DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 14 April 2021

Girl Marry Me - Bab 3


Hidup tanpa kesilapan tiadalah keindahannya. Kesilapan adalah guru yang terbaik dalam hidup. 

 

PANG!

Perit. Kecewa. Tergamam.

Masih ada lagi yang dia mahu katakan tentang perasaannya. Syifaa memandang wajah Mak Long Siti, yakni emak kepada Dila. Pandangan tajam mak long tidak diendahkan, sebaliknya dia berpaling ke arah kedua orang tuanya. Kedua-dua wajah tua itu langsung tidak memandangnya.

Hati Syifaa terluka. Kepulangannya setelah dilukai hatinya disambut dengan tamparan mak long. Atas salah apa, dia sendiri tidak tahu. Ah, dia sepatutnya sedar, sejak kesilapan dia yang lalu, orang tuanya mana pernah ambil tahu tentang dirinya lagi. Hanya sekadar melepaskan tanggungjawab yang ada saja.

“Kau ni kan memang menyusahkan kami sekeluarga, kan? Apa lagi kau dah racun Adam sampai dia tak jadi nak bernikah dengan Dila? Jahat kan kau ni! Dasar perempuan...”

“Siti!” celah Atuk Salleh dengan nada keras. Dia tidak suka dengan kata-kata yang bakal dihamburkan oleh anak sulungnya itu. Digelengkan kepalanya. Sungguh, dia telah gagal dalam mendidik anak-anaknya menjadi manusia yang sabar dan santun.

Syifaa tersenyum senget. Oh, pasal Adam dan Dila.Sebab inikah lelaki itu menghubunginya semasa di Paris? Ditelan liurnya. Ketika Adam mahu memutuskan pertunangan mereka dan memilih Dila, dia dipersalahkan. Dan sekarang tetap juga dia yang dipersalahkan sedangkan dia langsung tidak tahu apa yang sedang terjadi tika ini.

Apa kaitan dengan dia jika Adam dan Dila tidak jadi bernikah? Apa lagi yang mereka tidak puas hati dengannya? Mahukan Adam, dia mengalah. Biarkan saja dirinya dipandang serong oleh jiran tetangga, malah rakan-rakan yang mengenali dia dan Adam, pelbagai umpatan yang diterimanya. Lebih menyakitkan, sehingga keluarga sendiri sanggup membuangnya.

Mereka menghukumnya kerana dosanya sendiri, Syifaa tidak merungut. Malah siap diletakkan di atas bahunya beban dosa yang bukan dia lakukan, tidak juga dia bersungut. Lantas apa lagi? Takkan kerana Adam dan Dila yang tidak jadi bernikah, dia juga yang patut dipersalahkan?

Sejak mereka putus tunang, dia tidak pernah menghubungi Adam. Malah setiap panggilan atau WhatsApp daripada Adam tidak dilayaninya. Jadi, apa masalahnya lagi?

“Syifaa, cakaplah apa yang dah Syifaa buat kali ni? Apa yang Syifaa dah cakap pada Adam sekeluarga?” tanya Puan Zuyyin lembut, tapi hanya yang peka sahaja dapat meneka nada sebenar di sebaliknya. Bukan nada prihatin, bukan juga nada simpati, tetapi nada jengkel yang disembunyikan di sebalik lembut bicaranya.

Syifaa memandang wajah Puan Zuyyin dengan mata berkaca. Orang yang sedang bertanya kepadanya saat ini ialah ibu yang mengandungkannya. Jahat sangatkah dia sehingga sanggup menghancurkan kebahagiaan sepupu sendiri walaupun sebenarnya dia berhak membalas perbuatan Dila kepadanya?

Lama pandangan jatuh pada wajah Puan Zuyyin. Bertanya soalan kepadanya, tapi anak mata wanita itu langsung tidak memandang ke arahnya. Benci sangat Puan Zuyyin kepada dirinya. Mereka semua di situ termasuk ibu kandungnya mampu memahami kelukaan Dila, tetapi kenapa mereka tidak faham akan luka dalam hatinya? Di sini, dia yang menjadi mangsa! Ingin saja dia menempik, namun akal warasnya melarang.

Pandangan Syifaa beralih kepada Dila yang sedang menunduk menekur lantai. Dia perasan Dila seakan lari daripada bertentangan mata dengannya. Sangkanya sepupu merangkap kawan baiknya ini akan menyerang seperti Mak Long Siti. Namun dia silap. Dia tersilap sangka atau sebenarnya masalah ini berpunca daripada Dila sendiri? Sebab itulah Dila tidak memarahinya.

