DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 15 April 2021

Cinta Hati Mr. Aydan - Bab 8


ANIS mula waswas untuk masuk ke dalam rumah mengenangkan ada sepasang stiletto merah dan sepasang kasut Syaqeer di depan pintu. Hati dah mula fikir yang bukan-bukan. Namun, cepat–cepat diusir rasa tidak senang yang mula bertandang di hati. Tak mungkinlah Syaqeer sanggup melakukan benda yang tak elok terutama di rumah sendiri.

Nafas ditarik seketika sebelum mengeluarkan kunci rumah dan membukanya. Perlahan-lahan Anis menjengah masuk. Terdengar suara orang bercakap-cakap. Macam mesra sahaja bunyinya. Memang jelas kelihatan Syaqeer sedang duduk berdua-duaan di sofa. Malah selamba sahaja tangan suaminya berada di bahu perempuan di sebelahnya.

Anis segera memberi salam.

“Anis?” Syaqeer segera bangkit daripada duduknya. Wajah itu jelas terkejut dan berubah pucat melihat kemunculan Anis di ruang itu. Begitu juga dengan perempuan yang ada bersamanya.

“Dah lama abang sampai?” soal Anis tanpa riak.

Err... baru je.” Tergagap-gagap Syaqeer menjawab.

“Oh, siapa ni? Kawan abang?” Anis memandang tajam wajah perempuan yang nampak santai di sofa.

“Kenalkan ini Diela, kawan abang. Err... kawan sekerja abang,” beritahu Syaqeer dengan wajah serba salah.

“Oh, kawan sekerja abang ya.” Anis pamer senyum sinis. Kini barulah dia dapat berdepan dengan perempuan yang dikenali dengan nama Diela. Perempuan yang pastinya menjadi kekasih suami sendiri.

“Hai, I Diela.” Diela bangun lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Anis menyambut ala kadar sahaja dan pastinya dia cuba pamerkan riak setenang yang mungkin.

“Jadi, abang pergi berdua dengan kawan abang ni ke Melaka?” Sengaja Anis mahu menduga jawapan yang bakal keluar dari mulut Syaqeer.

“Haah. Eh, bukan. Bukan berdua. Ada beberapa orang lagi kawan ofis.” Syaqeer memberi jawapan dalam keadaan kelam-kabut.

Anis senyum. Kemudian dia memerhatikan wajah mereka satu per satu. Ada kesan lebam pada leher kedua-duanya. Sekarang ini pun kelihatan jelas kesan lipstik di bibir Syaqeer. Dia bukannya bodoh tak tahu apa yang telah dilakukan oleh mereka berdua.

“Tak apalah. Anis nak naik atas. Nak mandi. Sekejap lagi nak masak untuk makan malam. Abang nak Anis masak apa?” Anis buat-buat tak kisah dengan kewujudan mereka.

“Masaklah apa-apa pun. Abang tak kisah,” balas Syaqeer.

“Okey, Anis naik atas dulu.” Anis segera tinggalkan mereka berdua di situ.

Dia dah malas nak ambil peduli. Ikutkan hati yang tengah sakit ni, mahu saja diganyang perempuan itu. Tak malu sungguh datang ke rumah suami orang ketika isteri tiada di rumah. Entah apa yang mereka lakukan sebelum dia balik tadi. Betul ke hanya sekadar pelukan dan ciuman sahaja berdasarkan apa yang dia nampak tadi.

“Anis.” Baru beberapa langkah, Syaqeer memanggil namanya.

“Apa dia?” Anis berpaling.

“Abang nak keluar ni. Nak hantar Diela balik rumah sewa dia.”

“Oh, okey.” Anis kembali menyambung langkah memanjat anak tangga satu per satu tanpa menoleh lagi. Hati mula dilanda sebak. Cuba menahan air mata dari mengalir keluar. Bodohlah kalau dia menangis hanya untuk perkara yang menyakitkan hati. Buat membazir air mata sahaja.

Sampai sahaja di dalam bilik, dia melabuhkan punggung sejenak. Menarik nafas sambil memejam mata.

