembut sutera, dia yang tekad mahu membantah tadi pun sudah berbelah bahagi. Akhirnya dia angguk setuju juga.
“Great! Thanks son. Esok masuk pejabat, jumpa dengan Bella. Dia akan bagi semua dokumen berkenaan dengan program tersebut.”
Qayyum tersenyum hambar. Haih! Ingatkan nak rehat dulu sambil fikirkan cara untuk mencari Syifaa. Sekarang dah sibuk dengan kerja, bilalah pencariannya hendak bermula.
USAI SOLAT isyak, Qayyum berbaring di atas katil. Telefon dicapai. Dia membuka Facebook dan nama Syifaa dicari. Berkerut keningnya. Berderet nama Syifaa keluar. Keluhan dilepaskan. Beberapa akaun bernama Syifaa dibuka secara rawak, namun tiada satu pun berkaitan dengan yang dicari.
Seterusnya aplikasi Instagram pula menjadi sasarannya. Dan hasilnya juga sama. Dengusan kasar dilepaskan. Dia cuba tanya Pak Google dan hasilnya turut menghampakan. Telefon diletak kasar di sisi.
Kenangan pertemuan mereka di Paris datang menggamit. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Terbayang wajah kalut Syifaa saat tertangkap sedang mengintainya. Apa yang paling menarik hatinya, wajah keliru gadis itu saat dia melamar.
Gila! Kenapa dia seberani itu melamar anak dara orang? Mana tahu buatnya orang tua Syifaa sudah carikan pengganti? Namun Qayyum yakin yang Syifaa masih belum berpunya ketika itu. Hatinya membuak mahu tahu sebab lamarannya ditolak. Teruk sangatkah masa silam gadis itu?
Disentuh dadanya. Ada getar saat bibir hati menyeru sekeping nama itu. Adakah dia jatuh cinta lagi? Semudah itu dengan gadis yang baru dikenalinya? Mustahil!
Kata-kata Azim terngiang-ngiang di telinga sebelum mereka berpisah tadi.
“Aku yakin kau dah jatuh cinta, Qayyum. Selama ni bila kau cerita tentang Zahnita, aku tak pernah lihat sinar mata kau segalak ini. Bibir kau tersenyum aje. Nada suara kau teruja bila sebut nama dia.”
Qayyum pejamkan mata. Kala itu hadir bayangan Syifaa yang sedang menjeling tajam kepadanya. Kemudian dibuka mata kembali. Bibirnya menguntum senyum.
‘Ya Allah, jika benar dia jodoh yang Kau sudah tetapkan buat aku, permudahkanlah urusan aku untuk mencarinya. Tetapkanlah hatinya dan hatiku,’ doa Qayyum.
No comments:
Post a Comment