“Mama, Syifaa tak pernah meracun ahli keluarga Adam. Jumpa mereka pun Syifaa tak pernah selepas putus tunang tu. Macam mana...”

“Orang kalau dah berak tepi jalan, mana ada nak mengaku!” sindir Mak Long Siti.

“Sama ada dengan orang yang berak, yang mengintai koyak kain orang lain sehingga tak peduli kain dia hampir membogelkan dirinya tu sama saja,” balas Syifaa lembut tapi tegas.

“Eh, budak ni... kurang ajar kau kan!”

“Seminggu lepas kami putus tunang, tak tunggu sehari pun, keluarga Adam terus meminang Dila. Kalau saya nak buat onar, kenapa perlu tunggu seminggu kemudian, mak long?” selar Syifaa.

Diam. Semua diam kerana apa yang dikatakan oleh Syifaa itu logik.

“Kenapa perlu libatkan aku, Dila?” Soalan Syifaa beralih kepada Dila. Sorotan matanya memprovoke gadis itu dalam diam.

“Hei, kalau bukan sebab kau...” Sungguh Dila tercabar dengan desakan dalam diam Syifaa.

“Apa yang aku dah buat, Dila?” potong Syifaa. Anak matanya mencerun tajam kepada gadis itu. Kemudian satu per satu dia melihat mereka yang berada di ruang tamu rumah orang tuanya. Mereka semua saudara sedarah sedaging, selayaknya dilayan mesra. Tapi dia... manusia asing di dalam rumah ini; anak terbuang.

Tergeleng kecil kepalanya. Senyuman sinis dilorek. Jet lag belum hilang, dia sudah dikerahkan ke sini hanya kerana... Dila dan Adam. Bilalah kedua-dua manusia itu akan hilang daripada laluan hidupnya?

Syifaa tarik nafas dalam. Memandangkan semuanya berdiam diri, mungkin inilah masa yang tepat untuk dia bersuara.

“Ketika pertunangan saya dengan Adam diputuskan, saya dipersalahkan. Okey, saya terima. Mungkin betul kata semua orang saya tak pandai jaga tunang. Masalahnya sekarang, pertunangan Dila dan Adam putus, mengapa saya juga yang dipersalahkan? Kenapa?”

Jeda.

“Kali ini semua orang cakap saya dengkilah... cemburulah. Helo! Setakat Adam tu, bukan saya nak cakap besarlah... sekali dia pergi, sepuluh kali saya relakan. Jantan yang tak tahu nak setia macam tu tak pernah saya alu-alukan dalam hidup saya!” lancang Syifaa bersuara. Kali ini dia tidak kira sama ada mereka mahu katakan yang dia anak kurang ajar atau anak tak kenang dek untung. Dia sudah penat mengalah dan mengalah. Jujurnya, dia bukanlah manusia yang baik. Dia bertahan hanya kerana Puan Zuyyin.

“Konon tak hadap! Kalau tak hadap, kau takkan hasut mak ayah Adam putuskan ikatan ni! Lagi beberapa bulan mereka nak kahwin!” jerkah Mak Long Siti.

“Kenapa susah sangat? Dah orang tak nak, biarlah. Saya putus tunang ada yang kisah? Oops, saya terlupa... who am I, right? Hanya anak...”

“Nur Syifaa Zulaika!”

Termati bicara Syifaa apabila suara tegas Atuk Salleh mencelah. Dia menoleh memandang lelaki tua itu. Melihat gelengan atuk, dia pasrah. Ada hati yang perlu dia jaga. Ada syurga yang perlu dia junjung.

“Tak perlu nak raih simpati. Aku nak kau betulkan semuanya semula. Yang aku nak tahu Adam dan Dila jadi kahwin.” Mak Long Siti bersuara kembali.

Syifaa menarik nafas dalam.

“Saya minta maaf, mak long. Urusan mereka bukan lagi urusan saya. Lagi satu, saya takde masa nak habiskan masa saya yang berharga dengan menghasut atau memecahbelahkan hubungan orang. Dalam drama bolehlah. Kalau dalam hidup saya, itu semua sampah! Kita ni hidup jangan jadi bodoh sangat. Disebabkan jantan tu, kita hilang kepercayaan darah daging sendiri,” ujar Syifaa tenang. Di hujung ayatnya sengaja diselitkan sindiran buat si ibu.

“Orang kalau dah buat salah, mana nak mengaku!” selar Mak Long Siti. Tak puas hati lagi.

Syifaa memicit kepala.