“Ya Allah. Apa yang harus aku buat? Apa sebenarnya yang berlaku dalam perkahwinan aku ni?” Anis meratap sayu menahan sebak di dada.

Beberapa minit kemudian, dia kembali bangkit. Tak ada gunanya dia terus memikirkan hal Syaqeer. Hati dia juga yang akan sakit nanti. Lantaklah Syaqeer nak buat apa pun, dia tak mahu ambil tahu.

Anis nekad. Dia takkan mudah mengalah. Dah lama dia mengalah dengan mengikut semua kehendak orang tanpa mempedulikan perasaannya sendiri. Kali ini dia perlu fikirkan kehendak sendiri. Anis tarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya. Ada sedikit rasa lega dan tenang menapak di dada.

 

AYDAN MEMANDANG skrin telefon pintarnya. Masih tiada sebarang panggilan atau mesej daripada orang yang ditunggu-tunggu. Tak apa, baru aje seminggu. Hati mendengus perlahan. Namun dia segera memujuk hatinya dan berharap akan ada sesuatu yang menggembirakan nanti. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia mengharap sangat mendapat panggilan itu.

‘Aydan, sudah-sudahlah tu mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Baik kau lupakan aje,’ detik hatinya.

Segan pula hendak bertanyakan kepada Fahiem. Nanti apa pula yang difikirkan oleh temannya itu. Anis pun akan fikirkan yang bukan-bukan kalau dia tahu.

Aydan melurut rambut ke belakang. Tubuh sasanya dilabuh ke sofa empuknya.

“Encik Aydan.”

“Ya, Balqis.” Aydan memandang wajah setiausahanya yang sedang tersenyum manis.

“Cik Safiera ada kat luar. Dia nak jumpa dengan Encik Aydan,” beritahu Balqis.

“Safiera? Maksud you, Safiera si rambut karat tu?” soal Aydan dengan anak mata membulat. Terkejut dan tak sangka bahawa perempuan itu muncul lagi. Ini kali ketiga perempuan itu datang untuk menemuinya. Namun, dia yang mengelak dengan meminta Balqis memberi pelbagai alasan kepada Safiera.

Balqis mengangguk kepala sambil tersenyum. Sebenarnya dia pun nak tergelak mendengar gelaran yang diberikan majikannya kepada perempuan yang bernama Safiera. Dia juga tahu bahawa Safiera adalah salah seorang calon yang ingin dijodohkan dengan Aydan. Tetapi macam biasa, Aydan pasti akan menolak. Dia faham sangat dengan sikap majikannya itu.

Namun ada juga beberapa orang perempuan yang masih degil dan tak mahu mengalah cuba mendapatkan perhatian Aydan. Siapa sahaja yang mahu mengalah kalau berhadapan dengan Aydan yang kacak dan bergaya itu? Malah tidak dinafikan yang majikannya memiliki ciri-ciri lelaki idaman. Orang bodoh saja yang menolak kalau dijodohkan dengan Aydan Harith bin Tan Sri Razlan.

Tapi satu yang Balqis hormat tentang Aydan. Lelaki itu tidak pernah melayan mana-mana perempuan sebelum ini secara berlebihan. Dia sendiri pun tak tahu siapa yang akan menjadi pilihan Aydan nanti memandangkan sikap dingin Aydan kepada calon-calon pilihan Puan Sri Hayati sebelum ini.

“Dia nak apa?” soal Aydan acuh tak acuh.

Hmm... macamlah Encik Aydan tak tahu. Kan encik dah banyak pengalaman dalam hal ini,” ujar Balqis sambil tersenyum.

Aydan menggeleng kepala.

“You cakap ajelah apa-apa alasan. I tak nak jumpa dia. I banyak kerja nak diuruskan daripada melayan kerenah minah rambut karat tu.”

“Okey. Kalau macam tu, saya keluar dulu.” Balqis meminta diri.

“Macam mana? Bos you nak jumpa I?” soal Safiera sebaik sahaja Balqis keluar dari bilik bosnya.

“Maaf, Cik Safiera. Encik Aydan sibuk sekarang. Dia minta cik datang lain kali sahaja,” beritahu Balqis.