“Buat apa tanya saya lagi kalau dah tahu saya takkan mengaku? Teruskanlah buat spekulasi sendiri. Teruskan hidup dengan syaitan yang suka buat fitnah!” tempelak Syifaa. Dia penat. Tersangat penat sebenarnya. Menerima panggilan daripada Encik Arash meminta dia pulang ke rumah ini, ingatkan mahu bincangkan apa. Kalau dia tahu inilah perkaranya, dia sanggup lelaki itu menggelar dia anak derhaka daripada memeningkan kepala sendiri.

“Siti, yang kamu nak meroyan sangat tu kenapa? Tak laku sangat ke Dila ni sampaikan Syifaa perlu merayu kepada Adam supaya terima dia balik? Kut ya pun kamu nak rendahkan maruah kamu sekeluarga dengan merayu Adam, silakan. Tapi jangan sesekali libatkan Syifaa. Kamu Arash, Zuyyin... tak kasihan ke dengan Syifaa? Pulang dari Paris terus balik ke sini dan hadapkan dia dengan hal remeh macam ni. Mana pergi sifat perikemanusiaan kamu berdua sebagai orang tua kandung Syifaa?” tegur Atuk Salleh kesal.

Syifaa senyum tawar.

“Biasalah atuk... Syifaa ni kan orang asing dalam rumah ni. Orang pernah buat salah, selamanya dipandang salah. Okeylah, kalau takde apa-apa saya minta diri dululah. Rumah ni bukan tempat untuk perempuan murah macam saya.” Usai bercakap, Syifaa bersalaman dengan atuknya. Mata mencari juga kelibat nenek kesayangan tetapi tiada. Mungkin berehat di bilik. Kemudian dia beralih kepada orang tuanya. Walau dingin hubungan mereka, itu bukan tiket untuk dia menderhaka kepada orang tuanya.

Wajar Encik Arash dan Puan Zuyyin marah dengannya. Dia telah membuat kesilapan yang memalukan keluarga. Dia pasti, walau sebesar hama, pasti ada harapan yang baik daripada kedua-duanya untuk dia. Namun masa berganti masa. Kejadian itu semakin lama semakin dilupakan. Tetapi tidak pernah sekali pun Puan Zuyyin mahupun Encik Arash bertanya kenapa dia melakukan itu. Untuk apa sebenarnya dia memusnahkan masa depannya sendiri? Jika dulu, saban waktu dia menghitung detik jam dengan harapan mereka mengetuk pintu biliknya untuk bertanya dan menenangkannya. Harapan... itu hanya tinggal debu yang berterbangan.

“Ma, maafkan Syifaa. Halalkan makan minum Syifaa. Selepas ni Syifaa takkan muncul dalam keluarga ni lagi.” Dipeluk erat tubuh tua itu. Air mata yang bertakung ditahan. Sekilas dia mencium pipi tua Puan Zuyyin. Dia kasihkan ibunya tetapi dirinya tidak dialu-alukan di sini. Daripada terus terluka lebih baik dia terus pergi tanpa menoleh kembali.

Syifaa beralih kepada Encik Arash pula.

“Pa, Syifaa minta maaf. Syifaa bukan anak yang baik tapi percayalah Syifaa masih Syifaa yang sama. Cuma kesilapan itu...” Dia tersenyum senget. Tidak jadi mahu meneruskan kata-kata apabila melihat cebikan di hujung bibir lelaki itu. Sudahnya dia hanya tunduk mencium kekura tangan Encik Arash. Beg ditarik keluar dari rumah itu.

Di pintu pagar, Syifaa berpaling sekilas, melihat rumah dia membesar. Kali ini dia keluar dan tidak akan kembali lagi. Sakit? Terlalu sakit. Selama ini dia sangka dia mampu bertahan. Tapi dia silap. Sekali berdosa, selamanya akan dipandang berdosa. Tidakkah Allah itu Maha Pengampun? Namun dalam kalangan manusia, mengampunkan itu mahal harganya. Sedangkan sifat manusia itu tidak sempurna. Dia reda. Inilah hidupnya. Hidup Nur Syifaa Zulaika.

Qayyum! Sekeping nama itu terbit di bibir hatinya. Kini dia yakin bahawa keputusan menolak lamaran lelaki itu tepat. Kalau tidak, pasti dia akan terluka lagi.

Nafas dalam ditarik dan memulakan langkah. Dia akan pergi jika itu mampu memberikan bahagia kepada keluarganya. Dia tidak akan menoleh lagi. 

 

No comments:

Post a Comment