Wajah Safiera mula merah.

“Hei, you ingat I ada masa ke nak datang tercongok kat sini tanpa jumpa dia?” Safiera mula melenting marah mendengar alasan yang diberikan oleh Balqis.

“Maaf, cik. Saya tak boleh bantu apa-apa. Apa kata cik buat appointment dulu. Nanti saya cuba aturkan tarikh. Tengok bila Encik Aydan free,” balas Balqis dengan penuh kompromi.

Arghh! You sengaja tak bagi I jumpa Aydan kan? You tu cuma kuli aje, jangan nak memandai-mandai bagi alasan sebab tak nak bagi I jumpa Aydan. Ini kali ketiga I datang sini nak jumpa dia tapi you tak pernah bagi I kebenaran pun.” Safiera tambah mengamuk marahkan Balqis.

Balqis menelan liur. Dia cuba tahan diri. Ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan situasi ini. Dah kalis dan dia hanya buat bodoh saja. Kalau dia pandai-pandai memberikan keizinan, tak mustahil dia kena marah dengan Aydan pula.

“You beritahu bos you, I nak jumpa dia sekarang. I akan tunggu sampai dia keluar!” bentak Safiera dengan muka berang. Suaranya yang keras dan kuat itu membuatkan semua staf memandang ke arahnya. Masing-masing sudah membuat spekulasi.

Excuse me.”

Safiera segera menoleh ke arah pintu yang baru dikuak. Terus dia menelan liur melihat wajah tegang Aydan di muka pintu.

“Aydan.” Safiera segera mendekati Aydan.

Cepat-cepat Aydan mengangkat tangannya memberi isyarat yang dia tidak mahu Safiera mendekatinya.

Langkah Safiera terhenti satu meter. Dia kaku.

“Okey, you dah jumpa I kan? You nak apa? Nak minta kerja? Maaf, di sini tak ada kerja kosong. You boleh apply kat syarikat lain,” ujar Aydan dengan muka serius.

Suasana sunyi. Masing-masing mengintai drama yang terpampang di depan mata mereka.

“Aydan, I... I sebenarnya... sebenarnya I...” Tergagap-gagap Safiera cuba bersuara.

“Oh, OKU sebenarnya.” Aydan buat-buat terkejut. Sengaja mahu sakitkan hati Safiera supaya senang gadis itu beredar dengan segera.

“Aydan!” marah Safiera. Dia yang normal ini dikatakan OKU? No!

Go. You pergi balik sekarang dan tolong jangan datang ke sini lagi!” Aydan tetap dengan suara tegasnya.

“I nak kenal you, Aydan. I nak jadi pasangan hidup you. I memang dah jatuh cinta dengan you sejak pertama kali I jumpa you hari tu,” ujar Safiera.

Kening Aydan terangkat. Dia gelak sinis.

So, what can I do for you? Terima cinta you? Nonsense!” cemuh Aydan. Malas dia nak melayan benda remeh-temeh ni. Buang masa.

Please Aydan, tolong bagi I peluang...” pujuk Safiera. Kali ini dia mendekati Aydan, cuba meraih lengan lelaki itu.

“Balqis, call sekuriti. Suruh mereka datang dan heret perempuan ni keluar dari bangunan ni. Kedatangan dia memang tak dialu-alukan. Kalau perempuan ini muncul lagi, jangan bagi dia masuk ke sini. Faham?” tutur Aydan dan terus masuk ke biliknya tanpa mempedulikan panggilan dan rayuan Safiera lagi.

Balqis mengangguk kepala dan akur dengan arahan daripada majikannya.

“Huh!” Safiera melempar jelingan tajam ke arah Balqis sebelum melangkah pergi.

“Aku tak akan mengalah. Aku mesti dapatkan Aydan dengan apa cara sekalipun.” Nekad Safiera sambil mengetap bibir. Bodohlah kalau dia nak melepaskan lelaki hebat dan kaya seperti Aydan yang dapat membantu dia merealisasikan apa yang dia mahukan.

No comments:

Post a Comment